Sekiranya dalil-dalil yang lalu (al-Quran, al-Sunnah, al-Ijma' dan al-Qiyas) saling menyetujui antara satu sama lain terhadap sesuatu hukum ataupun setiap satu daripadanya menetapkan sesuatu hukum tanpa ada yang menyanggah, adalah wajib ianya disabitkan atau ditetapkan.
Sekiranya berlaku percanggahan di antaranya dan masih boleh dikumpulkan, adalah wajib kesemuanya dikumpulkan. Sekiranya tidak boleh dikumpulkan, hendaklah berpindah kepada naskh (pemansuhan) jika syarat-syaratnya penuh. Sekiranya tidak dapat dimansuhkan, hendaklah berpindah kepada tarjih (memilih yang lebih kuat) seperti berikut:
1 - Berkenaan al-Quran dan al-Sunnah ditarjihkan;
Al-Nas (muktamad) ke atas al-zahir (jelas).
Al-Zahir (jelas) ke atas al-muawwal (ditakwil).
Al-Mantuq (tersurat) ke atas al-mafhum (tersirat).
Al-Muthbit (menetapkan) ke atas al-nafi (menolak) .
Dalil yang memindahkan hukum asal ke atas dalil yang menetapkan hukum asal kerana dalil yang memindahkan itu membawa lebih ilmu.
Al-Am al-mahfuz (umum terpelihara) iaitu yang tidak pernah dikhususkan ke atas al-am al-mukhassas (umum yang dikhususkan).
Dalil yang mempunyai lebih banyak sifat penerimaan ke atas dalil yang kurang sifat penerimaannya.
Tuan punya kisah ke atas orang lain.
2 - Berkenaan al-ijma', ditarjihkan al-ijma' al-qat‘i (muktamad) ke atas al-ijma' al-zhanni (berkemungkinan).