.

.
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء و المرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين أهلا وسهلا بكم إذا كانت هذه زيارتك الأولى للمنتدى، فيرجى التفضل بزيارة صفحة التعليمات كما يشرفنا أن تقوم بالتسجيل ، إذا رغبت بالمشاركة في المنتدى، أما إذا رغبت بقراءة المواضيع والإطلاع فتفضل بزيارة القسم الذي ترغب أدناه. عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه - قال: سمعت رسول الله ﷺ يقول: "إن إبليس قال لربه: بعزتك وجلالك لا أبرح أغوي بني آدم مادامت الأرواح فيهم - فقال الله: فبعزتي وجلالي لا أبرح أغفر لهم ما استغفروني" اللّهم طهّر لساني من الكذب ، وقلبي من النفاق ، وعملي من الرياء ، وبصري من الخيانة ,, فإنّك تعلم خائنة الأعين ,, وما تخفي الصدور اللهم استَخدِمني ولاَ تستَبدِلني، وانفَع بيِ، واجعَل عَملي خَالصاً لِوجهك الكَريم ... يا الله اللهــم اجعل عملي على تمبـلر صالحاً,, واجعله لوجهك خالصاً,, ولا تجعل لأحد فيه شيئاً ,, وتقبل مني واجعله نورا لي في قبري,, وحسن خاتمة لي عند مماتي ,, ونجاةً من النار ومغفرةً من كل ذنب يارب يارب يارب

.

.

.

.

Wednesday, August 13, 2014

USUL FIQH : AL-TA'ARUDH

Dari sudut Bahasa Arab, al-Ta'arudh (percanggahan) ialah pertentangan dan berlawanan. Dari sudut istilah, al-Ta'arudh (percanggahan) ialah:
Pertentangan antara dua dalil di mana salah satu menyalahi yang satu lagi.

Terdapat 4 bahagian bagi percanggahan dalil-dalil:

1- Percanggahan antara dua dalil umum. Bahagian ini mempunyai 4 keadaan:

1.1- Boleh dikumpul antara kedua-duanya dengan meletakkan setiap satu pada situasi yang tidak menyalahi yang lain. Di sini adalah wajib dikumpulkan.

Contohnya firman Allah Ta'ala (al-Syuura 42:52) - Maksudnya: Dan sesungguhnya kamu benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.

Dengan firman Allah Ta'ala (al-Qasas 28:56) - Maksudnya: Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi.

Kedua-dua ayat ini dapat dikumpulkan dengan tafsiran bahawa ayat pertama membawa maksud petunjuk dalam bentuk memberi penerangan terhadap kebenaran. Ini dapat dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.. Ayat kedua pula ditafsirkan dengan maksud petunjuk dalam bentuk memberi taufiq (kemudahan) untuk beramal. Ini hanya pada tangan Allah Ta'ala dan tidak dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. dan orang lain.

1.2- Sekiranya tidak boleh dikumpulkan, secara otomatik dalil yang terkemudian memansuhkan dalil yang terdahulu apabila dapat dikenalpasti tarikh. Di sini, diamalkan dengan dalil yang terkemudian sahaja.

Contohnya firman Allah Ta'ala (al-Baqarah 2:184) - Maksudnya: Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya dan berpuasa lebih baik bagimu.

Ayat ini mengandungi pilihan antara memberi makan dan puasa walaupun puasa lebih utama.

Dengan firman Allah Ta'ala (al-Baqarah 2:185) - Maksudnya: Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain.

Ayat ini mengandungi perintah berpuasa secara tunai sahaja bagi orang yang tidak sakit dan bukan musafir (pengembara), dan perintah berpuasa secara qadak (ganti) sahaja bagi orang sakit dan musafir (pengembara).

Ayat kedua terkemudian daripada ayat pertama. Jadi, ayat kedua dikira memansuhkan ayat pertama. Perkara ini ada dijelaskan dalam hadith Salamah bin al-Akwa’ yang terdapat dalam al-Sahihain (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim).

1.3- Sekiranya tidak dapat dikenalpasti tarikh, berpindah kepada al-Tarjih (memilih yang lebih kuat) jika ada unsur-unsur al-Tarjih.

Contohnya ialah sabda Rasulullah s.a.w. :

مَنْ مَسَّ ذَكَرَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ.

Maksudnya: Sesiapa menyentuh kemaluannya, hendaklah dia ambil air sembahyang.

Dan dalam sebuah hadith lain, Baginda s.a.w. ditanya tentang seorang lelaki yang menyentuh zakarnya adakah dia mesti berwudhuk? Jawab Baginda s.a.w.:

وَهَلْ هُوَ إِلاَّ مُضْغَةٌ مِنْكَ أَوْ بَضْعَةٌ مِنْكَ.

Maksudnya: Bukankah kemaluan itu hanya seketul daging atau sebahagian daripada badanmu?

Jadi hadith pertama ditarjihkan ke atas hadith kedua kerana ianya lebih bersifat berjaga-jaga. Juga kerana sanadnya lebih banyak dan pentashihnya lebih banyak. Ianya juga menukar hukum yang asal dan mempunyai tambahan ilmu.

1.4- Sekiranya tidak wujud unsur al-Tarjih (memilih yang lebih kuat), hendaklah ditangguh (al-Tawaqquf) seketika. Setakat ini tiada contoh yang sesuai untuk keadaan ini.


2- Percanggahan antara dua dalil khas. Bahagian ini juga mempunyai empat keadaan:

2.1-Boleh dikumpulkan antara kedua-duanya. Di sini adalah wajib dikumpulkan.

Contohnya ialah Hadith Jabir yang menerangkan cara haji Nabi s.a.w. bahawa Baginda s.a.w. telah solat Zuhur pada hari al-Nahr (ke 10 Zul Hijjah) di Mekah. Dan hadith Ibnu Umar bahawa Baginda s.a.w. telah menunaikan Zuhur pada hari itu di Mina.

Dikumpulkan antara kedua-dua hadith ini dengan menerangkan bahawa Baginda s.a.w. telah menunaikannya di Mekah, kemudian mengulanginya di Mina sebagai imam kepada para sahabat di situ.

2.2-Sekiranya tidak boleh dikumpulkan, dalil terkemudian memansuhkan dalil pertama sekiranya diketahui tarikh.
      
Contohnya ialah firman Allah Ta'ala (al-Ahzab 33:50) - Maksudnya: Hai Nabi, sesungguhnya Kami telah menghalalkan bagimu isteri-isterimu yang telah kamu berikan mas kahwinnya dan hamba sahaya yang kamu miliki yang termasuk apa yang kamu peroleh dalam peperangan yang dikurniakan Allah untukmu, dan (demikian pula) anak-anak perempuan dari saudara lelaki bapamu, anak-anak perempuan dari saudara perempuan bapamu, anak-anak perempuan dari saudara lelaki ibumu, dan anak-anak perempuan dari saudara perempuan ibumu yang turut hijrah bersama kamu dan perempuan mukminah yang menyerahkan dirinya kepada Nabi kalau Nabi mahu mengahwininya, sebagai pengkhususan bagimu, bukan untuk semua orang mukmin. Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada mereka tentang isteri-isteri mereka dan hamba sahaya yang mereka miliki supaya tidak menjadi kesempitan bagimu dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Dan firman Allah Ta'ala (al-Ahzab 33:52) - Maksudnya: Tidak halal bagimu mengahwini perempuan-perempuan sesudah itu dan tidak boleh (pula) mengganti mereka dengan isteri-isteri (yang lain) meskipun kecantikannya menarik hatimu kecuali perempuan-perempuan (hamba sahaya) yang kamu miliki dan adalah Allah Maha Mengawasi segala sesuatu.

Ayat kedua memansuhkan ayat pertama mengikut satu pendapat.

2.3-Sekiranya tidak boleh naskh, berpindah kepada tarjih (memilih yang lebih kuat) sekiranya wujud unsur-unsur tarjih.

Contohnya: hadith Maimunah bahawa Nabi telah menjadi halal (bukan lagi berihram) semasa mengahwininya. Dan hadith Ibnu Abbas bahawa Nabi masih muhrim (berihram) semasa mengahwini Maimunah. 
Hadith pertama rajih (lebih kuat) kerana Maimunah adalah tuan punya kisah, jadi beliau lebih mengetahui. Juga kerana hadithnya dikuatkan dengan hadith Abu Rafi’ bahawa Nabi telah menjadi halal (bukan lagi berihram) semasa mengahwini Maimunah dan beliau telah berkata:

وَكُنْتُ الرَّسُولَ بَيْنَهُمَا.
Maksudnya: “Dan akulah orang tengah antara mereka berdua.”

2.4-Sekiranya tidak wujud unsur-unsur tarjih (memilih yang lebih kuat), hendaklah ditangguhkan (tawaqquf) seketika. Setakat ini tiada contoh yang sesuai untuk keadaan ini.


3- Percanggahan antara dalil am dan khas. Dalam keadaan ini dalil am dikhususkan dengan dalil khas.

Contohnya sabda Baginda s.a.w.:

فِيمَا سَقَتْ السَّمَاءُ الْعُشْرُ.
Maksudnya: Bagi tanaman yang hidup dengan hujan, zakatnya satu persepuluh.

Dengan sabda Baginda s.a.w.:

لَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسَةِ أَوْسُقٍ صَدَقَةٌ.
Maksudnya: Tanaman yang kurang dari lima wasaq tidak perlu dizakatkan.

Di sini, dalil pertama dikhususkan dengan dalil kedua di mana tidak diwajibkan zakat pada hasil tanaman yang tidak mencukupi lima wasaq.


4-   Percangghan antara dua nas di mana setiap satu lebih umum dari satu sudut dan lebih khusus dari satu sudut yang lain. Bahagian ini mempunyai tiga keadaan:

4.1- Sekiranya ada dalil yang mengkhususkan keumuman salah satu dari dua dalil itu dengan yang satu lagi, hendaklah ianya dikhususkan. Contohnya firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:234) - Maksudnya: Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber'iddah) empat bulan sepuluh hari.

Dengan firman Allah Ta‘ala (al-Talaq 65:4) - Maksudnya: Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu 'iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya.

Ayat pertama khas pada balu yang kematian suami dan umum pada wanita mengandung dan lain-lain. Ayat kedua khas pada wanita mengandung dan umum pada balu yang kematian suami dan lain-lain.

Akan tetapi terdapat dalil yang mengkhususkan keumuman ayat pertama dengan ayat kedua iaitu hadith di mana Subai’ah al-Aslamiyyah telah bersalin selepas beberapa hari kematian suaminya lalu Nabi mengizinkannya untuk berkahwin. Dengan ini, 'iddah bagi wanita hamil ialah sehingga bersalin samada wanita kematian suami atau lain-lain.

4.2-Sekiranya tiada dalil yang mengkhususkan kemumuman salah satu daripada dua dalil itu dengan yang satu lagi, hendaklah berpindah kepada tarjih (memilih yang lebih kuat).

Contohnya: sabda Rasulullah s.a.w.:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمْ الْمَسْجِدَ فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ.

Maksudnya: Sekiranya seorang daripada kamu masuk masjid maka janganlah dia duduk kecuali selepas solat dua raka’at.

Dengan sabdanya s.a.w.:

لاَ صَلاَةَ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَرْتَفِعَ الشَّمْسُ وَلاَ صَلاَةَ بَعْدَ الْعَصْرِ حَتَّى تَغِيبَ الشَّمْسُ.

Maksudnya: Tiada solat selepas solat Subuh sehinggalah terbitnya matahari dan tiada solat selepas solat Asar sehinggalah terbenamnya matahari.

Hadith pertama khas pada solat tahiyyat al-masjid dan umum pada waktu solat. Hadith kedua khas pada waktu solat dan umum pada solat tahiyyat al-masjid dan lain-lain.

Akan tetapi, yang rajihnya (lebih kuat) ialah mengkhususkan keumuman dalil kedua dengan dalil pertama. Jadi dibenarkan solat tahiyyat al-masjid pada waktu-waktu yang dilarang melakukan sebarang solat. Kami mentarjihkan demikian kerana pengkhususan keumuman dalil kedua ini telah berlaku pada solat lain iaitu pada mengqada' solat fardhu dan mengulangi solat jama’ah. Dengan ini, keumumannya telah menjadi lemah.

4.3-Sekiranya tiada dalil atau pentarjih untuk mengkhususkan keumuman salah satu dari dua dalil tersebut, wajiblah beramal dengan kedua-duanya apabila tiada pertembungan dan wajib ditangguh (tawaqquf) apabila wujud pertembungan.

Walaupun begitu, sebenarnya tidak akan wujud pertembungan antara nas-nas sehingga ianya tidak dapat dileraikan dengan jamak (dikumpulkan), naskh (pemansuhan) mahupun tarjih (memilih yang lebih kuat). Ini kerana nas-nas tidak akan bercanggahan dan Rasulullah s.a.w. telahpun menerangkan dan menyampaikan agama dengan sempurna. Akan tetapi percanggahan itu mungkin berlaku menurut kaca mata mujtahid disebabkan kelemahan ilmunya.
16.  Al-Tartib bain al-Adillah (Susunan dalil-dalil)

Sekiranya dalil-dalil yang lalu (al-Quran, al-Sunnah, al-Ijma' dan al-Qiyas) saling menyetujui antara satu sama lain terhadap sesuatu hukum ataupun setiap satu daripadanya menetapkan sesuatu hukum tanpa ada yang menyanggah, adalah wajib ianya disabitkan atau ditetapkan.

Sekiranya berlaku percanggahan di antaranya dan masih boleh dikumpulkan, adalah wajib kesemuanya dikumpulkan. Sekiranya tidak boleh dikumpulkan, hendaklah berpindah kepada naskh (pemansuhan) jika syarat-syaratnya penuh. Sekiranya tidak dapat dimansuhkan, hendaklah berpindah kepada tarjih (memilih yang lebih kuat) seperti berikut:

1 - Berkenaan al-Quran dan al-Sunnah ditarjihkan;

 Al-Nas (muktamad) ke atas al-zahir (jelas).

 Al-Zahir (jelas) ke atas al-muawwal (ditakwil).

 Al-Mantuq (tersurat) ke atas al-mafhum (tersirat).

 Al-Muthbit (menetapkan) ke atas al-nafi (menolak) .

Dalil yang memindahkan hukum asal ke atas dalil yang menetapkan hukum asal kerana dalil yang memindahkan itu membawa lebih ilmu.

Al-Am al-mahfuz (umum terpelihara) iaitu yang tidak pernah dikhususkan ke atas al-am al-mukhassas (umum yang dikhususkan).

Dalil yang mempunyai lebih banyak sifat penerimaan ke atas dalil yang kurang sifat penerimaannya.
Tuan punya kisah ke atas orang lain.

2 - Berkenaan al-ijma', ditarjihkan al-ijma' al-qat‘i (muktamad) ke atas al-ijma' al-zhanni (berkemungkinan).

3 - Berkenaan al-qiyas, ditarjihkan al-qiyas al-jali (penyamaan yang jelas) ke atas al-qiyas al-khafi (penyamaan yang samar).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.

Rasulullah s.a.w bersabda :

” Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat” ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)