أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلاً۬ كَلِمَةً۬ طَيِّبَةً۬ كَشَجَرَةٍ۬ طَيِّبَةٍ أَصۡلُهَا ثَابِتٌ۬ وَفَرۡعُهَا فِى ٱلسَّمَآءِ
تُؤۡتِىٓ أُڪُلَهَا كُلَّ حِينِۭ بِإِذۡنِ رَبِّهَاۗ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَذَڪَّرُونَ
“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit. pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.”Surah Ibrahim : Ayat 24 – 25
Firman Allah s.w.t.:
فَلَا تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادً۬ا وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ…….
“Maka janganlah kamu membuat sekutu untuk Allah padahal kamu mengetahui (bahawa Allah adalah maha Esa)” Surah Al Baqarah : Ayat 22
Ibnu Abbas r.a. dalam menafsirkan ayat tersebut mengatakan: “membuat sekutu untuk Allah adalah perbuatan syirik, suatu perbuatan dosa yang lebih sulit untuk dikenali dari pada semut kecil yang merayap di atas batu hitam, pada malam hari yang gelap gulita. Iaitu seperti ucapan anda: ‘demi Allah dan
demi hidupmu wahai fulan, juga demi hidupku’, Atau seperti ucapan: ‘kalau bukan kerana anjing ini, tentu kita didatangi pencuri pencuri itu’, atau seperti ucapan: ‘kalau bukan kerana angsa yang dirumah ini, tentu kita didatangi pencuri-pencuri tersebut’, atau seperti ucapan seseorang kepada kawan-kawannya: ‘ini terjadi kerana kehendak Allah dan kehendakmu’, atau seperti ucapan seseorang: ‘kalaulah bukan kerana Allah dan fulan’.
“Oleh kerana itu, janganlah kamu menyertakan “si fulan” dalam ucapan-ucapan di atas, kerana boleh menjatuhkan kamu ke dalam kemusyrikan.” Hadith Riwayat Ibnu Abi Hatim
Diriwayatkan dari Umar bin Khaththab r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Barang siapa yang bersumpah dengan menyebut selain Allah, maka ia telah berbuat kekafiran atau kemusyrikan” Hadith Riwayat Tirmidzi, dan ia nyatakan sebagai hadis hasan, dan dinyatakan oleh Al Hakim shohih.
Dan Ibnu Mas’ud r.a. berkata:
“sungguh bersumpah bohong dengan menyebut nama Allah, lebih Aku sukai daripada bersumpah jujur tetapi dengan menyebut nama selainNya.”
Diriwayatkan dari Hudzaifah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Janganlah kalian mengatakan: ‘atas kehendak Allah dan kehendak si fulan’, tapi katakanlah: ‘atas kehendak Allah kemudian atas kehendak si fulan’.” (HR. Abu Daud dengan sanad yang baik).
Diriwayatkan dari Ibrahim An Nakha’i bahawa ia melarang ucapan: “Aku berlindung kepada Allah dan kepadamu”, tetapi ia memperbolehkan ucapan: “Aku berlindung kepada Allah, kemudian kepadamu”, serta ucapan: ‘kalau bukan kerana Allah kemudian kerana si fulan’, dan ia tidak memperbolehkan ucapan: ‘kalau bukan kerana Allah dan kerana fulan’.
.
Pengertian syirik dari segi bahasa dan syara’
Syirik adalah kata dasar dari Bahasa Arab iaitu Syaraka yang bermaksud : Menyamakan sesuatu dengan sesuatu dari segi bahasa. Manakala dari segi syara’ bermaksud: Menyamakan Allah dengan sesuatu atau menyamakan sesuatu dengan Allah sama ada secara iktikad, perbuatan atau perkataan.
.
Sejarah permulaan Syirik
Syirik mula dilakukan ketika zaman Nabi Nuh a.s, dan oleh kerana itulah dia menjadi RASUL yang pertama diutuskan untuk kaumnya. Dan seorang rasul diutuskan tidak lain adalah untuk menyeru umatnya agar beribadah kepada Allah semata2 tanpa menyekutukanNya dengan suatu apa pun atau dengan kata lain menTAUHIDkan Allah.
“Dan sungguh Kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah thaghut… ” Surah An Nahl : Ayat 36
Ibnu Katsir di dalam Tafsir Ibnu Katsir menjelaskan tentang ayat 36 Surah An
Nahl itu dengan menyatakan bahawa kejadian syirik pertama yang berlaku ke atas anak Adam ialah terhadap kaum Nuh a.s.
“Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (Muhammad) sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi-nabi yang kemudiannya, dan Kami telah memberikan wahyu (pula) kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Ya’qub dan anak cucunya, Isa, Ayyub, Yunus, Harun dan Sulaiman. Dan Kami berikan Zabur kepada Daud.” Surah An Nisaa’ : Ayat 163
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, lalu ia berkata: “Hai kaumku, sembahlah oleh kamu Allah, (kerana) sekali-kali tidak ada Ilah bagimu selain Dia. Maka mengapa kamu tidak bertaqwa (kepada-Nya)?” Surah Al Mu’minuun : Ayat 23
Ibnul Qayyim rahimahullahu berkata, “terjadinya kemusyrikan pertama kali adalah pada kaum nabi Nuh ‘alaihissalam, iaitu ketika mereka bersifat ghuluw (berlebih-lebihan) terhadap orang-orang sholeh” (Ighotsatul Lahfan, 2/204)
Nabi Nuh a.s menyeru kaumnya agar berhenti menyembah patung dan kembali menTAUHIDkan Allah. Tetapi kaumnya hanya memperlekehkan beliau dan mengutuknya serta menuduh Nuh sebagai sesat. Kata-kata mereka sebagaimana yang difirmankan oleh Allah S.w.t di dalam AlQuran
“Dan mereka berkata: “Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) ilah-ilah kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) Wadd, dan jangan pula Suwaa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr”. Surah Nuh : Ayat 23
Menurut Ibnu Abbas r.a, Wadd, Suwaa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr adalah orang soleh daripada kalangan kaum Nabi Nuh. Apabila mereka meninggal dunia maka syaitan membisikkan ke telinga kaum itu agar membuat patung menyerupai mereka agar dapat mereka mengenang segala amalan soleh serta jasa orang soleh berkenaan. Patung itu turut dijadikan perangsang bagi mereka untuk mencontohi perbuatan orang soleh. Patung berkenaan pada peringkat awalnya tidak disembah oleh kaum itu. Namun masa berlalu dan generasi awal kaum ini meninggal dunia, generasi baru yang menggantikannya banyak melupakan ajaran agama sebenar. Syaitan sekali lagi memainkan peranan untuk menyesatkan umat manusia dengan membisikkan kepada mereka bahawa generasi sebelum mereka itu menyembah patung berkenaan untuk mendekat diri mereka kepada Allah.
Disebabkan kejahilan mereka terhadap ajaran agama maka bermulalah amalan menyembah patung orang soleh itu atas dasar mengagungkan dan kecintaan terhadap mereka serta ia dijadikan sebagai objek perantaraan untuk memohon doa serta syafaat. Al-Laata yang juga antara berhala terbesar pada zaman jahiliah di Makkah juga nama seorang yang masa hidupnya gemar memberi makanan kepada jemaah haji yang mengunjungi Kaabah.
.
Syirik / menyekutukan Allah adalah dosa yang paling besar
“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah ialah Al-Masih putera Maryam”, padahal Al-Masih (sendiri) berkata: “Hai Bani Israil, sembahlah Allah Rabbku dan Rabbmu”. Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun. “Surah Al Ma’idah : Ayat 72
“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) sebelummu: ‘Jika kamu mempersekutukan (Allah), nescaya akan hapus amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang rugi’.” Surah Az-Zumar : Ayat 65
“Nabi S.a.w ditanya tentang dosa apa yang paling besar, beliau bersabda, “engkau menyeru sekutu Allah sedang Dia telah menciptakan kamu”. Hadith Riwayat Muslim
“Dosa yang paling besar dari dosa-dosa besar adalah menyekutukan Allah.” Hadith Riwayat Bukhari
.
.
Bahagian-bahagian Syirik
Syeikh Sulaiman bin Abdullah telah membahagikan syirik itu kepada empat bahagian iaitu Syirik Rububiyyah, Syirik Asma’, Syirik Sifat dan Syirik Ubudiyyah.
Bentuk Syirik Rububiyyah ialah mempersekutukan Allah dalam pentadbiran alam ini iaitu, Pertama – Menafikan Allah sebagai pentadbir alam ini sebagaimana ucapan yang dilafazkan oleh firaun yang termaktub di dalan Al-Quran yang bermaksud:” (Firaun berkata) akulah tuhan kamu yang tertinggi”. Surah An-Nazi’aat ayat 24. Kedua – Mengiktiraf adanya kuasa selain Allah yang mengurus alam ini.
Manakala Syirik Asma’ dan Sifat iaitu menyamakan sifat-sifat Allah dengan sesuatu yang lain, sama ada dalam bentuk tindakan atau percakapan. Ia juga terbahagi kepada dua bahagian iaitu, Pertama – Menyamakan Allah dengan makhluk seperti pendapat yang mengatakan tangan Allah seperti tangan makhluk, pandangan dan pendengaran Allah sama seperti pendengaran manusia sedangkan Allah bersifat sempurna sebagaimana firmannya yang bermaksud: “Dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengannya”. Kedua – Menyatakan sifat Allah S.w.t. kurang atau lemah yang nyata bertentangan dengan sifat Allah s.w.t., Yang Lengkap lagi Maha Tinggi.
Syirik Ubudiyyah iaitu syirik dari segi penyembahan yang banyak berlaku dalam masyarakat kita sama ada disedari atau tidak iaitu: Pertama – Menyembah selain Allah. Meminta dan bergantung harap kepada selainnya seperti meminta sesuatu kepada pokok, busut, kubur keramat, pantai dan lain-lain lagi. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan jangan kamu menyekutukan sesuatu pun denganNya”. Surah An-Nisa’ : Ayat 36.
Kedua – Beribadat dengan tidak ikhklas (riak). Ia beribadat mungkin kerana kepentingan diri, mencari nama, pangkat, pengaruh dan sebagainya. Ia juga disebut sebagai syirik kecil. Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ibnu Majjah dan Al-Hakim, seorang sahabat bernama Syaddadi bin Aus telah menemui Rasulullah s.a.w. pada suatu malam dan mendapati baginda sedang menangis, lalu ia pun bertanya :” Kenapa Rasulullah s.a.w. menangis?,. Baginda menjawab:” Aku takut umatku ditimpa syirik walhal mereka bukan menyembah berhala, tidak pula menyembah bulan dan matahari atau batu, hanya kerana mereka berlaku riak dalam mengerjakan amalan”.
.
Menurut Dr Yusuf Al-Qardawi, syirik terdiri dari dua jenis, dikenali dengan syirik akbar dan syirik asghar. Syirik Akbar ialah syirik yang tidak diampunkan oleh Allah dan pelakunya tidak akan dimasukkan sama sekali ke syurga. Manakala Syirik Asghar pula adalah di antara dosa-dosa besar yang dikhuatiri orang yang melakukannya dan yang berterusan melakukannya akan membawa kepada mati di dalam keadaan kafir jika Allah tidak memberi pertolongan dengan rahmat-Nya sekiranya dia tidak bertaubat sebelum mati.
1. Syirik Akbar Jali (terang) dan Khafi (tersembunyi)
Syirik Akbar terbahagi kepada dua iaitu Syirik Akbar Jali (terang) dan Syirik Akbar Khafi (tersembunyi). Syirik akbar yang terang ialah beribadah kepada satu tuhan atau beberapa tuhan di samping Allah SWT sama ada tuhan tersebut berbentuk objek seperti matahari, bulan atau benda mati seperti berhala atau batu ataupun tuhan tersebut berbentuk binatang seperti anak lembu atau bapak lembu atau tuhan yang berbentuk manusia seperti Firaun yang mendakwa dirinya tuhan.
Ahmad Mohd Salleh (2002) menjelaskan syirik akbar ialah menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu makhluk dari aspek penciptaannya seperti mempercayai ada kuasa lain selain daripada kuasa Allah SWT yang lebih berkuasa. Firman Allah SWT: Maksudnya:“Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, Maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun.” Surah Al-Maa’idah: Ayat 72
Secara kesimpulannya, Syirik Akbar ialah mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, dengan mempercayai dan menyembah sesuatu yang dianggap mempunyai kuasa luar biasa, sama ada sebagai pengantara dengan Allah seperti berhala, sebagai anak Allah, isteri, roh ataupun mempunyai kuasa tertentu yang hanya milik Allah SWT. (Mardzelah Makhsin, 2003). Syirik akbar adalah syirik yang sebenar, yang tidak diampunkan oleh Allah SWT dan orang Islam yang melakukannya boleh dijatuhkan hukuman murtad.
Perkara ini dilakukan oleh orang-orang Quraisy kerana pada hakikatnya mereka masih mempercayai kewujudan Allah dan bersumpah dengan nama Allah tetapi mereka mensyirikkan Allah dengan mengambil berhala sebagai sembahan. Oleh itu mereka disebut dalam al-Quran sebagai musyrikun atau kafirun. Begitu juga dengan orang-orang yang beragama Kristian yang mengambil Isa a.s sebagai anak tuhan yang disembah selain daripada Allah demi mendapatkan keampunan. Begitulah juga orang Yahudi yang menganggap Uzair anak Tuhan dan bangsa Yahudi sebagai bangsa yang terpilih di sisi Allah. Oleh kerana itu mereka melakukan syirik yang besar dan ini mengeluarkan mereka daripada agama Tauhid yang dibawa oleh para Nabi, dan rasul terakhir Muhammad SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Orang-orang Yahudi berkata: “Uzair itu putera Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Maseh itu putera Allah”. Demikianlah itu Ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allah mereka , bagaimana mereka sampai berpaling?:” Surah at-Taubah: Ayat 30
Bagi orang Islam, sesiapa yang mempercayai, meyakini, mentaati dan menyembah apa sahaja perkara yang dianggap berkuasa ataupun menyamai sifat dan keagungan Allah S.W.T, dia sudah melakukan syirik yang besar dan boleh dijatuhkan hukuman murtad jika enggan bertaubat setelah diberikan penerangan serta peluang. Antara contoh perlakuan syirik yang sering dilakukan dalam masyarakat adalah memohon sesuatu daripada kubur orang yang meninggal dunia, memohon sesuatu daripada makhluk jin dengan cara memuja dan mempersembahkan sesuatu kepada mereka, memuja dan mempercayai ‘kekuasaan’ semua makhluk sama ada pokok, bukit, gua, busut, matahari, bintang, bulan dan sebagainya.
Selain daripada syirik dalam bentuk pemujaan dan permohonan, terdapat juga syirik dalam bentuk penghambaan dan ketaatan kepada selain daripada Allah SWT. Perkara ini terjadi kerana seseorang atau pun sekumpulan orang mematuhi perintah dengan menolak hukum Allah SWT. Perkara ini jelas dalam al-Quran dan as-Sunnah. Firman Allah SWT: ‘ Maksudnya: “Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, Kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” Surah anNisaa’ : Ayat 65
Dalam ayat ini, Allah SWT menafikan iman bagi orang yang tidak berhukum dengan hukum-Nya kerana manifestasi keimanan adalah menuntut ketaatan dan kepatuhan kepada perintah-Nya. Keingkaran menggunakan hukum Allah serta pengambilan hukum lain adalah perbuatan menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain dan ini adalah syirik yang nyata. Perkara ini jelas dalam ayat-ayat lain antaranya firman Allah berkenaan ahli-ahli kitab yang mengambil ahli-ahli agama mereka sebagai tuhan selain Allah. Ini kerana mereka patuh dan taat kepada ahli agama dalam melakukan pendustaan pada agama Allah, “Mereka mengambil orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah, dan al-Maseh Isa bin Maryam, sedang mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah tuhan yang satu, tidak ada tuhan selain dia, Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan.” Surah Al-Furqan : Ayat 43
Allah juga menyifatkan orang yang patuh kepada hawa nafsunya pada hakikatnya mengambil hawa nafsu tersebut sebagai tuhan yang disembah; Firman Allah SWT: Maksudnya: “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah Telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” Surah al Jaatsiyah : Ayat 23
“Di kolong langit ini, tidak ada tuhan yang disembah yang lebih besar dalam pandangan Allah selain dari hawa nafsu yang dituruti.” Hadith Riwayat Ahmad
Sabda nabi S.a.w yang bermaksud, “Syurga itu dikelilingi dengan hal-hal yang dibenci dan neraka itu dikelilingi dengan berbagai (nafsu) syahwat.” Hadith riwayat Bukhari & Muslim
2. Syirik Akbar Khafi
Syirik ini berlaku dalam bentuk percampuran antara amalan yang berunsurkan kekufuran dengan amalan yang berunsurkan Islam serta dicampur dengan kepercayaan karut marut berkaitan kekuasaan sesuatu benda yang menyerupai kuasa Allah SWT. Percampuran ini menyebabkan kecelaruan dalam akidah seseorang kerana hak-hak Allah SWT diberikan atau dikongsikan kepada makhluk-makhluk ciptaan Allah seperti kekuasaan, pengabdian, pertolongan perlindungan, keikhlasan, sifat-sifat kesempurnaan dan sebagainya. Perkara-perkara ini jika tidak diteliti menyebabkan seseorang terjerumus dalam perangkap syaitan dan dibimbangi pelakunya mati dalam keadaan kufur kepada Allah SWT jika tidak sempat bertaubat.
Contohnya bersumpah dengan yang lain daripada Allah seperti bersumpah dengan nama nabi, Kaabah, wali, orang-orang soleh dan sebagainya. Ini kerana manusia hanya layak bersumpah dengan nama Allah sahaja. Bersumpah dengan nama-nama makhluk adalah tidak layak bagi manusia kerana dikhuatiri ia menyamakan makhluk dengan penciptanya. Manakala amalan-amalan yang turut membawa kepada syirik akbar adalah seperti memakai tangkal dengan tujuan menolak kemudaratan atau mendatangkan sesuatu keuntungan dengan pergantungan kepada tangkal tersebut, menggunakan jampi mantera yang mengandungi permohonan pertolongan atau perlindungan daripada selain Allah, mempercayai ramalan ahli nujum atau mengamalkan ilmu nujum, bernazar kepada selain Allah, terlalu mengagungkan sesuatu sama ada nabi, rasul, tempat-tempat tertentu atau objek tertentu sehingga menyamai salah satu sifat Allah SWT dan amalan-amalan lain seumpamanya.
3. Syirik Asghar
Ianya adalah di antara jenis-jenis dosa besar bahkan lebih besar di sisi Allah daripada dosa-dosa besar yang lain.
Syirik asghar adalah syirik yang tersembunyi kerana kadang kala tidak disedari oleh orang yang melakukan perkara tersebut. Syirik ini banyak bersangkutan dengan amalan hati seseorang. Ia terjadi apabila sesuatu amalan ketaatan dikerjakan dengan niat yang tidak ikhlas kerana Allah SWT seperti hanya menunjuk-nunjuk kepada orang ramai, mendapat pujian dan sanjungan bagi sesuatu tujuan seperti perniagaan dan perkahwinan serta tujuan-tujuan yang seumpamanya.
Melihat kepada situasi hari ini, ternyata amalan mensyirikkan Allah sama ada syirik jali atau khafi berlaku secara sedar atau tidak. Walaupun daripada kalangan orang Islam tidak menyembah berhala, tetapi mereka terdedah kepada perbuatan syirik. Gejala syirik khafi tidak kurang hebatnya dengan berleluasanya gejala riak, beramal untuk manusia, perasaan dengki, mengharap redha manusia, bermuka-muka, tidak ikhlas, tathoyyur (merasa sial kerana melihat sesuatu), meninggalkan solat kerana malas, menandakan amalan syirik memang menguasai hidup umat Islam kini.
.
.
Larangan membuat berhala / idola
Seperti yang telah disebutkan di atas, amalan menyembah berhala telah dilakukan sejak zaman nabi Nuh lagi. Pada asalnya mereka membuat patung2 sekadar ingin mengingati seseorang, tetapi zaman demi zaman menyebabkan anak cucu mereka memuja dan menyembah berhala2 tersebut. Allah S.w.t melarang keras pembuatan berhala yang digunakan untuk menyembah dan memujanya, walaupun berhala tersebut digunakan sebagai perantaraan dengan Allah.
“Dan kaum Musa, setelah kepergian Musa ke gunung Thur, membuat dari perhiasan-perhiasan (emas) mereka anak lembu yang bertubuh dan bersuara. Apakah mereka tidak mengetahui bahawa anak lembu itu tidak dapat berbicara dengan mereka dan tidak dapat (pula) menunjukkan jalan kepada mereka? Mereka menjadikannya (sebagai sembahan) dan mereka adalah orang-orang yang zalim.” Surah Al A’raaf : Ayat 148
“Ataukah mereka mempunyai tuhan selain Allah. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.” Surah At Thuur : Ayat 43
“Maka apakah mereka tidak memerhatikan bahawa patung anak lembu itu tidak dapat memberi jawapan kepada mereka, dan tidak dapat memberi kemudharatan kepada mereka dan tidak (pula) kemanfa’atan?” Surah Thaaha : Ayat 89
“Maka janganlah kamu berada dalam keragu-raguan tentang apa yang disembah oleh mereka. Mereka tidak menyembah melainkan sebagaimana nenek moyang mereka menyembah dahulu. Dan sesungguhnya Kami pasti akan menyempurnakan dengan secukup-cukupnya pembalasan (terhadap) mereka dengan tidak dikurangi sedikit pun. “Surah Huud : Ayat 109
.
.
Tiada satu apa pun yang sama denganNya
Tiada satu apa pun yang sama dengan zat dan sifat Allah dan Allah terpisah dari segala makhluk.
“……. Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” Surah As Syuura : Ayat 11
“dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia.” Surah Al Ikhlas : Ayat 4
Di dalam AlQuran ada ayat2 yang menyebut tentang tangan Allah, wajah Allah, dan sebagainya seakan2 anggota tubuh manusia. Tetapi ketahuilah, ayat2 yang menyebut tentang perkara sedemikian dipanggil ayat2 Mutasyabih (samar2). Apabila ia disebut mutasyabih terutamanya tentang Allah, maka hanya ALLAH yang mengetahui keadaannya. Kita dilarang dari menyama2kan zat dan sifat Allah dengan makhluk.
“Dia lah yang menurunkan Al-Kitab (Al-Qur’an) kepada kamu. Di antara (isi)nya ada ayat-ayat yang muhkamat itulah pokok-pokok isi Al-Qur’an dan yang lain (ayat-ayat) mutasyaabihaat. Ada pun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari ta’wilnya, padahal tidak ada yang mengetahui ta’wilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: “Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami”. Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal.” Surah Aali Imraan : Ayat 7
Maka contoh ayat yang menyebut “Tangan Allah di atas tangan mereka” , hanya Allah Yang Mengetahui bagaimana. Yang penting kita perlu tahu bahawa ianya TIDAK SAMA dengan makhluk. Dan dilarang keras kita berimaginasi tentangnya.
Ayat tersebut hanya KIASAN. Di dalam penggunaan Bahasa Melayu kita pun ada digunakan kiasan sebegitu. Sebagai contoh, saya berkata “negara ini sudah berada dalam genggaman tangan ku“. Maka adakah sebuah negara yang besar boleh berada dalam tangan saya? Itu mustahil sama sekali, sedangkan maksud sebenarnya ialah negara ini sudah berada di bawah kekuasaan saya.
.
.
Allah berada di atas langit dan keadaanNya adalah tidak bertempat
Ketahuilah bahawa tiada ada satu makhluk pun yang sama atau setara dengan Allah.Allah S.w.t bersemayam di atas arasy yang agung, tetapi keberadaanNya adalah tidak bertempat. Dia menciptakan ruang dan tempat tetapi Dia tidak berada dalam ruang dan tempat itu. Ruang dan tempat hanyalah makhluk, sedangkan Dia terpisah dari segala makhluk. Dia Maha Suci dari segala sesuatu yang lain. Subhanallah.
Kaedah Dia bersemayam tidak sama seperti kaedah seorang raja manusia bersemayam di atas singgahsana. Itu adalah keunikanNya yang akal manusia sendiri tidak mampu untuk memikirkanNya. Allahu akbar.
“Yang Maha Pemurah bersemayam di atas Arasy.” Surah Thaaha : Ayat 5
Dan beberapa lagi ayat AlQuran yang memberitahu bahawa Allah bersemayam di atas Arasy. Sementara dalil2 berkenaan keberadaan Allah tidak bertempat pula seperti berikut;
Di dalam Tafsir Mahmud Yunus menyebut bahawa Allah Yang Maha Pengasih bersemayam di atas Arasy (takhta kerajaanNya). Perkataan ini adalah perkataan KIASAN , ertinya Allah S.w.t memerintah alam yang luas ini.
Saidina Ali k.r.w.j. pernah berkata: “Sesungguhnya Allah s.w.t. itu tidak bertempat. Dia sekarang dalam keadaan seperti mana Dia sebelum ini (iaitu tetap qadim dan abadi tanpa bertempat)”. (Al-firaq bainal Firaq karangan Abu Mansur: 333)
Saidina Ali k.r.w.j. berkata lagi: “Sesungguhnya Allah s.w.t. menciptakan Arasy, sebagai tanda kekuasaanNya, bukan sebagai tempat untuk Dia duduki” (Al-firaq bainal firaq: 333)
Saidina Ali k.r.w.j. berkata lagi: “Sesiapa yang beranggapan bahawa, Tuhan kita mahdud (ada ruang lingkup tertentu atau ada had-had tertentu), bererti dia jahil tentang Tuhan Maha Pencipta lagi Tuhan yang disembah” (hilyatul Auliya’: 1/73)
Ja’far As-Sodiq r.a. (148 H) berkata: “Sesiapa yang mengatakan bahawa Allah s.w.t. berada pada mana-mana tempat, atau berada atas sesuatu, atau berasal daripada sesuatu, maka dia telahpun syirik…” (risalah Al-Qusyairiyah: 6)
Imam Abu Hanifah r.a. (150H) berkata: Allah s.w.t. itu wujud tanpa bertempat sebelum dia menciptakan makhluk. Maka, Allah s.w.t. wujud tanpa di mana, tanpa makhluk dan tanpa sesuatupun (bersamaNya). Dialah yang menciptakan segalanya. (Al-Fiqh Al-Absath: 25)
Imam As-Syafi’e r.a. (204 H) berkata: “Allah s.w.t. wujud tidak bertempat. Dia menciptakan tempat, sedangkan Dia tetap dengan sifat-sifat keabadianNya, sepertimana sebelum Dia menciptakan makhluk. Tidak layak Allah s.w.t. berubah sifatNya atau zatNya.” (ittihaf saadah Al-Muttaqin: 2/24).
Imam Ahmad bin Hanbal r.a. pula, menurut Sheikh Ibn Hajar Al-Haithami bahawasanya, beliau (Imam Ahmad) dalam kalangan mereka yang menyucikan Allah s.w.t. daripada sebarang tempat dan kejisiman. Kemudian, Ibn Hajar berkata: Adapun yang masyhur dalam kalangan orang-orang jahil yang menisbahkan kepada Imam yang agung ini, bahawa beliau bercakap tentang (Allah s.w.t.) bertempat dan sebagainya, maka ia merupakan sesuatu yang dusta, tipu daya dan rekaan ke atas beliau” (Al-Fatawa Al-Hadithiyyah: 144)
Imam Al-Bukhari r.a. (256 H) dalam Sahih Al-Bukhari itu sendiri menurut mereka yang mensyarahkannya, bahawasanya beliau menyucikan Allah s.w.t. daripada tempat dan sudut.
Imam At-Thohawi (321H) berkata juga: “Maha Tinggi dan Suci Allah s.w.t. daripada sebarang had, sempadan, anggota, dan alat. Dia tidak tertakluk dalam mana-mana sudut yang enam (tidak bertempat).” (As-Siqaat: 1/1)
Imam Ibn Hibban r.a. (354 H) berkata: “Segala puji bagi Allah s.w.t. yang tidak mempunyai sebarang batasan yang membatasinya lalu meliputinya, dan tiada bagiNya masa yang terbatas yang akan menyebabkan Dia fana, dan tiada tempat yang dapat meliputiNya, dan tiada termasuk dalam lingkaran masa. (As-Siqat: 1/1)
Allah mencipta ruang dan tempat, tetapi Dia tidak berada dalam ruang dan tempat itu. Ruang dan tempat adalah makhluk, sedangkan Dia adalah terpisah dari segala makhluk. Sedangkan ruang dan tempat pun Dia terpisah, apa lagi jika dikatakan Allah menjelma menjadi manusia. Itu adalah satu fahaman yang TIDAK BETUL sama sekali. Allah S.w.t Maha Hebat dari segala2nya.
Tetapi apabila ditanyakan di mana Allah? Cukup sahaja untuk menjawab bahawa Allah di atas langit, tidak lebih dari itu. Tetapi keberadaan Allah bukan seperti planet2 dan bintang yang berada di langit. Ingat bahawa tiada satu apa pun yang sama denganNya.
“Allah mentadbirkan segala urusan dari langit ke bumi; Kemudian urusan itu naik kepada-Nya…” Surah As-Sajdah : Ayat 5)
“Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Rabb dalam sehari yang kadarnya limapuluh ribu tahun” Surah Al Ma’arij : Ayat 4
“Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” Surah An Nisaa’ : Ayat 158
“Sesungguhnya Rabb kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas ‘Arsy …….” Surah Al A’raaf : Ayat 54
Saidina Umar bin Khatab pernah mengatakan : Ertinya : “Hanyasanya segala urusan itu (datang) dari sini”. Sambil Umar mengisyaratkan tangannya ke langit ” [Imam Dzahabi di kitabnya "Al-Uluw" hal : 103. mengatakan : Sanadnya seperti Matahari (yakni terang benderang keshahihannya)].
Imam Malik bin Anas telah berkata : Ertinya : “Allah berada di atas langit, sedangkan ilmunya di tiap-tiap tempat, tidak tersembunyi sesuatu pun dariNya”.
Imam Asy-Syafi’iy telah berkata : Ertinya : “Dan sesungguhnya Allah di atas ‘Arasy-Nya di atas langit-Nya”
Imam Tirmidzi telah berkata : Ertinya : “Telah berkata ahli ilmu : “Dan Ia (Allah) di atas ‘Arsy sebagaimana Ia telah sifatkan diri-Nya”.
Telah berkata Imam Ibnu Khuzaimah -Imamnya para imam- : Ertinya : “Barangsiapa yang tidak menetapkan sesungguhnya Allah Ta’ala di atas ‘Arsy-Nya Ia istiwaa di atas tujuh langit-Nya, maka ia telah kafir dengan Tuhannya…”. (Riwayat ini shahih dikeluarkan oleh Imam Hakim di kitabnya Ma’rifah “Ulumul Hadits” hal : 84).
Telah berkata Syeikhul Islam Imam Abdul Qadir Al Jailani : “Tidak boleh mensifatkanNya bahawa Ia berada di atas tiap-tiap tempat, bahkan (wajib) mengatakan : Sesungguhnya Ia di atas langit (yakni) di atas ‘Arasy sebagaimana Ia telah berfirman :” Ar-Rahman di atas ‘Arsy Ia istiwaa” Surah Thaha : Ayat 5. Dan patutlah memutlakkan sifat istiwaa tanpa ta’wil sesungguhnya Ia istiwaa dengan Dzat-Nya di atas ‘Arasy. Dan keadaan-Nya di atas ‘Arasy telah tersebut pada tiap-tiap kitab yang Ia turunkan kepada tiap-tiap Nabi yang Ia utus tanpa (bertanya) :”Bagaimana caranya Allah istiwaa di atas ‘Arasy-Nya ?” (Fatwa Hamawiyyah Kubra hal : 87).
Lagi Syeikh Abdul Qadir Al Jailani mengatakan dalam kitabnya Al Ghunyah, “Dia (Allah) di arah atas, berada di atas ‘ArasyNya, meliputi seluruh kerajaanNya. IlmuNya meliputi segala sesuatu. “Kemudian beliau menyebutkan ayat-ayat dan hadits-hadits, lalu berkata, “Sepatutnya menetapkan sifat istiwa’ (Allah berada di atas ‘ArasyNya) tanpa takwil (menyimpangkan kepada makna lain, seperti Allah di hati atau di mana-mana, ini adalah keyakinan bathil). Dan hal itu merupakan istiwa’ zat / diri Allah Subhanahu wa Ta’ala di atas ‘Arasy.
.
.
Bagaimana dengan pendapat yang mengatakan bahawa Allah berada di mana-mana?
Pendapat tersebut pada mulanya dikeluarkan oleh kaum Jahmiyyah (iaitu fahaman yang menghilangkan sifat-sifat Allah) dan Mu’tazilah. Jika difikirkan adalah bahaya pemikiran seperti itu, kerana berada di mana2 seumpama angin, debu, haiwan2 dan makhluk2 lain. Maka adalah tidak wajar martabat Tuhan direndahkan sehingga sedemikian rupa.
Rasulullah S.a.w pernah mengajukan soalan kepada seorang hamba perempuan milik Mu’awwiyah bin Al Hakam As Sulamy sebagai ujian keimanan sebelum dia dimerdekakan.
Beliau bertanya kepadanya, “Di manakah Allah (aina Allah)?” Jawab hamba itu: “Allah di langit (fis samaa’).” Baginda Rasulullah bertanya lagi: “Siapakah aku?” Jawab hamba itu lagi: “Engkau adalah Rasulullah.” Dan kemudian baginda Rasulullah bersabda, “Merdekakan lah dia, kerana dia seorang wanita yang beriman”. (Hadis Diriwayatkan oleh sekalian Jema’ah ahli Hadis, antaranya Imam Malik, Muslim, Abu Daud, ad-Darimi, an-Nasai’e, Ahmad …….).
Imam Abu Hanifah berkata : Ertinya : “Barangsiapa yang mengingkari sesungguhnya Allah berada di atas langit, maka sesungguhnya ia telah kafir”.
.
.
Tentang ada pertanyaan berkenaan dengan ayat 3 surah Al An’aam yang bermaksud;
“Dan Dialah Allah (Yang disembah), baik di langit mahu pun di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan dan mengetahui (pula) apa yang kamu usahakan.” Surah Al An’aam : Ayat 3
Tafsir Al Muntakhab menyebutnya sebagai “Hanya Dia sendirilah yang berhak disembah di langit dan di bumi”. Bermakna ayat tersebut bukannya menerangkan tentang keberadaan Allah di langit dan di bumi. Tetapi Dia disembah di langit dan di bumi oleh sekalian makhluk. Dan Imam Ibnu Katsir di dalam Tafsir Ibnu Katsir juga mengatakan agar mengikut ulamak Salaf seperti Shafie, Malik, At tsauri, Ahmad dan sebagainya iaitu seperti pendapat2 mereka di atas.
.
“Hai orang-orang yang telah diberi Al-Kitab, berimanlah kamu kepada apa yang telah Kami turunkan (Al-Qur’an) yang membenarkan Kitab yang ada pada kamu sebelum Kami mengubah muka(mu), lalu Kami putarkan ke belakang atau Kami kutuk mereka sebagaimana Kami telah mengutuk orang-orang (yang berbuat ma’siat) pada hari Sabtu. Dan ketetapan Allah pasti berlaku.
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.
Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang menganggap dirinya bersih? Sebenarnya Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya dan mereka tidak dianiaya sedikit pun.
Perhatikanlah, betapakah mereka mengada-adakan dusta terhadap Allah? Dan cukuplah perbuatan itu menjadi dosa yang nyata (bagi mereka).” Surah An Nisaa’ : Ayat 47 – 50
“Kepunyaan-Nyalah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.” Surah As Syuura : Ayat 4
.
Rujukan:
1 – Kitab Tauhid – Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab
2 – Tafsir Mahmud Yunus
3 – Soal jawab Aqidah – Syeikh Muhammad Jamil Zainu
4 – Di mana Allah? – Abdul Hakim bin Amir Abdat
5 – JAIS
6 – Tafsir Ibnu Katsir
7 – al-qayyim.net