.

.
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء و المرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين أهلا وسهلا بكم إذا كانت هذه زيارتك الأولى للمنتدى، فيرجى التفضل بزيارة صفحة التعليمات كما يشرفنا أن تقوم بالتسجيل ، إذا رغبت بالمشاركة في المنتدى، أما إذا رغبت بقراءة المواضيع والإطلاع فتفضل بزيارة القسم الذي ترغب أدناه. عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه - قال: سمعت رسول الله ﷺ يقول: "إن إبليس قال لربه: بعزتك وجلالك لا أبرح أغوي بني آدم مادامت الأرواح فيهم - فقال الله: فبعزتي وجلالي لا أبرح أغفر لهم ما استغفروني" اللّهم طهّر لساني من الكذب ، وقلبي من النفاق ، وعملي من الرياء ، وبصري من الخيانة ,, فإنّك تعلم خائنة الأعين ,, وما تخفي الصدور اللهم استَخدِمني ولاَ تستَبدِلني، وانفَع بيِ، واجعَل عَملي خَالصاً لِوجهك الكَريم ... يا الله اللهــم اجعل عملي على تمبـلر صالحاً,, واجعله لوجهك خالصاً,, ولا تجعل لأحد فيه شيئاً ,, وتقبل مني واجعله نورا لي في قبري,, وحسن خاتمة لي عند مماتي ,, ونجاةً من النار ومغفرةً من كل ذنب يارب يارب يارب

.

.

.

.

Wednesday, August 13, 2014

USUL FIQH : AL-NAHY

Al-Nahy dari istilah ialah:

Kata-kata yang mengandungi permintaan meninggalkan  perbuatan dari pihak yang lebih tinggi kedudukannya menggunakan satu bentuk fi'l iaitu al-mudhari' yang diiringi dengan "laa" untuk larangan.

Contohnya ialah firman Allah Ta‘ala (al-An‘am 6:150) - Maksudnya: Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan orang-orang yang tidak beriman dengan kehidupan akhirat.

Penjelasan lanjut tentang definisi di atas adalah seperti berikut:

Berdasarkan definisi kata-kata maka terkeluarlah isyarat walaupun isyarat itu membawa erti larangan.

Berdasarkan permintaan meninggalkan perbuatan maka terkeluarlah al-Amr (perintah) kerana ianya ialah permintaan melakukan sesuatu.

Berdasarkan dari pihak yang lebih tinggi kedudukannya maka terkeluarlah al-Iltimas (permintaan dari pihak yang setaraf), al-Du'a' (permintaan dari pihak yang lebih rendah) dan sebagainya yang dapat difahami dari petanda-petanda yang mengiringi sesuatu bentuk perintah.

Berdasarkan menggunakan satu bentuk fi'l iaitu al-Mudhari' yang diiringi dengan "laa" untuk larangan maka terkeluarlah apa sahaja yang mengandungi permintaan meninggalkan sesuatu perbuatan menggunakan bentuk fi‘il amr seperti da‘ (biarkan), utruk (tinggalkan), kuff (berhentilah) dan lain-lain. Semua contoh ini, walaupun mengandungi permintaan meninggalkan perbuatan, akan tetapi ianya dalam bentuk fi‘l amr maka ianya adalah al-Amr (perintah) dan bukannya al-Nahy (larangan).

Kadang-kadang permintaan meninggalkan perbuatan itu sabit juga dengan bentuk selain bentuk al-Nahy (larangan) seperti sekiranya ianya disifatkan sebagai haram, dilarang, dicela, dikeji pembuatnya, perbuatan ini akan dibalas seksaan atau sebagainya.



Tuntutan bentuk-bentuk al-Nahy (Larangan)

Bentuk-bentuk al-Nahy (larangan) menuntut:

Pengharaman perkara yang dilarang.
Di antara dalil yang menunjukkan perkara ini ialah firman Allah Ta‘ala (al-Hasyr 59:7) - Maksudnya: Dan apa yang diberikan Rasul kepadamua maka terimalah ia dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah ia.

Perintah supaya berhenti melakukan perkara yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. mengandungi maksud wajib berhenti. Apabila wajib berhenti, maksudnya haram meneruskan amalan itu.

Kefasadan perkara yang dilarang.
Di antara dalil yang menunjukkan perkara ini ialah sabda Rasulullah s.a.w. :

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan amalan yang tidak menepati amalan kami, amalannya adalah tertolak.

Perkara yang dilarang sudah tentulah tidak menepati amalan Rasulullah s.a.w.. Jadi ianya adalah tertolak.

Di dalam mazhab kita, terdapat penerangan tentang kesahihan atau kebatilan sesuatu yang diharamkan seperti berikut:

Sekiranya larangan itu bersangkutan dengan zat atau syarat perkara yang dilarang, ianya bererti kebatilan.

Contoh larangan yang bersangkutan dengan zat perkara yang dilarang dalam ibadah ialah larangan puasa pada Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji.

Contoh larangan yang bersangkutan dengan zat perkara yang dilarang dalam muamalat ialah larangan berjual beli selepas azan kedua solat Jumaat bagi mereka yang wajib solat Jumaat.

Contoh larangan yang bersangkutan dengan syarat perkara yang dilarang dalam ibadah ialah memakai sutera bagi lelaki. Sekiranya seorang lelaki menutup aurat (syarat sah solat) dengan kain yang dilarang, tidak sah solatnya kerana larangan bersangkutan dengan syarat sah solat.

Contoh larangan yang bersangkutan dengan syarat perkara yang dilarang dalam muamalat ialah: menjual kandungan binatang. Ilmu tentang barang jualan adalah syarat sah jual beli. Sekiranya seseorang itu menjual kandungan binatang, tidak sah jual belinya kerana larangan bersangkutan dengan syarat sah jual beli.

Sekiranya larangan itu bersangkutan dengan perkara luar yang tiada kaitan dengan zat atau syarat perkara yang dilarang, ianya adalah sah.

Contoh larangan yang bersangkutan dengan perkara luar dalam muamalat ialah larangan menipu. Sekiranya seseorang itu menipu dalam jual beli, jual belinya sah kerana larangan tidak bersangkutan dengan zat ataupun syarat perkara yang dilarang.

Kadang-kadang larangan tidak menunjukkan pengharaman dan bertukar kepada hukum-hukum lain seperti:

Al-Karahah (makruh).
Contohnya sabda Rasulullah s.a.w.:

لاَ يُمْسِكَنَّ أَحَدُكُمْ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ وَهُوَ يَبُولُ.

Maksudnya: Janganlah seseorang daripada kamu menyentuh kemaluannya dengan tangan kanannya semasa buang air kecil.

Jumhur (majoriti ulamak) telah menyatakan bahawa larangan di sini bererti makruh kerana kemaluan adalah sebahagian daripada anggota badan manusia. Hikmat larangan ialah menjaga kesucian tangan kanan.

Al-Irsyad (tunjuk ajar).
Contohnya sabda Rasulullah s.a.w. kepada Muaz:

لاَ تَدَعَنَّ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ تَقُولُ

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: Setiap penghujung solat, jangan lupa untuk menyebut, “Ya Allah, bantulah aku supaya menyebutMu /mengingatiMu, mensyukuriMu dan memperbaiki ibadatku kepadaMu.”



Individu-individu yang diperintah dan dilarang

Orang yang ditujukan perintah dan larangan agama kepadanya ialah orang mukallaf (yang bertanggungjawab) iaitu yang baligh dan berakal.

Dengan perkataan baligh terkeluarlah budak kecil di mana dia tidak dipertanggungjawabkan sesuatu perintah atau larangan sepertimana orang baligh. Akan tetapi budak kecil tetap diperintah melakukan ibadah selepas tamyiz (dapat membezakan) sebagai latihan melakukan ketaatan dan dilarang melakukan maksiat supaya dia mudah meninggalkannya.

Dengan perkataan berakal terkeluarlah orang gila di mana dia tidak dipertanggungjawabkan sesuatu perintah atau larangan. Akan tetapi dia tetap dilarang daripada melakukan sesuatu perkara yang merupakan mudharat dan kefasadan terhadap orang lain. Sekiranya orang gila melaksanakan perkara yang diperintah, ianya tetap tidak sah kerana tidak wujud niat melakukannya.

Hukum ini tidak terlaksana ke atas kewajipan zakat dan hak-hak harta budak kecil atau orang gila. Ini kerana kewajipan perkara-perkara ini bergantung kepada sebab-sebab tertentu untuk pensabitan hukumnya. Dalam hal ini, perkara yang diambil kira ialah sebab dan bukannya pembuatnya.

Al-Taklif (pertanggungjawaban) dalam perintah dan larangan merangkumi orang-orang Islam dan orang-orang kafir. Bezanya ialah perlaksanaan sesuatu perintah oleh orang kafir tidak sah berdasarkan firman Allah (al-Taubah 9:54) - Maksudnya: Dan tidak ada yang menghalangi mereka untuk diterima dari mereka nafkah-nafkah mereka melainkan kerana mereka kafir kepada Allah dan RasulNya.

Mereka tidak diwajibkan qadha' (buat semula) sekiranya mereka masuk Islam berdasarkan firman Allah (al-Anfal 8:38) - Maksudnya: Katakanlah kepada orang-orang yang kafir jika mereka berhenti (dari kekafiran mereka) nescaya Allah akan mengampuni untuk mereka dosa-dosa mereka yang sudah lalu.

Dan juga sebuah hadith di mana Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada Amr bin al-As r.a.:

أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ الإِسْلاَمَ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ.

Maksudnya: Tidakkah engkau tahu bahawa sesungguhnya Islam menghapuskan apa sahaja dosa terdahulu?

Akan tetapi sekiranya orang kafir mati dalam keadaan kufur, di sini mereka akan diberi balasan azab berdasarkan firman Allah (al-Muddaththir 74:42-47) - Maksudnya: Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (neraka)? Mereka menjawab 'Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat, dan kami tidak (pula) memberi makan orang miskin, dan adalah kami membicarakan yang batil bersama dengan orang-orang yang membicarakannya, dan adalah kami mendustakan Hari Pembalasan, hingga datang kepada kami kematian.



Perkara-perkara yang menolak al-Taklif (Pertanggungjawaban)

Terdapat beberapa perkara yang menolak al-Taklif (pertanggungjwaban), di antaranya ialah jahil (tidak tahu), lupa dan dipaksa. Dalilnya ialah sabda Rasulullah s.a.w. :

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan maksiat yang dilakukan umatku kerana tersilap, terlupa atau dipaksa.

Jahil ialah: tidak mempunyai ilmu. Apabila seseorang yang mukallaf (dipertanggungjawabkan) melakukan perkara haram dalam keadaan jahil tentang pengharamannya, dia tidak dikenakan apa-apa.

Contohnya ialah seorang yang bercakap semasa solat dalam keadaan tidak mengetahui pengharaman bercakap semasa solat. Apabila dia meninggalkan perkara wajib dalam keadaan jahil tentang kewajipannya, dia tidak perlu mengqadha'nya sekiranya waktunya telah berlalu berdasarkan hadith bahawa orang yang buruk solatnya yang tidak tama’ninah (tenang) dalam solatnya,  tidak diperintahkan oleh Nabi s.a.w. supaya mengqadha' solat-solat terdahulu. Baginda s.a.w. hanya memerintahkannya supaya mengqadha'  solat yang masih dalam waktu itu mengikut cara yang sepatutnya.

Lupa ialah kelalaian hati daripada sesuatu benda yang sudah diketahui. Apabila seseorang mukallaf melakukan perkara haram dalam keadaan lupa, dia tidak dikenakan apa-apa. Akan tetapi, dia hendaklah melaksanakannya apabila dia kembali ingat semula berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. :

مَنْ نَسِيَ صَلَاةً فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا.

Maksudnya: Sesiapa yang terlupa melaksanakan solat, hendaklah dia melaksanakannya apabila teringat.

Paksaan ialah memaksa seseorang melakukan sesuatu yang tidak diingininya. Orang mukallaf yang melakukan perkara haram kerana dipaksa, dia tidak dikenakan apa-apa. Contohnya jika dia dipaksa kufur dalam keadaan hatinya tenang dengan keimanan. Orang mukallaf yang dipaksa meninggalkan perkara wajib tidak dikenakan apa-apa. Akan tetapi, dia hendaklah mengqadha'nya selepas tiada paksaan.

Contohnya ialah sekiranya dia dipaksa meninggalkan solat sehingga keluar waktunya, hendaklah dia mengqadha'nya apabila tiada paksaan.

Perlu diketahui bahawa perkara-perkara yang menolak al-Taklif (pertanggungjawaban) ini adalah pada perkara yang berkaitan dengan hak Allah kerana ianya berlandaskan pengampunan dan belas kasihan. Berkenaan dengan hak manusia, perkara-perkara ini tidak menolak tanggungjawab membayar pampasan terhadap perkara yang perlu diganti sekiranya tuan punya hak tidak memaafkan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.

Rasulullah s.a.w bersabda :

” Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat” ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)