Al-Amr (perintah) dari sudut istilah ialah:
Kata-kata yang mengandungi permintaan melakukan perbuatan dari pihak yang lebih tinggi kedudukannya.
Contohnya ialah firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:43) - Maksudnya:
Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan ruku'lah beserta orang-orang yang ruku'.
Penjelasan lanjut tentang definisi di atas adalah seperti berikut:
Berdasarkan definisi kata-kata maka terkeluarlah isyarat di mana ianya tidak dinamakan perintah walaupun membawa erti perintah.
Berdasarkan permintaan melakukan perbuatan maka terkeluarlah al-Nahy (larangan) kerana ianya ialah permintaan meninggalkan sesuatu.
Maksud perbuatan ialah mewujudkan sesuatu. Jadi ianya merangkumi kata-kata yang diperintahkan.
Berdasarkan dari pihak yang lebih tinggi kedudukannya maka terkeluarlah al-Iltimas (permintaan dari pihak yang setaraf), al-Du'a' (permintaan dari pihak yang lebih rendah) dan sebagainya yang dapat difahami dari petanda-petanda yang mengiringi sesuatu bentuk perintah.
Bentuk-bentuk al-Amr (Perintah)
Terdapat empat bentuk al-Amr (perintah) iaitu:
Fi‘l al-amr (kata kerja perintah). Contohnya: firman Allah Ta‘ala (al-Ankabut 29:45) - Maksudnya: Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu al-Kitab (al-Quran).
Ism fi‘l al-amr (kata nama bagi kata kerja perintah). Contohnya:
حَيَّ عَلَى الصَّلاَةِ
Maksudnya: Marilah melakukan solat.
al-Masdar al-naib ‘an fi’l al-amr (kata nama terbitan yang menggantikan kata kerja perintah). Contohnya: firman Allah Ta‘ala (Muhammad 47:4) - Maksudnya: Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang) maka pancunglah batang leher mereka.
al-Mudhari‘ al-maqrun bi lam al-amr (kata kerja semasa yang didahului huruf lam perintah). Contohnya: firman Allah Ta‘ala (al-Fath 48:9) - Maksudnya: Supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan RasulNya.
Permintaan melakukan perbuatan juga boleh difahami dari bentuk-bentuk lain seperti dengan penggunaan lafaz-lafaz: Fardhu, Wajib, Mandub, Taat, pelakunya dipuji, peninggalnya dicela, perbuatan ini mendapat pahala dan peninggalan perkara ini mendapat dosa.
Tuntutan bentuk-bentuk al-Amr (perintah)
Bentuk-bentuk al-Amr (perintah) menuntut:
Kewajipan perkara yang diperintahkan. Di antara dalil yang menunjukkan perkara ini ialah firman Allah Ta‘ala (al-Nur 24:63) - Maksudnya: Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cobaan atau ditimpa azab yang pedih.
Ini kerana Allah Ta‘ala telah memberi amaran kepada mereka yang menyalahi perintah Rasulullah s.a.w. bahawa mereka akan ditimpa fitnah iaitu kesesatan, atau ditimpa azab yang pedih. Amaran sebegini tidak dikeluarkan kecuali terhadap peninggalan satu perkara wajib. Ini menunjukkan bahawa semua perintah Rasulullah s.a.w. adalah wajib dilakukan.
Penyegeraan perlaksanaannya. Antara dalil yang menunjukkan perkara ini ialah firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:148) - Maksudnya: Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan.
Ini kerana perkara-perkara yang diperintah oleh Syara' adalah semuanya baik. Perintah supaya berlumba-lumba melakukan kebaikan-kebaikan ini menunjukkan bahawa penyegeraannya adalah wajib.
Ini di samping penyegeraannya adalah bersifat lebih berhati-hati dan lebih selamat sementara melewat-lewatkan hanya akan menyebabkan kebinasaan dan terkumpulnya kewajipan-kewajipan yang akan membebankan pembuat.
Kadang-kadang perintah itu tidak menunjukkan kewajipan dan penyegeraan jika ada dalil yang menukarkannya kepada hukum-hukum berikut:
Al-Nadb (sunat). Contohnya firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:282) - Maksudnya: Dan persaksikanlah apabila kamu berjual-beli.
Perintah untuk mempersaksikan sesuatu jual beli hukumnya adalah sunat berdasarkan hadith bahawa Rasulullah s.a.w. telah membeli seekor kuda daripada seorang lelaki badawi tanpa persaksian.
al-Ibahah (harus/dibenarkan). Hukum ini sabit sekiranya perintah itu datang selepas larangan atau merupakan sanggahan terhadap satu perkara yang dianggap terlarang. Contoh bagi perintah yang datang selepas larangan ialah firman Allah Ta‘ala (al-Maidah 5:2) - Maksudnya: Dan apabila kamu telah menyelesaikan ibadah haji, maka bolehlah berburu.
Perintah untuk memburu, hukumnya adalah dibenarkan kerana ianya datang selepas larangan yang terdapat di dalam firman Allah Ta‘ala (al-Maidah 5:1) - Maksudnya: Dengan tidak menghalalkan berburu ketika kamu sedang mengerjakan haji.
Contoh bagi perintah yang merupakan sanggahan terhadap satu perkara yang dianggap terlarang ialah sabda Rasulullah s.a.w. :
افْعَلْ وَلاَ حَرَجَ.
Maksudnya: Buatlah tanpa keberatan.
Jawapan ini ditujukan kepada mereka yang bertanya tentang tertib amalan-amalan haji yang dilakukan pada Hari Raya Haji (10 Zul Hijjah).
al-Tahdid (ancaman). Contohnya ialah firman Allah Ta‘ala (Fussilat 41:40) - Maksudnya: Perbuatlah apa yang kamu kehendaki, sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
Dan firman Allah Ta‘ala (al-Kahf 18:29) - Maksudnya: Maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir. Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang yang zalim itu neraka.
Balasan yang dinyatakan selepas perintah tersebut jelas menunjukkan perintah itu adalah satu ancaman.
Kadang-kadang perintah itu tidak menunjukkan kepada penyegeraan perlaksanaannya. Contohnya ialah qadha' puasa Ramadhan di mana ianya diperintahkan tetapi terdapat dalil yang menunjukkan ianya boleh dilewatkan. Diriwayatkan daripada 'Aisyah bahawa beliau telah berkata:
كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَهُ
إِلاَّ فِي شَعْبَانَ وَذَلِكَ لِمَكَانِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
Maksudnya: Satu masa dahulu, aku wajib mengqadha' puasa Ramadhan. Akan tetapi aku tidak dapat melaksanakannya kecuali pada bulan Sya’ban kerana tanggungjawabku terhadap Rasulullah s.a.w..
Sekiranya melewatkan perlaksanaan sesuatu perintah adalah haram, sudah pasti 'Aisyah tidak akan dibiarkan melakukan perbuatan ini.
Perkara yang menyempurnakan sesuatu perkara wajib
Sekiranya perlaksanaan sesuatu perkara yang diperintah (wajib atau sunat) tidak dapat disempurnakan kecuali dengan melakukan satu perkara lain, secara otomatik perkara itu diberi hukum yang serupa samada wajib ataupun sunat.
Contoh bagi yang wajib ialah menutup aurat. Sekiranya aurat tidak dapat ditutup kecuali dengan membeli kain, hukum membeli kain menjadi wajib.
Contoh bagi yang sunat ialah mengenakan wangian pada hari Jumaat. Sekiranya wangian itu tidak dapat diguna kecuali selepas dibeli, hukum membeli wangian menjadi sunat.
Kaedah/dasar ini sebenarnya terangkum di bawah satu lagi kaedah yang lebih luas iaitu: al-wasail laha ahkam al-maqasid (cara mempunyai hukum yang sama dengan matlamat). Perkara yang menghubung kepada sesuatu perintah adalah juga diperintahkan. Sebaliknya perkara yang menghubung kepada sesuatu larangan adalah juga dilarang.