Al-Mujmal (Yang Samar)
Dari sudut bahasa Arab al-Mujmal ialah perkara yang samar dan yang dikumpul. Dari sudut istilah al-Mujmal ialah:
Perkara yang kefahaman isinya tertakluk kepada perkara lain samada dengan penjelasan tentangnya atau penerangan sifatnya atau atau penerangan keadaannya.
Contoh bagi apa yang memerlukan perkara yang menjelaskannya ialah firman Allah (al-Baqarah 2:228) -
Maksudnya: Wanita-wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru.
Lafaz ( القرء ) digunakan untuk haid dan suci dari haid. Ini memerlukan penjelasan dari dalil lain.
Contoh bagi apa yang memerlukan perkara yang menerangkan sifatnya ialah firman Allah (al-Baqarah 2:43) - Maksudnya: Dan dirikanlah shalat.
Sesungguhnya cara shalat tidak diketahui dan memerlukan keterangan.
Contoh bagi apa yang memerlukan perkara lain yang menerangkan keadaannya ialah firman Allah (al-Baqarah 2:43) - Maksudnya: Dan tunaikanlah zakat.
Sesungguhnya keadaan zakat yang wajib tidak diketahui dan memerlukan keterangan.
Al-Mubayyan (Yang dijelaskan)
Sudut Bahasa Arab al-Mubayyan ialah perkara yang nyata dan jelas. Dari sudut istilah al-Mubayyan ialah:
Apa yang dapat difahami isinya samada melalui asal bentuknya atau selepas penjelasan.
Contoh apa yang dapat difahami isinya selepas penjelasan ialah firman Allah Ta’ala (al-Baqarah 2:43) - Maksudnya: Dan dirikanlah shalat, dan tunaikanlah zakat.
Sesungguhnya mendirikan shalat dan membayar zakat adalah samar tetapi telah diterangkan oleh Syara'. Jadi ianya menjadi jelas selepas penjelasan itu.
Beramal dengan al-Mujmal (Yang Samar)
Setiap mukallaf (orang yang bertanggungjawab) wajib berazam untuk beramal menurut tuntutan al-Mujmal (yang samar) setelah diketahui penjelasannya. Nabi s.a.w. telah menjelaskan untuk umatnya keseluruhan syariatnya baik yang dasar mahupun yang cabang. Baginda s.a.w. telah meninggalkan umatnya di atas satu syariat yang putih suci, malamnya cerah seperti siangnya. Baginda s.a.w. juga telah menjelaskan semua perkara yang memerlukan penjelasan.
Penjelasan Baginda s.a.w. terbahagi kepada tiga iaitu dengan kata-kata, dengan perbuatan dan dengan kata-kata bersama perbuatan.
Contoh penjelasan dengan kata-kata ialah apa yang telah Baginda s.a.w. beritahu tentang kadar-kadar zakat seperti dalam hadith:
فِيمَا سَقَتْ السَّمَاءُ الْعُشْرُ.
Maksudnya: Tanaman yang disirami hujan, zakatnya satu per sepuluh.
Hadith ini merupakan penjelasan kepada kesamaran yang terdapat dalam firman Allah (al-Baqarah 2:43) - Maksudnya: Dan tunaikanlah zakat.
Contoh penjelasan dengan perbuatan ialah perlaksanaan Baginda s.a.w. terhadap perbuatan-perbuatan haji di hadapan umatnya sebagai satu penjelasan kepada kesamaran yang terdapat dalam firman Allah (Ali Imran 3:97) - Maksudnya: Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah.
Begitu juga dengan shalat Kusuf (gerhana) yang pada hakikatnya merupakan penjelasan kepada sabda Rasulullah s.a.w. :
فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَصَلُّوا.
Maksudnya: Maka apabila kamu melihat sesuatu daripadanya, hendaklah kamu bersembahyang.
Contoh penjelasan dengan kata-kata bersama perbuatan ialah penjelasan tentang cara shalat, ada penjelasan dengan kata-kata seperti hadith orang yang buruk kelakuan shalatnya di mana Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغْ الْوُضُوءَ ثُمَّ اسْتَقْبِلْ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ
ثُمَّ اقْرَأْ بِمَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا
ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا
ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا
ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا
Maksudnya: Apabila kamu bangun untuk menunaikan solat, sempurnakanlah wudhuk, kemudian hadaplah ke kiblah lalu bertakbirlah. Kemudian bacalah apa yang mudah daripada al-Quran. Kemudian ruku'lah sehingga kamu tenang ruku'. Kemudian angkatlah sehingga kamu tegak berdiri. Kemudian sujudlah sehingga kamu tenang sujud. Kemudian angkatlah sehingga kamu tenang duduk. Kemudian sujudlah sehingga kamu tenang sujud. Kemudian angkatlah sehingga kamu tenang duduk.
Ada juga penjelasan cara shalat dengan perbuatan seperti dalam hadith Sahl bin Sa‘d al-Sa‘idi bahawa Rasulullah s.a.w. telah berdiri di atas minbar lalu bertakbir dan orang ramai bertakbir mengikut Baginda dalam keadaan Baginda s.a.w. berdiri di atas minbar … (hingga ke akhir al-hadith). Terdapat di dalam hadith ini: Kemudian Baginda s.a.w. berpaling menghadap orang ramai seraya berkata:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي صَنَعْتُ هَذَا لِتَأْتَمُّوا بِي وَلِتَعَلَّمُوا صَلاَتِي.
Maksudnya: Sesungguhnya aku lakukan begini supaya kamu semua mengikutku dan mengetahui solatku.