Dari bahasa al-Khas (khusus) ialah lawan kepada umum. Dari sudut istilah al-Khas (khusus) ialah:
Lafaz yang menunjukkan kepada sesuatu yang spesifik (tertentu) samada peribadi atau bilangan, seperti Kata Nama Khas, Kata Nama Isyarat dan Kata Nama Bilangan.
Berdasarkan definisi yang spesifik (tertentu) maka terkeluarlah al-'Am (umum).
Definisi al-Takhshish (Pengkhususan)
Dari sudut bahasa al-Takhshish (pengkhususan) ialah lawan kepada al-ta’mim (menjadikan umum). Dari sudut istilah al-Takhshish (pengkhususan) ialah: Pengeluaran sesetengah individu al-'Am.
al-Mukhassis (pengkhusus) ialah pembuat al-Takhshish (pengkhususan) iaitu Syara'. Lafaz ini juga digunakan untuk dalil yang mengkhususkan.
Dalil yang mengkhususkan terbahagi kepada dua jenis:
- Al-Mukhashshish al-Muttashil (yang bersambung) iaitu apa yang tidak berdiri dengan sendiri.
- Al-Mukhashshish al-Munfashil (yang berasingan) iaitu apa yang berdiri dengan sendiri.
Jenis-jenis al-Mukhashshish al-Muttashil (Pengkhusus yang bersambung)
Di antara al-Mukhashshish al-Muttashil (pengkhusus yang bersambung) ialah:
Al-Istitsna’ (pengecualian): Dari sudut Bahasa Arab Al-Istitsna’ (pengecualian) ialah mengembalikan sebahagian objek kepada sebahagiannya yang lain seperti simpulan tali.
Dari sudut istilah Al-Istitsna’ (pengecualian) ialah: Mengeluarkan sebahagian individu al-'Am dengan lafaz إلا (kecuali) atau salah satu daripada kelompoknya.
Contohnya ialah firman Allah Ta’ala (al-’Ashr 103:2-3) - Maksudnya: Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menepati kesabaran.
Berdasarkan definisi lafaz إلا (kecuali) atau salah satu daripada kelompoknya maka terkeluarlah pengkhususan dengan al-Syart (kenyataan berkait) atau lain-lain.
Syarat-syarat al-Istitsna' (Pengecualian)
Lafaz al-Istitsna' (pengecualian) mestilah bersambung dengan al-Mustatsna minhu (perkara yang dikecualikan daripadanya) samada secara menyeluruh mahupun secara hukum sahaja.
Lafaz al-Istitsna' pengecualian yang bersambung secara menyeluruh ialah yang bersambung dengan benda yang dikecualikan di mana tidak terdapat pemisah antara kedua-duanya.
Lafaz al-Istitsna' pengecualian yang bersambung secara hukum ialah yang dipisahkan daripada al-Mustatsna minhu (perkara yang dikecualikan daripadanya) dengan pemisah yang tidak boleh ditolak seperti selsema dan bersin.
Sekiranya wujud pemisah atau berhenti sejenak (diam) antara kedua-duanya, al-Istitsna' (pengecualian) tidak sah. Contohnya kata-kata seorang Tuan, “Hamba-hambaku bebas.” Kemudian dia diam atau berkata-kata tentang tajuk lain kemudian barulah dia berkata, “Kecuali Sa‘id.” al-Istitsna' (pengecualian) ini tidak sah dan kesemua hambanya dihukum merdeka.
Ada pendapat yang menganggap sah al-Istitsna' (pengecualian) itu sekiranya ada pemisah atau berhenti sejenak (diam) jika percakapan itu dalam tajuk yang sama. Ini berdasarkan hadith Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda pada hari pembukaan Mekah:
إِنَّ هَذَا الْبَلَدَ حَرَّمَهُ اللَّهُ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ ... لاَ يُعْضَدُ شَوْكُهُ ... وَلاَ يُخْتَلَى خَلاَهَا.
فَقَالَ الْعَبَّاسُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِلاَّ الإِذْخِرَ فَإِنَّهُ لِقَيْنِهِمْ وَلِبُيُوتِهِمْ. فَقَالَ إِلاَّ الإِذْخِرَ.
Maksudnya: “Sesungguhnya negeri ini telah diharamkan oleh Allah pada hari Dia mencipta langit-langit dan bumi. Tidak boleh dipatahkan durinya dan tidak boleh dicabut tumbuhannya.” Al-Abbas berkata, “Wahai Rasulullah, kecuali idzkhir untuk kubur dan rumah-rumah mereka.” Lalu Baginda bersabda, “Kecuali idzkhir.”
Pendapat (kedua) ini lebih kuat kerana hadith ini menunjukkan kepadanya.
Al-Mustatsna (benda yang dikecualikan) tidak boleh melebihi setengah al-Mustatsna minhu (benda yang dikecualikan daripadanya). Sekiranya seseorang berkata, “Dia berhak menerima dariku sepuluh dirham (ini al-Mustatsna minhu) kecuali enam dirham (ini al-Mustatsna),” pengecualian ini tidak sah dan dia mesti memberinya sepuluh dirham.
Ada pendapat yang tidak mensyaratkan perkara ini dan mengesahkan pengecualian ini walaupun benda yang dikecualikan melebihi setengah. Merujuk kepada contoh ini, dia hanya perlu memberi empat dirham.
Sekiranya dikecualikan kesemuanya, ianya tidak sah di sisi kedua-dua pendapat. Jika seseorang itu berkata, “Dia berhak menerima sepuluh dirham kecuali sepuluh dirham,” dia mesti memberi sepuluh semuanya.
Syarat ini diaplikasikan kepada al-Istitsna' (pengecualian) yang berdasarkan bilangan. Sekiranya al-Istitsna' (pengecualian) berdasarkan sifat, ianya sah walaupun dikecualikan semua atau kebanyakannya. Contohnya firman Allah Ta'ala kepada Iblis (al-Hijr 15:42) - Maksudnya: Sesungguhnya hamba-hambaKu tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka, kecuali orang-orang yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat.
Adalah jelas bahawa pengikut Iblis dari kalangan anak Adam melebihi setengah.
Jika anda mengatakan, “Berilah orang dalam rumah ini kecuali orang yang kaya,” kemudian didapati semua orang dalam rumah ini adalah kaya, pengecualian ini adalah sah dan mereka tidak diberi apa-apa.
Al-Syart (kenyataan berkait):
Dari sudut bahasa al-Syart ialah tanda. Dari sudut istilah al-Syart ialah:
Perkaitan satu perkara dengan satu perkara lain samada wujud atau tiada dengan menggunakan lafaz إن الشرطية (sekiranya / jika) atau salah satu daripada kelompoknya.
Al-Syart (kenyataan berkait) mengkhususkan samada dinyatakan di awal mahupun di akhir ayat.
Contoh al-Syart (kenyataan berkait) di awal ayat ialah firman Allah Ta'ala tentang golongan Musyrikin (al-Taubah 9:5) - Maksudnya: Jika mereka bertaubat dan mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka berilah kebebasan kepada mereka untuk berjalan.
Contoh al-Syart (kenyataan berkait) di akhir ayat ialah firman Allah Ta'ala (al-Nur 24:33) - Maksudnya: Dan hamba-hamba yang kamu miliki yang menginginkan perjanjian, hendaklah kamu buat perjanjian dengan mereka, jika kamu mengetahui ada kebaikan pada mereka.
Al-Sifah (sifat) iaitu:
Apa yang menunjukkan satu erti yang terdapat hanya pada sesetengah individu al-'Am samada na‘t (huraian), badal (gantian) atau hal (keadaan).
Contoh na‘t (huraian) ialah firman Allah Ta'ala (al-Nisa 4:25) - Maksudnya: Ia boleh mengahwini wanita yang beriman dari hamba-hamba yang kamu miliki.
Contoh badal (gantian) ialah firman Allah Ta'ala (Ali Imran 3:97) - Maksudnya: Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah iaitu (bagi) orang yang mampu mengadakan perjalanan ke Baitullah.
Contoh hal (keadaan) ialah firman Allah Ta'ala (al-Nisa 4:93) - Maksudnya: Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutuknya serta menyediakan azab yang besar baginya.
Al-Mukhashshish al-Munfashil (Pengkhusus yang berasingan)
Al-Mukhashshish al-Munfashil (pengkhusus yang berasingan) ialah yang berdiri dengan sendirinya dan ianya terbahagi kepada tiga:
Pengkhususan dengan pancaindera.
Contohnya ialah firman Allah Ta'ala tentang angin kaum ‘Ad (al-Ahqaf 46:25) - Maksudnya: Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhannya.
Pancaindera menunjukkan bahawa angin itu tidak menghancurkan langit dan bumi.
Pengkhususan dengan akal.
Contohnya ialah firman Allah Ta'ala (al-Zumar 39:62) - Maksudnya: Allah mencipta segala sesuatu.
Akal menunjukkan bahawa dzat Allah Ta'ala bukan makhluk.
Ada di kalangan ulamak yang berpendapat bahawa apa yang dikhususkan dengan pancaindera dan akal tidak termasuk dalam al-'Am al-Makhshush (umum yang dikhususkan). Akan tetapi ianya termasuk dalam al-'Am alladzi urida bihi al-khushush (umum yang dimaksudkan khususnya). Ini kerana perkara yang dikhususkan bukan merupakan maksud orang yang berkata mahupun orang yang mendengar pada permulaan kata-kata itu. Inilah hakikat al-'Am alladzi urida bihi al-khushush (umum yang dimaksudkan khususnya).
Pengkhususan dengan Syara'.
Al-Quran dan al-Sunnah dikhususkan oleh al-Quran, al-Sunnah, al-Ijmak dan al-Qiyas.
Contoh pengkhususan al-Quran dengan al-Quran ialah firman Allah Ta'ala (al-Baqarah 2:228) - Maksudnya: Wanita-wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) tiga quru'.
Ayat ini dikhususkan oleh firman Allah Ta'ala (al-Ahzab 33:49) - Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu mencampuri mereka maka sekali-kali tidak wajib atas mereka 'iddah bagimu yang kamu minta menyempurnakannya.
Contoh pengkhususan al-Quran dengan al-Sunnah ialah firman Allah Ta'ala tentang harta pusaka (al-Nisa 4:11) - Maksudnya: Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu iaitu bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan.
Ayat tentang harta pusaka seperti ini dikhususkan oleh sabda Rasulullah s.a.w.:
لاَ يَرِثُ الْمُسْلِمُ الْكَافِرَ وَلاَ الْكَافِرُ الْمُسْلِمَ.
Maksudnya: Tidak boleh orang muslim mewarisi orang kafir dan tidak boleh orang kafir mewarisi orang muslim.
Contoh pengkhususan al-Quran dengan al-Ijmak ialah firman Allah Ta'ala (al-Nur 24:4) - Maksudnya: Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali sebatan.
Ayat ini dikhususkan dengan al-Ijmak bahawa hamba yang menuduh zina dihukum sebatan empat puluh kali sahaja. Begitulah contoh yang dibawa oleh kebanyakan ulamak al-Ushul. Bagi saya contoh ini tidak kuat kerana ada perselisihan pendapat dalam masalah ini. Saya sendiri masih belum jumpa contoh yang sesuai.
Contoh pengkhususan al-Quran dengan al-Qiyas ialah firman Allah (al-Nur 24:2) - Maksudnya: Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan.
Ayat ini dikhususkan dengan hamba lelaki yang berzina diqiyaskan kepada hamba perempuan yang berzina di mana hukumnya dijadikan setengah menjadi lima puluh sebatan.
Contoh pengkhususan al-Sunnah dengan al-Kitab ialah sabda Rasulullah s.a.w.:
أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ
فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ.
Maksudnya: Aku telah diperintahkan agar memerangi manusia sehinggalah mereka naik saksi sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan solat dan membayar zakat. Sekiranya mereka melakukan perkara-perkara itu, mereka telah memelihara daripadaku darah dan harta mereka kecuali dengan hak Islam. Dan perhitungan mereka terserah kepada Allah.
Hadith ini dikhususkan oleh firman Allah Ta'ala (al-Taubah 9:29) - Maksudnya: Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak pula kepada hari kemudian dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan RasulNya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (iaitu orang-orang) yang diberikan al-Kitab kepada mereka, sehinggalah mereka membayar Jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk.
Contoh pengkhususan al-Sunnah dengan al-Sunnah ialah sabda Rasulullah s.a.w.:
فِيمَا سَقَتْ السَّمَاءُ الْعُشْرُ.
Maksudnya: Zakat bagi tanaman yang disirami air hujan ialah satu persepuluh.
Hadith ini dihususkan oleh sabda Rasulullah s.a.w.:
لَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسَةِ أَوْسُقٍ صَدَقَةٌ.
Maksudnya: Tanaman yang kurang daripada lima wasaq tidak perlu dizakatkan.
Contoh pengkhususan al-Sunnah dengan al-Ijmak masih tidak saya ketemui.
Contoh pengkhususan al-Sunnah dengan al-Qiyas ialah sabda Rasulullah:
الْبِكْرُ بِالْبِكْرِ جَلْدُ مِائَةٍ وَنَفْيُ سَنَةٍ.
Maksudnya: Teruna yang berzina dengan anak dara hukumnya disebat seratus kali dan dibuang negeri selama setahun.
Hadith ini dikhususkan dengan hamba lelaki yang berzina diqiyaskan kepada hamba perempuan yang berzina di mana hukumnya dijadikan setengah menjadi lima puluh sebatan.