Dari sudut Bahasa Arab, al-Ijtihad ialah mengerahkan usaha untuk sampai kepada satu perkara yang susah. Dari sudut istilah, al-Ijtihad ialah:
Mengerahkan usaha untuk sampai kepada satu hukum Syara'.
Al-Mujtahid ialah orang yang mengerahkan usahanya untuk perkara tersebut.
Syarat-syarat al-Ijtihad
Di antara syarat-syarat al-Ijtihad ialah:
Mengetahui dalil-dalil Syara' yang diperlukan dalam ijtihadnya, seperti ayat-ayat hukum dan hadith-hadith hukum.
Mengetahui apa yang berkaitan dengan kesahihan dan kedhaifan hadith, seperti pengetahuan tentang isnad (rantaian periwayat-periwayat hadith), peribadi periwayat dan lain-lain.
Mengetahui perihal al-Nasikh (yang memansuhkan) dan al-Mansukh (yang dimansuhkan) serta tempat-tempat al-Ijma' supaya tidak menghukum dengan yang al-Mansukh (yang dimansuhkan) atau dengan menyalahi al-Ijma' (persepakatan ulama').
Mengetahui dalil-dalil yang boleh mengubah hukum seperti pengkhususan (takhshish), perkaitan (taqyid) dan lain-lain supaya tidak menghukum dengan menyalahi perkara tersebut.
Mengetahui ilmu Bahasa Arab dan Ushul al-Fiqh yang berkaitan dengan petunjuk lafaz-lafaz seperti umum, khusus, yang dibiarkan (mutlaq), yang dikaitkan (muqayyad), yang samar (mujmal), yang dijelaskan (mubayyan) dan sebagainya supaya dapat menghukum bersesuaian dengan petunjuk-petunjuk tersebut.
Mempunyai kemampuan untuk mengistinbat atau mengeluarkan hukum-hukum dari dalil-dalilnya.
Al-Ijtihad boleh berpecah dan bercabang menjadi ijtihad dalam satu bab keilmuan atau satu permasalahan ilmu sahaja.
Perkara-perkara yang dituntut daripada seorang al-Mujtahid
Seseorang al-mujtahid itu dituntut supaya mengerahkan tenaganya dalam usaha untuk mengenal pasti sesuatu kebenaran kemudian menghukum dengan apa yang didapatinya sebagai kebenaran. Sekiranya dia menepati kebenaran, dia memperoleh dua pahala; satu di atas ijtihadnya dan satu di atas menepati kebenaran. Menepati kebenaran bererti satu kejayaan dalam menonjolkan kebenaran dan beramal dengannya.
Sekiranya dia menyalahi kebenaran, dia memperoleh satu pahala dan kesalahannya diampunkan. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w.:
إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ.
Maksudnya: Apabila seorang hakim itu menghukum lalu dia berijtihad kemudian menepati kebenaran, baginya dua pahala. Dan apabila dia menghukum lalu dia berijtihad kemudian menyalahi kebenaran, baginya satu pahala.