.

.
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء و المرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين أهلا وسهلا بكم إذا كانت هذه زيارتك الأولى للمنتدى، فيرجى التفضل بزيارة صفحة التعليمات كما يشرفنا أن تقوم بالتسجيل ، إذا رغبت بالمشاركة في المنتدى، أما إذا رغبت بقراءة المواضيع والإطلاع فتفضل بزيارة القسم الذي ترغب أدناه. عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه - قال: سمعت رسول الله ﷺ يقول: "إن إبليس قال لربه: بعزتك وجلالك لا أبرح أغوي بني آدم مادامت الأرواح فيهم - فقال الله: فبعزتي وجلالي لا أبرح أغفر لهم ما استغفروني" اللّهم طهّر لساني من الكذب ، وقلبي من النفاق ، وعملي من الرياء ، وبصري من الخيانة ,, فإنّك تعلم خائنة الأعين ,, وما تخفي الصدور اللهم استَخدِمني ولاَ تستَبدِلني، وانفَع بيِ، واجعَل عَملي خَالصاً لِوجهك الكَريم ... يا الله اللهــم اجعل عملي على تمبـلر صالحاً,, واجعله لوجهك خالصاً,, ولا تجعل لأحد فيه شيئاً ,, وتقبل مني واجعله نورا لي في قبري,, وحسن خاتمة لي عند مماتي ,, ونجاةً من النار ومغفرةً من كل ذنب يارب يارب يارب

.

.

.

.

Wednesday, August 13, 2014

USUL FIQH : AL-AKHBAR

Dari sudut Bahasa Arab, al-Khabar ialah berita. Dari sudut istilah al-Khabar ialah:
Apa yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. yang terdiri daripada kata-kata,
perbuatan, perakuan, dan sifat.

Perbincangan tentang kebanyakan hukum-hukum berkenaan dengan kata-kata telahpun selesai.

Perbuatan Rasulullah s.a.w. pula terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu: 
  1. Apa yang dilakukan oleh Baginda s.a.w. menurut tuntutan fitrah seperti makan, minum dan tidur. Perbuatan ini tidak mempunyai hukum dalam dirinya sendiri tetapi boleh jadi disuruh atau ditegah kerana sebab tertentu. Ianya juga boleh membawa sesuatu sifat yang dituntut seperti makan dengan tangan kanan ataupun sifat yang dilarang seperti makan dengan tangan kiri.

  1. Apa yang dilakukan oleh Baginda s.a.w. menurut adat seperti cara berpakaian. Perbuatan ini adalah mubah dalam dirinya sendiri tetapi boleh jadi disuruh atau ditegah kerana sebab tertentu.

  1. Apa yang dilakukan oleh Baginda s.a.w. dalam bentuk khusus baginya sahaja seperti menyambung puasa dan berkahwin dengan 'pemberian' wanita. Perbuatan ini adalah khas untuk Baginda s.a.w. sahaja. Akan tetapi tidak boleh dihukum khas kecuali dengan dalil kerana hukum asalnya ialah mengikuti jejak Baginda s.a.w.

  1. Apa yang dilakukan oleh Baginda s.a.w. dalam bentuk ibadat. Perbuatan ini wajib ke atas Baginda s.a.w. sehinggalah tersampai kepada orang lain kerana menyampaikan pengetahuan agama adalah wajib baginya. Apabila pengetahuan itu telah sampai kepada orang lain, ianya bertukar menjadi mustahab (sunat) ke atas Baginda s.a.w. dan juga kepada kita menurut pendapat yang terkuat. Ini kerana perbuatannya yang berunsur ibadat menunjukkan perbuatan itu disyariatkan di mana asal dalam pensyariatan ialah tiada seksaan apabila ditinggalkan. Justeru ianya adalah disyariatkan tanpa dikenakan seksaan apabila ditinggalkan dan inilah hakikat mandub atau mustahab (sunat).

Contohnya: hadith 'Aisyah r.a. bahawa beliau telah ditanya,

بِأَيِّ شَيْءٍ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَبْدَأُ إِذَا دَخَلَ بَيْتَهُ؟

قَالَتْ: بِالسِّوَاكِ.

Maksudnya: “Apakah yang mula dilakukan oleh Baginda apabila memasuki rumahnya?” Jawab beliau, “Dengan bersiwak.”

Bersiwak semasa memasuki rumah sabit dengan perbuatan Nabi s.a.w. sahaja. Jadi, hukumnya ialah mandub (sunat).

Contoh lain ialah hadith:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُخَلِّلُ لِحْيَتَهُ.

Maksudnya: “Bahawa Nabi s.a.w. memasukkan jari-jarinya dalam janggutnya (semasa wudhuk).”

Memasukkan jari dalam janggut semasa wudhuk tidak termasuk dalam membasuh muka sehinggalah ianya menjadi keterangan bagi perkara mujmal (yang samar). Sebaliknya ianya hanyalah satu perbuatan berasingan yang menjadikannya mandub (sunat) sahaja.

  1. Apa yang dilakukan oleh Baginda s.a.w. sebagai penerangan terhadap mujmal (yang samar) daripada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Perbuatan ini wajib ke atas Baginda s.a.w. sehinggalah tersampai kepada orang lain kerana menyampaikan pengetahuan agama adalah wajib baginya. Apabila telah sampai kepada orang lain, hukumnya bertukar mengikut hukum yang dibawa oleh nas tersebut samada terhadap Baginda s.a.w. mahupun kita. Sekiranya hukumnya wajib maka wajiblah dan sekiranya hukumnya mandub (sunat) maka mandublah.

Contoh yang menjadi wajib ialah gerak-geri wajib dalam shalat yang dilakukan oleh Baginda untuk menerangkan yang mujmal (samar), iaitu firman Allah Ta’ala (al-Baqarah 2:43) - Maksudnya: Dan dirikanlah shalat.

Contoh yang menjadi mandub (sunat) ialah shalat sunat selepas tawaf yang dilakukan Baginda s.a.w. di belakang maqam Ibrahim untuk menerangkan firman Allah (al-Baqarah 2:125) - Maksudnya: Dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim tempat shalat.

Baginda s.a.w. telah membaca ayat ini dan menuju ke arah maqam Ibrahim untuk melaksanakan shalat. Hukum shalat sunat dua rakaat di belakang maqam ialah sunat.

Perakuan Baginda terhadap sesuatu perkara pula menjadi dalil bahawa perkara itu dibenarkan dalam bentuk yang diperakui samada kata-kata mahupun perbuatan.

Contoh perakuan Baginda terhadap kata-kata ialah Baginda s.a.w. memperakui hamba perempuan yang ditanya oleh Baginda:

أَيْنَ اللَّهُ؟ قَالَتْ: فِي السَّمَاءِ.

Maksudnya: “Di manakah Allah?” Beliau menjawab, “Di atas langit.”

Contoh perakuan Baginda s.a.w. terhadap perbuatan ialah Baginda s.a.w. memperakui ketua satu utusan peperangan yang menjadi imam dan sering mengakhiri bacaannya dalam solat dengan surah al-Ikhlas. Baginda bersabda:

سَلُوهُ لِأَيِّ شَيْءٍ يَصْنَعُ ذَلِكَ. فَسَأَلُوهُ فَقَالَ لأَنَّهَا صِفَةُ الرَّحْمَنِ

وَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَقْرَأَ بِهَا. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَخْبِرُوهُ أَنَّ اللَّهَ يُحِبُّهُ.

Maksudnya: “Tanya dia apakah sebab dia melakukan begitu.” Apabila beliau ditanya beliau menjawab, “Kerana ianya adalah sifat al-Rahman dan saya suka membacanya.” Bagindapun mengulas: “Beritahulah dia bahawa Allah menyukainya.”

Contoh lain bagi perbuatan ialah Baginda s.a.w. memperakui golongan penduduk Habsyah yang bermain di dalam masjid untuk mendekatkan mereka kepada Islam.

Berkenaan dengan perkara yang berlaku di zaman Baginda s.a.w. yang tidak diketahui oleh Baginda s.a.w., ianya tidak boleh disandarkan kepada Baginda s.a.w. Akan tetapi ianya adalah hujah kerana Allah memperakuinya. Oleh sebab itulah para sahabat telah membenarkan al-‘Azl  kerana Allah telah memperakui perbuatan yang dilakukan oleh mereka itu.

Jabir r.a. telah berkata:

كُنَّا نَعْزِلُ وَالْقُرْآنُ يَنْزِلُ.

Maksudnya: “Dahulu kami melakukan ‘azl dalam tempoh penurunan al-Quran.”

Dalam riwayat Muslim, Sufyan telah menambah:

لَوْ كَانَ شَيْئًا يُنْهَى عَنْهُ لَنَهَانَا عَنْهُ الْقُرْآنُ.

Maksudnya: “Sekiranya ‘azl adalah perkara terlarang, sudah pasti akan ditegah oleh al-Quran.”

Antara perkara yang menunjukkan bahawa perakuan Allah adalah hujah ialah Allah telah membongkar dan menyanggah perkara-perkara mungkar yang dilakukan secara sembunyi oleh golongan munafiq. Ini menjadi dalil bahawa apa yang Allah senyapkan adalah dibenarkan.

Jenis-jenis al-Khabar (hadith) dari sudut sandaran

Dari sudut orang yang disandarkan kepadanya, al-Khabar terbahagi kepada tiga bahagian: al-Marfu’ (diangkat), al-Mauquf (terhenti) dan al-Maqtu’ (terputus) seperti berikut:

1- Al-Khabar al-Marfu’ (diangkat) ialah:
Apa yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. samada secara zahir mahupun secara hukum.

Al-Marfu’ secara zahir ialah kata-kata Nabi, perbuatan dan perakuannya. Al-Marfu’ secara hukum ialah apa yang disandarkan kepada sunnahnya atau zamannya atau sebagainya yang tidak terus kepada diri Nabi s.a.w. Di antara yang termasuk dalam bahagian ini ialah kata-kata sahabat:

"أمرنا" أو "نهينا"
Maksudnya: Kami diperintahkan atau Kami dilarang.

Ini seperti kata-kata Ibnu Abbas r.a.:

أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلاَّ أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ

Maksudnya: Orang ramai telah diperintahkan supaya menjadikan tawaf perbuatan terakhir mereka di sisi Ka‘bah. Akan tetapi diberi kelonggaran kepada wanita yang datang bulan.

Juga seperti kata-kata Ummu 'Atiyyah r.a.:

نُهِينَا عَنْ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ وَلَمْ يُعْزَمْ عَلَيْنَا.

Maksudnya: Kami (wanita) telah dilarang daripada mengiringi jenazah tetapi tidak pula ditekankan larangan itu ke atas kami.


2- Al-Khabar al-Mauquf (terhenti) ialah:
Apa yang disandarkan kepada sahabat dan tidak membawa hukum al-Marfu’.

Al-Khabar al-Mauquf adalah hujah di sisi pendapat yang rajih kecuali sekiranya menyalahi nas atau pendapat sahabat lain. Sekiranya menyalahi nas, diutamakan nas itu dan sekiranya menyalahi pendapat sahabat lain diutamakan yang rajih (kuat) di antara kedua-duanya.

Sahabat ialah orang yang berjumpa dengan Nabi dalam keadaan beriman dan meninggal dunia dalam keadaan beriman.


3- Al-Khabar al-Maqtu’ (terputus) ialah:
Apa yang disandarkan kepada tabi’i atau orang dari generasi terkemudian.

Tabi’i ialah orang yang berjumpa dengan sahabat dalam keadaan beriman dan meninggal dalam keadaan beriman.



Jenis-jenis al-Khabar (hadith) dari sudut rantaiannya

Dari sudut rantaian, al-Khabar terbahagi kepada dua iaitu al-Mutawatir dan al-Ahad seperti berikut:

1- Al-Khabar al-Mutawatir ialah:

Apa yang diriwayatkan oleh jemaah yang banyak di mana secara adat adalah mustahil mereka bersepakat untuk menipu, dan mereka menggunakan perantaraan pancaindera dalam periwayatan.

Contohnya: sabda Rasulullah:

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ.

Maksudnya: Sesiapa yang berbohong ke atasku secara sengaja, hendaklah dia menyediakan tempat duduknya dalam neraka.

2- Al-Khabar al-Ahad ialah yang selain dari al-Mutawatir. Ianya terbahagi pula kepada tiga peringkat:
  1. Sahih (Kuat) iaitu:
Apa yang dibawa oleh periwayat yang adil dan sempurna kekuatan memorinya dengan sanad yang bersambung dan suci dari sebarang percanggahan dan kecacatan yang merosakkan.
  
  1. Hasan (Baik) iaitu:
Apa yang dibawa oleh periwayat yang adil dan ringan kekuatan memorinya dengan sanad yang bersambung dan suci dari sebarang percanggahan dan kecacatan yang merosakkan.

Hasan boleh naik taraf ke peringkat sahih sekiranya rantaiannya banyak. Di sini ianya dinamakan sahih lighairih (kuat kerana ada yang seumpama dengannya).

  1. Dhaif (lemah) iaitu:
Apa yang tidak menepati syarat sahih mahupun hasan.

Dhaif boleh naik taraf ke peringkat hasan sekiranya rantaiannya banyak dan dapat menguatkan satu sama lain. Di sini ianya dinamakan hasan lighairih (baik kerana ada yang seumpama dengannya).

Kesemua bahagian yang disebutkan ini hujah kecuali Dhaif yang bukan hujah. Akan tetapi boleh diriwayatkan al-Khabar al-Dhaif sebagai syawahid (hadith berlainan rangkaian tetapi sahabatnya serupa) dan sebagainya.


Bentuk penyampaian (al-Ada')

Hadith mempunyai bentuk pengambilan (al-Tahammul) dan bentuk penyampaian (al-Ada’).

Al-Tahammul ialah pengambilan hadith dari orang lain.

Al-Ada’ ialah penyampaian hadith kepada orang lain.

Antara bentuk penyampaian ialah:
  1. Haddathani (Dia telah bercakap kepadaku) iaitu bagi murid yang mendengar dari bacaan gurunya.

  1. Akhbarani (Dia telah memberitakan kepadaku) iaitu bagi murid yang mendengar dari bacaan gurunya atau murid yang memperdengarkan bacaan kepada gurunya.

  1. Akhbarani ijazah (Dia telah memberitakan kepadaku dalam bentuk mengizinkan) atau Ajaza li (Dia telah mengizinkan kepadaku) iaitu bagi murid yang meriwayat melalui apa yang diizinkan oleh gurunya tanpa dibaca oleh mereka.

Al-Ijazah di sini ialah izin dari guru kepada muridnya untuk meriwayatkan daripadanya apa yang telah guru itu riwayatkan walaupun tanpa melalui proses bacaan bersama.

  1. Al-‘an’anah iaitu periwayatan hadith dengan lafaz ‘an (daripada). Hukumnya ialah sanad itu bersambung kecuali sekiranya perawi dikenali dengan amalan al-Tadlis (menyembunyikan perawi lain dalam rantaian). Di sini hadithnya hanya akan dikira bersambung sekiranya dia menggunakan bentuk penyampaian yang jelas menunjukkan percakapan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.

Rasulullah s.a.w bersabda :

” Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat” ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)