Pemimpin Yang Diingkari Rakyat;- Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Kelak akan ada pemimpin yang kamu mengenalnya, tetapi kamu mengingkari (perbuatan)nya. Barangsiapa yang menentang mereka (tidak
mengikuti dan tidak mendukung perbuatannya), mereka akan selamat. Barangsiapa yang menjauhi mereka, ia akan aman sentosa, barangsiapa yang bergaul (mendukung) dengannya, maka ia akan binasa;- (Riwayat Ibnu Abi Syaibah dan Thabrani).
Penguasa Tempatan Yang Diingkari Rakyat;- Dari Ummi Salmah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w, bersabda: Nanti akan ada penguasa; kamu sekalian mengenalnya tetapi kamu mengingkarinya. Barangsiapa yang membencinya, maka ia akan bebas, barangsiapa yang mengingkarinya akan selamat, tetapi mereka ada juga pengikutnya.”;- (Riwayat Muslim dan Abu Daud).
Waktu Kebinasaan Apabila Urusan Amanah Telah Disia-Siakan;- Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: “Pada suatu masa ketika Nabi s.a.w sedang berada suatu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A’rabi (Arab Badwi) dan terus bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Bilakah akan terjadi Qiamat?”. Maka Nabi s.a.w. pun meneruskan percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata, “Beliau (Nabi) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disukainya.” Sementara yang lain pula berkata, “Bahkan beliau tidak mendengar pertanyaan itu.” Sehingga apabila Nabi s.a.w selesai dari percakapannya beliau bersabda, “Di mana orang yang yang bertanya tentang Hari Qiamat tadi?” Lalu Arab Badwi menyahut, “Ya! Saya hai Rasulullah.” Maka Nabi s.a.w. bersabda: “Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah Hari Qiamat.” Arab Badwi itu bertanya pula, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu?” Nabi s.a.w. menjawab, “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kedatangan Hari Qiamat.”;- (Riwayat Bukhari).
Berbagai Keajaiban Yang Tidak Diduga;- Samurad bin Jundad r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Hari Kiamat tidak akan tiba, sehingga nampak berbagai peristiwa besar yang tidak pernah kamu saksikan sebelumnya;- (Riwayat Nu’aim)Berbagai Peristiwa Besar;- Dari Samurah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sebelum Hari Kiamat terjadi (tiba), kamu akan lihat berbagai peristiwa besar. Ketika kamu engkar dan berkata: Apakah kita pernah membincangkan peristiwa ini? Maka apabila kamu melihat peristiwa itu, ingatlah akan Allah Ta’ala dan ketahuilah bahawa peristiwa itu adalah awal dari Hari Kiamat;- (Riwayat Thabrani dan Al-Bazzar).
Mengharapkan Kematian Kerana Beratnya Beban Kehidupan;- Dari Abu Hurairah katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Demi Allah yang diriku di tangan-Nya, tidaklah dunia akan lenyap sehingga (datang keadaan di mana) seseorang melewati kubur, lalu ia berhenti di atasnya seraya berkata, “Alangkah baiknya kalau aku menempati tempat penghuni kubur ini.” Dan bukanlah Ad-Din (agama) yang mendorongnya berangan-angan seperti ini, melainkan bala ‘ (ujian bencana, fitnah dan penderitaan hidup).”;- (Sahih Muslim 18.34).Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa beliau dengar Rasulullah s.a.w. bersabda, :“Qiamat tidak akan tiba sehingga seorang akan melalui suatu pusara dan berkata, “Alangkah baiknya jika daku yang berada di tempatnya.”;- [Riwayat Bukhari, Kitab al-Fitan, 9/73].
Punca Kebinasaan Seseorang Akibat Melayani Kehendak Orang Yang Mencela Keaiban ;-Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Selagi akan datang suatu masa di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali bila ia lari membawanya dari suatu puncak bukit ke puncak bukit yang lain dan dari suatu lubang kepada lubang yang lain. Maka apabila zaman itu telah terjadi, segala pencarian (pendapatan kehidupan) tidak dapat dicapai kecuali dengan perkara yang membabitkan kemurkaan Allah s.w.t. Maka apabila ini telah terjadi, kebinasaan seseorang adalah berpunca dari menepati kehendak isterinya dan anak-anaknya. Kalau ia tidak mempunyai isteri dan anak, maka kebinasaannya adalah berpunca dari menepati kehendak kedua orang tuanya. Dan jikalau orang tuanya sudah tiada lagi, maka kebinasaannya adalah berpunca dari menepati kehendak kaum kerabatnya (adik beradiknya sendiri) atau dari menepati kehendak jirannya". Sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah s.a.w., apakah maksud perkataan engkau itu ? (kebinasaan seseorang dari kerana isterinya, atau anaknya, atau orang tuanya, atau keluarganya, atau jirannya?)". Nabi s.a.w. menjawab, "Mereka akan mencelanya dan mengaibkannya dengan kesempitan kehidupannya. Maka dari kerana itu ia terpaksa melayan kehendak mereka dengan menceburkan dirinya di jurang-jurang kebinasaan yang akan menghancurkan dirinya";- (Riwayat Baihaqi)
Berzuhud Adalah Lebih Baik Berbanding Kemewahan;-Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata, "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah s.a.w.melihat kepadanya baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekkah). Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka'bah?". Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Nabi s.a.w. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu";- (Riwayat Tirmidzi).
Islam Menjadi Terasing Lagi:- Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Islam itu pada mulanya asing (tidak dikenal) dan kelak akan kembali asing lagi, maka berbahagialah orang yang asing; iaitu mereka yang memperbaiki apa yang dirosak manusia dari sunnahku pada masa setelah aku tiada nanti;- (Riwayat Turmidzi)Islam Bagaikan Menggenggam Bara Api;- Daripada Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Akan datang kepada manusia suatu masa di mana orang yang berpegang kepada agamanya bagaikan orang yang menggenggam bara api;- (Riwayat Tirmidzi)
Tiga 3 Perkara Yang Semakin Mulia & Sukar;- Khudzaifah r.a. berkata Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kelak akan datang kepadamu suatu masa, yang pada masa itu tidak ada yang lebih baik (mulia) daripada tiga 3 perkara: Dirham (wang) yang halal, saudara yang menjadikan tenteram dengannya dan sunnah yang dikerjakannya.”;- (Riwayat Thabrani).
Kelebihan Ibadat Di Saat-Saat Huru-hara;-Daripada Ma’qil bin Yasar r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:" Beribadat di saat-saat huru hara (dunia kacau bilau) adalah seperti berhijrah kepadaku";-(Riwayat Muslim).
Empat 4 Macam Golongan Mengerjakan Ibadat Haji:- Dari Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Kelak apabila akhir zaman terdapat empat 4 macam golongan mengerjakan ibadat haji iaitu:
1) Para pemimpin mengerjakan ibadat haji hanya untuk 'makan angin',
2) Terdapat orang kaya pergi haji hanya untuk berniaga,
3) Ramai fakir miskin pergi haji dengan tujuan untuk mengemis,
4) Ahli qira'at (pembaca Al-Quran) mengerjakan ibadat haji hanya untuk mencari nama dan kemegahan.”Percaya Pada Mimpi;- Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: " Jika zaman telah mendekati hari kiamat, maka mimpi seseorang hampir tidak dusta (apa yang dimimpikan terjadi dalam kenyataan), sedang mimpi orang mukmin adalah sebahagian dari seperempat puluh enam 1/46 dari kenabian”;- (Muttafaq Alaih).
Keinginan Melihat Rasulullah s.a.w.;- Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w bersabda: " Sesungguhnya akan datang suatu masa, di mana seseorang ingin (dapat) melihat aku, maka itu dianggap lebih untung baginya daripada mendapat (seperti) keluarga dan hartanya ";- (Muttafaq Alaih)
Takwa Dan Perpaduan Asas Keselamatan Di Akhir Zaman;- Daripada Abi Najih 'Irbadh bin Sariyah r.a. berkata, "Telah menasihati kami oleh Rasulullah s.a.w. akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, "Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami." Lalu baginda pun bersabda, "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar-Rasyidin Al-Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat.";- (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi).
Penduduk Mekkah Meninggalkan Kota Mekkah;- Umar r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w, bersabda: Kelak penduduk Mekkah akan keluar meninggalkan Mekkah, kemudian yang meninggalkan itu tidak kembali lagi kecuali hanya sebahagian kecil sahaja. Kemudian yang sedikit itu menjadikan kota itu penuh bangunan. Kemudian mereka keluar lagi dari kota itu dan tidak kembali selamanya.”;- (Riwayat Ahmad).Berhimpunnya Kebenaran Iman ke Madinah;- Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya keimanan akan kembali menghimpun ke Madinah, ibarat ular yang kembali menghimpun di dalam liangnya;- (Riwayat Bukhari).
Bangsa Arab dikuasai Ahlul Bait:- Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dunia tidak akan hilang (kiamat) sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki daripada keluargaku (keturunanku ) yang namanya sama denganku";- (Riwayat Tirmidzi).Nama Imam Mahdi:- Sesungguhnya Imam Mahdi itu akan keluar di akhir zaman, namanya Muhammad bin Abdullah atau Ahmad bin Abdullah;- (Riwayat Imam Abu Daud dan Tirmidzi)Imam Mahdi adalah Ahlul Bait:- Imam Mahdi itu termasuk dalam lingkungan ahli kerabat atau keluarga Rasulullah s.a.w. yakni dari puteri baginda yang bernama Fatimah;- (Riwayat Abu Daud Dan Hakim).
Al Mahdi itu dilahirkan dari keturunan Ahlul Bait (keturunan Siti Fatimah r.a.) yang telah disempurnakan oleh Allah akan segala kebaikannya pada satu malam sahaja.”;- (Riwayat Imam Ahmad).
Ummu Salamah r.a berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Al-Mahdi adalah keturunanku dari anak-cucu Fatimah r.a.”;- [ Riwayat Abu Daud, Kitab al-Mahdi].
Ciri-ciri Imam Mahdi:- Imam Mahdi itu menyerupai Rasulullah s.a.w. dalam hal budi pekertinya, tetapi tidak menyamai dalam bentuk rupa atau bentuk tubuhnya, yakni tidak serupa perihal sifat-sifat badaniyahnya;- (Riwayat Abu Daud).Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata, Nabi s.a.w bersabda: Al-Mahdi adalah keturunanku, dahinya luas dan hidungnya panjang. Beliau akan memenuhi bumi dengan keadilan dan kebaikan sebagaimana (sebelum itu) ia telah dipenuhi kezaliman serta penindasan dan beliau akan memerintah selama 7 tahun.”;- [ Riwayat Abu Daud, Kitab al-Mahdi]
Imam Mahdi itu lebar dahinya, mancung hidungnya, seluruh isi bumi dipenuhi olehnya dengan kejujuran dan keadilan, sebagaimana yang sebelum itu penuh dengan kezaliman dan penganiyaan. Imam Mahdi menegakkan Syari'at Islam serta menghidupkan apa-apa yang sudah tercicir dari sunnah Rasulullah s.a.w. Sejak itu, Islam berjaya dan luhur ajarannya, sehingga dapatlah ditetapkan pemerintahnya di atas bumi;- (Riwayat Abu Daud).
Imam Mahdi dikurniai ketetapan kuasa dan di masa pemerintahannya amat luaslah rezeki umat, kerana memang betul-betul berlaku adil dan banyak pula harta yang diberikan. Ia menyebar-nyebarkan harta itu dengan merata, tanpa menghitung jumlah sama sekali;- (Riwayat Imam Muslim).
Dan ia (Imam Mahdi) menetap selama tujuh 7 tahun;- (Riwayat Abu Daud).Pemberian Harta Tanpa Berkira Dari Pemerintahan Al-Mahdi;- Abu Sa’id r.a. berkata: “Demi Allah, tiap-tiap pemerintah yang kami telah alami adalah lebih buruk berbanding sebelumnya dan setiap tahun adalah lebih buruk dari sebelumnya dan saya dengar Nabi s.a.w, bersabda”: “Diantara pemerintah kamu akan ada yang memberi harta tanpa berkira. Akan tampil seorang yang akan meminta wang, lalu beliau berkata, “Ambillah” maka peminta itu akan membentangkan jubahnya dan dicurahkan wang kepadanya.” Baginda s.a.w, lalu membentangkan jubah tebal Baginda dan menunjukkan gaya peminta itu, kemudian Baginda menggenggam bucunya lalu bersabda, “Orang itu pun memikulnya dan pergi dari situ.”;- [Musnad Imam Ahmad, 3/98.]
Golongan Yang Sentiasa Menang;-Daripada Mughirah bin Syu' bah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka), sehingga sampailah suatu saat yang dikehendaki oleh Allah swt. Mereka sentiasa berjaya";- (Riwayat Bukhari).
Tanah Arab Akan Menghijau dan Dialiri Sungai-Sungai;- Daripada Abu Hurairah r.a. ia berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak terjadi kiamat, sebelum jazirah Arab kembali menjadi padang rumput dan dialiri oleh sungai-sungai;- (Riwayat Ahmad).