.

.
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء و المرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين أهلا وسهلا بكم إذا كانت هذه زيارتك الأولى للمنتدى، فيرجى التفضل بزيارة صفحة التعليمات كما يشرفنا أن تقوم بالتسجيل ، إذا رغبت بالمشاركة في المنتدى، أما إذا رغبت بقراءة المواضيع والإطلاع فتفضل بزيارة القسم الذي ترغب أدناه. عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه - قال: سمعت رسول الله ﷺ يقول: "إن إبليس قال لربه: بعزتك وجلالك لا أبرح أغوي بني آدم مادامت الأرواح فيهم - فقال الله: فبعزتي وجلالي لا أبرح أغفر لهم ما استغفروني" اللّهم طهّر لساني من الكذب ، وقلبي من النفاق ، وعملي من الرياء ، وبصري من الخيانة ,, فإنّك تعلم خائنة الأعين ,, وما تخفي الصدور اللهم استَخدِمني ولاَ تستَبدِلني، وانفَع بيِ، واجعَل عَملي خَالصاً لِوجهك الكَريم ... يا الله اللهــم اجعل عملي على تمبـلر صالحاً,, واجعله لوجهك خالصاً,, ولا تجعل لأحد فيه شيئاً ,, وتقبل مني واجعله نورا لي في قبري,, وحسن خاتمة لي عند مماتي ,, ونجاةً من النار ومغفرةً من كل ذنب يارب يارب يارب

.

.

.

.

Monday, December 21, 2015

LAHIRNYA RAHMAT KESELURUH ALAM ( SEMPENA MAULIDNYA)


Dengan nama yang begitu mulia, jutaan bibir setiap hari mengucapkannya, jutaan jantung setiap saat berdenyut, berulang kali. Bibir dan jantung yang bergerak dan berdenyut sejak begitu lama. Dengan nama yang begitu mulia, berjuta bibir akan terus mengucapkan, berjuta jantung akan terus berdenyut, sampai akhir zaman

Pada setiap hari di kala fajar menyingsing, lingkaran-lingkaran putih di ufuk sana mulai nampak hendak menghalau kegelapan malam, ketika itu seorang muazzin bangkit, berseru kepada setiap makhluk insani, bahawa bangun bersembahyang lebih baik daripada terus tidur. Ia mengajak mereka bersujud kepada Allah, membaca salawat buat Rasulullah.

Seruan ini disambut oleh ribuan, oleh jutaan umat manusia dari segenap penjuru bumi, menyemarakkannya dengan solat menyambut pahala dan rahmat Allah bersamaan dengan terbitnya hari baru. Dan bila hari siang, matahari pun berangkat pulang, kini muazzin bangkit menyerukan orang bersembahyang zohor, asar, maghrib, isya’. Pada setiap kali dalam sembahyang ini mereka menyebut Muhammad, hamba Allah, Nabi dan RasulNya itu, dengan penuh permohonan, penuh kerendahan hati dan syahdu. Dan selama mereka dalam rangkaian sembahyang lima waktu itu, bergetar jantung mereka menyebut asma’ Allah dan menyebut nama Rasulullah. Begitulah mereka, dan akan begitu mereka, setelah Allah memperlihatkan agama yang sebenarnya ini dan melimpahkan nikmatNya kepada seluruh umat manusia.




Ketika usia Abdul Muttalib sudah hampir mencapai tujuh puluh tahun atau lebih tatkala Abrahah mencuba untuk menyerang Mekah dan menghancurkan Rumah Purba. Ketika itu umur Abdullah anaknya sudah dua puluh empat tahun, dan sudah tiba masanya dikahwinkan. Pilihan Abdul-Muttalib  jatuh kepada Aminah bint Wahab bin Abd Manaf bin Zuhra, pemimpin suku Zuhra ketika itu yang sesuai pula usianya dan mempunyai kedudukan terhormat. Maka pergilah anak-beranak itu hendak mengunjungi keluarga Zuhra. Ia dengan anaknya menemui Wahab dan melamar puterinya. Sebahagian ahli sirah berpendapat, bahawa Abdul Muttalib pergi menemui Uhyab, bapa saudara Aminah, sebab waktu itu ayahnya sudah meninggal dan dia di bawah asuhan bapa saudaranya. Pada hari perkahwinan Abdullah dengan Aminah itu, Abdul Muttalib juga berkahwin dengan Hala, puteri bapa saudaranya. Dari perkahwinan ini lahirlah Hamzah, bapa saudara Nabi dan yang seusia dengannya..

Abdullah dengan Aminah tinggal selama tiga hari di rumah Aminah, sesuai dengan adat kebiasaan Arab apabila perkahwinan dilangsungkan di rumah keluarga pengantin perempuan. Sesudah itu mereka pindah bersama-sama berpindah kepada keluarga Abdul Muttalib. Tidak seberapa lama kemudian Abdullah pun pergi dalam suatu usaha perdagangan ke Suria (Syam) dengan meninggalkan isteri yang dalam keadaan hamil. Tentang ini masih terdapat beberapa keterangan yang berbeza-beza: adakah Abdullah kahwin lagi selain dengan Aminah; adakah wanita lain yang datang menawarkan diri kepadanya? Namu tiada gunanya menyelidiki keterangan-keterangan seperti ini. Yang pasti ialah Abdullah adalah seorang pemuda yang tegap dan tampan. Bukan sesuatu yang luar biasa jika ada wanita lain yang ingin menjadi isterinya selain Aminah. Tetapi setelah perkahwinannya dengan Aminah itu hilanglah harapan yang lain walaupun untuk sementara. Siapa tahu, barangkali mereka masih menunggu ia pulang dari perjalanannya ke Syam untuk menjadi isterinya di samping Aminah.

Dalam perjalanannya itu Abdullah tinggal selama beberapa bulan. Dalam pada itu ia pergi juga ke Ghaza dan kembali lagi. Kemudian ia singgah ke tempat saudara-saudara ibunya di Madinah sekadar untuk berehat sesudah merasa letih selama dalam perjalanan. Sesudah itu ia akan kembali pulang dengan kafilah ke Mekah. Akan tetapi kemudian ia menderita sakit di tempat saudara-saudara ibunya itu. Kawan-kawannyapun pulang lebih dulu meninggalkan dia. Dan merekalah yang menyampaikan berita sakitnya itu kepada ayahnya setelah mereka sampai di Mekah.

Ketika berita itu sampai kepada Abdul Muttalib, ia mengutus Harith - anaknya yang sulung - ke Madinah, supaya membawa kembali bila ia sudah sembuh. Tetapi sesampainya di Madinah ia mengetahui bahawa Abdullah sudah meninggal dan telah dikebumikan, sebulan sesudah kafilahnya berangkat ke Mekah. Kembalilah Harith kepada keluarganya dengan membawa perasaan pilu atas kematian adiknya itu. Rasa duka dan sedih menimpa hati Abdul Muttalib, menimpa hati Aminah, kehilangan seorang suami yang selama ini menjadi harapan kebahagiaan hidupnya. Demikian juga Abdul Muttalib sangat sayang kepadanya sehingga penebusannya terhadap Sang Berhala yang demikian rupa belum pernah terjadi di kalangan masyarakat Arab sebelum itu.

Peninggalan Abdullah terdiri dari lima ekor unta, sekelompok kambing dan seorang budak perempuan, iaitu Umm Ayman - yang kemudian menjadi pengasuh Nabi. Boleh jadi peninggalan serupa itu bukan bererti suatu tanda kekayaan; tapi tidak juga merupakan suatu kemiskinan. Di samping itu umur Abdullah yang masih dalam usia muda belia, sudah mampu bekerja dan berusaha mencapai kekayaan. Dalam pada itu ia memang tidak mewarisi sesuatu dari ayahnya yang masih hidup itu.

Aminah yang hamil, sepertimana wanita lain iapun melahirkan. Selesai bersalin disampaikannya berita kepada
Abdul Muttalib di Kaabah, bahawa ia melahirkan seorang anak laki-laki. Alangkah gembiranya orang tua itu setelah menerima berita. Sekaligus ia teringat kepada Abdullah anaknya. Gembira sekali hatinya kerana ternyata pengganti anaknya sudah ada. Cepat-cepat ia menemui menantunya itu, diangkatnya bayi itu lalu dibawanya ke Kaabah. Ia diberi nama Muhammad. Nama ini tidak umum di kalangan orang Arab tapi cukup dikenal. Kemudian dikembalikannya bayi itu kepada ibunya. Kini mereka sedang menantikan orang yang akan menyusukannya dari Keluarga Sa’ad (Banu Sa’ad), untuk kemudian menyerahkan anaknya itu kepada salah seorang dari mereka, sebagaimana sudah menjadi adat kaum bangsawan Arab di Mekah.

Mengenai tahun ketika Muhammad dilahirkan, beberapa ahli berlainan pendapat. Sebahagian besar mengatakan pada Tahun Gajah (570 Masihi). Ibnu Abbas mengatakan ia dilahirkan pada Tahun Gajah itu. Yang lain berpendapat kelahirannya itu lima belas tahun sebelum peristiwa bergajah. Selanjutnya ada yang mengatakan ia dilahirkan beberapa hari atau beberapa bulan atau juga beberapa tahun sesudah Tahun Gajah. Ada yang menaksirkan tiga puluh tahun, dan ada juga yang menaksirkan tujuh puluh tahun.

Juga para ahli berlainan pendapat mengenai bulan kelahirannya. Sebahagian besar mengatakan ia dilahirkan bulan Rabi’ul Awal. Ada yang berkata lahir dalam bulan Muharam, yang lain berpendapat dalam bulan Safar, sebahgian lagi menyatakan dalam bulan Rajab, sementara yang lain mengatakan dalam bulan Ramadhan.

Kelainan pendapat itu juga mengenai hari bulan ia dilahirkan. Satu pendapat mengatakan pada malam kedua Rabi’ul Awal, atau malam kelapan, atau kesembilan. Tetapi pada umumnya mengatakan, bahawa dia dilahirkan pada dua belas Rabi’ul Awal. Ini adalah pendapat Ibnu Ishaq dan yang lain.

Terdapat juga perbezaan pendapat mengenai waktu kelahirannya, iaitu siang atau malam, demikian juga mengenai tempat kelahirannya di Mekah. Caussin de Perceval dalam Essai sur l’Histoire des Arabes menyatakan, bahawa Muhammad dilahirkan bulan Ogos 570 M, yakni Tahun Gajah, dan bahawa dia dilahirkan di Mekah di rumah datuknyanya Abdul Muttalib.

Pada hari ketujuh kelahirannya itu, Abdul Muttalib meminta disembelihkan unta. Ini kemudian dilakukan dengan mengundang makan masyarakat Quraisy. Setelah mereka mengetahui bahawa anak itu diberi nama Muhammad, mereka bertanya-tanya mengapa ia tidak suka menggunakan nama nenek moyang. “Kuinginkan dia akan menjadi orang yang Terpuji, bagi Tuhan di langit dan bagi makhlukNya di bumi,” jawab Abdul Muttalib.

Aminah masih menunggu akan menyerahkan anaknya itu kepada salah seorang Keluarga Sa’ad yang akan menyusukan anaknya, sebagaimana sudah menjadi kebiasaan bangsawan-bangsawan Arab di Mekah. Adat demikian ini masih berlaku pada bangsawan-bangsawan Mekah. Pada hari kelapan sesudah dilahirkan anak itupun dihantar ke pedalaman dan baru kembali pulang ke kota sesudah ia berumur lapan atau sepuluh tahun. Di kalangan kabilah-kabilah pedalaman yang terkenal dalam menyusukan ini di antaranya ialah kabilah Banu Sa’ad. Sementara masih menunggu orang yang akan menyusukan itu Aminah menyerahkan anaknya kepada Thuwaiba, budak perempuan bapa saudaranya, Abu Lahab. Selama beberapa waktu ia disusukan, seperti Hamzah yang juga kemudian disusukannya. Jadi mereka adalah saudara sesusuan.

Sekalipun Thuwaiba hanya beberapa hari saja menyusukan, namun ia tetap memelihara hubungan yang baik sekali selama hidupnya. Setelah wanita itu meninggal pada tahun ketujuh sesudah ia hijrah ke Madinah, untuk meneruskan hubungan baik itu ia bertanyakan tentang anaknya yang juga menjadi saudara sesusuan. Tetapi kemudian ia mengetahui bahawa anak itu juga sudah meninggal sebelum ibunya.

Akhirnya datang juga wanita-wanita Keluarga Sa’ad yang akan menyusukan itu ke Mekah. Mereka memang mencari bayi yang akan mereka susukan. Akan tetapi mereka menghindari anak-anak yatim. Sebenarnya mereka masih mengharapkan sesuatu jasa dari sang ayah. Sedang dari anak-anak yatim sedikit sekali yang dapat mereka harapkan. Oleh itu di antara mereka itu ada yang tidak mahukan Muhammad. Mereka akan mendapat hasil yang lumayan bila mendatangi keluarga yang dapat mereka harapkan.

Akan tetapi Halimah bint Abi-Dhua’ib yang pada mulanya menolak Muhammad, seperti yang lain-lain juga, ternyata tidak mendapat bayi lain sebagai penggantinya. Di samping itu juga disebabkan dia memang seorang wanita yang kurang mampu, ibu-ibu lainpun tidak menghiraukannya. Setelah sepakat mereka akan meninggalkan Mekah. Halimah berkata kepada Harith bin Abdul-‘Uzza suaminya:
“Tidak senang aku pulang bersama dengan teman-temanku tanpa membawa seorang bayi. Biarlah aku pergi kepada anak yatim itu dan akan kubawa juga.”

“Baiklah,” jawab suaminya. “Mudah-mudahan Tuhan akan memberi berkah kepada kita.”

Halimah kemudian mengambil Muhammad dan dibawanya pergi bersama-sama dengan teman-temannya ke pedalaman. Dia bercerita, bahawa sejak diambilnya anak itu ia merasa mendapat berkah. Ternakan kambingnya gemuk-gemuk dan susunya pun bertambah. Tuhan telah memberkati semua yang ada padanya. Selama dua tahun Muhammad tinggal di sahara, disusukan oleh Halimah dan diasuh oleh Syaima’, puterinya. Udara sahara dan kehidupan pedalaman yang kasar menyebabkannya cepat sekali menjadi besar, dan menambah indah bentuk dan pertumbuhan badannya. Setelah cukup dua tahun dan tiba masanya kembali, Halimah membawa anak itu kepada ibunya dan sesudah itu membawanya kembali ke pedalaman. Ini dilakukan adalah atas kehendak ibunya, kata sebuah keterangan, dan keterangan lain mengatakan kerana kehendak Halimah sendiri. Ia dibawa kembali supaya lebih matang, juga memang dikuatirkan dari adanya serangan wabah Mekah.

Dua tahun lagi anak itu tinggal di sahara, menikmati udara pedalaman yang jernih dan bebas, tidak terikat oleh sesuatu ikatan jiwa, juga tidak oleh ikatan material.

Pada ketika itu, sebelum usianya mencapai tiga tahun, ketika itulah terjadi cerita yang banyak dikisahkan orang. Yakni, bahawa ketika ia dengan saudaranya yang sebaya sesama kanak-kanak itu sedang berada di belakang rumah di luar pengawasan keluarganya, tiba-tiba anak yang dari Keluarga Sa’ad itu kembali pulang sambil berlari, dan berkata kepada ibubapanya: “Saudaraku yang dari Quraisy itu telah diambil oleh dua orang laki-laki berbaju putih. Dia dibaringkan, perutnya dibedah, sambil di balik-balikan.”
 
Dan tentang Halimah ini ada juga diceritakan, bahawa mengenai dia dan suaminya ia berkata: “Lalu saya pergi dengan ayahnya ke tempat itu. Kami jumpai dia sedang berdiri. Mukanya pucat lesu. Kuperhatikan dia. demikian juga ayahnya. Lalu kami tanyakan: “Kenapa kau, nak?” Dia menjawab: “Aku didatangi oleh dua orang laki-laki berpakaian putih. Aku di baringkan, lalu perutku di bedah. Mereka mencari sesuatu di dalamnya. Tidak tahu aku apa yang mereka cari.”

Halimah dan suaminya kembali pulang ke rumahSesudah itu, dibawanya anak itu kembali kepada ibunya di Mekah. Atas peristiwa ini Ibnu Ishaq membawa sebuah Hadis Nabi sesudah kenabiannya. Tetapi dalam menceritakan peristiwa ini Ibnu Ishaq nampaknya berhati-hati sekali dan mengatakan bahawa sebab dikembalikannya kepada ibunya bukan kerana cerita dua malaikat itu, melainkan - seperti cerita Halimah kepada Aminah - ketika ia di bawa pulang oleh Halimah, ada beberapa orang Nasrani Abisinia memperhatikan Muhammad dan bertanyakan kepada Halimah tentang anak itu. Dilihatnya belakang anak itu, lalu mereka berkata:


“Biarlah kami bawa anak ini kepada raja kami di negeri kami. Anak ini akan menjadi orang penting. Kamilah yang mengetahui keadaannya.” Halimah dengan cepat menghindarkan diri dari mereka dengan membawa anak itu. Demikian juga cerita yang dibawa oleh Tabari, tapi ini masih di ragukan; sebab dia menyebutkan
Muhammad dalam usianya itu, lalu kembali menyebutkan bahawa itu terjadi tidak lama sebelum kenabiannya dan usianya empat puluh tahun.









(Petikan Sejarah Nabi Muhammad saw.,  dari pra-Islam sampai dengan wafatnya Nabi,  ditulis untuk menjawab tuduhan para orientalis Syeikh Muhammad Mustafa al-Maraghi )
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.

Rasulullah s.a.w bersabda :

” Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat” ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)