Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖوَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya
sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. [al-Hujurat 49:12]
Larangan Allah: janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Kemudian perhatikan pula bagaimana Allah mengakhiri ayat di atas dengan firman-Nya:sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani, mengisyaratkan bahawa perbuatan mengintip dan mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain adalah satu dosa besar yang tidak akan terampun melainkan melalui taubat kepada Allah dan mengharapkan kasih sayang daripada-Nya.
Mengapakah suka mencari keaiban orang lain dan menyebarkannya? Jawapannya boleh ditemui dalam ayat al-Qur’an berikut:
وَلِلَّـهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ لِيَجْزِيَ الَّذِينَ أَسَاءُوا بِمَا عَمِلُوا وَيَجْزِيَ الَّذِينَ أَحْسَنُوا بِالْحُسْنَى
الَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ ۚ هُوَ أَعْلَمُ بِكُمْ إِذْ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَإِذْ أَنتُمْ أَجِنَّةٌ فِي بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ ۖ فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ
Dan Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi untuk membalas orang-orang yang berbuat jahat menurut apa yang mereka lakukan dan membalas orang-orang yang berbuat baik dengan balasan yang sebaik-baiknya.
(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunan-Nya.
Dia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Dia mencipta kamu (berasal) dari tanah dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu menganggap dirimu suci. Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa. [al-Najm 53:31-32]
Dalam ayat di atas, Allah menerangkan kebesarannya yang memiliki segala apa yang ada di langit dan bumi. Berdasarkan kebesaran ini, Allah akan membalas orang-orang yang berbuat jahat dan yang berbuat baik. Di antara ciri orang yang berbuat baik itu ialah mereka yang menjauhi dosa besar dan perbuatan keji. Namun Allah menekankan bahawa sebagai Yang mencipta setiap manusia dari tanah sehingga ke berbagai peringkat dalam rahim ibu, Allah mengetahui hati, perasaan dan siapakah di antara orang-orang tersebut yang benar-benar bertaqwa kepada-Nya.
Oleh itulah Allah mengingatkan dengan larangan-Nya: maka janganlah kamu menganggap dirimu suci. Peringatan ini diberikan kerana Allah mengetahui di kalangan orang-orang yang menjauhi dosa besar dan perbuatan keji, ada yang merasakan dirinya sudah suci. Orang-orang seperti ini memuji-muji dirinya sendiri, merasa ujub bahkan unggul berbanding umat Islam yang lain.