.

.
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء و المرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين أهلا وسهلا بكم إذا كانت هذه زيارتك الأولى للمنتدى، فيرجى التفضل بزيارة صفحة التعليمات كما يشرفنا أن تقوم بالتسجيل ، إذا رغبت بالمشاركة في المنتدى، أما إذا رغبت بقراءة المواضيع والإطلاع فتفضل بزيارة القسم الذي ترغب أدناه. عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه - قال: سمعت رسول الله ﷺ يقول: "إن إبليس قال لربه: بعزتك وجلالك لا أبرح أغوي بني آدم مادامت الأرواح فيهم - فقال الله: فبعزتي وجلالي لا أبرح أغفر لهم ما استغفروني" اللّهم طهّر لساني من الكذب ، وقلبي من النفاق ، وعملي من الرياء ، وبصري من الخيانة ,, فإنّك تعلم خائنة الأعين ,, وما تخفي الصدور اللهم استَخدِمني ولاَ تستَبدِلني، وانفَع بيِ، واجعَل عَملي خَالصاً لِوجهك الكَريم ... يا الله اللهــم اجعل عملي على تمبـلر صالحاً,, واجعله لوجهك خالصاً,, ولا تجعل لأحد فيه شيئاً ,, وتقبل مني واجعله نورا لي في قبري,, وحسن خاتمة لي عند مماتي ,, ونجاةً من النار ومغفرةً من كل ذنب يارب يارب يارب

.

.

.

.

Tuesday, September 16, 2014

MAHRAM : SALAM


Bersalaman atau berjabat tangan antara lelaki dengan perempuan seperti perkara biasa sahaja, lebih-lebih lagi di kalangan keluarga, tidak kira dekat ataupun jauh.
Sebenarnya tidaklah begitu. Agama telah mengaturkan bukan semua keluarga dibolehkan dijabati tangan, ada yang boleh, ada pula yang tidak boleh. Perkara inilah yang hendak dihuraikan dalam ruangan ini.

Dalam ahli keluarga itu, ada yang dikategorikan sebagai mahram dan ada juga yang dikategorikan sebagai bukan mahram. Namun untuk memudah cara mengetahui siapa yang bukan mahram, memadai dengan mengetahui siapa yang dikatakan perempuan mahram itu.

Perempuan mahram itu ialah perempuan yang haram dinikahi atau dijadikan isteri. Hakikat mahram yang sebenarnya ialah perempuan yang dihalalkan untuk dilihat, diajak berdua-duaan atau berpergian dengannya.

Perempuan mahram terbahagi kepada tiga bahagian dengan sebab-sebab yang tertentu:
Pertama: Mahram kerana keturunan.
Kedua: Mahram kerana saudara sesusuan. 
Ketiga: Mahram kerana perkahwinan.


Perempuan mahram kerana keturunan adalah seperti berikut: 
1. Ibu kandung, termasuk nenek dan seterusnya ke atas. 
2. Anak perempuan kandung, termasuk cucu dan seterusnya ke bawah. 
3. Adik beradik perempuan seibu sebapa. 
4. Adik beradik perempuan sebapa. 
5. Adik beradik perempuan seibu. 
6. Emak saudara sebelah bapa (adik‐beradik bapa) dan seterusnya ke atas. 
7. Emak saudara sebelah ibu (adik‐beradik ibu) dan seterusnya ke atas. 
8. Anak perempuan dari adik‐beradik lelaki mahupun dari adik‐beradik perempuan (anak kemanakan).


Mahram kerana saudara sesusuan sama pembahagiannya dengan mahram kerana keturunan, sebagaimana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha: Maksudnya: “Dilarang untuk dinikahi saudara (adik-beradik) perempuan sesusuan sebagaimana dilarang untuk dinikahi saudara perempuan kerana keturunan.” (Hadis riwayat Muslim) Nash yang menyebutkan tentang kedua-dua bahagian mahram ini pula ada tersebut di dalam Al-Qur’an melalui firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah an-Nisa ayat 23.

Sementara itu perempuan yang termasuk di dalam kategori mahram kerana perkahwinan adalah seperti berikut: 
1. Emak mertua. 
2. Anak menantu. 
3. Emak tiri. 
4. Anak tiri.


Oleh itu, perempuan-perempuan dari ahli keluarga isteri selain empat orang yang disebutkan di atas kekal sebagai perempuan ajnabiyyah. Perempuan ajnabiyyah itu ialah perempuan yang boleh dinikahi, tidak halal untuk dilihat, haram diajak berdua-duaan dan berpergian dengannya dan ia adalah perkataan lawan bagi perkataan perempuan mahram. Contoh Ahli Keluarga Yang Bukan Mahram Contoh ahli keluarga yang bukan termasuk dalam kategori mahram kerana perkahwinan dan kekal batasan hukumnya seperti perempuan ajnabiyyah ialah: 
1. Isteri kepada adik‐beradik bapa. (emak saudara sebelah bapa) 
2. Isteri kepada adik‐beradik emak. (emak saudara sebelah emak) 
3. Adik‐beradik bapa mertua perempuan.
4. Adik‐beradik emak mertua perempuan. 
5. Anak kemanakan isteri perempuan. (anak adik‐beradik isteri) 
6. Kakak ipar. 
7. Adik ipar perempuan.


Contoh ahli keluarga yang bukan termasuk dalam kategori mahram kerana keturunan dan kekal batasan hukumnya seperti perempuan ajnabiyyah ialah: 
1. Sepupu perempuan. (anak adik beradik bapa atau emak) 
2. Sepupu bapa. 
3. Sepupu emak.


Oleh kerana mereka ini tidak tersenarai dalam kategori mahram yang disebutkan sebelum ini, maka batasan hukum bersentuhan dengan mereka ini adalah sama dengan perempuan ajnabiyyah. Dalil yang menunjukkan larangan bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah ini jelas sepertimana disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari: Maksudnya: “Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha dia berkata: “Dan tangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu tidak pernah menyentuh tangan seorang perempuan kecuali perempuan yang Baginda miliki iaitu perempuan yang telah Baginda nikahi.” (Hadis riwayat al-Bukhari) Dalam sebuah hadis yang lain lagi, diriwayatkan oleh Malik, an-Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ahmad iaitu: Maksudnya: “Daripada Muhammad bin Al-Munkadir, daripada Umaimah binti Ruqaiqah, dia berkata: “Saya datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersama-sama sekumpulan perempuan dan mengadakan bai‘at (pengakuan ta‘at setia) dengan Baginda. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Kami berbai‘ah kepada Tuan hamba untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak- anak kami, tidak menipu dan tidak ingkar kepada Tuan hamba di dalam kebaikan.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Pada perkara yang kamu sekalian boleh dan mampu melaksanakannya.” Mereka berkata: “Allah dan RasulNya lebih menyayangi kami dari diri kami sendiri.

Biarlah kami berbai‘ah kepada Tuan hamba wahai Rasulullah.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya saya tidak bersalaman dengan perempuan-perempuan. Sesungguhnya perkataanku untuk seratus orang perempuan adalah sama dengan perkataanku untuk seorang perempuan.” (Hadis riwayat Malik, Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ahmad) Dari hadis-hadis yang telah disebutkan di atas, jelaslah kepada kita bahawa hukum bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah itu adalah haram.

Ini berdasarkan kepada hadis yang menyebutkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah menyentuh perempuan walau hanya sekadar tangannya melainkan isteri-isterinya, dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga tidak bersalaman dengan perempuan-perempuan pada waktu membai‘ah (menerima pengakuan taat setia) daripada mereka. Maka apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak bersalaman dengan para perempuan pada saat-saat yang penting begini iaitu pada waktu melaksanakan bai‘ah, ini menunjukkan bahawa bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah pada keadaan-keadaan atau perjumpaan-perjumpaan biasa adalah terlebih-lebih utama dilarang. Oleh kerana itu, kita perlulah memerhati dengan teliti dan berhati-hati dengan siapa kita boleh bersalaman dan dengan siapa kita dilarang untuk bersalaman, kerana apa yang kita dapati dan kita lihat di kalangan masyarakat kita, ramai yang bersalaman dengan orang-orang yang disangkanya boleh bersalaman, akan tetapi sebenarnya ia adalah dilarang (haram).

Ancaman bersalaman atau berjabat tangan dengan perempuan ajnabiyyah ini ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Thabarani dan al-Baihaqi iaitu: Maksudnya: “Daripada Ma‘qil bin Yasar Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seseorang di antara kamu dicucuk kepalanya dengan jarum dari besi adalah lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal untuknya.” (Hadis riwayat at-Thabrani dan al-Baihaqi) Bayangkanlah bagaimana seseorang ditusuk atau dicucuk kepalanya dengan sebatang jarum, tentulah amat sakit, dan kesakitan itu terlebih baik baginya dari dia melakukan dosa menyentuh perempuan ajnabiyyah. Ini membayangkan kepada kita betapa besarnya dosa akibat perbuatan menyentuh perempuan yang tidak halal untuk disentuh itu.

Adapun hikmat kenapa kita diharamkan untuk bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah, antaranya bahawa perempuan itu adalah sebesar-besar fitnah atau dengan kata lain, fitnah yang paling memudaratkan terhadap lelaki seperti boleh merangsang syahwat dan menarik perhatian. Ini jelas sebagaimana yang disebutkan oleh sebuah hadits yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim: Maksudnya: “Tidak aku tinggalkan selepas kewafatanku, fitnah yang lebih mudarat ke atas kaum lelaki daripada fitnah kaum perempuan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh kerana itu, kita diharamkan melihat batas-batas yang diharamkan dilihat bagi perempuan-perempuan yang bukan mahram, kerana mereka boleh merangsang
syahwat, mendatangkan fitnah dan menarik hati untuk terpaut kepada mereka. Bertolak dari sini, dapatlah kita tanggapi bahawa larangan bersalaman dengan perempuan ajnabiyyah itu merupakan jaminan keselamatan bagi kita daripada fitnah. Maka wajiblah bagi kita menjauhi perkara yang berbahaya itu.

Sebagai kesimpulan, tidak semua kalangan ahli keluarga kita boleh bersalaman atau berjabat tangan dengan mereka sepertimana yang disebutkan sebelum ini. Dengan adanya pengetahuan mengenai batasan bersalaman atau berjabat tangan sesama ahli keluarga yang bukan dikategorikan sebagai mahram kerana perkahwinan ataupun mahram kerana keturunan, kita akan lebih berhati-hati supaya tidak terjadi perlanggaran batasan-batasan yang telah ditentukan dalam hukum syara‘.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.

Rasulullah s.a.w bersabda :

” Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat” ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)