وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَى يَدَيْهِ يَقُولُ يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلًا (27) يَا وَيْلَتَا لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًا (28) لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلْإِنْسَانِ خَذُولًا (29)
Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? "Wahai celakanya aku,
alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! "Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)" (al-Furqan[25:27]).
Menurut riwayat, lelaki yang menyesal dalam ayat di atas adalah ‘Uqbah Ibn Abi Mu’ayt. Beliau pada awalnya memeluk Islam, tetapi kembali murtad kerana ingin menjaga hati kawannya Ubayy Ibn Khalaf. Di akhirat kelak ‘Uqbah menyesal kerana menjadikan Ubayy sebagai teman yang membawanya ke neraka (Tafsir al-Tabari).
Benarlah sabda nabi:
مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ الْحَدَّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً
Perumpamaan kawan yang baik dan kawan yang jahat adalah seperti berkawan dengan penjual minyak wangi atau tukang besi. Berkawan dengan penjual minyak wangi
akan menjadikanmu membeli darinya atau terkena tempias wangiannya. Berkawan dengan tukang besi pula sama ada akan membakar badan atau pakaianmu atau juga menempiaskan baunya yang busuk kepada badanmu(Sahih al-Bukhari dan Muslim)
Maka bersahabatlah dengan Rasulullah s.a.w jadikan Baginda sebagai BFF.
Bersahabatlah dengan Al-Quran kerana ianya teman rapat kita.