Ditanya orang kepada Rasulullah S.A.W., “Wahai Rasulullah, si polan itu (perempuan) siang hari berpuasa, malam hari dia bangun kerana mengerjakan ibadah. Cuma dia ada sedikit cacat. Akhlaknya rosak iaitu dia menyakiti jirannya dengan lidahnya”. Lantas dijawab oleh Rasulullah, “Tidak ada kebaikan lagi pada wanita itu bahkan dia adalah menjadi ahli neraka.”
Hadith ini meriwayatkan perbualan seorang sahabat dengan Rasulullah dalam mana sahabat itu tertanya kepada Rasulullah tentang seorang perempuan yang dikenalinya. Perempuan itu amat kuat beribadah kerana pada siang harinya dia berpuasa manakala di malam hari dia bangun bertahajjud. Perempuan itu sudah
boleh dikatakan ahli ‘abid kerana seseorang yang mampu berpuasa siang hari dan bangun bertahjud malam hari dia sudah boleh dikatakan ‘abid. Cuma dia belum tentu orang bertaqwa atau orang soleh boleh kita panggil ‘abid atau ahli ibadah saja. Dan perempuan yang diceritakan oleh sahabat itu kepada Rasulullah adalah seorang ‘abidah, kerana dia kuat berpuasa dan tahajjud malam. Tentulah selepas dia bertahajjjud dia juga membaca Al-Quran, berwirid, berzikir, berdoa dan sebagainya.
Di sini kita dapati sahabat tadi menceritakan perihal perempuan itu kepada Rasulullah supaya Baginda dapat menilai bagaimana kedudukan wanita ini iaitu sama ada dia boleh dianggap orang yang soleh atau tholeh, sama ada dia boleh dianggap orang yang berbakti atau tidak berbakti dan sama ada dia boleh dianggap orang yang baik atau tidak. Sebab itu sahabat itu menceritakan tentang kuatnya dia berpuasa dan bertahajjud cuma dia ada sedikit kecacatannya iaitu akhlaknya rosak. Itu pun bukan semua bentuk akhlaknya yang cacat.
Di antara akhlak-akhlak jahat yang banyak, dia hanya jahat dalam satu perkara sahaja iaitu dia menyakiti jirannya dengan lidahnya. Mungkin dia selalu mengumpat jirannya atau dia berkasar dengan jirannya atau boleh jadi dia selalu membahasakan jirannya dengan lidahnya. Dalam hal inilah sahabat bertanya kepada Rasulullah tentang bagaimana kedudukan wanita itu. Dan ketika itu Rasulullah menjawab mengatakan bahawa, tidak ada lagi kebaikan pada wanita itu bahkan dia adalah menjadi penghuni neraka.
Di dalam riwayat hadith ini kita digambarkan mengenai seorang wanita yang begitu kuat amal ibadahnya, cuma dia tidak berakhlak. Dan itu pun hanya satu sahaja akhlaknya yang cacat iaitu lidahnya kasar yang mana selalu menyakiti jirannya. Walaupun demikian, Rasulullah mengatakan yang amal ibadahnya yang begitu banyak tidak ada harga lagi di sisi Allah S.W.T. Dia dianggap tidak ada membuat kebaikan, bahkan dia adalah penghuni neraka. Jadi hadith ini memberitahu kepada kita betapa seorang ahli ibadah menjadi penghuni neraka kerana dia tidak berakhlak.
Mengapakah seorang ahli ibadah boleh menjadi penghuni neraka kerana dia tidak berakhlak? Kita sendiri pun tidak sanggup bertahajjud malam, manakala puasa hari Isnin dan Khamis pun susah hendak dibuat. Sedangkan perempuan itu kuat berpuasa dan bertahajjud. Cuma akhlaknya sahaja yang cacat. Dan kerana itu dia menjadi ahli neraka. Dia telah menjadi ahli neraka adalah kerana ibadahnya tidak berbuah. Seseorang yang melakukan ibadah yang bermacam-macam bentuk sama ada yang berbentuk fardu ain mahupun fardHu kifayah, sama ada yang berbentuk sunat muakkad atau ghairu muakkad sama ada ibadah melalui puasa, sembahyang, membaca Al-Quran, berdoa, berwirid, zikir dan lain-lainnya, semuanya adalah dengan tujuan agar ibadah-ibadah itu dapat melahir atau membuahkan sifat taqwa dan akhlak. Bererti bahawa sifat taqwa serta akhlak itu adalah buah daripada ibadah yang seseorang itu lakukan. Sebab itulah semakin banyak seseorang itu beribadah, semakin halus budi pekerti dan akhlaknya.
Jadi, kalau seseorang itu banyak beribadah tetapi akhlaknya masih jahat, maka berertilah ibadahnya tidak berbuah. Ini juga menunjukkan bahawa walaupun dia banyak beribadah, tetapi ibadahnya tidak diterima oleh Allah S.W.T. Dan sebab itulah, walaupun dia banyak beribadah, dia tetap menjadi penghuni neraka kerana ibadah-ibadahnya tidak ada nilai kebaikan di sisi Allah S.W.T. Ibadah yang tidak menghasilkan buah ini samalah seperti orang menanam pokok tetapi tidak berbuah. Banyak saja pokok-pokok yang ditanam tetapi pokok-pokoknya tidak berbuah. Begitu juga, kalau seseorang itu beribadah tetapi tidak juga lahir akhlak yang baik, maka ibadahnya tidak berbuah. Dia tetap menjadi penghuni neraka.
Berdasarkan hadith ini, kita sepatutnya ada sebab untuk berasa bimbang dengan diri kita kerana adakah kita sudah beribadah sepertimana perempuan yang diceritakan di dalam hadith itu iaitu kuat berpuasa, kuat tahajjud, banyak baca Al-Quran, banyak wirid, zikir dan sebagainya. Sudahlah ibadah kita tidak banyak, akhlak kita pun tidak baik. Sedangkan perempuan yang banyak ibadah itu pun, kerana akhlaknya cacat sedikit sahaja dia telah menjadi penghuni neraka, betapalah dengan kita ini. Maka tentulah kita berada dalam keadaan, yang lebih teruk dari wanita itu. Sebab itulah, maka hendaklah kita banyakkan ibadah dengan tujuan mendapatkan akhlak yang baik. Janganlah kita hendak banyakkan ibadah sahaja tetapi tidak menginginkan akhlak yang baik. Jadi kita membanyakkan ibadah itu adalah dengan tujuan supaya kita dapat menghalusi budi pekerti kita agar kita dapat memiliki akhlak yang baik dengan sebanyak-banyaknya.
Hadith yang kedua membawa maksud berikut:
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Sesungguhnya Allah S.W.T. telah membersihkan agama ini (iaitu agama Islam) untuk diriNya (iaitu Allah). Agama itu tidak akan menjadi baik melainkan kalau ada pada kita sifat pemurah dan baik akhlak. Oleh demikian hendaklah kamu hiasi agama kamu itu dengan keduanya (iaitu dengan sifat pemurah dan dengan akhlak yang baik).
Hadith ini menceritakan kepada kita bahawa setiap orang yang hendak menegakkan agama Islam itu, sama ada yang hendak ditegakkannya itu berbentuk fardhu ain mahupun yang berbentuk fardhu kifayah, yang berbentuk sunat muakkad mahupun yang berbentuk ghairi muakkad tujuannya adalah untuk dihadiahkan kepada Allah S.W.T. Ertinya, keseluruhan agama Islam yang ditegakkan itu walau di bidang mana sekalipun, semuanya adalah untuk dipersembahkan kepada Allah S.W.T. Dan Allah pula tidak akan menerima
sesuatu hadiah yang tidak bersih dan yang tidak suci murai. Jadi hadiah yang hendak kita persembahkan kepada Allah itu mestilah yang bersih dan suci murni. Dalam ertikata yang lain, setiap bidang agama Islam yang kita amal dan yang kita buat itu sama ada di bidang fardu dan di bidang sunatnya, ia mestilah suci bersih. Tetapi di dalam hadith ini, kita diingatkan bahawa agama Islam yang kita tegakkan itu sebagai hadiah kita kepada Allah, ia tidak akan suci bersih kalau di dalam diri kita tidak ada dua perkara iaitu sifat pemurah dan akhlak yang baik. Jadi kalau seseorang itu ada memiliki sifat pemurah dan akhlak-akhlak yang baik, maka agama Islam yang didirikan dan dibangunkannya itu adalah suci murni. Dan manakala dia mempersembahkannya kepada Allah S.W.T., maka Allah akan menerimanya.
Pepatah Arab ada berkata yang maksudnya:
Bukanlah yang dikatakan kecantikan pada diri seseorang itu pakaian yang menghiasi diri tetapi yang dikatakan cantik dan indah itu ialah ilmu yang ada padanya dan budi pekerti yang baik.
Ditanya orang kepada Rasulullah, “Mana satu orang mikminkah, ya Rasulullah yang iman mereka itu paling utama. ” Jawab Rasulullah, “Ialah mereka yang paling baik akhlaknya.”
Hadith ini meriwayatkan kisah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah. Ertinya, bila sebuah hadith mengisahkan ‘orang’ bertanya kepada Rasulullah, ‘orang’ yang dimaksudkan itu ialah sahabat. Tidak mungkin orang di zaman kita atau orang di zaman tabi’in. Jadi bila kita baca hadith yang mengatakan Rasulullah pernah ditanya orang, maksudnya, yang bertanya itu ialah sahabat. Sahabat adalah orang yang beriman di zaman Rasulullah dan bertemu dengan Rasulullah. Manakala tabi’in ialah orang yang beriman yang bertemu dengan sahabat. Dan tabi’it tabi’in ialah orang yang beriman yang bertemu dengan orang yang bertemu dengan sahabat. Jadi, kita dapatlah memahami apa dia sahabat, tabi’in dan tabi’it tabi’in. Kita ini sudah tidak dapat hendak dihitung berapa kali tabi’it-tabi’it tabi’innya. Kita ini sudah di luar kira yang mana kalaulah kita dapat beijumpa dengan Rasulullah di dalam mimpi sahaja pun sudah memadai. Itu pun entah-entah kerana maklumlah, orang-orang seperti kita ini, jiwanya terlalu kotor.