Daripada Abu Hurairah ra yang pernah berkata bahawa Rasulullah s.a.w pernah ditanyakan berkenaan Siapakah orang yang paling mulia? Lalu jawab baginda: Orang yang paling mulia ialah orang yang paling bertaqwa. Kata mereka: Bukan tentang ini yang kami tanyakan. Baginda pun menjawab: Manusia yang paling mulia ialah Nabi Allah bin Nabi Allah bin Khalil Allah iaitu Yusuf bin Ya'qub bin Ishak bin Ibrahim. Kata mereka : Bukan tentang ini yang kami tanyakan. Kemudian Nabi s.a.w pun bersabda : Kalau begitu, apakah kamu ingin bertanya tentang siapakah orang Arab yang paling mulia kepadaku? Lalu baginda pun menyebut : “Sesungguhnya orang paling mulia dikalangan kamu pada masa jahiliyah, dialah orang yang paling mulia di antara kamu di dalam Islam sekiranya dia itu tafaqquh fiddin (yakni memahami agama).” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari)
Hebatkan jiwa:
Di dalam jasad manusia itu terdapat seketul daging yang disebut di dalam hadis sebagai penentu tabiat dan perangai manusia. Jika baik daging itu maka baiklah seluruh jasad dan jika buruk daging itu maka buruklah seluruh jasad. Jiwa kita adalah ibarat “bekas” dan ilmu Allah yang berupa Al-Quran dan As-sunnah itu ialah cahaya yang memberikan hidayah buat menerangi kegelapan.
Jiwa yang hebat menahan kejahatan:
Umar Al-khattab ra akhirnya memeluk Islam, tidak hairan kerana memang sudah sampai masanya sahaja ini kerana sifat Jahiliyyah itu tidak akan mampu menampung seorang manusia yang hebat.
Jahiliyyah, kebathilan dan kejahatan adalah kegelapan, sifatnya itu tidak akan mampu berjalan seiringan dengan “bekas yang cemerlang” yang mampu menyerap cahaya kebenaran.
Orang yang hebat tidak akan mampu ditanggung oleh kejahatan kerana peribadi dan jiwa-jiwa cemerlang ini akan menyusahkan kebathilan, akan menghalang kejahatan dan akan menganggu perjalanan dan percaturan jahiliyyah.
Kami tidak mampu menanggung engkau wahai anak khattab ! Kata Jahiliyyah.
Kami tidak mampu menipu anda lagi wahai Salman Al-Farisi ! Kata Kekufuran.
Kami tidak mampu menyesatkan engkau lagi wahai Abu Hassan Al-Asya’ari ! Kata Kebathilan.
Rasulullah s.a.w bersabda:
“ Perumpamaan hidayah dan ilmu yang aku bawa daripada Allah adalah bagaikan hujan yang lebat yang menimpa bumi maka ada bahagiannya yang subur dan yang mudah untuk menyerap air, lalu tumbuhlah pokok dan rumput yang banyak, dan ada pula bahagiannya yang keras yang hanya mampu menampung air tetapi tidak mampu menyerapnya, lalu manusia dapat mengambil manfaat daripadanya seperti minum, menyirami dan pengairi tanaman, dan ada pula bahagian yang lain iaitu bahagian tanah yang sama sekali tidak dapat menerima air dan tidak pula dapat menumbukan tanam-tanaman di atasnya.Demikianlah perumpamaan untuk orang yang memahami agama Allah (tafaqquh fid din), dia dapat mengambil manfaat daripada apa yang diberikan oleh Allah kepadaku, lalu dia mengetahuinya dan mengajarkannya kepada orang lain dan perumpamaan untuk orang yang tidak mengangkat kepala dengan itu dan perumpamaan untuk orang yang tidak dapat menerima hidayah yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepadaku".
(Riwayat Bukhari dan Muslim)