Abu Hurairah r.a menceritakan kisah seorang wanita yang biasa membersihkan masjid. Ketika Rasulullah s.a.w bertanyakan tentangnya, mereka menjawab :" Dia telah meninggal dunia." Nabi bersabda " Kenapa kamu tidak memberitahuku tentangnya?". Seolah-olah mereka meremehkan kedudukan wanita itu. Lalu Nabi s.a.w bersabda : " Tunjukkan kepada ku kuburnya." Mereka pun menunjukkan kubur wanita itu dan Rasulullah s.a.w menyolatkan jenazah (di atas kuburnya.
(Riwayat Muttafaun Alaih)
Imam Muslim dalam riwayatnya menambah bahawa selepas itu Rasulullah s.a.w bersabda : "Sesungguh alam kubur ini penuh dengan kegelapan bagi para penghuninya, dan Allah akan memberikan cahaya kepada mereka dengan permohonan rahmatku untuk mereka."
Daripada Ibnu Mas'ud, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : " Sesungguhnya di antara pesanan kepada ummat manusia dari para Nabi-nabi yang terdahulu ialah, " Jika kamu tidak mempunya rasa malu, maka tentulah kamu akan melakukan segala yang kamu ingin lakukan.""
(Riwayat Bukhari)
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda :
"Allah Ta'ala berfirman : "Aku (Rahmat Ku) selalu bersama hamba Ku yang mengingati Ku dan kedua bibir bergerak menyebut Ku."
(Riwayat Ibnu Majah, dinilai sahih oleh Ibnu Hibban, diriwayatkan oleh Bukhari secara Mu'allaq)
Daripada Abi Juhaim Ibnu Harith, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sekiranya orang yang lalu di hadapan orang yang sedang solat mengetahui akan dosa di atas perbuatan yang dilakukannya itu, tentulah jika berdiri selama empat puluh tahun lebih baik baginya daripada lalu di hadapan orang yang sedang solat"
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Daripada Rabi'ah Ibnu Ka'b Al-Aslami, Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepadanya :
"Mintalah kamu". Rabi'ah berkata : " Aku meminta agar dapat bersamamu di dalam Syurga". Nabi s.a.w bersabda "Kenapa tidak meminta yang lain?". Rabi'ah menjawab : "Hanya itulah yang aku minta." Nabi bersabda : "Jika begitu, bantulah aku agar dapat menunaikan permintaanmu itu dengan banyak melakukan sujud".
(Riwayat Muslim)