ALI BIN ABU TALIB (656-661 M)
Pada hakikatnya Ali bin Abu Talib telah mewarisi satu pemerintahan yang kucir-kacir, dan dia tidaklah berdaya memperbaikinya sehingga di tangannyalah tamatnya rangkaian Khulafaur-Rashidin. Ini bukan
kesalahannya seorang, bahkan tanggungjawab bersama, termasuk tokoh-tokoh sahabat sendiri. Sebagai seorang yang terkenal tegas dan radikal, sebaik sahaja Ali dilantik sebagai Khalifah dikeluarkannya beberapa ketetapan:
1. Memecat Gabenor-Gabenor lantikan Usman.
2. Merampas balik tanah-tanah yang dibahagikan oleh Usman kepada kaum kerabatnya secara tidak sah.
3. Mengubah pusat pentadbiran dari Madinah ke Khufah.
Sesungguhnya Ali dapat mempertahankan kebenaran tindakannya itu, tetapi cepatnya dia bertindak menyebabkan beberapa tokoh sahabat kurang menyenanginya. Sebaliknya pula Ali melambat-lambatkan tuntutan penyokong-penyokong Usman agar pembunuhannya segera disiasat dan dihukum. Dan faktor kelengahannya inilah yang menimbulkan tuduhan liar bahawa dia turut bersubahat dalam pembunuhan Usman. Seperti juga Usman, Ali sendiri kurang bermesyuarat dengan orang-orang terkemuka di zamannya. Pemah Talhah bin Ubaidullah dan Zubair Al-Awwam mencela sikapnya itu, tetapi Ali menjawab: “Apakah yang tidak saya ketahui, makanya saya harus mesyuaratkan?”
1. BERMULANYA PERANG SAUDARA DALAM SEJARAH ISLAM
i) Perang Jamal
Dari segi sejarah, peperangan Jamal merupakan perang saudara yang pertama sekali. Mulanya persiapan tentera Ali adalah untuk menghadapi tentera Muawiyah bin Abu Sufyan di Sham, tetapi tekanan suasana memaksa Ali membelok ke Basrah untuk menghadapi tentera Aishah r.a. Tentang Aishah ini bukan tidak ada sebabnya. Yang penting sekali bujukan beberapa orang tokoh, terutamanya Abdullah bin Zubair, anak saudaranya. Memang Aishah ingin membela kematian Usman, tetapi tidaklah sampai melalui peperangan. Antara Ali dengan Aishah memang sudah ada krisis peribadi. Misalnya Ali pernah dikatakan meragui kesucian Aishah dalam peristiwa Pesona Keji (Hadithul-ifki) sewaktu Perang Bani Mustaliq dulu. Apa lagi Ali kemudiannya ingin menyaingi ayahnya Abu Bakar dalam rebutan kuasa Khalifah. Adanya krisis ini memang diakui, tetapi tidaklah sampai memerlukan Aishah mengangkat senjata memerangi Ali. Atas tekanan Abdullah bin Zubairlah Aishah yang terus menerus teragak-agak itu sanggup berperang.
Bersama Aishah ialah Talhah bin Ubaidullah dan Zubair Al-Awwam yang pernah membaiat Ali dulu. Khabarnya tentangan mereka terhadap Ali ialah kerana mereka diketepikan oleh Ali dalam perlantikan Gabenor-Gabenor wilayah Yaman dan Iraq. Walau bagaimanapun pada 36 H. berlakulah peperangan Jamal di Al-Kharibah berhampiran Basrah. Memang pada mulanya tercapai persetujuan damai di antara Ali dengan Aishah untuk mengelakkan pertumpahan darah. Malangnya pengikut-pengikut Abdullah bin Saba’, terutamanya mereka yang terlibat dalam pembunuhan Usman telah menyerang pihak Aishah, sehingga peperangan tidak dapat dielakkan lagi.
Peperangan ini berakhir dengan kemenangan pihak Ali, namun Aishah tetap dimuliakan oleh Ali. Atas arahan Ali, Aishah dihantar oleh adiknya Muhammad bin Abu Bakar kembali ke Madinah. Khabamya sehingga wafatnya Aishah dikatakan sangat sedih dan menyesal di atas penglibatannya dalam peperangan itu. Pernah dia mengeluh: ‘Wahai, kalaulah aku menjadi pokok kayu! Wahai, kalaulah aku menjadi pokok likir!, Wahai, kalaulah aku telah lama mati!.. Dan apabila dia hampir wafat, dia berwasiat: “Jangan kuburkan aku di samping Rasulullah, kerana aku telah membuat kesilapan setelah ia meninggal”.
Mengenai Zubair AI-Awwam, dia sendiri melarikan diri dari peperangan tersebut kerana tidak meyakini betul tidaknya penentangan terhadap Ali. Melihat tindakannya itu Amru bin Jurmuz lalu membunuhnya. Begitu juga dengan Talhah yang telah dibunuh oleh Marwan Al-Hakam dari pihaknya sendiri kerana disyaki cuba melemahkan semangat perjuangan. Ada pun Abdullah bin Zubair, ia telah ditetak oleh AI-Ashtar, panglima Ali yang gagah terbilang. Tetakan tersebut tidak membawa kematian, namun dia tidak lagi mencampuri peperangan Jamal. Untuk beberapa waktu Abdullah seolah-olah tenggelam, tetapi kemudiannya timbul semula dengan gagahnya buat mencabar kerajaan Bani Umayyah.
ii) Peperangan Siffin
Kesilapan besar Ali ialah melucutkan secara mendadak jawatan Muawiyah bin Abu Sufyan sebagai Gabenor Sham yang telah dipegangnya sejak zaman Umar lagi. Tindakan ini benar-benar menyinggung perasaannya malah rakyat Sham juga yang belum pemah mengecap kemakmuran sehinggalah datangnya Muawiyah. Jadi dengan pemecatannya rakyat Sham sendiri yang sekian lama memulianya tidaklah begitu sukar untuk dikobar-kobarkan semangat mereka buat menentang Ali. Apa lagi Muawiyah sendiri bijak bermain politik dengan cara membentangkan baju gamis Usman yang berlumuran darah di mimbar bersama anak-anak jari isteri Usman yang terpotong sewaktu mempertahankan pukulan pemberontak-pemberontak ltu. Ini menyebabkan semangat rakyat meluap-luap.
Bagaimanapun Ali cuba memperlihatkan semangat toleransinya dengan mengutus Jarir bin Abdullah menemui Muawiyah. Hanya dengan kegagalan rundingan-rundingan itulah tercetusnya pertempuran di Siffin tersebut pada 37 H. Dan walaupun peperangan sudah bermula, namun Ali dengan 50,000 tenteranya masih berlembut dengan Muawiyah. Misalnya apabila pengikut-pengikut Muawiyah telah dapat menguasai satu kawasan yang banyak airnya, pengikut-pengikut Ali telah dihalangi dari meminumnya. Tetapi sebaliknya apabila ianya dikuasai oleh Ali, tidak pula dihalangi pengikut-pengikut Muawiyah meminumnya.
Dilihat dari segi kepimpinan dan kekuatan tentera, barisan Ali ternyata mempunyai potensi besar untuk mencapai kemenangan, dan memang sudah terbayang tanda-tanda untuk mencapainya. Sebaliknya di sisi Muawiyah terdapat barisan tentera yang lemah, ditambah pula dengan keretakan pucuk pimpinannya. Pernah terjadi di tengah-tengah peperangan itu, Ali menyerbu kepada Muawiyah dan berkata: “Hai Muawiyah, untuk apakah orang-orang ini akan terbunuh kerana kita berdua? Mari kita bertahkim kepada Allah. Barang siapa di antara kita dapat menewaskan lawannya, maka tidak ada orang yang akan mengganggu-gugatnya lagi.” Ketika itu Amru ibnul-Ass berada di samping Muawiyah, berkata kepadanya: “Hai Muawiyah, apa yang dianjurkan orang ini (Ali) adalah adil.” Muawiyah menjawab: “Tetapi apa yang engkau anjurkan itu tidak adil, hai Amru, kerana engkau menghasutku untuk berlawan dengan Ali, pada hal engkau tahu bahawa siapa saja yang berani melawannya satu-sama-satu pastilah tewasi!” Seterusnya Amru berkata lagi: “Tetapi satu-satunya jalan yang terbaik bagimu hanyalah menyambut tentangannya!” Jawab Muawiyah: “Sebenamya engkau ingin menjadi Khalifah, bila aku telah tewas nanti.”
Demikianlah kita melihat adanya tanda-tanda kemenangan di pihak Ali. Walau bagaimanapun Muawiyah tidak pula kehilangan akal, sebaliknya disuruhnya Amru mencari jalan keluar. Maka atas cadangan Amru, tentera-tentera Muawiyah diminta mengangkat mashaf Al-Quran sambil menyeru: “Inilah kitabullah yang akan menjadi hakim antara kami dan kamu!” Melihat julangan Al-Quran itu (Betulkah itu Al-Quran?) menyebabkan tentera Ali terpecah dua; satu yang menyokong gencatan senjata dan yang lain ingin meneruskan peperangan. Ada pun Ali meskipun sedar tipu helah Muawiyah, namun dia terpaksa bersetuju dengan kehendak ramai agar diadakan rundingan. Anehnya golongan (Khawarij) yang memintanya dihentikan pertempuran inilah yang nantinya menentang Ali pula, sambil menyalahkan Ali kerana menerima cadangan mereka!
Dalam perundingan ‘Tahkim’ tersebut, sekali lagi Amru sebagai wakil Muawiyah menjalankan siasatannya sehingga menyebabkan wakil Ali, Abu Musa Al-Shaari tertipu. Dengan menerima perlucutan Ali sebagai Khalifah, Amru lalu mengekalkan jawatan Muawiyah. Sebenarnya keputusan Tahkim Itu tidaklah penting bagi Muawiyah yang hanya ingin agar peperangan itu dihentikan. Dan di sini Muawiyah berhasil mencapai matlamatnya. Bahkan Iebih dari itu, ianya membawa perpecahan pula dalam kalangan pengikut-pengikut Ali – satu yang menyokongnya (Syiah) dan satu yang menentangnya (Khawarij). Dengan ini bukan sahaja Ali terpaksa menghadapi Muawiyah sekali lagi, bahkan terpaksa pula menghadapi musuh terbaru, iaitu golongan Khawarij.
Ketika mendedahkan sebab-sebab kemenangannya dalam menghadapi Ali, Muawiyah telah mengemukakan empat faktor:
1. Aku senantiasa menyembunyikan rahsia, sedangkan Ali suka membukakan rahsianya.
2. Aku mempunyai tentera yang terbaik dan amat patuh, sedangkan Ali mempunyai tentera yang paling jelik dan amat pembangkang.
3. Aku biarkan dia bertempur melawan pasukan Aishah. Kalau Ali kalah, mudah bagiku menghadapinya. Tetapi kalau dia menang, aku akan menuduhnya sebagai pembunuh mereka.
4. Aku lebih dicintai oleh orang-orang Quraisy daripada Ali.
2. LAHIRNYA MAZHAB-MAZHAB POLITIK
Kelahiran mazhab-mazhab politik dalam Islam adalah berasaskan persoalan-persoalan sekitar masalah kepimpinan, yakni siapakah yang Iebih berhak untuk menjadi Khalifah (pengganti Rasulullah). Sebetulnya masalah-masalah tentang pemilihan Khalifah ini bermula sejak wafatnya Rasulullah, apa lagi baginda sendiri tidak pula menentukan siapakah penggantinya, dan bagaimana pula cara pemilihannya. Ini menimbulkan beberapa aliran tertentu, seperti golongan-golongan pro Ansar, pro Quraisy dan pro Ali bin Abu Talib. Bagaimanapun aliran yang pro Quraisy menang, maka naiklah Abu Bakar dan Umar Al-Khattab sebagai Khalifah. Tetapi aliran yang pro Ali terus hidup, cumanya kurang berpengaruh berkat keadilan dan kebijaksanaan kedua-dua khalifah tersebut.
Dengan naiknya Usman bin Affan barulah aliran pro Ali hidup kembali, apa lagi dilihatnya bahawa Usman mengamalkan polisi nepotisme, yakni mementingkan keluarga Umayyah saja. Bagaimanapun tentangan-tentangan terhadap Khalifah Usman kelihatan terpencar-pencar di sana-sini, hinggalah munculnya Abdullah bin Saba’ yang menyatukannya di bawah slogan ‘Ahlul-bait.’ Lalu dipropagandanya bahawa Nabi telah berwasiat kepada Ali untuk menjadi khalifah sesudahnya. Dan untuk memperkuatkan teorinya, disebarkannya fahaman ‘Hak Ilahi’ (Devini Right) bahawa Allah yang berhak menjadi khalifah, kerana hal itu sudah ditentukan oleh Allah, dan Usman telah merampas hak itu dengan kekerasan. Jadinya pengasas gerakan pro Ali ialah Abdullah bin Saba’, seorang Yahudi yang memeluk Islam semata-mata untuk meruntuhkannya dari dalam.
Tetapi dengan berlakunya peristiwa Tahkim tersebut, terpecahlah pengikut-pengikut Ali kepada dua golongan; golongan Syiah yang menyokongnya dan golongan Khawarij yang menentangnya. Mengenai puak Syiah, pokok kepercayaan mereka berasaskan kepada fahaman bahawa Alilah yang lebih berhak menjadi khalifah, sedang Abu Bakar, Umar dan Usman telah merampas hak Ali tersebut. Maka adalah menjadi tugas mereka untuk mengembalikan hak-hak tersebut kepada yang empunya, iaitu keluarga Ali. Bagi mereka, soal Imamiah (kepimpinan) tidak termasuk kepentingan umum yang dapat diserahkan saja kepada rakyat untuk menetapkan siapa yang mereka kehendaki, sebaliknya merupakan ketetapan dari Rasulullah sendiri yang harus diterima sebagai dasar agama. Soal siapa pengganti Rasulullah dikatakan telah diwasiat lebih dulu kepada Ali, seperti yang terdapat pada Hadith ‘Ghadir Khum.’
Ada pun mengenai puak Khawarij, mereka dulunya adalah penyokong Ali juga. Tetapi kerana Ali menerima Tahkim (yang mereka sendiri memaksanya), mereka lalu menentangnya pula. Terdapat khalifah-khalifah sebelumnya, sikap mereka agak moderate. Mereka menyokong Abu Bakar, Umar dan juga tahun-tahun pertama pemerintahan Usman. Malah mereka juga menyokong Ali, tetapi kemudiannya menyalahkannya kerana menerima perundingan, dan kerana Ali dituduh kafir. Mereka juga mengkafirkan Abu Musa AI-Shaari, Amru ibnul-Ass, Muawiyah dan Usman. Mengenai soal pemerintahan, mereka berpendapat bahawa khalifah harus dipilih secara bebas dari segenap rakyat umat Islam; tidak semestinya dari puak Quraisy sahaja. Dan andai kata sudah dipilih maka dia adalah pemimpin umat Islam yang harus tunduk kepada hukum-hukum Allah, dan sekiranya dia menyeleweng dia harus dipecat.
Selain dari kedua-dua mazhab tersebut, timbul juga mazhab Murji’ah. Golongan ini timbul setelah mengetahui bahawa Khawarij mengkafirkan Usman dan Ali serta penyokong-penyokong Tahkim, juga setelah dilihatnya bahawa dalam Syiah juga ada mengkafirkan Abu Bakar, Umar, Usman dan pengikut-pengikut mereka. Setiap golongan dari umat Islam menganggap bahawa mereka saja yang benar sedangkan golongan lain sesat dan kafir. Maka datanglah aliran Murji’ah yang cuba mengkompromi semua golongan dan tidak mengkafirkan salah satunya. Bagi mereka, baik Syiah, Khawariji mahupun pengikut-pengikut Umayyah adalah orang-orang Mukmin, ada salahnya dan ada benarnya. Mereka tidak menentukan mana yang salah dan mana yang benar, sebaliknya menyerahkan saja kepada Allah. Sebab itulah mereka digelar Murji’ah, yakni golongan yang menangguhkan atau mengakhirkan persoalan-persoalan sehingga Hari Pembalasaan nanti. Antara mereka yang dapat digolongkan dalam puak ini ialah seperti Abi Bakrah, Abdullah bin Umar, Imran bin Al-Hussain dan Saad bin Abi Waqqas. Mereka terdiri daripada golongan yang enggan terlibat dalam penentangan-penentangan yang berlaku pada akhir pemerintahan Usman tersebut.
Demikianlah mazhab-mazhab yang timbul di zaman-zaman akhir Khulafaur-Rashidin. Baik golongan Syiah, Khawarij mahupun Murji’ah, semuanya itu asalnya bersifat politik semata-rnata. Bagaimanapun akhirnya mereka berubah menjadi mazhab agama, lantaran kecenderungan membicarakan soal-soal Aqidah dan Syariat.