UMAR AL-KHATTAB (634-644 M)
1. DASAR PENTADBIRAN
Ketika Umar menyoal sahabat-sahabatnya tentang sama ada dia telah menunaikan tugasnya dengan melantik mereka yang terbaik sahaja serta menasihatkan mereka agar berlaku adil dan bijaksana, mereka mengiakan. Sebaliknya Umar membantah dengan mengatakan: “Belum, aku belum menunaikan kewajipanku selagi aku
belum memeriksa apakah mereka ada menjalankan apa yang aku nasihatkan atau tidak”. Jadi bagi Umar, dengan melantik orang yang terbaik sahaja tidak memadai jika mereka tidak menunaikan tanggungjawab. Sebab itu telah menjadi kebiasaan baginya untuk meronda tengah malam dalam usahanya untuk mengetahui denyut nadi rakyatnya. Maka bertemulah dia dengan mereka yang daif dan yang memerlukan bantuan. Dan dengan tangannya sendirilah dia berusaha menolongnya tanpa sedikit pun diketahui oleh mereka bahawa dialah Khalifah Umar Al-Khattab!
Sungguh besar perhatiannya terhadap kebajikan rakyat sehingga di zamannyalah bermulanya sistem pentadbiran yang serba teratur. Dengan berdasarkan kepada prinsip ‘syura’, Umar telah membentuk Majlis Tertinggi dan Majlis Umum. Majlis Tertinggi adalah semacam jawatankuasa kabinet yang terdiri dari tokoh-tokoh besar seperti Usman Affan, Ali bin Abu Talib, Zaid bin Thabit, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqas dan Muaz bin Jabal. Sedangkan Majlis Umum pula sifatnya terbuka untuk rakyat dengan masjid sebagai tempat pertemuannya.
Untuk melicinkan pentadbiran wilayah, Umar telah melaksanakan dasar disentralisasi dengan membahagikan kepada lapan wilayah, iaitu Makkah, Madinah, Sham, Basrah, Syria, Kufah dan sebagainya yang masing-masirgnya mempunyai seorang Gabenor, seperti Amru ibnul-Ass, Muawiyah bin Abu Sufyan, Abu Musa Al-Shaari, Al-Mughjrah bin Abu Shu’bah, Abu Aidah Al-Jarrah dan lain-lainnya. Pada tiap-tiap wilayah itu dilantik pegawai-pegawai untuk mengetuai jabatan-jabatan tentera dan polis, cukai, kadi dan sebagainya. Walau bagaimanapun sebelum gabenor-gabenor tersebut dilantik, mereka haruslah mengisytiharkan harta benda masing-masing demi mengelakkan amalan rasuah. Mereka juga disyaratkan supaya tidak menunggang kuda Turki atau memakai pakaian yang mahal. Dan pada tiap-tiap musim Haji dikehendaki berada di Makkah untuk mendengar pengaduan rakyat.
Suatu langkah Umar yang nampaknya telah mendahului sejarah ialah apabila beliau menjalankan sistem pentadbiran yang dalam istilah perundangan moden dipanggil prinsip ‘perasingan kuasa’ (separation of power). Meskipun caranya agak berbeza dengan fahaman dan amalan masa kini, tetapi Umar telah berjaya melaksanakannya apabila para kadi diberi kebebasan untuk menjalan tugas-tugasnya, tanpa takutkan kuasa-kuasa politik. Pernah terjadi seorang Muslim meminta fatwa dari Hakim Ali bin Abu Talib, sedangkan Umar tidak sependapat dengan keputusan Ali tersebut. Namun Umar tidaklah bertindak agar keputusannyalah yang dipakai, apa lagi untuk memecat Hakim yang bertentangan pendapat dengannya.
Dari segi ekonomi, Umar telah menubuhkan Baitul-Mal. (perbendaharaan). Sumber utama kewangan negara tentunya dari kutipan zakat atau ‘Usyur (zakat tanaman), iaitu 1/10 jika menggunakan air hujan atau 1/20 jika menggunakan tenaga. Terhadap orang-orang bukan Islam pula, mereka dikenakan cukai Kharaj (cukai tanah) serta cukai Jizyah, iaitu cukai kepala kerana tinggal di dalam negara Islan. Selain dari itu, Baitul-Mal juga memperolehi hartanya dari al-Fai’, iaitu harta-harta rampasan musuh tanpa melalui peperangan, dan juga Ghanimah, iaitu harta-harta rampasan perang.
Dengan adanya sumber-sumber kewangan seperti ini, dapatlah Umar melaksanakan program-program sosialnya, seperti memberi elaun-elaun khas kepada rakyat. Dan dalam hal Ini, Umar mengutamakan keluarga Nabi (Ahlul-bait), seperti isteri-isteri Nabi serta anak-anak cucunya dan lain-lain. Kepada mereka diberikan 12,000 dirham setahun, sedangkan kepada kaum Muhajirin dan Ansar di antara 4,000-5,000 dirham setahun, golongan tentera biasanya 500-6000 dirham dan golongan kanak-kanak serta perempuan mendapat 200-400 dirham setahun. Dan kepada mereka yang tidak berdaya diberi imbuhan khas dan perlindungan, meskipun mereka adalah orang Yahudi! Dengan wujudnya sistem pembahagian sara hidup tersebut, Umar seolah-olah telah berjaya mengasaskan sebuah negara kebajikan (welfare state) seperti yang pernah diamalkan oleh setengah negara Barat masakini.
Dalam bidang pentadbiran tanah pula, Umar telah dapat menghapuskan pemerasan tuan-tuan tanah (landlords) terhadap kaum petani. Umar juga menggalakkan pembukaan tanah-tanah baru dengan memberikan hak milik kepada pengusahanya.
Tentang soal ketenteraan; Umar telah membahagikan tentera Islam kepada dua bahagian; mereka yang bertugas sepenuh masa (standing army) dan orang-orang awam yang dapat dikerahkan pada masa-masa tertentu (volunteer). Sebagai tentera sepenuh masa, mereka mendapat gaji tetap serta kemudahan-kemudahan sampingan lain, tetapi mereka tidak diberikan habuan tanah demi untuk mengelakkan mereka menetap di sesuatu tempat. Hanya tentera ‘volunteer’ sahaja mendapat habuan tanah tersebut.
Dari segi pendidikan, pusat-pusat pengajian Islam telah didirikan di kota-kota Basrah, Kufah, Fustat dan sebagainya. Guru-guru agama telah dihantar ke pusat-pusat ini, sedangkan imam-imam diadakan di masjid-masjid. Dan buat pertama kalinya Umar mengadakan kalendar (taqwim) Islam sendiri yang bermula dari peristiwa Hijrah Nabi ke Madinah.
Dengan adanya perubahan-perubahan pertadbiran seperti ini, serta sumbangan-sumbangan lain yang tidak disebutkan, maka tidak hairanlah jika Umar AI-Khattab digelar ‘Amirul-Mukminin; atau Raja orang-orang yang beriman. Bahkan di kalangan rakyat, istilah ‘Keadilan’ itu sinonim dengan nama Umar sendiri.
2. GERAKAN-GERAKAN MILITER
Gerakan-gerakan militer di zaman Umar tertumpu kepada jajahan-jajahan Rom serta wilayah Parsi sendiri, sebagai penerusan daripada gerakan-gerakan di zaman Abu Bakar dulu. Mengenai jajahan Rom, telah pun disentuh bahawa Khalid Al-Walid telah dipecat oleh Umar sebagai Pemimpin Umumnya sebaik sahaja beliau menjadi Khalifah. Sebab-sebab pemecatannya hingga diganti oleh Abu Ubaidah Al-Jarrah agak kabur. Ada pendapat mengatakan bahawa Khalid ikut menyokong Ali bin Abu Talib sebagai khalifah, dan ada pula yang menganggap bahawa Umar takut keperwiraan Khalid menyebabkan ramai yang akan menjadi mangsanya, atau mengkaguminya secara berlebih-lebihan. Pendapat mengatakan bahawa kecekapan Khalid hanyalah di bidang militer sahaja, sedangkan Abu Ubaidah mempunyai kelebihan di bidang diplomasi. Walau bagaimanapun pemecatannya tidaklah menggugat perasaannya, lagipun sebelum kedatangannya dulu Abu Ubaidahlah yang merupakan Pemimpin Umumnya.
Kekalahan di Damsyik menyebabkan Heraclius mengumpul semula kekuatannya sehingga dapat membentuk suatu ketumbukan berjumlah kira-kira 1.5 juta orang. Pimpinannya diserahkan kepada Jabalah ibnul-Aiham, raja terakhir kerajaan Ghassan dengan bantuan Mahan dari Armenia. Tentera Islam yang berjumlah 24,000 orang dipimpin oleh Abu Ubaidah sendiri. Maka berlakulah Peperangan Yarmuk pada 636 M, dan ianya begitu sengit sehingga Heraclius terpaksa sekali lagi berangkat dari Antioch menuju Constantinople (ibu kota Byzantine) pula setelah tenteranya dipukul. Kemudiannya tentera Islam terpecah dua, sebahagian menuju ke utara di bawah pimpinan Abu Ubaidah dan Khalid, dan bahagian lain menuju ke selatan dengan ketuanya Shurahbil dan Amru ibnul-Ass. Adapun Yazid bin Abu Sufyan sendiri harus menjaga Damsyik.
Dalam perjalanannya itu Abu Ubaidah dan Khalid telah menakluki Hems, Hama, Qinnisria, Laziqiyah dan Aleppo. Amru dan Shurahbil pula berjaya merebut Acre, Haifa, Jaffa, Ghazzah dan lain-lainnya, kecuali Baitul Maqdis sahaja yang belum menyerah. Tetapi ini pun tidak lama sebab penduduk-penduduknya sendiri ingin berdamai dengan syarat khalifah sendiri datang ke Jerusalem buat mengadakan perundingan. Demikianlah yang berlaku apabila Jerusalem menyerah kepada Umar pada 15 H. Kemudian Amru berangkat ke Qisariyah lalu mara pula ke Mesir dengan keizinan Umar. Dengan melalui Padang Pasir Sinai, Amru sampai ke Arisy dan seterusnya ke Farma. Sebulan lamanya kaum Muslimin mengepung Farma, akhirnya jatuh juga dengan sokongan penduduk-penduduk Mesir sendiri.
Dari Farma Amru mara ke Bulbais dengan menghadapi tentera Rom pimpinan Artibun yang sebelumnya melarikan diri dari Baitul Maqdis. Di sini juga tentera Islam memenanginya, tetapi dalam pertempuran di Ummu Dunain kemudiannya tentera Islam mengalami kesukaran. Oleh Amru diminta bantuan pusat, maka tibalah 4000 tentera tersebut yang dipimpin oleh Zubair Al-Awwam, Miqdad Al-Aswad, Muslimah bin Mukhlid dan Ubaidah Al-Samit. Maka bertemulah mereka dengan tentera Rom pimpinan Theodore yang berjumlah 20,000 di Ainus-Sham. Dengan kebijaksanaan Amru tercapailah kemenangan, tetapi sebahagian tentera Rom dapat melarikan diri ke benteng Babylon. Selama 7 bulan kaum Muslimin mengepungnya, akhirnya baru diberi tiga pilihan kepada Muqauqis (Gabenor Rom di Mesir) sama ada mahu masuk Islam, membayar jizyah atau berperang. Melihat kekuatan tentera Islam yang cukup berdisiplin itu Muqauqis memilih perdamaian saja dengan membayar pajak. Meskipun tindakannya ini dibantah keras oleh Heraclius, tetapi Muqauqis tidak mempedulikannya.
Buat mengakhiri sin serangan terhadap Rom, kaum Muslimin terus mara ke Iskandariyah, ibu kota Mesir. Disebabkan benteng pertahanannya agak kuat, sukarlah kaum Muslimin menyerangnya. Maka timbullah semacam kelemahan semangat untuk meneruskan pertempuran. Hanya setelah tibanya surat dari Umar yang membidas sikap tersebut itulah baru mereka bertekad untuk berjuang habis-habisan sehingga sanggup memanjati benteng tersebut. Ini menyebabkan tentera Rom melarikan diri ke kapal mereka yang berlabuh di laut. Akhirnya dengan penerimaan syarat-syarat perdamaian oleh Muqauqis itu maka jatuhlah seluruh Mesir ke bawah kekuasaan Islam setelah sekian lama dijajah oleh kerajaan Rom.
Mengenai Parsi pula, sebaik sahaja Umar menggantikan Abu Bakar, segera dikirimkannya bantuan tentera pimpinan bersama Abu Ubaid Al-Saqafy dan Sulait Al-Ansary kepada Al-Muthana yang baru mengambil alih pimpinan Khalid Al-Walid dulu. Maka berlakulah Peperangan Jambatan sebanyak dua kali berhampiran dengan AI-Hirah pada 13 H. Tentera Parsi yang dipimpin oleh Rustum telah mencapai kemenangan sehingga Abu Ubaid dan Sulait sendiri terbunuh. Ini menyebabkan Umar membekukan gerakan ketenteraan selama setahun sambil melengkapi persiapannya. Untuk menebus kekalahan tersebut, pada 15 H. Umar lalu menghantar satu pasukan tentera pimpinan bersama Al-Muthana dan Jarir bin Abdullah yang hasilnya berjaya memukul tentera Parsi pimpinan Mahran.
Kemenangan ini mendorong Umar melantik Saad bin Abi Waqqas mengetuai angkatan tentera seramai 10,000 untuk menghadapi tentera Parsi yang berjumlah 120,000 pimpinan Rustum. Turut membantu Saad ialah AI-Mugirah bin Abi Shu’bah, Dais bin Hubairah dan dan Tulaihah bin Khuailid, salah seorang nabi palsu dulu. Ketika bertemu, kedua belah pihak cuba mencari penyelesaian agar peperangan dapat dihindari. Malangnya satu rombongan diplomatik untuk mengadap Maharaja Parsi di Madain telah dibunuh oleh Rustum, kecuali ketua rombongan Nukman bin AI-Mughirah. Akibatnya tercetuslah Pertempuran AI-Qadisiyah yang hebat selama tiga hari yang menyebabkan kekalahan teruk di pihak Parsi, sementara tentera Islam telah memperoleh banyak harta rampasan. Malah Rustum sendiri telah dibunuh oleh Hilal bin AI-Qamah.
Dengan kemenangan ini memaksa mereka untuk mencapai kemenangan muktamad. Ketika tentera Islam berjaya merebut Bahrain yang terletak di bahagian bandar Madain; ibu kota Parsi, tentera Parsi terus menyeberangi Sungai Dajlah lalu membinasakan jambatannya. Begitupun tentera-tentera Islam dapat juga menyeberanginya dengan kuda sehingga gugup tentera Parsi dibuatnya. Akhirnya Madain dapat ditawan, tetapi Maharaja Yazdajird bin Shahriar telah berangkat ke Helwan dengan memindahkan segala alat-alat kebesarannya di situ.
Di Helwan Yazdajird lalu menyusun kembali angkatannya di samping meminta bantuan di sana-sini. Dengan terkumpulnya bala tentera tersebut di suatu tempat bersama Jalaula, mereka menggali parit di sekelilingnya. Tetapi tentera Islam berjaya juga merempuhnya sehingga dapat memenanginya. Ini menyebabkan Yazdajird sekali lagi berangkat dari Helwan menuju Nihawand. Di sini dia sempat mengumpul kembali tenteranya seramai 100,000 orang pimpinan Firzan. Dan agar mereka tidak melarikan diri, tenteranya telah dirantaikan sesamanya. Pimpinan tentera Islam dipegang oleh Nukman Al-Muqarrin setelah Saad bin Abi Waqas dipecat kerana setengah tindakannya di Kufah tidak direstui oleh Umar. Dalam Pertempuran Nihawand pada 19 H. ini kaum Muslimin mencapai kemenangan gemilang. Dan buat menamatkan siri ini tentera Islam terus menakluki Ahwaz, Kashan, Qam dan Azerbaijan. Ada pun Yazdajird sendiri tidaklah berdaya lagi untuk melawan, dan pada 31 H. dia dibunuh di Khurasan. Sejak ini jadilah wilayah Parsi di bawah perintah Islam.
Demikianlah di zaman Umar Al-Khattab jatuhnya Empayar Parsi serta jajahan-jajahan Rom ke tangan Islam. Kejatuhan Rom dan Parsi sesungguhnya amat memalukan, kerana selama berabad-abad kedua-duanya sangat terkenal sebagai kuasa-kuasa besar yang sangat menggerunkan.