Manusia telah diciptakan oleh Allah SWT dengan tujuan yang telah ditentukanNya, iaitu untuk menjadi hambaNya dan khalifahNya di muka bumi. Allah telah menciptakan Adam dari tanah liat, walaupun dari tanah namun ia telah menerima roh daripada Allah SWT yang menjadikannya makhluk yang istimewa. Manusia diciptakan oleh Allah sebagai sebaik-baik kejadian (ahsanu taqwim), secara
fizikalnya ia lebih baik dari makhluk-makhluk yang lain. Lebih dari itu, ia juga memiliki aspek rohani dan intelek yang tidak dimiliki oleh ciptaan Allah yang lain. Manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah SWT (walaqad karramna bani Adam), namun jika anugerah ini tidak digunakan dengan sebaiknya maka ia akan menjadi makhluk yang terburuk dan hina di muka bumi.
Maka itulah Allah SWT telah menurunkan para nabi dan rasul untuk membimbing manusia agar tidak melupakan tujuan ia diciptakan dan peranannya di dunia. Allah telah menciptakan manusia dengan satu kelemahan iaitu sifat alpa. Para nabi dan rasul telah dipilih oleh Allah SWT dari kalangan yang terbaik yang dapat menjadi contoh dan tauladan bagi segenap umat manusia. Dari segi akhlaknya, keperibadiannya, kecerdasannya, kebijaksanaannya, nasabnya mereka amat disegani dan disanjung tinggi. Mereka dikurniakan ilmu dan kebenaran oleh Allah dan mendapat pendidikan daripadaNya. Allah SWT menurunkan wahyu kepada mereka bagi menerangkan hakikat ketuhanan, hari akhirat, hakikat manusia, hakikat kebenaran, keadilan, kebahagiaan dsb. Mesej penting yang ingin disampaikan adalah agar manusia tidak menyekutukan Allah SWT dan beribadah hanya kepadaNya.
Allah SWT berfirman dalam al-Anbiya’:25 (lihat juga al-Nahl 36):
“Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu”.
Risalah para nabi dan rasul yang diutus oleh Allah adalah sama. Semua nabi dan rasul menyerukan Tawhid. Kalimat al-Tawhid adalah La ilaha illa Allah dan ia tidak dapat dipisahkan dengan pasangannya Muhammadan Rasulu’Llah. Kerana pengakuan terhadap Allah sebagai Tuhan sebenar tidaklah benar dan hanya menjadi pengakuan yang palsu jika seseorang itu menolak apa yang Allah SWT perintahkan iaitu mengikuti pesuruhNya di akhir zaman ini iaitu Rasulullah Muhammad saw. Islam adalah agama satu-satunya yang diturunkan oleh Allah, yang disempurnakan pada hayat Baginda Rasulullah saw.
Rasulullah saw tidak membawa agama yang baru yang berbeza dengan agama yang dibawa oleh para nabi dan rasul sebelumnya. Semua nabi dan rasul membawa agama yang sama, agama yang intinya adalah mentawhidkan Allah SWT. Yang membezakan mereka adalah shari’ah dan manhaj. Sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an:
“Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya”.
Terdapat sebahagian orang Islam yang keliru berpandangan bahawa, oleh kerana masing-masing nabi dan rasul diutus oleh Allah dengan shari’at yang berbeza kepada kaumnya, maka perbezaan antara Islam, Yahudi dan Nasrani adalah perbezaan luaran yang tidak penting kerana pada hakikatnya masing-masing mengakui dan beriman kepada Tuhan yang sama. Pandangan seperti ini adalah pandangan yang mengelirukan yang sengaja disebarkan agar umat Islam menerima faham Pluralisme Agama.
Terdapat hakikat yang dilupakan oleh mereka yang mendukung faham pluralisme agama iaitu penyelewengan yang berlaku dalam agama Yahudi dan Nasrani sehingga terkeluar daripada ajaran Tawhid yang disampaikan oleh Nabi Musa dan Nabi Isa alayhimassalam. Al-Qur’an banyak membongkar penyelewengan yang telah mereka lakukan dan menempelak mereka dengan cukup keras.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Tawbah: 30:
“Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?”
“Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran). Mereka sentiasa mengubah Kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya.”(al-Ma’idah:13).
Dalam surah al-Ma’idah: 73 Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
Di kalangan pendukung pluralisme agama ada yang berhujah dengan menggunakah ayat al-Qur’an dalam surah Ali ‘Imran ayat 64:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.
Seruan untuk berdialog dalam Islam terhadap Ahl al-Kitab dalam surah Ali ‘Imran di atas adalah seruan agar mereka balik ke pangkal jalan. Supaya menerima Tawhid dan tidak menyekutukan Allah. Seruan dibuat agar mereka mahu mengakui mesej asal agama mereka sendiri sebelum diselewengkan oleh para rahib dan pendeta mereka. Rasulullah hanya mahu agar mereka mengikuti ajaran asal para nabi mereka. Jika mereka enggan menerima tawhid ini maka wujudlah garis pemisah yang membezakan agama yang benar di sisi Allah dengan agama yang salah. Namun ayat seruan untuk berdialog tersebut ditafsirkan oleh para pendukung pluralisme agama sebagai satu platform persamaan yang wujud antara agama-agama samawi. Mereka cuba menolak wujudnya perbezaan asasi dari segi teologi dan aqidah antara Islam dan agama Yahudi dan Nasrani, bahkan dengan semua agama.
Imam Fakhr al-Din al-Razi dalam tafsirnya Mafatih al-Ghayb mengatakan bahawa golongan Ahl al-Kitab ini telah gagal menepati tiga tuntutan Tawhid yang disebutkan dalam ayat di atas iaitu: Pertama, tidak beribadah kecuali hanya kepada Allah dan tidak menuhankan al-Masih, kedua, tidak mensyirikkan Allah dengan konsep tritini yang mereka ciptakan dan ketiga, tidak mentaati para rahib mereka dalam penghalalan dan pengharaman tanpa disyari’atkan oleh Allah. Justeru tindakan Ahl al-Kitab mempertahankan ketiga-tiga perkara tersebut dan berpaling dari Tawhid ini perlu diperhatikan dan dijadikan garis pemisah. Oleh itu, jelas bahwa tidak wujud persamaan antara Islam, Yahudi dan Nasrani dan mereka telah menolak seruan untuk mentawhidkan Allah yang sebenarnya telah diserukan oleh para nabi mereka sendiri.
Agama selain Islam tidak diterima oleh Allah SWT. Hal ini ditegaskan dalam Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran: 19 yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya”.
Kerana itu anggapan bahawa Allah menurunkan banyak agama dan semuanya sah di sisi Allah adalah tidak benar. Bahkan dalam surah Ibrahim: 18 disebutkan bahawa amal kebaikan yang dilakukan oleh mereka akan menjadi sia-sia di Akhirat. Namun demikian, ketika Islam menegaskan kebenaran risalah Tawhid yang dibawa oleh nabi Muhammad saw, dan hakikat bahawa ia telah memansukhkan shari’at yang dibawa oleh para rasul yang lain, ini tidak bermakna umat Islam harus memusuhi dan membenci penganut Yahudi dan Nasrani. Seorang Muslim diajarkan untuk menerima dan menghormati penganut agama lain untuk hidup dengan harmoni bersama-sama dengan orang Islam. Dalam Islam tidak ada paksaan, Islam memberikan kebebasan kepada penganut agama lain untuk wujud dan hidup bersama-sama umat Islam sebagaimana tertera dalam piagam Madinah (sahifat al-madinah). Sejarah mencatat bahwa Islam adalah agama yang cukup toleran, tasamuh dan hormat berbanding agama-agama lainnya.