Seorang wanita berhati mulia, pemimpin
para ibu. Seorang ibu yang telah menganugerahkan anak tunggal yang mulia
pembawa risalah yang lurus dan kekal, rasul yang bijak pembawa hidayah. Dialah
Aminah binti Wahab. Ibu dari Muhammad bin Abdullah yang diutus Allah sebagai
rahmat seluruh alam. Cukuplah baginya kemuliaan dan kebanggaan yang tidak dapat
dimungkiri, bahawa Allah azza wa jalla memilihnya sebagai ibu seorang rasul
mulia dan nabi yang terakhir.
Berkatalah Muhammad puteranya tentang
nasabnya. “Allah telah memilih aku dari Kinanah, dan
memilih Kinanah dari suku Quraisy bangsa Arab. Aku berasal dari keturunan
orang-orang yang baik, dari orang-orang yang baik, dari orang-orang yang baik.”
Dengarlah sabdanya lagi, “Allah memindahkan aku dari
sulbi-sulbi yang baik ke
rahim-rahim yang suci secara terpilih dan terdidik. Tiadalah bercabang dua,
melainkan aku di bahagian yang terbaik.”
Aminah bukan cuma ibu seorang rasul
atau nabi, tetapi juga wanita pengukir sejarah. Kerana risalah yang dibawa
putera tunggalnya sempurna, benar dan kekal sepanjang zaman. Suatu risalah yang
bermaslahat bagi ummat manusia. Berkatalah Ibnu Ishaq tentang Aminah binti
Wahab ini. “Pada waktu itu ia merupakan gadis yang termulia nasab dan
kedudukannya di kalangan suku Quraisy.”
Menurut penilaian Dr. Bint Syaati
tentang Aminah ibu Muhammad iaitu. “Masa kecilnya dimulai dari lingkungan
paling mulia, dan asal keturunannya pun paling baik. Ia (Aminah) memiliki
kebaikan nasab dan ketinggian asal keturunan yang dibanggakan dalam masyarakat
aristokrasi (bangsawan) yang sangat membanggakan kemuliaan nenek moyang dan
keturunannya.”
Aminah binti Wahab merupakan bunga yang
indah di kalangan Quraisy serta menjadi puteri dari pemimpin bani Zuhrah.
Pergaulannya senantiasa dalam penjagaan dan tertutup dari pandangan mata.
Terlindung dari pergaulan bebas sehingga sukar untuk dapat mengetahui jelas
penampilannya atau gambaran fizikalnya. Para sejarawan hampir tidak mengetahui
kehidupannya kecuali sebagai gadis Quraisy yang paling mulia nasab dan
kedudukannya di kalangan Quraisy.
Meski tersembunyi, baunya yang harum
semerbak keluar dari rumah bani Zuhrah dan menyebar ke segala penjuru Makkah.
Bau harumnya membangkitkan harapan mulia dalam jiwa para pemudanya yang
menjauhi wanita-wanita lain yang terpandang dan dibicarakan orang.
Allah memilih Aminah “Si Bunga Quraisy”
sebagai isteri Abdullah bin Abdul Muthalib di antara gadis lain yang cantik dan
suci. Ramai gadis yang meminang Abdullah sebagai suaminya seperti Ruqaiyah
binti Naufal, Fatimah binti Murr, Laila al Adawiyah, dan masih ramai wanita
lain yang telah meminang Abdullah.
Ibnu Ishaq menuturkan tentang Abdul
Muthalib yang membimbing tangan Abdullah anaknya setelah menebusnya dari
penyembelihan. Lalu membawanya kepada Wahab bin Abdu Manaf bin Zuhrah - yang
waktu itu sebagai pemimpin bani Zuhrah - untuk dikahwinkan dengan Aminah.
Abdullah adalah pemuda paling tampan di
Makkah. Paling memukau dan paling terkenal di Makkah. Tak hairan, jika ketika
ia meminang Aminah, ramai wanita Makkah yang patah hati.”
Cahaya yang semula memancar di dahi
Abdullah kini berpindah ke Aminah, padahal cahaya itulah yang membuat
wanita-wanita Quraisy rela menawarkan diri sebagai calon isteri Abdullah.
Setelah berhasil mengahwini Aminah, Abdullah pernah bertanya kepada Ruqaiyah
mengapa tidak menawarkan diri lagi sebagai suaminya. Apa jawab Ruqayah, “Cahaya
yang ada padamu dulu telah meninggalkanmu, dan kini aku tidak memerlukanmu
lagi.”
Fatimah binti Murr yang ditanyai juga
berkata, “Hai Abdullah, aku bukan seorang wanita jahat, tetapi kulihat aku
melihat cahaya di wajahmu, kerana itu aku ingin memilikimu. Namun Allah tak
mengizinkan kecuali memberikannya kepada orang yang dikehendakiNya.” Jawaban
serupa juga disampaikan oleh Laila al Adawiyah. “Dulu aku melihat cahaya
bersinar di antara kedua matamu kerana itu aku mengharapkanmu. Namun engkau
menolak. Kini engkau telah mengahwini Aminah, dan cahaya itu telah lenyap
darimu.”
Memang “cahaya” itu telah berpindah
dari Abdullah kepada Aminah. Cahaya ini setelah berpindah-pindah dari
sulbi-sulbi dan rahim-rahim lalu menetap pada Aminah yang melahirkan Nabi
Muhammad SAW. Bagi Muhammad merupakan hasil dari doa Ibrahim bapanya.
Kelahirannya sebagai khabar gembira dari Isa saudaranya, dan merupakan hasil
mimpi dari Aminah ibunya. Aminah pernah bermimpi seakan-akan sebuah cahaya
keluar darinya menyinari istana-istana Syam. Dari suara ghaib ia mendengar,
“Engkau sedang mengandung pemimpin ummat.”
Masyarakat di Makkah selalu
membicarakan, kedatangan nabi yang ditunggu-tunggu sudah semakin dekat. Para
pendita Yahudi dan Nasrani, serta peramal-peramal Arab, selalu membicarakannya.
Dan Allah telah mengabulkan doa Ibrahim as. seperti disebutkan dalam Surah al
Baqarah ayat 129. “Ya Tuhan kami. Utuslah bagi mereka seorang rasul
dari kalangan mereka.” Dan terwujudlah khabar gembira dari Isa as.
seperti tersebut dalam Surah as Shaff ayat 6. “Dan memberi khabar
gembira dengan (datangnya) seorang rasul yang akan datang sesudahku, namanya
Ahmad (Muhammad). Benar pulalah tentang ramalan mimpi Aminah tentang cahaya
yang keluar dari dirinya serta menerangi istana-istana Syam itu.”
Aminah adalah pemimpin para ibu, kerana
ia ibu Nabi Muhammad yang dipilih Allah sebagai rasul pembawa risalah untuk
ummat manusia hingga akhir zaman. Muhammadlah penyeru kebenaran dan keadilan
serta kebaikan berupa agama Islam. “Dan barangsiapa memilih agama
selain Islam, maka tiadalah diterima (agama itu) darinya. Dan di akhirat termasuk
orang-orang yang rugi.”
(Ali Imran: 85)
Saat menjelang wafatnya, Aminah
berkata: “Setiap yang hidup pasti mati, dan setiap yang baru pasti usang.
Setiap orang yang tua akan binasa. Aku pun akan wafat tapi sebutanku akan
kekal. Aku telah meninggalkan kebaikan dan melahirkan seorang bayi yang suci.”
Diriwayatkan oleh Aisyah dengan
katanya, “Rasulullah SAW memimpin kami dalam melaksanakan haji wada’. Kemudian
baginda lalu dekat kubur ibunya sambil menangis sedih. Maka aku pun ikut
menangis kerana tangisnya.”
Betapa harumnya nama Aminah, dan betapa kekalnya namanya nan abadi. Seorang ibu yang luhur dan agung sebagai ibu Muhammad manusia paling utama di dunia, paling sempurna di antara para nabi, dan sebagai rasul yang mulia. Aminah binti Wahab adalah ibu kandung rasul yang mulia. Semoga Allah memberkahinya.
Betapa harumnya nama Aminah, dan betapa kekalnya namanya nan abadi. Seorang ibu yang luhur dan agung sebagai ibu Muhammad manusia paling utama di dunia, paling sempurna di antara para nabi, dan sebagai rasul yang mulia. Aminah binti Wahab adalah ibu kandung rasul yang mulia. Semoga Allah memberkahinya.