Perhiasan Rumah Sama Dengan Perhiasan Pakaian
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda
Hari qiamat tidak akan tiba, sehingga manusia membina rumah dan melukisnya sebagai lukisan pakaian (Hadis Riwayat Bukhari)
Masjid Menjadi Tempat Urusan Dunia Sahaja
Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda
Akan datang kepada manusia suatu masa, percakapan mereka dalam masjid hanyalah mengenai urusan dunia semata. Allah Subhanahu Wa Ta'ala tidak memerlukan mereka. Dan janganlah kamu duduk bersama mereka (pada waktu dalam masjid)
(Hadis Riwayat al-Hakim)
Golongan Yang Menjadikan Lidahnya Sebagai Alat Untuk Mencari Makan
Daripada Sa’ad bin Abi Waqash r.a. berkata bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda
Tidak akan terjadi qiamat, sebelum muncul suatu golongan yang mencari makan melalui lidah-lidah mereka, seperti lembu yang makan dengan lidah-lidahnya.
(Hadis Riwayat Ahmad)
Melimpahnya Harta Benda Dan Luasnya Perniagaan Serta Banyak Media Massa
Dari Umar bin Tsa’lab r.a. berkata bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda
Sebahagian dari tanda-tanda dekatnya hari qiamat, adalah tersebarnya (melimpahnya) harta benda dan luasnya perniagaan. Dan pena-pena akan bermunculan yang menunjukkan banyaknya bacaan dan tulisan
(Hadis Riwayat An-Nasa’i)
Ramai Orang Muda Menyebut Dalil Agama
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda
Akan muncul di akhir zaman nanti, suatu kaum yang terdiri dari orang-orang muda yang masih mentah fikirannya (cetek faham agamanya). Mereka banyak mengucapkan perkataan Khairil Bariyah (firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan hadis Rasul), tetapi iman mereka masih lemah. Pada hakikatnya mereka telah keluar agama seperti anak panah yang lepas dari busurnya. Di mana sahaja kamu dapat menemuinya, maka hapuskanlah mereka itu, siapa yang dapat menghapus mereka, kelak akan mendapat pahala di hari qiamat.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Al-Quran Sebagai Alat Propaganda
Ali bin Thalib r.a. berkata bahawa beliau mendengar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda
Kelak akan muncul di antara umatku suatu kaum yang membaca Al-Quran bukan seperti lazimnya kamu membaca, dan solatmu jauh berbeza dengan cara mereka bersolat. Mereka membaca Al-Quran dengan mengira bahawa Al-Quran itu sebagai alat propaganda mereka, padahal Al-Quran itu berisi peringatan yang harus mereka junjung. Bacaan mereka itu tidak melebihi kerongkongnya (tidak sampai meresap ke dalam hati). Mereka itu sebenarnya keluar dari Islam, bagaikan anak panah yang lepas dari busurnya.
(Hadis Riwayat Muslim)
Menunjuk-Nunjuk Ketika Berdoa
Dari Saad r.a. bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda
Kelak akan terdapat kaum yang berlebih-lebih (menunjuk-nunjuk) dalam berdoa.
(Hadis Riwayat Ahmad)
Merasa Rendah Dalam Ibadah
Dari Abu Sa’id Al-Kudri r.a bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda
Akan muncul di antara kamu suatu kaum, kamu merasa rendah dalam melakukan solat dibanding dengan mereka, amal perbuatanmu jika dibandingkan dengan perbuatan mereka dan puasa-mu jika dibanding dengan puasa mereka. Mereka membaca Al-Quran tetapi tidak sampai melalui tenggoroknya. Mereka sebenarnya keluar dari agama bagaikan anak panah yang terlepas dari busurnya, jika di hujung panah dilihat, tidak ada bekas apa-apanya juga di kayunya tidak ada apa-apanya juga di bulunya tidak terdapat apa-apa, tetapi berlumba-lumba dalam senarnya.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Imam Yang Melambatkan Waktu Solat
Dari Ibnu Ame r.a bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda
Sesungguhnya nanti selepas peninggalanku akan terjadi para imam mengakhirkan solat dari waktunya. Oleh kerana itu hendaklah kamu mengerjakan solat tepat pada waktunya. Jika kamu datang bersama mereka untuk mengerjakan solat, maka bersolatlah kamu
(Hadis Riwayat at-Thabrani)
Kaum Yang Meminum Ayat-Ayat Al-Quran
Dari Uqbah bin Amir r.a. bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda
Kelak akan muncul suatu kaum dari umatku. Mereka meminum Al-Quran seperti meminum susu
(Hadis Riwayat at-Thabrani.)
Ulat-ulat Qurra'
Dari Abu Umamah r.a. bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda
Kelak pada akhir zaman akan ada ulat-ulat qurra’ (ahli baca Al-Quran). Barangsiapa yang berada pada masa itu, hendaklah ia berlindung kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dari mereka
(Hadis Riwayat Abu Nu’aim)
Orang Mukmin Lebih Hina Daripada Haiwan
Dari Anas r.a. bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda
Akan datang atas manusia suatu masa, di mana keadaan orang mukmin pada masa itu lebih hina daripada haiwan (domba)
(Hadis Riwayat Ibnu Asakir)
Ulama Yang Merugikan Umat Dan Agama
Abdullah bin Abbas r.a berkata bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda
Sesungguhnya akan terdapat (akan ada) orang-orang dari umatku yang pandai (amat faham dan ahli) tentang urusan agama dan membaca Al-Quran, mereka berkata:“Kami datang kepada para Raja (pemimpin), biar kami memperolehi keduniaan mereka dan kami tidak akan mencampurkan mereka dengan agama kami.” Tidak terjadi hal yang demikian itu, seperti (umpamanya) tidak akan dapat dipungut dari pohon yang berduri melainkan duri. Demikian pula, tidak akan dapat diambil manfaat dari mendekatkan diri kepada mereka itu melainkan beberapa kesalahan belaka.
(Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Golongan Mengerjakan Ibadat Haji
Dari Anas bin Malik r.a. bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda
Kelak apabila akhir zaman terdapat empat golongan mengerjakan ibadat haji iaitu:
1) Para pemimpin mengerjakan ibadat haji hanya untuk ‘makan angin’,
2) Terdapat orang kaya pergi haji hanya untuk berniaga,
3) Ramai fakir miskin pergi haji dengan tujuan untuk mengemis,
4) Ahli qira’at (pembaca Al-Quran) mengerjakan ibadat haji hanya untuk mencari nama dan kemegahan.”
(Hadis Riwayat Ahmad)
Penduduk Mekkah Akan Meninggalkan Kota Mekkah
Dari Umar r.a berkata bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda
Kelak penduduk Mekkah akan keluar meninggalkan Mekkah; kemudian yang meninggalkan itu tidak akan kembali lagi kecuali hanya sebahagian kecil sahaja. Kemudian yang sedikit itu menjadikan kota itu penuh bangunan. Kemudian mereka keluar lagi dari kota itu dan tidak kembali selamanya
(Hadis Riwayat Ahmad)
Seburuk-buruk Manusia
Dari Abu Umamah r.a. bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda
Kelak akan ada orang-orang dari Umatku (Islam) memakan berbagai macam makanan dan memakai berbagai pakaian, banyak berbicara tanpa difikirkan dahulu apa sebetulnya yang dibicarakan itu, maka itulah seburuk-buruk manusia dari sebahagian Umatku (Islam).
(Hadia Riwayat at-Thabrani dan Abu Nu’aim)
Taqwa dan Perpaduan Asas Keselamatan di Akhir Zaman
Dari Abi Nijih ‘Irbadh bin Sariyah r.a. berkata, telah menasihati kami oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami. Lalu Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pun bersabda,
Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat.
(Hadis Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)
Dunis Islam menjadi Sasaran Pemusnahan
Dari Ummul Mu’minin , Zainab binti Jahsy (isteri Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam), beliau berkata,
“Pada suatu hari Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Yakjuj dan Makjuj seperti ini",
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menemukan ujung jari dan ujung jari yang sebe!ahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyararkan seperti bulatan.
Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya:
“Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan dikalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?”
Lalu Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,
“Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Seluruh Dunia Datang Mengerumuni Dunia Islam
Dari Tsauban r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.
Maka salah seorang sahabat bertanya:
Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab,
Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan.
Seorang sahabat bertanya,
Apakah wahan itu hai Rasulullah?
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab,
Cintakan dunia dan takutkan mati.
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Ilmu Agama Akan Beransur-Ansur Hilang
Dari Abdullah bin Amr bin ‘ash r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Bahawasanya Allah Subhanahu Wa Ta'ala tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah Subhanahu Wa Ta'ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.
(Hadis Riwayat Muslim)
Golongan Anti Hadis
Dari Miqdam bin Ma’dikariba r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Hampir tiba suatu masa di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadisku maka dia berkata:
Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah (Al Quran) sahaja. Apa yang di halalkan oleh Al Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan.
Kemudian Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam melanjutkan sabdanya,
Padahal apa yang diharamkan oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Golongan Yang Sentiasa Menang
Dari Mughirah bin Syu’ bah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang menang (dalam perjuangan mereka), sehinggalah sampai suatu saat yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala mereka sentiasa menang.
(Hadis Riwayat Bukhari)
Islam Kembali Asing
Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Islam mula tersebar dalam keadaan asing, dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing.
(Hadis Riwayat Muslim)
Bahaya Kemewahan
Dari Ali bin Abi Thalib r.a., “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam melihat kepadanya, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekkah). Kemudian Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Kaabah?
Maka jawab sahabat,
“Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki”.
Lalu Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,
Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu.
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Umat Islam Memusnahkan Orang Yahudi
Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Tidaklah akan berlaku qiamat, sehingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi sehingga kaum Yahudi itu bersembunyi di sebalik batu dan pohon kayu, lalu batu dan pohon kayu itu berkata, “Hai orang Islam, orang Yahudi ada dibelakangku. Kemarilah! Dan bunuhlah dia!”, kecuali pohon gharqad (semacam pohon yang berduri), kerana sesungguhnya pohon itu adalah dari pohon Yahudi (oleh sebab itulah ia melindunginya)”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sifat Amanah akan Hilang
Dari Huzaifah bin AI-Yaman r.a., “Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pernah memberitahu kami dua buah hadis (mengenai dua kejadian yang akan berlaku). Yang pertama sudah saya lihat, sedang yang kedua saya menanti-nantikannya. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam memberitahu bahawasanya amanat itu turun ke dalam lubuk hati orang-orang yang tertentu. Kemudian turunlah Al Quran. Maka orang-orang itu lalu mengetahuinya melalui panduan Al Quran dan mengetahuinya melalui panduan as Sunnah. Selanjutnya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menceritakan kepada kami tentang hilangnya amanah, lalu beliau bersabda:
“Seseorang itu tidur sekali tidur, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, kemudian tertinggallah bekasnya seperti bekas yang ringan sahaja. Kemudian ia tertidur pula, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti lepuh di tangan (mengelembung di tangan dari bekas bekerja berat seperti menggunakan kapak atau cangkul). Jadi seperti bara api yang kau gillingkan dengan kakimu, kemudian mengelembunglah ia dan engkau melihat ia meninggi, padahal tidak ada apa-apa”.
Ketika Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menceritakan hadis ini, Baginda mengambil sebiji batu kecil (batu kerikil) Ialu menggilingkannya dengan kakinya.
“Kemudian berpagi-pagi (jadiIah) orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada ada seorang juga pun yang suka menunaikan amanah, sampai dikatakan orang bahawasanya di kalangan Bani Fulan (di kampung yang tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan, “Alangkah tekunnya dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah pula cerdik otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekali pun hanya seberat timbangan biji sawi.”
“Maka sesungguhnya telah sampai masanya saya pun tidak memperdulikan manakah di antara kamu semua yang saya hendak bermubaya’ah (berjual beli). Jikalau ia seorang Islam, maka agamanyalah yang akan mengembalikan kepadaku (maksudnya agamanyalah yang dapat menahannya dari khianat). Dan jikalau ia seorang Nasrani atau Yahudi, maka pihak yang bertugaslah yang akan menggembalikannya kepadaku (maksudnya jika dia seorang Nasrani atau Yahudi maka orang yang memegang kekuasaan / pemerintahlah yang dapat menbantu aku untuk mendapatkan semua hak-hak ku daripadanya.) Ada pun pada hari ini maka saya tidak pernah berjual beli dengan kamu semua kecuali dengan Fulan dan Fulan (orang-orang tertentu sahaja)”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Orang Baik Berkurangan, Orang Jahat Bertambah
Dari Aisyah r.a. berkata, aku mendengar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibu bapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik
(Hadis Riwayat at-Thabrani)
Punca Kebinasaan Seseorang
Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Selagi akan datang suatu masa di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali bila dia lari membawanya dari suatu puncak bukit ke puncak bukit yang lain dan dari suatu lubang kepada lubang yang lain. Maka apabila zaman itu telah terjadi, segala pencarian (pendapatan kehidupan) tidak dapat dicapai kecuali dengan perkara yang membabitkan kemurkaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala maka apabila ini telah terjadi, kebinasaan seseorang adalah berpunca dari menepati kehendak isterinya dan anak-anaknya. Kalau ia tidak mempunyai isteri dan anak, maka kebinasaannya adalah berpunca dari menepati kehendak kedua orang tuanya. Dan jikalau orang tuanya sudah tiada lagi, maka kebinasaannya adalah berpunca dari menepati kehendak kaum kerabatnya (adik beradiknya sendiri) atau dari menepati kehendak jirannya.
Sahabat bertanya,
Wahai Rasulullah, apakah maksud perkataan engkau itu?
(kebinasaan seseorang dari kerana isterinya, atau anaknya, atau orang tuanya, atau keluarganya, atau jirannya)
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab,
“Mereka akan mencelanya dan mengaibkannya dengan kesempitan kehidupannya. Maka dari kerana itu ia terpaksa melayan kehendak mereka dengan menceburkan dirinya dijurang-jurang kebinasaan yang akan menghancurkan dirinya”.
(Hadis Riwayat al-Baihaqi)
Dua Golongan Penghuni Neraka
Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum pernah aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya
(Hadis Riwayat Muslim)
Zaman Dimana Manusia Tidak Pedulikan Sumber Hartanya
Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Akan datang suatu zaman seseorang tidak memperdulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau pun haram
(Hadis Riwayat Muslim)
Harta Riba di Merata Tempat
Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang juga pun kecuali ia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau ia tidak memakan secara langsung, ia akan terkena juga debu-debunya
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Orang Meminum Khamar Dan Menamakannya Bukan Khamar
Dari Abu Malik Al-Asy’ari r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Sesungguhnya ada sebahagian dari umatku yang akan meminum khamar dan mereka menamanya dengan nama yang lain (mereka meminum) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa) dan Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan mengubah keadaan mereka menjadi kera atau babi
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Sedikit Lelaki, Banyak Perempuan
Dari Anas r.a., “Akan aku ceritakan kepada kamu sebuah hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Di antara tanda qiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, berlaku banyak perzinaan, ramai kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nantinya seorang lelaki akan menjaga 50 orang perempuan
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hamba Menjadi Tuan Dan Terbinanya Banyak Bangunan Yang Mencakar Langit
Dari Umar bin al-Khattab r.a. (dalam sebuah hadis yang panjang), kemudian Jibrail bertanya kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Maka khabarkan kepadaku tentang hari qiamat?
Lalu Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab,
Orang yang ditanya tiada lebih mengetahui daripada orang yang bertanya
Maka Jibrail a.s. lalu berkata,
Kalau begitu cuba khabarkan kepadaku tanda-tandanya
Maka Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab,
Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan kamu akan melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya mengembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan
(Hadis Riwayat Muslim)
Umat Islam Mengikuti Langkah Yahudi Dan Nasrani
Dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.
Sahabat bertanya,
Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab,
Siapa lagi kalau bukan mereka.
(Hadis Riwayat Muslim)
Penyakit Umat-umat Terdahulu
Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu.
Sahabat bertanya,
Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab,
Penyakit-penyakit itu ialah
1-terlalu banyak seronok,
2-terlalu mewah,
3-menghimpun harta sebanyak mungkin,
4-tipu menipu dalam merebut harta benda dunia,
5-saling memarahi,
6-hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalim.
(Hadis Riwayat al-Hakim)
Ahli Ibadat Yang Jahil Dan Ulama Yang Fasiq
Dari Anas r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq.
(Hadis Riwayat Ibnu Adi)
Orang Yang Berpegang Dengan Agamanya Seperti Memegang Bara Api
Dari Anas r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Akan datang kepada umatku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Golongan Ruwaibidhah
Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan “Ruwaibidhah”.
Sahabat bertanya,
Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab,
Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak tahu hal ehwal tentang masyarakat
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Peperangan Demi Peperangan
Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Hari qiamat tidak akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak berlaku ‘al-Harj’.
Sahabat bertanya,
Apakah al-Hajr itu hai Rasulallah?
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab,
Peperangan demi peperangan demi peperangan
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Masa Menjadi Singkat
Dari Anas bin Malik r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Munculnya Sumber Galian Bumi
Dari Ibnu Omar r.a., pada suatu masa dibawa ke hadapan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama yang dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari tempat galian mereka.
Maka sahabat berkata,
Hai RasuIullah! Emas ini adalah hasil dari galian kita
Lalu Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab,
Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang jahat
(Hadis Riwayat al-Baihaqi)
Tanah Arab Yang Tandus Menjadi Lembah Yang Subur
Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Tidak akan terjadi qiamat sehinggalah Tanah Arab yang tandus itu menjadi lembah yang subur dan diairi oleh sungai-sungai
(Hadis Riwayat Muslim)
Ujian Dahsyat Terhadap Iman
Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau seseorang yang masih beriman di waktu petang, kemudian pada esok harinya, dia sudah menjadi kafir. Ia telah menjual agamanya dengan sedikit nilai dari harta benda dunia
(Hadis Riwayat Muslim)
Kelebihan Ibadat Disaat Huru Hara
Dari Ma’qil bin Yasar r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Beribadat di saat-saat huru hara (dunia kacau bilau) adalah seperti berhijrah kepadaku
(Hadis Riwayat Muslim)
Peperangan Di Kawasan Sungai Furat Kerana Merebut Kekayaan
Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Tidak terjadi hari qiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates iaitu sebuah sungai yang ada di lraq) menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang yang berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh 99 daripada 100 orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata, “mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu".
Di dalam riwayat lain ada disebutkan;
Sudah dekat suata masa di mana sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu ternampak perbendaharaan daripada emas, maka barangsiapa yang hadir di situ janganlah ia mengambil sesuatu pun daripada harta itu.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ketiadaan Imam Untuk Solat Berjemaah
Dari Salamah binti al-Hurr r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Akan datang suatu zaman, orang ramai berdiri tegak beberapa masa. Mereka tidak dapat memulakan solat berjamaah kerana tidak ada seseorang yang layak menjadi imam
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Ulama Tidak Dipedulikan
Dari Sahl bin Saad as-Saaidi r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Ya Allah! Jangan kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa di mana para ulama sudah tidak diikut lagi, dan orang yang amanah sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya)
(Hadis Riwayat Ahmad)
Islam Pada Nama Sahaja
Dari Ali bin Abi Thalib r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam:
Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayahNya. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah naungan langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali
(Hadis Riwayat al-Baihaqi)
Al Quran Akan Hilang Dan Ilmu Akan Diangkat
Dari Huzaifah bin al-Yaman r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Islam akan luntur (lusuh) seperti lusuhnya corak (warna-warni) pakaian (bila ia telah lama dipakai), sehingga (sampai suatu masa nanti) orang sudah tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan puasa, dan apa yang dimaksudkan dengan solat dan apa yang dimaksudkan dengan ibadat dan apa yang dimaksudkan dengan sedekah. Dan Al Quran akan dihilangkan kesemuanya pada suatu malam sahaja, maka (pada esok harinya) tidak tinggal dipermukaan bumi daripadanya walaupun hanya satu ayat. Maka yang tinggal hanya beberapa kelompok daripada manusia, diantaranya orang-orang tua, lelaki dan perempuan. Mereka hanya mampu berkata, “Kami sempat menemui nenek moyang kami memperkatakan kalimat “La ilaha illallah”, lalu kami pun mengatakannya juga”. Maka berkata Silah (perawi hadis daripada Huzaifah), “Apa yang dapat dibuat oleh La ilaha illallah (apa gunanya La ilaha illallah) terhadap mereka, sedangkan mereka sudah tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan solat, puasa, ibadat, dan sedekah”? Maka Huzaifah memalingkan muka daripadanya (Silah yang bertanya). Kemudian Silah mengulangi pertanyaan itu buat kali ke-3. Maka Huzaifah memalingkan mukanya pada setiap kali pertanyaan Silah itu. Kemudian Silah bertanya lagi sehingga akhirnya Huzaifah menjawab, “Kalimat itu dapat menyelamatkan mereka daripada api neraka” (Huzaifah memperkatakan jawapan itu 3 kali).
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
15 Maksiat Yang Akan Menurunkan Bala
Dari Ali bin Abi Thalib r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Apabila umatku telah membuat 15 perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:
1- Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu
2- Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan
3- Zakat dijadikan hutang
4- Suami memperturutkan kehendak isteri
5- Anak derhaka terhadap ibunya
6- Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya
7- Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya
8- Suara sudah ditinggikan di dalam masjid
9- Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka
10- Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya
11- Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat
12- Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki)
13- Para artis-artis disanjung-sanjung
14- Muzik banyak dimainkan
15- Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat)
Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan diubah menjadi makhluk lain
(Hadis Riwayat at-Termizi)
5 Maksiat Yang Disegerakan Balanya
Dari Ibnu Omar r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Wahai kaum Muhajirin, 5 perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, semoga kamu tidak menemui masa itu. Perkara-perkara itu ialah:
1- Tiada terzahir (nampak) perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha’un yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang telah lalu.
2- Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pepimpin mereka.
3- Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tiada ada binatang (yang juga hidup diatas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala
4- Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan Rasulnya kecuali Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka.
5- Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang terkandung dalam Al Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri “.
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Bilakah Akan Terjadi Kehancuran
Dari Abu Hurairah r.a.,“Pada suatu masa ketika Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sedang berada dalam suatu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang Arabi Badwi dan terus bertanya kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, “Bilakah akan terjadi hari qiamat?”.Maka Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pun meneruskan percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata,
“Beliau (Nabi) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disukainya”. Sementara yang lain pula berkata, “Bahkan beliau tidak mendengar pertanyaan itu”.
Sehingga apabila Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam selesai dari percakapannya beliau bersabda,
“Di mana orang yang bertanya tentang hari qiamat tadi ?”
Lalu Arab Badwi itu menyahut,
“Ya! Saya hai Rasulullah”.
Maka Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,
“Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari qiamat”.
Arab Badwi ini bertanya pula,
“Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu?”
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab,
“Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kedatangan hari qiamat”.
(Hadis Riwayat Bukhari)
Bermegah dengan Masjid
Dari Anas bin Malik r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Tidak berlaku (terjadi) hari qiamat sehingga umatku bermegah-megah dengan binaan masjid.
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Gadaikan Agama Kerana Dunia
Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat darIpada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah SWT berfirman kepada mereka,
Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu?,
Atau adakah kamu terlampau berani berbohong kepadaKu?.
Demi kebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim pun akan menjadi bingung dengan sebab fitnah itu
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Golongan Yang Selamat
Dari ‘Auf bin Malik r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Umat Yahudi telah berpecah-belah menjadi 71 golongan, maka hanya 1 golongan sahaja yang masuk syurga dan yang 70 lagi akan masuk neraka. Umat Nasrani telah berpecah-belah menjadi 72 golongan, maka 71 satu golongan masuk neraka dan hanya 1 golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diriku di dalam kekuasaannya, umatku akan berpecah belah menjadi 73 golongan, hanya 1 golongan sahaja yang masuk syurga dan 72 lagi akan masuk neraka.
Sahabat bertanya, mana yang selamat?
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab,
“Mereka adalah jamaah” (Golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah).
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Zahirnya Imam al Mahdi
Dari Abdullah bin Mas’ud r.a., Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Dunia tidak akan hilang (qiamat) sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki daripada keluargaku (keturunanku) yang namanya sama dengan namaku
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)
10 Tanda Besar Qiamat
Dari Huzaifah bin Asid Al-Ghifari r.a., berkata, datang kepada kami Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang.
Lalu Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
“Apa yang kamu perbincangkan?”
Kami menjawab:
“Kami sedang berbincang tentang hari qiamat”.
Lalu Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya 10 macam tanda-tandanya”. Kemudian Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menyebutkannya:
1. Dukhan
2. Al Masih Ad Dajjal
3. Dabbatul Ardhi
4. Terbit matahari dari tempat tenggelamnya
5. Turunnya Isa Ibnu Maryam a.s.
6. Ya'juj dan Ma'juk
7. Gempa bumi, sekali di Timur;
8. Sekali di Barat dan;
9. Ketiga di Semenanjung Arab
10. Api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”.
(Hadis Riwayat Muslim)