Seorang soleh bercerita bahawa pada
suatu hari dia datang ke sebuah desa dan melihat tiga kuburan sebaris di tempat
yang berdekatan. Dia tertarik terhadap ketiga-tiga kuburan tersebut kerana di
atasnya ada tertulis beberapa rangkap syair.
merasa seronok dan lazat dalam hidupnya?
Dia akan menyeksa orang yang zalim dalam hidupnya
dan akan membalas baik orang yang baik amalnya Pada kubur kedua
tertulis: Bagaimana akan terasa lazat kehidupan ini
bagi yang meyakini kematian akan datang
merenggut dalam sekelip mata dan tiba-tiba
kematian akan menghempapnya dengan kerajaan
yang besar dan megah
dan akan menempatkannya di dalam kubur sempit
sememangnya dia adalah calon penghuninya Pada kubur ketiga terdapat
syair: Bagaimana akan terasa lazat kehidupan ini
bagi yang sedar dirinya akan pindah ke kubur
di sanalah pemuda akan digugat kedudukannya
wajah jelita yang yang dibanggakan
akan lenyap serta merta
tinggallah badan dan anggota menanggung seksa Orang soleh tadi
pergi kepada seorang tua yang banyak tahu tentang cerita desanya.
“Wahai Syeikh! Aku melihat sesuatu yang
ajaib di dalam desamu ini.” kata orang soleh.
“Apa itu?” tanya Syeikh.
“Aku berjumpa dengan tiga pusara yang
masing-masing di atasnya tertulis beberapa syair.” kata orang soleh sambil
membacakan kandungan syair-syair yang telah dilihatnya.
“Sebetulnya cerita ketiga-tiga ahli
kubur tersebut lebih ajaib daripada rangkap-rangkap syair yang kamu lihat di
atas kuburnya.”
“Apa itu,? Sila ceritakan kepadaku.”
Syeikh menceritakan bahawa penghuni
ketiga-tiga kubur itu adalah tiga orang adik beradik yang pekerjaannya
berlainan. Yang pertama seorang zuhud, yang kedua seorang gabenor yang berkuasa
dan yang ketiga seorang saudagar kaya. Walaupun berlainan profesi,
ketiga-tiganya hidup rukun dan saling hormat menghormati antara satu dengan
yang lain.
Suatu ketika saudara yang zuhud sakit,
dan apabila dirasa bahawa ajalnya sudah hampir, berkumpullah kedua-dua
suadaranya yang lain sambil menanyakan halnya. Mereka menawarkan kepada si
zahid untuk mensedekahkan hartanya bagi kepentingan saudaranya yang hampir
meninggal itu. Akan tetapi dia menolak.
“Aku tidak berhajat kepada hartamu.
Akan tetapi aku minta kepadamu berdua agar berjanji kepadaku akan sesuatu yang
tidak akan kamu mungkiri selepas kematianku nanti.”
“Boleh, sila katakan, apa hajatmu?”
“Apabila aku mati, kamu mandikan,
kafankan dan solatkan mayatku. Setelah itu kamu kebumikan di bumi yang agak
tinggi. Setelah itu tuliskan di pusaraku itu dua rangkap syair ini: Bagaimana
orang yang tahu Tuhan akan menyoalnya
merasa seronok dan lazat dalam hidupnya
Dia akan menyeksa orang zalim dalam hidupnya
dan akan membalas baik orang yang baik amalnya “Selepas itu
hendalah engkau berdua datang ke kuburku setiap hari dan baca syair itu, semoga
ia akan menjadi pengajaran bagimu berdua.”
Setelah berwasiat demikian, dia pun
meninggal dunia. Dua adik beradiknya melaksanakan apa yang diamanahkan
kepadanya. Setiap hari kedua-duanya datang dan membaca syair itu sehingga
menangis. Adik yang menjadi gabenor datang dengan mengenderai kuda bersama
askar-asakarnya. Dia berdiri di sisi kubur abangnya sambil membaca syair
tersebut dan menangis kerana kandungannya mengena pada dirinya. Pada hari
ketiga, dia datang lagi sebagaimana biasa sambil diiringkan oleh
askar-askaranya, lalu berdiri di sisi pusara membaca syair dan menangis.
Apabila dia akan pulang, tiba-tiba mendengar bunyi benturan yang kuat dari
dalam kubur yang menyebabkan hatinya gementar. Kemudian pulang dengan perasaan
takut, gementar dan risau. Pada sebelah malamnya pula dia bermimpi melihat
abangnya datang.
“Wahai abangku, bunyi apa yang aku
dengar dari dalam kuburmu semalam?”
“Itulah bunyi pukulan terhadap ahli
kubur yang zalim. Dikatakan kepadaku: “Kamu lihat orang zalim itu? Mengapa
engkau tidak menolongnya?” jawab abangnya.
Sebaik saja terjaga dari tidurnya, si
gabenor itu resah dan dipenuhi rasa takut dan gementar yang berterusan. Dia
segera memanggil saudaranya yang menjadi saudagar dan menceritakan tentang
mimpinya.
“Wahai saudaraku, aku yakin bahawa
Allahyarham tidak berwasiat agar menuliskan rangkap syair itu di atas pusaranya
melainkan hanya untuk memberi peringatan kepadaku.” kata gabenor kepada
saudaranya yang menjadi peniaga.
Kemudian dia berkata kepada para
pegawai dan orang-orang yang ada disekitarnya: “Aku persaksikan kepadamu semua,
bahawa mulai saat ini aku sudah bukan pemimpinmu lagi buat selama-lamanya.”
Dia meletak jawatan serta merta buat
menumpukan sisa-sisa hidupnya semata-mata untuk beribadah kepada Allah sambil
mengembara ke bukit-bukit dan perkampungan sehingga ajal datang menjemputnya di
hadapan sebahagian bekas rakyatnya. Pada hari-hari terakhir sebelum
kewafatannya, saudaranya yang menjadi peniaga telah mendengar kabar mengenai
bekas gabenor itu. Dia segera datang ke tempatnya untuk menanyakan apa-apa yang
diperlukan.
“Sila berwasiat wahai saudaraku!” kata
si saudagar.
“Apa yang akan aku wasiatkan. Aku sudah
tidak punya apa-apa harta untuk diwasiatkan. Hanya saja aku minta kepadamu agar
mahu berjanji untuk melaksanakan sesuatu setelah kematianku nanti.”
“Boleh, Sila katakan.”
“Apabila aku mati nanti, kuburkanlah di
samping kubur saudaraku dan tulislah di atas pusaraku syair ini: Bagaimana
akan terasa lazat kehidupan ini
bagi yang meyakini kematian akan datang
merenggut dalam sekelip mata dan tiba-tiba
kematian akan menghempapnya dengan kerajaan
yang besar dan megah
dan akan menempatkannya di dalam kubur sempit
sememangnya dia adalah calon ahlinya “Hendaklah engkau berziarah ke
kuburku selepas tiga hari dari kematianku dan berdoalah kepada Allah semoga Dia
merahmati arwahku.”
Setelah berwasiat demikian, bekas
gabenor itu pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Saudaranya segera
menyempurnakan pengurusan mayatnya sehingga selesai dikuburkan. Sebagai
memenuhi janjinya, dia menulis syair yang telah ditentukan di atas pusara
saudaranya itu, kemudian pulang.
Tiga hari selepas pengkebumian, si
saudagar datang berziarah ke kubur saudaranya dan berdoa kepada Allah semoga
arwah saudaranya dicucuri rahmat. Apabila dia membaca syair yang tertulis di
pusara saudaranya itu, dia pun menangis kerana sagat terkesan akan maksudnya.
Setelah itu, dia pun bersiap sedia untuk pulang, tapi tiba-tiba terdengar bunyi
gegaran yang sangat hebat dari dalam kubur sehingga membuatnya terperanjat dan
hampir-hampir tidak sedarkan diri. Dia pun pulang dalam keadaan sangat
ketakutan.
Pada sebelah malamnya, dia bermimpi
melihat saudaranya yang telah meninggal dunia datang menghampirinya.
“Wahai saudaraku, engkau datang
menziarahi kami?”
“Ya. Selepas ini tidak ada ziarah lagi.
Aku telah tenang dengan rumahku yang baru.
“Bagaimana keadaanmu sekarang?”
“Alhamdulillah baik.”
“Bagimana keadaan abang kita?”
“Dia berkumpul bersama umat-umat yang
baik.”
“Apa pesan engkau kepadaku?
“Barangsiapa yang telah melakukan
sesuatu, dia akan mendapatkannya. Oleh itu, jagalah waktu hidupmu sebelum
datang masa matimu.” kata saudara yang telah mati.”
Sejak itu, si peniaga mengasingkan diri
dari urusan dunianya dan hatinya sentiasa ingat pada mati. Harta kekayaannya
dibagi bagikan kepada fakir miskin dan dia sendiri menumpukan hidup beribadah
kepada Allah. Anaknya yang sudah jadi seorang pemuda yang segak badan dan bagus
wajahnya juga bekerja sebagai peniaga yang berjaya. Beberapa masa telah
berlalu. Ajal bekas saudagar yang telah jadi sufi itu pun hampir menjemputnya.
Saudara mara dan anaknya telah berkumpul.
“Berwasiatlah sesuatu wahai ayah.” kata
anaknya. “Wahai anakku! Ayahku sudah tidak punya apa-apa harta untuk
diwasiatkan. Akan tetapi hanya minta kepadamu agar berjanji untuk melakukan
sesuatu selepas kematianku.”
“Boleh, boleh. Sila katakan wahai
ayah.”
“Apabila aku mati, kuburkan di dekat
kubur bapa-bapa saudaramu dan tuliskan syair pada pusaraku: Bagaimana
akan terasa lazat kehidupan ini
bagi yang sedar dirinya akan pindah ke kubur
di sana kedudukan pemuda akan digugat
wajah jelita yang dibanggakan
akan lenyap serta merta
tinggallah badan dan anggota menanggung seksa “Kemudian hendaklah
engkau berziarah ke kuburku sehingga tiga hari. Berdoalah kepada Allah semoga
Allah mencucuri rahmat kepadaku.”
“Insya Allah, saya akan melakukannya.”
jawab si anak.
Setelah dia meninggal dunia, anaknya
segera melakukan semua yang diamanahkan kepadanya. Dia berziarah ke kubur
ayahnya setiap hari sambil berdoa untuk ayahnya dan membaca syair yang tertulis
di pusaranya. Pada hari ketiga dia mendengar suara dari dalam kubur yang sangat
menggerunkan dan membangkitkan bulu roma dan memucatkan muka. Dia pulang kepada
keluarganya dalam keadaan takut dan gementar.
Pada sebelah malamnya pula, dia
bermimpi melihat ayahnya datang sambil berkata: “Wahai anakku! Sesungguhnya
engkau berada sangat dekat denganku, duniamu sudah berada di penghujungnya dan
maut lebih dekat dari itu lagi. Oleh kerana itu bersiap sedialah engkau untuk
menempuh perjalananmu dan periksalah keadaan kenderaanmu. Alihkan perhatianmu
dari melengkapi isi rumah yang engkau tempati sekarang pada rumah yang bakal
engkau tempati buat selama-lamanya. Janganlah engkau tertipu seperti
orang-orang sebelummu yang telah tertipu oleh keinginan pada harta sehingga
tidak sempat membuat persediaan untuk pergi. Akibatnya, mereka menyesal yang
tidak berkesudahan setelah mati. Padahal penyesalan ketika itu sudah tidak ada
maknanya lagi. Wahai anakku! Segera laksanakan, segera laksanakan!.”
Mimpi pemuda terhenti, kerana dia
terjaga dari tidurnya dalam keadaan terkejut dan takut serta faham apa yang
akan terjadi pada dirinya. Pada sebelah paginya dia pun segera mengerjakan
apa-apa yang perlu. Semua hutang-hutangnya dijelaskan, hartanya disedekahkannya
kepada fakir miskin. Pada pagi hari ketiga dari hari bermimpi, dia memanggil
semua keluarganya dan anaknya kemudian berwasiat dan mengucapkan salam.
Setelah itu dia menghadap Kiblat,
mengucapkan dua kalimah Syahadah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Orang ramai datang berpusu-pusu menguruskan mayatnya dan berziarah ke kuburnya
serta berdoa di sana.
Radiallahu 'anhum.
Diceritakan bahawa
ada dua orang lelaki dari kalangan sahabat Rasulullah s.w.a. berteman baik
saling ziarah menziarahi antara satu dengan lainnya. Mereka adalah Sha’b bin
Jastamah dan Auf bin Malik.
“Wahai saudaraku, sesiapa di antara
kita yang pergi (meninggal dunia) terlebih dahulu, hendaknya saling kunjung
mengunjungi.” kata Sha’b kepada Auf di suatu hari.
“Betul begitu?” tanya Auf.
“Betul.” jawab Sha’b.
Ditakdirkan Allah, Sha’b meninggal
dunia terlebih dahulu. Pada suatu malam Auf bermimpi melihat Sha’b datang
mengunjunginya.
“Engkau wahai saudaraku?” tanya Auf.
“Benar.” jawab Sha’b.
“Bagaimana keadaan dirimu?”
“Aku mendapatkan keampunan setelah mendapat
musibah.”
Apabila Auf melihat pada leher Sha’b,
dia melihat ada tanda hitam di situ.
“Apa gerangan tanda hitam di lehermu
itu?” tanya Auf.
“Ini adalah akibat sepuluh dinar yang
aku pinjam dari seseorang Yahudi, maka sila tolong jelaskan hutang tersebut.
Ketahuilah wahai saudaraku, bahawa tidak satupun kejadian yang terjadi di dalam
keluargaku, semua terjadi pula setelah kematianku. Bahkan terhadap kucing yang
matipun dipertanggungjawabkan juga. Ingatlah wahai saudaraku, bahawa anak
perempuanku yang mati enam hari yang lalu, perlu engkau beri pelajaran yang
baik dan pengertian baginya.”
Perbualan di antara kedua-dua lelaki yang bersahabat itu terhenti kerana Auf
terjaga dari tidurnya. Dia menyedari bahawa semua yang dimimpikannya itu
merupakan pelajaran dan peringatan baginya. Pada sebelah paginya dia segera
pergi ke rumah keluarga Sha’b.
“Selamat datang wahai Auf. Kami sangat
gembira dengan kedatanganmu.” kata keluarga Sha’b. “Beginilah semestinya kita
bersaudara. Mengapa anda datang setelah Sha’b tidak ada di dunia?”
Auf menerangkan maksud kedatangannya
iaitu untuk memberitahukan semua mimpinya malam tadi. Keluarga Sha’b faham akan
semuanya dan percaya bahawa mimpinya itu benar. Mereka pun mengumpulkan sepuluh
dinar dari wang simpanan Sha’b sendiri lalu diberikan kepada Auf agar
dibayarkan kepada si Yahudi.
Auf segera pergi ke rumah si Yahudi
untuk menjelaskan hutang Sha’b.
“Adakah Sha’b mempunyai tanggungan
sesuatu kepadamu?” tanya Auf.
“Rahmat Allah ke atas Sha’b Sahabat
Rasulullah S.A.W. Benar, aku telah memberinya pinjaman sebanyak sepuluh dinar.”
jawab si Yahudi.
Setelah Auf menyerahkan sepuluh dinar,
si Yahudi berkata: “Demi Allah dinar ini serupa benar dengan dinarku yang
dipinjamnya dulu.”
Dengan demikian, Auf telah melaksanakan
amanah dan pesan saudara seagamanya yang telah meninggal dunia.
Diceritakan dari
Ibnu Hajar bahawa serombongan orang dari kalangan Tabi’in pergi berziarah ke
rumah Abu Sinan. Baru sebentar mereka di rumah itu, Abu Sinan telah mengajak
mereka untuk berziarah ke rumah jirannya.
“Mari ikut saya ke rumah jiran untuk
mengucapkan ta’ziah atas kematian saudaranya.” kata Abu Sinan kepada tetamunya.
Sesampainya di sana, mereka mendapati
saudara si mati sentiasa menangis kerana terlalu sedih. Para tetamu telah berusaha
menghibur dan memujuknya agar jangan menangis, tapi tidak berjaya.
“Apakah kamu tidak tahu bahawa kematian
itu suatu perkara yang mesti dijalani oleh setiap orang?” tanya para tetamu.
“Itu aku tahu. Akan tetapi aku sangat
sedih kerana memikirkan seksa yang telah menimpa saudaraku itu.” jawabnya.
“Apakah engkau mengetahui perkara yang
ghaib?”
“Tidak. Akan tetapi ketika aku
menguburkannya dan meratakan tanah di atasnya telah terjadi sesuatu yang
menakutkan. Ketika itu orang-orang telah pulang, tapi aku masih duduk di atas
kuburnya. Tiba-tiba terdengar suara dari dalam kubur “Ah....ah....Mereka
tinggalkan aku seorang diri menanggung seksa. Padahal aku mengerjakan puasa dan
solat”. Jeritan itu betul-betul membuatku menangis kerana kasihan. Aku cuba menggali
kuburnya semula kerana ingin tahu apa yang sudah terjadi di dalamnya. Ternyata
kuburan itu telah penuh dengan api dan di leher si mayat ada rantai dari api.
Kerana kasihan kepada saudara, aku cuba untuk melepaskan rantai itu dari
lehernya. Apabila aku hulurkan tangan untuk membukanya, tanganku terbakar.”
Lelaki itu menunjukkan tangannya yang
masih hitam dan mengelupas kulitnya kerana kesan api dari dalam kubur kepada
tetamu. Dia meneruskan ceritanya: “Aku terus menimbus kubur itu semula dan
pulang dengan segera. Bagaimana kami tidak akan menangis apabila mengingati
keadaan itu?”
“Apa yang biasa dilakukan oleh
saudaramu ketika di dunia?” tanya teman-teman Abu Sinan.
“Dia tidak mengeluarkan zakat
hartanya.” jawabnya.
Dengan jawapan ini, teman-teman Abu
Sinan membuat kesimpulan tentang kebenaran ayat Suci Al-Quran surah Ali Imran
yang ertinya: “Janganlah mereka yang bakhil itu menyangka terhadap
rezeki yang diberikan oleh Allah kepada mereka bahawa kebakhilan itu baik bagi
mereka. Sebenarnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka
bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat.”
(Ali
Imran, 180)
Seorang soleh
bernama Mutraf bin Abdullah Al-Harsyi bercerita bahawa pada suatu hari Jumaat
dia keluar ke kuburan, kemudian mengerjakan solat dua rakaat yang sederhana,
tidak terlalu panjang. Selepas solat, tiba-tiba dia mengantuk dan melihat
penghuni kubur keluar bercakap dengannya. “Engkau telah mengerjakan sesuatu
yang tidak dapat dikerjakan olehku. Padahal dua rakaat itu bagiku lebih baik
daripada dunia dan seisinya ini.” kata salah seorang ahli kubur.
“Kuburan siapa saja yang ada di sini?”
tanya Mutraf.
“Kuburan orang yang baik-baik dan
kesemuanya Muslim.” jawab ahli kubur.
“Siapakah yang paling mulia di kalangan
ahli-ahli kubur di sini?” tanya Mutraf.
“Kuburan itu.” jawab ahli kubur sambil
menunjuk pada sebuah kuburan yang ada di situ.
Mutraf sangat ingin mengetahui ahli kubur yang dikatakan paling mulia itu. Dia
berharap semoga Allah berkenan mengeluarkan ahli kubur yang dimaksudkan agar
dia dapat bercakap dengannya.
Harapan Mutraf dikabulkan oleh Allah.
Tiba-tiba ahli kubur yang masih muda belia tersebut keluar dari kuburnya dalam
keadaan gembira.
“Betulkah engkau ahli kubur yang paling
mulia di sini?” tanya Mutraf.
“Mereka mengatakan bahawa diriku
demikian.” jawabnya.
“Apa yang telah menyebabkan dirimu
menjadi ahli kubur yang paling mulia?”
Ahli kubur yang masih muda belia itu
menjawab: “Walaupun aku masih muda, tapi telah banyak mengerjakan ibadah haji
dan umrah, berperang di jalan Allah dan beramal soleh. Di samping itu, setiap
kali aku ditimpa musibah, aku selalu bersabar dan tawakal kepada Allah. Itulah
yang menyebabkan aku memperolehi kumuliaan tersebut.”