Bahasa:
Menunaikan dan membayar.
Istilah :
Menunaikan ibadat di luar waktunya atau masih di dalam waktunya. Mereka yang meninggalkan solat sama ada sengaja atau tidak, diwajibkan mengqada'kan solat itu di luar waktunya. Meninggalkan solat tanpa uzur yang syarie' dianggap berdosa. Uzur yang dibenarkan ialah dua perkara iaitu terlupa dan tertidur.
Meninggalkannya sama ada terlupa atau tertidur atau sengaja, wajib bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat yang bersungguh-sungguh. Taubat
tidak akan diterima selagi tidak memenuhi syarat-syarat taubat iaitu, tidak lagi meninggalkan solat dalam keadaan bagaimana sekalipun, menyesal di atas segala perbuatan maksiat khususnya solat yang ditinggalkan dan berazam tidak akan mengulangi semua keburukan pada masa akan datang. Wajib ke atasnya mengqada' semula solat-solat yang telah ditinggalkan.
Para ulama sepakat bahawa mengqada' solat itu wajib bagi orang yang lupa atau tertidur, sebagaimana dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW:
"Sebenarnya bukanlah termasuk lalai kerana tertidur. Kelalaian itu ialah di waktu bangun. Maka apabila seseorang lupa solat atau ia tertidur, hendaklah ia melakukannya jika telah ingat atau sedar".
Orang yang pengsan, tidak perlu mengqadha' solatnya, kecuali bia ia sedar itu cukup waktu untuk bersuci dan bersolat.
Adapun orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka menurut mazhab Jumhur ia berdosa dan wajib mengqada'.
Ibnu Taimiyah berkata: "Orang yang sengaja meninggalkan solat, tidaklah diperintah oleh syarak mengqada' dan jika diqaha' juga maka tidak sah, hanya ia harus memperbanyak solat sunat".
Imam Abu Hanifah, Malik dan Syafei berpendapat bahawa ia harus mengqada' bila waktunya habis, bahkan Imam Malik dan Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa barangsiapa yang meninggalkan solat atau beberapa solat, ia boleh mengqada' sebelum solat yang waktunya hadir, ini bila yang sengaja ditinggalkan itu lima kali solat atau kurang, baik waktu hadir itu sudah habis atau belum. Namun kalau lebih dari lima waktu, maka dimulai dengan solat yang hadir waktunya itu.
Qada’ adalah hutang yang wajib dibayar
Meninggalkan solat fardhu atau melengah-lengahkannya tanpa apa-apa uzur hingga terkeluar dari waktunya adalah berdosa besar, dan wajib diqada’kan solat itu.
Para ulama menghukumkan wajib qada’ solat bagi orang yang meninggalkan solat dengan sengaja berdasarkan kepada orang yang ada uzur syar’ie diwajibkan qada’ solatnya oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi orang yang tiada keuzuran syar’ie sudah tentu lebih-lebih lagi wajibnya.
Tetapi dosa itu pula tidak terhapus dengan qada’ semata-mata, mestilah disertakan dengan bertaubat kepada Allah s.w.t.
Seseorang yang meninggalkan solat fardhu pada waktunya kerana sengaja, maka wajiblah dia qada’ solatnya dengan segera.
Solat fardhu yang tertinggal kerana uzur seperti tertidur atau terlupa yang bukan kerana kecuaian maka sunat disegerakan qada’nya.
Maksud kecuaian di sini ialah seperti tidur dalam waktu dan lupa yang disebabkan oleh leka dengan perkara-perkara yang tidak dituntut oleh syarak.
Menurut Ibnu Haja al-Haitami:
Orang yang meninggalkan solat tanpa uzur, WAJIB menggunakan seluruh waktunya untuk mengerjakan qada’ solatnya kecuali waktu untuk menguruskan hajatnya yang wajib yang tidak dapat dielakkan, seperti tidur, buang air, mencari nafkah, dan sebagainya.
Haram baginya mengerjakan solat sunat sebelum diqada’kan solatnya.
Tetapi menurut Habib Abdullah al-Haddad pula,
Orang yang meninggalkan solat tadi diberi kelonggaran untuk mengerjakan qada’ solat fardhunya mengikut kemampuan dan kelapangan masanya, tanpa memberatkan dan tanpa pula meringan-ringankan kewajipan qada’ itu sendiri.
Kemudian Syed Abdul Rahman Balawi telah bersetuju dengan pendapat Habib Abdullah al-Haddad, dengan berkata,
Inilah pendapat yang terlebih utama berbanding dengan pendapat para fuqahak yang mewajibkan orang yang meninggalkan solat tadi menggunakan seluruh waktunya untuk qada’ solatnya kecuali waktu untuk menguruskan hajatnya yang wajib.
Beliau berkata demikian kerana pendapat para fuqahak tersebut amat membebankan sekali.