HARAMNYA GHIBAH DAN PERINTAH MENJAGA LISAN
Allah berfirman,
وَلاَ يَغْتَبْ بَعضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللهَ إنَّ اللهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ
“Dan janganlah sebahagian kamu ghibah (mengumpat) sebahagian yang lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu membencinya. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.” (Al-Hujurat: 12)
Imam Al-Nawawi rahimahullah dalam kitab Perkara-Perkara Larangan ini,
larangan pertama yang beliau sebutkan adalah larangan ghibah. Apa yang diertikan dengan ghibah?
Seperti mana yang disebutkan dalam Surah Al-Hujurat itu, ghibah yang dijelaskan dalam hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam adalah menyebutkan sesuatu yang tidak disukai oleh saudara seIslam kita. Itu makna mengumpat.
Kalau menyebutkan tentang sesuatu yang tidak ada pada saudara kita, itu ertinya berdusta, berbohong terhadap dia. Kita membuat tuduhan palsu, itu lebih dahsyat. Jadi mengumpat adalah menyebut sesuatu yang ada pada saudara kita, tetapi dia tidak suka.
Contoh, saudara kita badannya sihat. Jadi kita kata, ‘Si Mamat gemuk’. Tidak ada orang yang suka diejek gemuk. Jadi perbuatan kita menggelar dia gemuk, itu adalah ghibah iaitu mengumpat. Sedangkan dia memang gemuk, itu tidak dinafikan. Tetapi jika dia tidak suka, itulah dia ghibah.
Dalam ayat Al-Quran yang kita bacakan tadi, kita lihat bagaimana Allah Subhanahu wa Ta’ala mengumpamakan perbuatan mengumpat dengan satu perumpamaan yang cukup besar ertinya, satu perumpamaan yang cukup jelas supaya kita memahami keburukan mengumpat itu. Iaitu Allah mengumpamakan mengumpat itu dengan memakan daging saudara kita yang sudah mati.
Kalau kita lihat, perbuatan makan daging manusia yang hidup pun kita jijik nak makan, jadi bagaimana kalau daging manusia yang kita nak makan itu adalah daging bangkai orang yang sudah mati? Itu jelas lebih buruk dan akan ditolak oleh mana-mana manusia yang berdiri di atas fitrah yang sihat.
Dari ayat ini, dapat kita ambil faedah seperti mana yang disebut oleh Syeikh Salim bin ‘Eid Al-Hilali, dia menyebutkan satu faedah yang cukup menjelaskan lagi maksud ayat ini. Dia mengatakan kenapa Allah Subhanahu wa Ta’ala mengumpamakan ghibah dengan memakan daging saudara kita yang sudah mati? Apa kaitan antara ghibah dengan makan daging orang yang sudah mati?
Syeikh Salim berkata, ini kerana apabila kita mengumpat, kita menyebutkan tentang aib seseorang yang tidak ada di depan kita, maka begitulah juga kalau kita makan daging saudara kita yang sudah mati. Apabila kita mengumpat saudara kita yang tidak ada, orang itu tidak mampu mempertahankan dirinya. Maka diumpamakan dengan memakan daging saudara kita yang sudah mati adalah kerana orang mati tidak mampu hendak menolak kita dari kita memakan dagingnya.
Begitulah buruknya perbuatan mengumpat. Kita mengambil peluang dalam keadaan orang itu tidak mampu mempertahankan dirinya ketika kita menyebutkan aibnya.
GHIBAH DI MEDIA MASSA/SOSIAL
Satu lagi contoh yang lumrah, yang seakan-akan sudah diterima sebagai suatu yang tidak ada apa-apa, adalah surat khabar. Surat khabar pun adalah satu alat, di samping ia menyebarkan berita, ia juga dalam masa yang sama adalah alat untuk mengumpat, menyebutkan aib umat Islam. ‘Ahmad bin Labu ditangkap khalwat’, ‘Ahmad bin Labu ditangkap berjudi’, ‘Ahmad bin Labu ditangkap kerana melakukan jenayah’. Boleh atau tidak kita sebarkan?
Ya, dia penjenayah. Sekiranya ada keperluan, ia perlu disebarkan. Tetapi apa keperluan untuk kita sebarkan tentang dia melakukan jenayah kalau dia sudah ditangkap polis? Ini yang perlu kita perhatikan, kerana betapa mudahnya pada zaman sekarang orang mengambil sikap sambil lewa dalam mengumpat, atas alasan-alasan yang tidak boleh diterima.
Kita lihat ayat Al-Quran yang dibawakan oleh Imam Al-Nawawi berikutnya, firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,
لاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إنَّ السَّمْعَ وَالبَصَرَ وَالفُؤادَ كُلُّ أُولئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
“Dan janganlah kamu mengikuti (atau menerima) apa yang kamu tidak mengetahui pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan.” (Al-Israa: 36)
Berikutnya, firman Allah ‘Azza wa Jal,
مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلاَّ لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتيدٌ
“Tiada satu pun perkataan yang diucapkan melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang sentiasa bersedia (mencatat).” (Qaaf: 18)
‘Tiada satu pun perkataan yang diucapkan’: Ayat ini adalah umum yang memberi gambaran kepada kita bahawa semua ucapan, tidak kira apa juga (adalah dicatat). Kerana ada pendapat yang mengatakan bahawa yang dicatat adalah ucapan baik ataupun buruk. Walaupun begitu, pendapat yang lebih rajih adalah umum, iaitu semua yang diucapkan akan direkod.
‘Kecuali ada di dekatnya Raqibun ‘Atid’: Ini pun bolehlah kita betulkan kefahaman kita yang barangkali selama ini ada yang memahami bahawa yang dimaksudkan Raqib dan Atid adalah dua malaikat bernama Raqib dan ‘Atid. Tetapi pendapat yang rajih, yang dimaksudkan dengan Raqib ‘Atid adalah sifat bagi malaikat itu, iaitu Raqib (pemerhati/pengawas), ‘Atid (sentiasa ada dan bersedia).
Lalu Imam Al-Nawawi rahimahullah memberikan komentar;
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya setiap mukallaf (orang yang telah terbebani hukum syariat) diperintahkan untuk selalu menjaga lidahnya untuk tidak berbicara, kecuali ucapan yang ada manfaatnya. Sekiranya manfaat antara berbicara dan diam itu sama, maka sunnahnya adalah diam, kerana ucapan yang asalnya mubah (dibolehkan) kadangkala membawa kepada yang haram atau makruh, dan hal itu sering terjadi, sedangkan keselamatan adalah suatu keberuntungan yang tiada taranya.”
Maka jalan yang selamat (iaitu diam) adalah sentiasa perlu didahulukan, seperti mana dalam kaedah usul fiqh,
دَرْءُ المَفَاسِدِ مُقَدَّم على جَلبِ المَصَالِح
“Mengelak mafsadah (keburukan) didahulukan atas mendapatkan maslahah (kebaikan).
Riyadhus Salihin, Kitab 17, Bab 254 Haramnya Ghibah & Perintah Menjaga Lisan