Riwayat daripada Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah saw telah mengunjungi sa'ad bin Ubadah, Abdurrahman bin 'Auf, Sa'ad bin Abi Waqas dan Abdullah bin Mas'ud ada bersama-sama dengan Baginda saw. Lalu Baginda saw menangis. Apabila orang ramai melihat tangisan Rasulullah saw, mereka turut menangis.
Rasulullah saw bersabda: "Tidakkah kamu mendengar?, sesungguhnya Allah tidak mengazab kerana airmata, tidak juga kerana kesedihan hati, tetapu Dia mengazab atau merahmati kerana ini (sambil menunjukkan kepada lidahnya)"
(Riwayat Muttafaqun Alaih)
Usamah bin Zaid r.a menceritakan, ketika jenazah cucu lelaki Rasulullah saw yang meninggal dunia diangkat kepada baginda, Baginda saw mengalirkan airmata. Lalu Sa'ad bin Abi Waqas berkata: "Apa yang telah terjadi kepadamu ya Rasulullah?". Lalu baginda Rasulullah saw bersabda: "Ini adalah rahmat yang dijadikan oleh Allah pada hati para hamba Nya. Sesungguhnya Allah merahmati hamba-hamba Nya yang penyayang."
(Riwayat Muttafaqun Alaih)
Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw masuk untuk melihat jenazah anak baginda Ibrahim yang baginda kasihi. Ia telah membuatkan baginda mengalirkan airmata, lalu Abdurrahman bin 'Auf berkata kepada Baginda saw: "Tuan juga menangis wahai Rasulullah?" Lalu Rasulullah saw bersabda: " Wahai Ibn 'Auf, ia adalah rahmat." Kemudian baginda menangis lagi, lalu bersabda: "Sesungguhnya mata akan menangis, hati akan bersedih, dan kami tidak akan bercakap kecuali perkara yang diredhai Tuhan kami. Sesungguhnya kami amat sedih dengan pemergianmu wahai Ibrahim."
(Riwayat Imam Bukhari. Imam Muslim turut meriwayatkan sebahagian daripada hadis ini)