Istilah-istilah hukum dalam fiqh.
1. Fardhu
Ialah apa yang dituntut oleh Allah sebagai kefardhuan dengan tuntutan secara putus (jazim). Orang yang melakukannya akan diberikan ganjaran pahala dan akan menerima azab apabila meninggalkannya.
Contoh:
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183:
كتب عليكم الصيام
"Difardhukan ke atas kamu berpuasa"
Maka puasa adalah adalah satu kefardhuan (kewajipan) kepada setiap orang islam.
2. Wajib
Dalam Mazhab Syafi'e, bahawasanya wajib dan fardhu adalah hukum yang sama kecuali dalam ibadah haji. Mendirikan solat adalah wajib dan fardhu. Orang yang mendirikan solat akan diberikan ganjaran pahala kerana kewajipan dan kefarfhuannya. Dan orang yang meninggalkannya akan menerima azab daripada Allah kerana meremehkan kewajipan dan kefardhuannya.
Di dalam ibadah haji, ibadah wajib di dalamnya ialah perkara yang apabila ditinggalkan maka luput atau batalnya ibadah haji. Seperti melontar di ketiga-tiga jamrah, berijram di Miqat.
Manakalah fardhu di dalam haji, apabila ditinggalkan maka akan luput dan tidak sah ibadah tersebut. Seperti wukuf di Arafah, tawaf wajib dan sebagainya.
3. Fardhu 'Ain
Adalah tuntutan wajib ke atas individu yang mukallaf. Iaitu dengan tuntutan secara putus (jazim) seperti mendirikan solat, berpuasa ramadhan, menunaikan haji. Ibadah-ibadah di dalam fardhu 'ain adalah wajib dilakukan bagi setiap yang mukallaf.
4. Fardhu Kifayah
Adalah tuntutan fardhu bagi atau kepada sekumpulan umat islam bukan tuntutan ke atas setiap individu. Iaitu apabila sebilangan di antara umat itu melakukan tuntutan itu maka ia memadai, maka sebahagian lain umat yang tidak melakukannya akan gugur dosanya. Akan tetapi jika tidak seorang pun di kalangan umat itu tidak melakukannya, maka dianggap derhaka dan berdosa. Sebagai contoh ialah pengurusan jenazah.
5. Rukun
Iaitu perkara yang wajib dilakukan dan ianya merupakan satu juzuk daripada hakikat dalam suatu perbuatan. Sepertimana rukun qalbi, rukun Qawli dan rukun fi'li di dalam solat.
6. Syarat
Iaitu perkara yang wajib dilakukan. Akan tetapi bukan satu juzuk daripada hakikat perbuatan. Ianya adalah suatu muqaddimah atau permulaan kepada suatu perbuatan. Sebelum mendirikan solat maka hendaklah berwudhuk, ketika berdiri hendaklah mengadap qiblat. Berwudhuk dan mengadap qiblat adalah muqaddimah yang wajib dilakukan agar solat itu menjadi sah dan diterima. Ianya bermaksud kesempurnaan dalam permulaan.
7. Sunat (Al-Mandhub, Sunnah, Mustahabb, Tatowwu', Nafl)
Iaitu perkara yang dituntut oleh syara' untuk atau supaya melakukannya tetapi dengan secara tidak terputus. Orang yang melakukannya akan diberikan pahala apabila melakukannya dan tidak pula berdosa jika meninggalkannya. Sebagai contoh, solat sunat dhuha adalag sunat yang dituntut. Apabila dilakukan maka akan diberikan pahala. Namun jika meninggalkannya, ianya tidak berdosa.
8. Harus
Iaitu perkara-perkara yang sama sahaja samada melakukannya atau meninggalkannya. Syara' tidak memerintahkan untuk mengerjakannya dan tidak juga memerintahkan meninggalkannya. Syara' memberikan kebebasan dan pilihan samada ingin melakukannya atau tidak. Jika melakukannya maka akan diberikan pahala dan jika meninggalkannya tidak dianggap sebagai suatu dosa.
Firman Allah dalam surah Al-Jum'ah ayat 10:
"Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan daripada Allah."
Ayat ini bermaksud bahawa bekerja selepas menunaikan solat adalah harus. Maka ianya pilihan kepada seseorang samada ingin melakukannya atau pun tidak.
9. Haram
Merupakan perkara yang dituntut oleh syara' supaya meninggalkannya dengan tuntutan secara terputus. Meninggalkannya adalah kemestian dan kewajipan serta mendapat ganjaran pahala kerana mengikut perintah-perintah Allah yang telah ditetapkan Nya. Jika melakukannya akan mendapat dosa kerana derhaka di atas perintah dan ketetapan Allah. Sebagai contoh iaitu meminum arak, judi, sihir, riba, membunuh diri dan sebagainya sepertimana yang dijelaskan di dalam al-quran.
10. Makruh
Terbahagi kepada dua iaitu MAKRUH TAHRIM dan MAKRUH TANZIH.
MAKRUH TAHRIM
Ialah apa yang dituntut oleh syara' supaya ditinggalkan dengan suatu tuntutan secara terputus. Akan tetapi tuntutan untuk meninggalkannya adalah kurang berbanding tuntutan meninggalkan yang haram. Meninggalkannya akan diberikan pahala kerana patuh kepada arahan Allah semata-mata. Jika dilakukan maka balasanya tidak sama seperti melakukan perkara yang haram. Namun martabat makruh adalah hampir sama kepada hukum haram)
Sebagai contoh solat sunat mutlak ketika terbit matahari dan ketika terbenamnya matahari. Hukum melakukan solat sunat ini adalah makruh dengan hukum makruh tahrim.
MAKRIH TANZIH
Iaitu apa yang dituntut oleh syara' supaya ditinggalkan dengan suatu tuntutan secara tidak terputus. Diberikab pahala jika meninggalkannya dan jika melakukannya tidak diberikan azab. Sebagai contoh berpuasa ketika di Arafah bagi jamaah haji. Jika puasa itu ditinggalkan maka akan diberikan ganjaran pahala kerana mematuhi arahan Allah. Namun jika berpuasa tidak dikenakan azab.
11. Tunai
Ialah ibadah yang ditunaikan dan dilakukan di dalam waktu yang telah ditetapkan oleh syara'. Sebagai contoh berpuasa ramadhan dan solat di waktunya.
12. Qada'
Iaitu ibadah yang wajib dilakukan di luar waktu yang telah ditentukan oleh syara'. Ibadah ini wajib dilakukan atas sebab ditinggalkan kerana uzur atau sebaliknya. Jika ibadaha wajib ditinggalkan atas bukan atas sebab uzur maka dikira sebagai dosa. Manakala atas sebab uzur maka tidak dikira sebagai dosa. Sebagai contoh berpuasa ramadhan hendaklah di qada' di luar bulan ramadhan. Jika.meninggalkan solat asar maka hendaklah di qada'kan di luar waktu yang ditentukan.
13. Mengulang (I'adah)
Iaitu ibadah yang dilakukan dalam waktu yang telah ditetapkan buat kali yang kedua kerana ingin mendapat kelebihan yang banyak. Sebagai contoh seseorang yang mendirikan solat secara bersendirian dan kemudian datang sekumpulan orang untuk menunaikan solaf berjamaah, maka disunatkan kepadanya mengulang semula solatnya untuk mendapatkan pahala atau ganjaran solat secara berjamaah.
والله تعالى اعلم.