Dari kitab Syamail Muhammad S.A.W - Imam Al-Tirmidzi
Fizikal Rasulullah saw
1. Rasulullah saw memiliki perawakan yang sedang, tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek. Tubuh beliau menarik. (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim dan Ahmad)
2. Dari Anas ibnu Malik r.a : Rasulullah saw memiliki perawakan yang sedang, tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek. Tubuh beliau menarik. Rambut beliau tidak terlalu kerinting dan tidak pula lurus tergerai. Warna kulit beliau berwarna coklat. Ketika berjalan, tubuh beliau saw tegap. (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim dan Ahmad)
3. Al-Bara' ibnu Azib r.a : Saya belum pernah melihat seseorang yang hujung rambutnya menyentuh bahagian bawah telinganya serta mengenakan baju berwarna merah yang lebih gagah daripada Rasulullah saw. Rambut beliau saw separas bahu, tubuh di antara kedua bahunya lebar, dan postur beliau saw sederhana (tidak pendek dan tidak tinggi)."
Tanda Kenabian Rasulullah saw
4. Dari Jabir bin Samurah r.a : Saya melihat tanda kenabian di antara kedua bahu Rasulullah saw; iaitu daging berwarna merah sebesar telur burung merpati. (Riwayat Tirmidzi, Muslim dan Ahmad)
Rambut Rasulullah saw
5. Dari Anas ibnu Malik r.a : Panjang rambut Rasulullah saw sampai setengah telinga beliau saw. (Riwayat Tirmidzi, Muslim, Abu Dawud, Nasa'i dan Ahmad)
6. Abdullah ibnu Mughaffal : Rasulullah saw melarang kami untuk merapikan rambut dengan berlebihan, kecuali hanya sesekali. (Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, Nasa'i dan Ahmad)
7. Dari Ibnu Abbas r.a : Abu Bakar r.a berkata kepada Rasulullah saw, "Wahai Rasulullah saw, anda telah beruban." Rasulullah saw bersabda, "Yang membuatku beruban adalah Surah Hud, Al-Waqiah, Al-Mursalat,An-Naba' dan At Takwir." (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Sa'd dan Hakim)
8. Dari Qatadah : Saya bertanya kepada Anas bin Malik r.a, "Apakah Rasulullah saw mewarnai rambutnya? Beliau menjawab, "Rasulullah saw tidak pernah melakukannya, meski pada kedua pelipisnya terdapat uban. Tetapi Abu Bakar r.a pernah mewarnai rambutnya dengan inai dan al-katm." (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Nasa'i, Ahmad dan Abu Dawud)
9. Dari Jabir bin Samurah : Jika Rasulullah saw memakai minyak rambut, uban beliau tidak terlihat. Tapi, ketika beliau sedang tidak memakai minyak rambut, nampaklah uban beliau. (Riwayat Tirmidzi, Muslim, Nasa'i dan Ahmad)
10. Utsman bin Mauhab : Abu Hurairah r.a pernah ditanya "Apakah Rasulullah saw mewarnai rambutnya?" Abu Hurairah r.a, mengiyakannya. (Riwayat Tirmidzi)
Bercelak
11. Dari Ibnu Abbas r.a : Rasulullah saw memiliki sebuah bekas celak yang beliau saw gunakan untuk bercelak setiap malam, sebanyak tiga kali di sini (mata kanan) dan sebanyak tiga kali di sini (mata kiri). (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad dan Hakim)
12. Dari Ibnu Abbas r.a : Rasulullah saw bersabda, "Alat celak yang paling baik bagi kalian adalah batu celak (al-itsmid) kerana hal itu dapat memperjelas penglihatan dan menumbuhkan bulu (mata)." (Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, Ibnu Majah, Nasa'i dan Ahmad)
Sandal/Selipar/Kasut
13. Dari Abu Hurairah r.a : Salah seorang dari kalian tidak boleh berjalan dengan menggunakan satu sandal (bukan sepasang). Hendaklah ia menggunakan atau melepaskan keduanya. (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ahmad, Malik dan Ibnu Majah)
14. Dari Abu Hurairah r.a : Apabila salah seorang dari kalian menggunakan sandal, hendaklah ia memulai dari kaki kanan, dan ketika ia melepaskannya, hendaklah ia memulai dari kaki kiri. Jadikan kaki kanan sebagai kaki pertama ketika menggunakan sandal dan kaki terakhir ketika melepaskannya. (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Abu Dawud, Ahmad dan Humaidi)
Cincin
15. Dari Ibnu Umar : Rasulullah saw membuat cincin dari perak. Beliau saw memfungsikan cincin itu sebagai stempel (cop), bukan untuk digunakan. (Riwayat Tirmidzi dan Ahmad)
16. Dari Anas bin Malik : Ketika Rasulullah saw hendak mengirim surat kepada Raja Persia, Raja Romawi dan Raja Najasyi, beliau saw mendapatkan maklumat bahawa mereka tidak akan menerima surat yang tidak berstempel. Maka Rasulullah saw membuat cincin yang lingkarannya terbuat dari perak dan bertuliskan 'Muhammad Rasul Allah'. (Riwayat Tirmidzi dan Muslim)
17. Dari Ali bin Abi Thalib : Rasulullah saw mengenakan cincin di jari tangan kanan beliau saw. (Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, Nasa'i dan Ibnu Hibban)
Serban
18. Amr bin harits r.a : Sungguh, Rasulullah saw pernah berkhutbah di hadapan orang-orang dengan menggunakan serban hitam di kepala beliau. (Riwayat Tirmidzi, Muslim, Abu Dawud, Nasai, Ibnu Majah dan Ahmad)
19. Ibnu Umar r.a : Ketika Rasulullah saw mengenakan serban, beliau saw menjulurkan serban itu di antara kedua bahu beliau. (Riwayat Tirmidzi dan Abu Syaikh)
Pakaian
20. Dari Abu Burdah : Aisyah r.anha menunjukkan sehelai pakaian yang kasar dan sebuah sarung yang tebal kepada kami, kemudian ia berkata, "Rasulullah saw wafat ketika mengenakan pakaian ini. (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad dan Abu Syaikh)
Cara Berjalan
21. Dari Ali bin Abi Thalib : Apabila Rasulullah saw berjalan, tubuh beliau tegap, seperti sedang menuruni tanah yang landai. (Riwayat Tirmidzi dan Hakim)
Makanan
22. Dari Umar bin Khathab r.a : Rasulullah saw bersabda, "Makanlah minyak zaitun dan manfaatkanlah sebagai minyak. Sungguh, minyak zaitun berasal dari tumbuhan yang diberkati." (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim)
23. Dari Aisyah r.anha : Rasulullah saw menyukai manis-manisan dan madu. (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim Abu Dawud dan Ibnu Majah)
24. Dari Abdullah bin Harits r.a : Kami memakan daging bakar bersama Rasulullah saw di dalam masjid. (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad)
25. Dari Aisyah r.anha : Minuman yang paling disukai oleh Rasulullah saw adalah minuman yang manis dan dingin. (Riwayat Tirmidzi, Ahmad, Hakim dan Abu Syaikh)
Cara minum
26. Dari Ibnu Abbas r.a : Rasulullah pernah meminum air zam-zam dengan berdiri (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad)
27. Dari Abdullah ibnu Amr ibnu Ash r.a : Saya terkadang melihat Rasulullah saw minum dalam keadaan berdiri dan kadangkala dalam keadaan duduk. (Riwayat Tirmidzi dan Ahmad)
28. Dari Barra' ibnu Zaid ibnu Ibnati Anas ibnu Malik : Suatu ketika Rasulullah saw bertamu ke rumah Ummu Sulaim. Di sana ada qirbah (bekas air daripada kulit) yang sedang digantung. Beliau saw minum dari mulut qirbah itu dalam keadaan berdiri, kemudian Ummu Sulaim mengambil dan melepaskan qirbah itu (dari gantungan). (Riwayat Tirmidzi, Ahmad dan Darami)
Wangian
29. Dari Ibnu Umar r.a : Rasulullah saw bersabda, "Ada tiga pemberian yang tidak boleh ditolak, iaitu bantal, minyak wangi dan susu." ((Riwayat Tirmidzi, Abu Syaikh dan Baghawi) - Hadis Hasan
30. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, "Wewangian bagi lelaki adalah wangian yang keras, aromanya (bau) keras dan warnanya tidak nampak. Sedangkan wangian bagi perempuan adalah wangian yang warnanya nampak dan aromanya tidak menyengat (hidung)." (Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, Nasa'i dan Ahmad)
Berbicara
31. Dari Anas ibnu Malik r.a : Rasulullah saw mengulangi perkataannya sebanyak tiga kali agar mudah difahami (oleh pendengarnya). (Riwayat Tirmidzi dan Hakim)
Bergurau
32. Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw pernah memanggilnya, "Wahai orang yang memiliki dua telinga!" (Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud dan Ahmad) - Maksud hadis - Rasulullah bergurau begitu kerana Anas r.a pendengar yang baik.
Tidur
33. Dari Bara' bin Azib r.a : Ketika hendak tidur Rasulullah saw selalu meletakkan tangan kanan di bawah pipi kanan beliau dan berdoa 'Rabbi qiniy adzaabaka yama tab'a-tsu 'ibaadaka (Ya Rabb, lindungilah aku dari azab-Mu pada hari ketika engkau membangkitkan hamba-hambaMu |dari kubur|) (Riwayat Tirmidzi, Ahmad dan Nasa'i)
34. Dari Hudzaifah r.a : Setiap hendak tidur Rasulullah saw selalu berdoa (Ya Allah, dengan namaMu aku mati dan hidup). Dan setiap kali bangun tidur, beliau berdoa (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah sebelumnya mematikan kami dan kepadaNyalah (kami) dibangkitkan). (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Abu Dawud dan Ibnu Majah dan Nasa'i)
Hadis No.1 hingga ke No.34 Dinukil dari Kitab Syamail Muhammad S.A.W - Imam Al-Tirmidzi, Hadis Berikutnya dari;
Kitab Sahih Sunan Tirmidzi
Jilid 2
Jual Beli
1. Dari Jabir bin Abdullah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual-beli khamar (arak), bangkai, babi dan patung.”
Ada orang bertanya, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat mu dengan lemak bangkai, sebab biasanya digunakan untuk mengecat kapal, meminyaki kulit dan bahan untuk menyalakan lampu?’
Rasulullah saw menjawab, “Tidak boleh. Ia juga haram.” Kemudian Nabi saw bersabda lagi, “Semoga Allah membinasakan orang-orang Yahudi! Sesungguhnya Allah telah mengharamkan lemak atas mereka, namun mereka melebur atau mencairkannya (hingga tidak dikenal bahawa itu adalah lemak (namanya juga diubah) ), kemudian mereka jual dan mereka makan hasil penjualannya.” [1297]
2. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Janganlah kalian melakukan Najsy.” [1304]
Keterangan Hadis : An-Najsy dalam jual-beli bermaksud kesepakatan penjual dengan seseorang dalam menipu pembeli yang lain dalam tawar menawar sesuatu harga barang. Ia bertujuan agar pembeli itu menawar harga yang lebih tinggi.
Imam Asy-Syafi’i berkata; Perbuatan tersebut adalah berdosa, tetapi jual-beli itu sah.
Mengambil Kembali Pemberian
2. Dari Ibnu ‘Abbas r.a : Rasulullah saw bersabda, “Kami tidak memiliki contoh yang buruk; (Iaitu) orang yang mengambil kembali pemberiannya seperti anjing menjilat muntahnya sendiri.” [1298]
Riwayat lain dari Ibnu Umar r.a : Nabi saw bersabda, “Tidak halal bagi seseorang memberi suatu pemberian lalu ia mengambilnya kembali, kecuali orang tua (ibu bapa), dia boleh mengambil kembali apa yang telah diberikan kepada anaknya.
Hutang
4. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang memberi tempoh (kelonggaran waktu) pembayaran hutang kepada orang yang kesulitan atau membebaskannya, maka Allah akan menempatkannya di bawah naungan Arasy-Nya pada hari Kiamat nanti, (iaitu) hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya.” [1306]
Perkongsian Tanah
5. Jabir bin Abdullah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang mempunyai hak kerana berkongsi pada sebidang kebun, maka dia tidak boleh menjual bahagiannya hingga dia menawarkannya terlebih dahulu kepada pemegang hak pengongsinya yang lain.” [1312]
Harga Barang Naik
6. Dari Anas r.a, ia berkata : Pada masa Rasulullah saw, harga bahan-bahan pokok naik, maka para sahabat berkata kepada Rasulullah saw, ‘Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga barang untuk kami.’
Rasulullah saw menjawab, “Sesungguhnya hanya Allah yang berhak menetapkan harga, Maha Menyempitkan, Maha Melapangkan dan Maha Pemberi Rezeki, dan aku berharap, ketika aku berjumpa dengan Tuhan ku, tidak ada seseorang pun dari kalian yang menuntut (kepada) ku kerana sesuatu tindakan zalim baik yang menyangkut darah mahupun harta.” (Hasan Sahih) [1314]
Perdamaian Antara Manusia
7. Dari Katsir bin Abdullah bin Amr bin Auf Al-Muzani menceritakan dari bapanya, dari datuknya : Rasulullah saw bersabda, “Perdamaian antara kaum muslimin adalah boleh, KECUALI perdamaian yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram. Kaum muslimin harus melaksanakan syarat yang mereka tetapkan, kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.” [1352]
Menanam Tanaman
8. Dari Anas r.a : Rasulullah saw bersabda, “Tidaklah seorang muslim menanam sebuah pohon atau menanam sebuah tanaman lalu pohon atau tanaman itu dimakan oleh manusia, burung atau binatang, kecuali hal itu menjadi pahala sedekah untuknya.” [1382]
Diyat (Tebusan)
9. Dari Amr bin Syuaib dari bapanya, dari datuknya : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka putusannya diserahkan kepada wali yang terbunuh. Jika mahu mereka boleh membunuhnya (dengan cara qisas) dan jika mahu mereka juga boleh meminta diyat, iaitu tiga puluh unta hiqqah (unta yang berusia empat tahun), tiga puluh unta jadza’ah (unta yang berusia lima tahun) dan empat puluh kholifah (unta yang sudah bunting). Kalaupun ada kesepakatan damai, maka hal itu terserah pada mereka.” Hadis Hasan. [1387]
Hanya TIGA perkara yang MEMBOLEHKAN Menumpahkan Darah Seorang Muslim
10. Dari Abdullah bin Mas’ud r.a : Rasulullah saw pernah bersabda, “Tidak halal menumpahkan darah seorang Muslim yang bersaksi tidak ada sesembahan selain Allah dan aku (Nabi saw) adalah utusan Allah KECUALI kerana salah satu dari tiga perkara;
(a). Penzina yang sudah bernikah (rejam),
(b). Kerana membunuh jiwa (qisas),
(c). dan orang yang meninggalkan agama (murtad) dan keluar dari jemaah kaum Muslimin.” [1402]
Larangan Membunuh Orang Bukan Islam
11. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Ketahuilah, barangsiapa yang membunuh kafir yang terikat perjanjian damai dengan kaum Muslimin yang memiliki jaminan Allah dan jaminan Rasul-Nya, maka sesungguhnya orang tersebut telah telah merosak jaminan Allah.
Kerana itu, ia (orang yang membunuh) tidak akan dapat mencium aroma syurga, padahal aroma syurga itu tercium dari jarak perjalanan tujuh puluh tahun.” [1403]
12. Dari Sa’id bin Zaid bin Amr bin Nufail r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang terbunuh kerana membela (mempertahankan) hartanya, maka ia adalah syahid; dan barangsiapa yang mengambil tanah walaupun hanya sejengkal nescaya tujuh lapis bumi akan dikalungkan kepadanya pada hari kiamat nanti.” [1418]
Tambahan Blog : Salah satu kemukjizatan Nabi Muhammad Saw, adalah mengetahui bumi mempunyai tujuh lapisan.
Video – Tujuh Lapisan Bumi
13. Dari Sa’id bin Zaid r.a : Rasulullah saw bersabda :
(1). “Barangsiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya, maka ia adalah syahid,
(2). Barangsiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya, maka ia adalah syahid,
(3). Barangsiapa yang terbunuh kerana membela darahnya (dirinya), maka ia adalah syahid dan;
(4) Barangsiapa yang terbunuh kerana membela keluarganya, maka ia adalah syahid.” [1421]
Menutup Aib Orang Muslim
14. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang melepaskan kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia, maka Allah akan melepaskan kesusahannya dari kesusahan-kesusahan akhirat,
Dan barangsiapa yang menutupi (aib) orang Muslim, maka Allah akan menutupi (aib)nya di dunia dan di akhirat. Allah selalu menolong hamba-Nya selama hamba tersebut mahu menolong saudaranya (sesama Islam).” [1425]
Larangan Memakan Daging Binatang yang Bertaring dan Cakar
15. Dari Abu Tsa’labah Al-Khusyani r.a, berkata : Rasulullah saw melarang (makan daging) binatang yang mempunyai taring dari jenis binatang buas. [1477]
16. Dari Jabir r.a, ia berkata : Rasulullah saw mengharamkan (memakan) – ketika Perang Khaibar – keldai (jinak), daging baghal, segala binatang buas yang mempunyai taring dan burung yang mempunyai cakar. [1478]
17. Dari Abu Hurairah r.a : Sesungguhnya Rasulullah saw telah mengharamkan segala binatang buas yang mempunyai taring. [1479]
Nazar
18. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Janganlah kalian bernazar, kerana sesungguhnya nazar itu sama sekali tidak boleh mengubah atau menolak takdir. Nazar itu hanya berfungsi mengeluarkan harta dari orang yang bakhil.” [1538]
Perjalanan Hidup Rasulullah SAW
19. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Aku telah diutamakan atas para Nabi (yang lain) dengan enam perkara;
1. Aku diberi Jawami’ al-Kalim (Hikmah atau kebijaksanaan dalam mengeluarkan perkataan yang singkat, tetapi mencakupi makna yang luas),
2. Aku ditolong dengan memberikan rasa takut dalam diri musuh,
3. Harta rampasan perang dihalalkan untuk ku,
4. Tanah dijadikan sebagai masjid dan alat bersuci untuk ku, dan
(5). Aku diutus kepada seluruh makhluk dan (6) para Nabi ditutup oleh diri ku.” [1553]
20. Dari Al-Harits bin Malik r.a, ia berkata : Aku mendengar Nabi saw bersabda pada hari penaklukan kota Makkah, “Tidak akan diperangi (kota) ini setelah hari (ini) sampai hari kiamat kelak.” [1611]
21. Dari Anas r.a : Rasulullah saw bersabda, “Tidak ada Adwa (penyakit yang berjangkit tanpa kehendak Allah), tidak ada Thiyarah (nasib sial) dan aku menyukai Fa’l.”
Para sahabat bertanya, ‘Ya Rasulullah, apakah fa’l itu?’ Rasulullah saw menjawab, “Perkataan yang baik.” [1615]
Jihad
22. Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata : Ditanyakan kepada Rasulullah (saw), ‘Ya Rasulullah, apa yang dapat menyamai (pahala) Jihad? Rasulullah saw menjawab, “Sesungguhnya kalian tidak akan mampu melakukannya.”
Para sahabat mengulangi pertanyaan itu dua atau tiga kali. (Namun untuk) masing-masing pertanyaan Beliau (saw) bersabda, “Sesungguhnya kalian tidak akan mampu melakukannya.”
Rasulullah saw kemudian bersabda pada kali yang ketiga, “Perumpamaan orang yang berjihad di jalan Allah adalah seperti orang yang beribadah (pada malam hari) dan berpuasa (di siang hari) tanpa merasa penat melaksanakan solat atau puasa sampai orang yang berjihad itu kembali.” [1619]
23. Dari Anas r.a : Rasulullah saw bersabda, (Allah berfirman) : “Orang yang berjihad di jalan Allah itu menjadi tanggungjawab-Ku. Jika Aku mencabut nyawanya, maka aku akan mewariskan syurga kepadanya. Jika Aku mengembalikannya, maka Aku akan mengembalikannya dengan membawa pahala atau ghanimah (harta rampasan perang).” [1620]
24. Dari Fadhalah bin Ubaid r.a : Rasulullah saw bersabda, “Setiap orang yang meninggal dunia itu ditanda sesuai dengan amal perbuatannya, kecuali orang yang meninggal dalam keadaan menjaga (dari serangan musuh) di jalan Allah. Sesungguhnya amal perbuatannya akan dikembangkan untuknya sampai hari kiamat dan ia akan diselamatkan dari fitnah (siksa) kubur.” [1621]
Keutamaan Puasa
25. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang berpuasa satu hari di jalan Allah, maka Allah akan menjauhkannya dari neraka selama perjalanan tujuh puluh tahun.” [1622]
Keutamaan Infak
26. Dari Khuraim bin Fatik r.a (ada riwayat lain dari Abu Hurairah r.a) : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang menginfakkan suatu nafkah di jalan Allah, akan ditulis untuknya (pahala) tujuh ratus kali ganda.” [1625]
Kelebihan ‘Mata’
27. Dari Ibnu Abbas r.a : Rasulullah saw bersabda, “Dua mata yang tidak akan tersentuh oleh (api) neraka;
(a). Mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan
(b). Mata yang tidak terpejam kerana berjaga-jaga di jalan Allah (orang yang menjaga di perbatasan).” [1639]
Berdoa Mati Syahid
28. Dari Abdurrahman bin Syuraih r.a (ada riwayat lain dari Mu’adz bin Jabal r.a) : Nabi saw bersabda, “Barangsiapa yang meminta mati syahid kepada Allah dari dalam hatinya secara jujur, maka Allah akan menyampaikannya ke darjat orang-orang yang mati syahid, walaupun ia meninggal dia atas tempat tidurnya.” [1653]
Pahala Orang Mati Syahid
29. Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, “Tidak (ada) seorang hamba (pun) dari penduduk syurga yang ingin kembali ke dunia kecuali orang mati syahid. Sesungguhnya ia ingin kembali ke dunia. Ia berkata ‘Supaya aku dapat dibunuh sepuluh kali (lagi) di jalan Allah’. Ini kerana ia telah melihat kemuliaan yang diberikan kepadanya (atas sebab syahidnya dia ketika di dunia).” [1661]
30. Dari Al-Miqdam bin Ma’di Karib r.a : Rasulullah saw bersabda, “Bagi orang yang mati syahid itu (di sisi Allah) ada enam (balasan atau ganjaran):
(a). Akan diampuni baginya (dosa-dosa) sejak pertama kali percikan darah(nya keluar),
(b). Ia akan melihat tempatnya di syurga,
(c). Ia akan diselamatkan dari siksa kubur dan kedahsyatan besar (pada hari kiamat),
(d). Akan diletakkan di atas kepalanya mahkota kewibawaan, satu yakut (permata) pada mahkota tersebut lebih baik dari dunia dan apa yang ada di dalamnya,
(e). Ia akan dikahwinkan dengan tujuh puluh dua isteri yang berupa (dari jenis) bidadari, dan
(f). Ia akan diterima syafaatnya untuk tujuh puluh orang keluarganya.” [1663]