Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah s.a.w. baginda bersabda: "Barangsiapa duduk di satu tempat, lalu tidak sempat berzikir kepada Allah taala di situ, penyesalan yang ia akan perolehi daripada Allah. Dan barang siapa baring pada satu tempat, lalu ia tidak sempat berzikir kepada Allah taala di situ, ia akan mendapat penyesalan daripada Allah".
Imam Ibnu Athaillah Askandary:
Kalam hikmah ke-47;
“Jangan anda tinggalkan zikir (menyebut atau mengingati Allah), kerana tidak hadir (hati) anda serta Allah dalam zikir itu. Kerana bahawasanya kelalaian anda daripada mengingatiNya lebih berat dari kelalaian anda pada ada mengingatNya. Mudah-mudahan Allah Ta’ala akan mengangkat anda dari zikir di samping ada kelalaian kepada zikir di mana hatinya jaga (tidak lalai lagi). Dan mudah-mudahan Allah Ta’ala akan mengangkat anda dari zikir yang beserta kehadiran Allah (dalam hati) kepada zikir di mana lenyap (ghaib) selain Allah. Dan itu semua tidak lah sukar bagi Allah yang Maha ‘Aziz”.
Kalam hikmah ke-248;
“Tidak ada zikir yang tergambar pada lahiriah, melainkan terbit dari batin syuhud akan Allah dan tafakkur”
Di dalam kitab Risalah Qusyairy;
Ketika Syeikh Dzu al-Nun al-Misri ditanya tentang zikir, dia menjelaskan, “Zikir bererti tiadanya ingatan pelaku zikir terhadap zikirnya” Lalu beliau membaca syair : Aku berzikir hanya kepada Mu bukan kerana aku telah melupakan Mu; Itu hanyalah apa yang mengalir dari lidah ku.
[Fusus: Bab 216 al-Futuhat al-Makiyyah memperihalkan tentang ahli zikir yang menyedari bahawa Allah adalah teman bagi orang yang berzikir yakni ahli al-Quran dan ahli al-zikr]
….tetapi Dia tidak diketahui melainkan kepada ahli Nya dan pilihan Nya. Mereka ialah ahli al-Quran dan ahli zikir, yang mana Allah mengarahkan kita untuk bertanya, kerana mereka hanya akan mengkhabarkan mengenaiNya. Dia berfirman, oleh itu tanyalah kepada ahli zikir jika kamu tidak tahu [Quran 16:43], kerana ahli zikir merupakan teman al-Haq.
Setiap orang yang berzikir yang ‘arifnya tidak bertambah ketika mengingat Yang Diingat bukanlah seorang yang berzikir, sekalipun ia berzikir dengan lidahnya kerana orang yang berzikir hanyalah dia yang meresap keseluruhannya dengan zikirnya itu. Itulah teman al-Haq. Dia tidak akan terlepas dari memperolehi manfaat, di sebabkan oleh Al-'Alim, yang mana bakhil adalah tidak mungkin bagiNYa, pasti akan menganugerahkan ke atas temanNya sesuatu yang tidak ia miliki. Di sini tiada bakhil yang membatalkan pemurah. Demikianlah teman bagi al-Haq.
Al-Haq adalah berserta bagi setiap seseorang dalam al-alam namun mereka tidak menyedarinya. Had tertinggi golongan awam – jika mereka beriman – ialah mereka mengetahui yang Allah berserta mereka.
Ahmad bin Ibrahim ad-Dauraqi menceritakan kepada kami, Ismail bin Ibrahim memberitahukan kepada kami, al-Jurairi memberitahukan kepada kami dari Abi Abdillah al-Jasri dari Abdillah bin ash-Shamit dari Abi-Zarr : Bahawa Rasulullah menjenguknya atau Abu zarr menjenguk Rasulullah s.a.w. lalu ia berkata: “Engkau (tebusanmu) adalah dengan ayah ibuku wahai Rasulullah: “Apakah kalimat yang paling dicintai Allah?” Beliau bersabda: “Zikir yang dipilihkan Allah bagi para malaikatNya: Subhanarabbi wabihamdihi Subhanarabbi wabihamdihi (Maha suci Rabb ku dan pujian untukNya , Maha suci Rabb ku dan pujian untukNya) – Hadis Hasan Sahih.