Manusia dikurniakan akal dan nafsu supaya perjuangan manusia boleh sampai ke taraf peringkat malaikat. Nafsu ada di kesemua anggota badan menjadikan perjuangan manusia lebih kuat dan hebat. Nafsu selalu menyeru kepada perkara-perkara yang tidak disukai ALLAH swt. ALLAH swt akan menolong sesiapa yang bersungguh-sungguh berjuang melawan hawa nafsunya.
Ajaran Tasawuf :
- lawan hawa nafsu
- balas kejahatan dengan kebaikan
*Menbalas kejahatan orang dengan kebaikan adalah satu perjuangan melawan nafsu kerana bukan senang memaafkan orang yang telah menganiaya kita.
Nafsu dendam akan mendorong kita untuk membalas kejahatan kecuali kita berjuang melawannya dan akhirnya dapat menewaskan nafus dendam itu.
Hukum melawan nafsu
Hukumnya adalah wajib kerana nafsu selalu menyeru kepada perkara-perkara yang bathil dan dimurkai ALLAH swt.
Empat perkara yang merosakkan manusia:-
1) Dunia
Sifat dunia sentiasa memukau manusia supaya leka dalam hidup. Kemewahan dan kesenangan yang tiada faedah adalah dunia.
Dari Hadith Nabi saw. yang bermaksud,
"Dunia itu manis. Apa yang sudah dirasa tidak akan dilepaskan. Oleh itu letakkan dunia pada telapak tangan dan tidak diletak di dalam hati."
Ertinya carilah dunia untuk kepentingan akhirat.
2) Iblis
Tidak kenal penat untuk terus menggoda dan melalaikan manusia. Sejak Nabi Adam as. dicipta, Iblis telah bersumpah akan menggoda dan menyesatkan manusia. Godaan Iblis datang dengan berbagai cara maka berhati-hatilah terhadap bisikan Iblis yang tiada kenal penat atau jemu.
3) Kebendaan
Menarik perhatian manusia supaya merasa tidak pernah puas dan cukup dan akhirnya menjadi tamak dengan kebendaan yang sebenarnya tidak akan kekal lama.
4) Nafsu
Satu dorongan atau keinginan yang bukan datang dari ALLAH. Keinginan ini selalunya tidak mendatangkan faedah dan sia-sia belaka.
Kesemua perkara yang boleh merosakkan manusia sebenarnya ada mengandungi nafsu. Tetapi manusia dapat mengatasi dan mengalahkan perkara-perkara yang merosakkan itu dengan perjuangan yang tiada bersungguh-sungguh dan tanpa henti.
Empat perjuangan (jihad) melawan nafsu:-
1) Berjuang dengan badan
Iaitu berjuang mengurangkan jumlah makanan, minuman dan tidur tanpa menjejas kesihatan diri. Memperbanyakkan makan, minum, tidur serta cakap akan meninggalkan kesan buruk ke atas diri seperti :-
- lemah akal ~ fikiran tumpul dan buntu.
- gelap hati ~ susah untuk terima ilmu dan nasihat.
- berat badan ~ menjadi malas.
Cara berjuang melawan nafsu makan minum :-
* Kurang sikap cerewet dalam memilih makanan atau minuman. Niat makan untuk mendapat tenaga buat ibadah bukan untuk puaskan tekak dan perut.
* Jangan berkorban apa sahaja demi makan. Contoh : sanggup pergi ke tempat yang jauh untuk mendapat makanan yang diingini atau sanggup membayar harga yang sangat mahal untuk makanan yang digemari.
* Jangan kecil hati atau marah atau merajuk apabila tidak dapat sesuatu makanan atau tidak dijemput ke majlis makan.
2) Berjuang dengan hawa nafsu
Nafsu adalah anugerah ALLAH kepada manusia. Ia boleh mendatangkan kebaikan atau keburukan bergantung kepada cara ia dikendalikan. Kejayaan menundukkan nafsu akan mengangkat darjat manusia ke peringkat tinggi hingga lebih mengatasi Malaikat. Kekalahan kepada nafsu akan merendahkan martabat manusia kepada serendah-rendah darjat.
Untuk berjaya dalam perjuagan dengan nafsu mestilah berpandu kepada 3 perkara ini :-
- nafsu tunduk kepada akal.
- akal tunduk kepada iman.
- iman tunduk kepada ilmu.
Maka carilah ilmu supaya kita tahu bagaimana cara untuk melawan nafsu kerana melawan nafsu adalah wajib. Tanpa ilmu seorang itu akan terus hanyut dengan nafsunya tanpa memberi tentangan sedikit pun.
Hadith Nabi saw, yang bermaksud,
"Rosak seseorang kerana 3 pekara ; kikir yang diikut-ikutkan, nafsu yang diturut-turutkan dan ujub pada diri."
3) Berjuang dengan Syaitan (Iblis)
Setiap manusia yang dilahirkan akan didampingi oleh syaitan atau iblis sepanjang hidupnya. Matlamat syaitan dan iblis adalah untuk menggoda manusia dalam melakukan perkara-perkara mungkar dan maksiat. Terpulanglah kepada manusia itu untuk berjuang dan melawan bisikan syaitan masing-masing.
Cara melawan bisikan syaitan :-
- sabar yang tiada batasan ~ sabar dalam menghadapi ujian dan dugaan hidup.
- banyakkan berdoa supaya dilindungi dari bisikan syaitan.
- banyakkan berzikir dan membaca al-Quran.
4) Berjuang dalam pergaulan
Pilihlah pergaulan yang sihat yang memberi manfaat kepada diri atau masyarakat. Jika sesuatu pergauan itu akan mendatangkan dosa serta merosakkan diri adalah lebih menjauhkan diri dari pergaulan tersebut.
Rumusan
Nafsu adalah satu doronga berkehendakkan sesuatu. Dorongan nafsu selalu kepada perkara-perkara yang melanggari perintah ALLAH swt. Nafsu tidak pernah akan lekang dari diri manusia maka ia akan merosakkan jika tidak
dikawal. ALLAH mencipta manusia berserta nafsu dan akal. Manusia boleh tidak berakal (gila) tetapi tidak mungkin tiada nafsu. Kawal dan tundukkan nafsu dengan mujahadah (perjuangan).
Perjuangan terhadapa nafsu mestilah bertahap-tahap. Perjuangan adalah hingga ke akhir hayat. Tujuan hidup manusia adalah untuk kawal nafsu di bawah arahan iman melalui akal. Iman akan lemah jika tiada perjuangan melawan nafsu. Mati di dalam keadaan melawan nafsu adalah mati sukhul khatimah ( mati dalam kebaikan)
Hubungan antara manusia, malaikat dan haiwan :-
- manusia ada nafsu dan akal ~ ada perjuangan dan bertanggungjawab atas perbuatannya.
- malaikat ada akal tiada nafsu ~ tiada perjuangan maka sentiasa taat seratus peratus akan perintah ALLAH.
- haiwan ada nafsu tiada akal ~ tiada perjuangan maka tiada tanggungjawab atas perbuatannya.