.

.
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء و المرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين أهلا وسهلا بكم إذا كانت هذه زيارتك الأولى للمنتدى، فيرجى التفضل بزيارة صفحة التعليمات كما يشرفنا أن تقوم بالتسجيل ، إذا رغبت بالمشاركة في المنتدى، أما إذا رغبت بقراءة المواضيع والإطلاع فتفضل بزيارة القسم الذي ترغب أدناه. عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه - قال: سمعت رسول الله ﷺ يقول: "إن إبليس قال لربه: بعزتك وجلالك لا أبرح أغوي بني آدم مادامت الأرواح فيهم - فقال الله: فبعزتي وجلالي لا أبرح أغفر لهم ما استغفروني" اللّهم طهّر لساني من الكذب ، وقلبي من النفاق ، وعملي من الرياء ، وبصري من الخيانة ,, فإنّك تعلم خائنة الأعين ,, وما تخفي الصدور اللهم استَخدِمني ولاَ تستَبدِلني، وانفَع بيِ، واجعَل عَملي خَالصاً لِوجهك الكَريم ... يا الله اللهــم اجعل عملي على تمبـلر صالحاً,, واجعله لوجهك خالصاً,, ولا تجعل لأحد فيه شيئاً ,, وتقبل مني واجعله نورا لي في قبري,, وحسن خاتمة لي عند مماتي ,, ونجاةً من النار ومغفرةً من كل ذنب يارب يارب يارب

.

.

.

.

Wednesday, November 5, 2014

Keindahan Syurga tidak seindah keindahan Allah

Daripada Suhaib al-Rumi, Nabi SAW bersabda, maksudnya:
“Apabila ahli Syurga telah memasuki Syurga, dan ahli Neraka memasuki Neraka, Allah SWT berfirman kepada ahli Syurga: ‘Mahukah kamu Aku tambahkan lagi?’ Ahli Syurga berkata: ‘Ya Allah, kenikmatan apa lagi yang
akan engkau berikan? Bukankah engkau telah memutihkan wajah kami, memasukkan kami ke Syurga dan menyelamatkan kami dari Neraka?’

Rasulullah SAW bersabda, “Tiba-tiba disingkap hijab (sehingga mereka dapat melihat Allah SWT). Maka tidak ada sesuatu yang lebih mereka sukai daripada memandang wajah Allah SWT.” (Riwayat Muslim)


Allah SWT, Tuhan kita pemilik sifat-sifat sempurna. Tidak ada kekurangan yang menghinggapi kesempurnaan-Nya, tidak ada aib dan cacat dalam keindahan-Nya. Ia Maha Indah dan menyukai keindahan.
Keindahan-Nya mengatasi segala keindahan dan kenikmatan memandang-Nya mengatasi segala kenikmatan.
Allah SWT tidak pernah terhijab daripada pandangan, akan tetapi mata kita yang terhijab daripada memandang-Nya. Ibn Ataillah al-Sakandari berkata maksudnya:
Bagaimana mungkin Ia terhijab oleh sesuatu padahal Ia yang menzahirkan segala sesuatu? Bagaimana mungkin Ia terhijab oleh sesuatu, padahal Ia selalu nampak bersama segala sesuatu? (Hikam Ataillah, no. 16)
Selama di dunia, kita terkena dengan pelbagai kesibukan sehingga tidak menyedari kehadiran Allah SWT bersama kita. Dunia, syaitan dan hawa nafsu ialah hijab yang menutup mata kita daripada cahaya Ilahi. Maka kita ibarat orang yang buta yang tidak mampu melihat matahari meskipun matahari itu megah bersinar di hadapan wajah kita.
Di Akhirat nanti, tidak ada lagi hijab yang menutup mata kita kerana dunia telah berlalu, syaitan telah masuk ke Neraka dan nafsu telah ditundukkan. Pada waktu itu, tidak ada yang menghalang mata manusia daripada memandang Allah SWT selain “selendang kesombongan” (rida al-kibriya’) yang dimiliki Allah SWT.
Ketika Allah SWT berkenan menyempurnakan nikmat-Nya kepada ahli Syurga, hijab tersebut disingkap sehingga mereka dapat melihat Keindahan Maha Sempurna Yang Tiada Tara. Hati yang selama ini rindu akan Tuhan bergetar dahsyat. Air mata syukur bercucuran dan lidah terasa kelu selain bertahmid memuji Allah SWT.
Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan keindahan Tuhan alam semesta. Maha Suci Allah, tidak ada tuhan selain-Nya!
Imam Abu al-Ma’ali al-Juwaini berkata, “Apabila Allah SWT bertajalli kepada hamba-Nya dan hijab tersingkap daripada mata, seketika itu juga seluruh pandangan tertuju kepada Zat-Nya Yang Maha Agung. Pada saat itu, sungai-sungai bergelora, pohon-pohon datang berbaris-baris, bangku dan kerusi berbunyi sahut-menyahut. Angin sejuk berhembus sambil membawa wangian kesturi dan azfar.”

Imam Sahl bin Abdillah berkata, “Kaum Mukminin melihat Allah SWT tanpa batas dan akhir.”
Semua mata memandang tanpa sedikit pun kesamaran. Mereka melihat Allah SWT dengan jelas di tempat masing-masing, tanpa perlu beralih ke tempat lain. Suasana pada saat itu diumpamakan dengan keadaan melihat bulan purnama yang menyejukkan mata di tengah malan yang syahdu.
Daripada Jarir bin Abdillah katanya, suatu malam Rasulullah SAW memandang bulan purnama. Baginda lalu bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya kamu akan memandang kepada Tuhanmu sebagaimana kamu memandang kepada bulan purnama. Tidak ada halangan dalam penglihatan-Nya. Maka sesiapa yang mampu untuk tidak melalaikan solat sebelum terbit matahari dan sebelum terbenam, maka lakukanlah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut al-Hafiz Ibn Katsir, memandang zat Allah SWT ini berlaku seperti pada waktu-waktu ibadah. Ahli Syurga yang paling tinggi darjatnya (al-muqarrabin al-akhyar) diperkenankan untuk memandang wajah Allah SWT setiap pagi dan petang. Sementara kebanyakan ahli Syurga yang lain hanya dapat melihat Allah SWT seminggu sekali sahaja.
Perintah Rasulullah SAW untuk menjaga solat asar memberi isyarat utama mendapat darjat tertinggi yang membolehkan seseorang melihat zat Allah setiap pagi dan petang.
Sesiapa yang ingin memperoleh darjat tertentu, maka ia mesti mengambil berat solat subuh dan asar. Kedua-duanya dilaksanakan dengan penuh adab, khusyuk dan persiapan yang lebih sempurna dibandingkan dengan solat-solat lain. Demikianlah salah satu pendapat yang disebut oleh al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari.

Ibn Rajab al-Hanbali berkata, “Ihsan adalah menyembah Allah SWT di dunia dengan menghadirkan hati dan muraqabah. Seolah-olah ia melihat dan memandang Allah SWT dengan hatinya ketika ia melaksanakan ibadah tersebut. Sebagai balasannya, ia akan memandang zat Allah SWT dengan mata zahirnya di akhirat kelak.”
Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan dalam Tarikh Baghdad daripada ‘Asim al-Harbi: Aku bermimpi melihat Bisyr bin al-Harith al-Hafi. Aku bertanya kepadanya, “Wahai Abu Nasr, dari manakah engkau?” Ia menjawab, “Aku dari ‘illiyin (tempat bagi arwah yang soleh).”
Aku bertanya lagi, “Di manakah Ahmad bin Hanbal?” Ia menjawab, “Aku melihatnya tadi di hadapan Allah SWT bersama Abdul Wahab al-Warraq sedang menikmati makanan dan minuman.”
Aku bertanya lagi, “Kenapa engkau tidak bersama mereka?” Ia menjawab, “Allah SWT mengetahui bahawa aku tidak terlalu suka makan dan minum. Maka Ia membolehkanku memandang kepada wajah-Nya.”
Orang yang paling rugi ialah mereka yang terhijab daripada mengenal Allah SWT di dunia sehingga terhijab daripada memandang-Nya di Akhirat. Mata hati mereka buta akibat dosa-dosa yang mereka lakukan. Akibat kematian hati, mereka tidak pernah tergerak untuk mengenal Tuhannya di dunia.
Abu Hamid al-Ghazali berkata, “Setiap orang yang tidak mengenal Allah SWT di dunia, tidak akan melihat-Nya di Akhirat. Sesiapa yang tidak pernah merasai kelazatan mengenal Allah SWT di dunia, tidak akan merasai kelazatan memandang Allah SWT di Akhirat. Seseorang tidak akan menuai kecuali apa yang ia semai.”
Semakin banyak dosa yang mereka lakukan, semakin tertutup pandangan matanya di Akhirat kelak. Mereka tidak dapat memandang keindahan Allah SWT lalu terbakar dalam api penyesalan yang sangat menyakitkan.
Allah SWT berfirman, maksudnya:

“Sekali-kali tidak, sesungguhnya perbuatan dosa yang selalu mereka lakukan itu telah menutupi hati mereka. Sekali-kali tidak, Sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar tertutup daripada (memandang) Tuhan mereka. (Surah al-Muthaffifin 83: 14-15)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.

Rasulullah s.a.w bersabda :

” Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat” ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)