Rasulullah SAW pernah
bersabda:
“Sesungguhnya rombongan
pertama yang akan masuk ke Syurga, rupa mereka seperti bulan pada malam
purnama. Rombongan berikutnya laksana bintang yang sangat terang di angkasa.
Mereka tidak meludah, membuang hingus ataupun buang air di dalam Syurga. Sikat
rambut mereka dibuat daripada emas. Peluh mereka (seperti minyak wangi) misk.
Setanggi mereka daripada gaharu yang wangi. Isteri
mereka ialah para bidadari.
Rupa mereka semua mirip antara satu sama lain, seperti rupa bapa mereka Adam,
(tinggi mereka) 60 hasta. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Penciptaan Nabi Adam a.s. dijelaskan
oleh Nabi SAW dengan sabdanya yang bermaksud:
“Allah menciptakan Adam atas bentuknya,
tingginya 60 hasta.”
Menurut para ulama, hadis ini
menjelaskan bahawa Allah SWT menciptakan Nabi Adam a.s. tanpa proses peralihan
bentuk daripada air mani, lalu menjadi darah, kemudian menjadi segumpal daging
dan seterusnya. Akan tetapi, baginda diciptakan terus dalam rupa bentuknya yang
sempurna, iatu seorang pemuda dewasa yang berada dalam puncak stamina dan
bertenaga. Wajah baginda sangat tampan, tubuh baginda sangat gagah dan
ketinggian baginda mencapai 60 hasta.
Manusia yang Allah SWT cipta
terus dengan “tangan”-Nya sendiri mestilah sangat sempurna kerana ciptaan Tuhan
Yang Maha Indah tentulah sangat indah. Menurut saya, jika kita bandingkan
antara ketampanan Nabi Adam a.s. dengan Nabi Yusuf a.s., maka Nabi Adam a.s.
jauh lebih tampan.
llah SWT sendiri yang
akan membentuk rupa mereka seperti mana Allah SWT membentuk Adam a.s. suatu
ketika dahulu. Mereka diciptakan dalam rupa bentuk para pemuda yang tampan,
gagah dan bertenaga.
Ahmad dan at-Tirmizi
meriwayatkan daripada Nabi SAW, maksudnya:
“Ahli Syurga memasuki
Syurga dalam keadaan tampan, tidak berbulu, dan dalam keadaan bercelak. Usia
mereka 30 atau 33 tahun.”
Perkara tersebut bukan
hanya berlaku kepada kaum lelaki sahaja. Ahli Syurga dalam kalangan wanita juga
akan mengalami penciptaan semula yang baharu sama sekali. Allah SWT berfirman
dalam surah al-Waqi’ah (56) ayat 35-37 yang bermaksud,”Sesungguhnya kami
menciptakan mereka dengan penciptaan baharu. Dan Kami kembali menjadikan mereka
gadis-gadis perawan. Penuh cinta dan sebaya (sama usia dengan suami-suami
mereka).”Yakni, Allah SWT akan membentuk semula rupa mereka menjadi gadis-gadis
muda yang cantik jelita. Meskipun di dunia dahulu mereka telah tua dan tidak
menarik, kali ini mereka semua akan menjadi wanita-wanita yang sangat menawan.
Daripada Hasan al-Basri,
bahawa suatu hari seorang wanita tua datang kepada Rasulullah SAW, beliau
berkata, “Wahai Rasulullah, doakanlah agar aku dimasukkan ke Syurga.” Baginda
menjawab sambil bergurau, “Wahai ummu polan, Syurga tidak dimasuki oleh wanita
tua.”
Mendengar jawapan ini, wanita
tersebut pergi sambil menangis. Rasulullah SAW bersabda, “Beritahukan kepada ia
bahawa ia tidak masuk ke dalam Syurga dalam keadaan tua.” Baginda lalu membaca
ayat-ayat daripada surah al-Waqi’ah ini.
Tubuh gadis-gadis Syurga ini
sangat putih, bersih, berkilau-kilauan dan sangat wangi. Kecantikan dan
kewangia mereka tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun. Bahkan kecantikan
mereka melebihi wanita yang tercantik yang pernah hidup di dunia ini.
Daripada Anas bin Malik,
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Andai seorang wanita Syurga
menampilkan diri kepada penduduk dunia, nescaya teranglah apa yang ada di
antara timur dan barat, dan penuhlah apa yang ada di antara kedua-duanya dengan
wewangian. Selembar tudung yang menutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan
seisinya.” (Riwayat al-Bukhari)
Keindahan dunia akan
berubah seiring perjalanan masa. Ia akan rosak kerana usia, penyakit dan
berakhir dengan kematian. Adapun keindahan dan kecantikan Syurga akan kekal
abadi. Sesiapa yang menginginkan kecantikan, raihlah keindahan sejati yang
tidak akan berubah selama-lamanya. Apalah gunanya kecantikan seketika, jika ia
akan berakhir dengan kehodohan abadi di dalam Neraka?
Kecantikan sejati hanya ada di
dalam Syurga abadi dan kecantikan itu hanya dimiliki oleh hamba-hamba Allah SWT
yang taat kepada-Nya dan bersabar atas segala ketentuan Allah SWT yang berlaku
kepada dirinya.
Suatu Kisah
Ummu
Zufar
Salah
seorang wanita yang bertuah ialah Ummu Zufar. Beliau seorang hamba sahaya
berkulit hitam dan berperawakan tinggi. Dari segi rupa, beliau tidak kelihatan
cantik sama sekali. Namun kesabarannya menghadapi dugaan memastikan dirinya
mendapat kecantikan abadi di Syurga nanti.Suatu hari Ibn Abbas berkata kepada
‘Ata’ bin Abi Rabah, “Mahukah engkau aku tunjukkan seorang wanita Syurga?”
‘Ata’ berkata, “Ya.”
Ibn Abbas
berkata, “Ia perempuan hitam ini. Beliau datang kepada Nabi SAW dan berkata,
‘Aku sering kali tidak sedarkan diri (kerana sakit pitam) dan auratku sering
terdedah. Mintalah kepada Allah agar menyembuhkan penyakitku.'”
Nabi SAW
bersabda, “Jika engkau bersabar maka engkau akan mendapatkan Syurga. Jika
engkau mahu, aku boleh berdoa agar Allah SWT menyembuhkanmu.”
Ditawarkan
dua pilihan ini, wanita itu menjawab, “Aku memilih untuk bersabar. Namun
begitu, auratku sering kali terdedah apabila aku tidak sedarkan diri. Doakanlah
agar ia tidak lagi terdedah.” Rasulullah SAW lalu berdoa untuknya.
Jadilah
Ummu Zufar wanita yang dijamin masuk Syurga kerana kesabarannya. Al-Hafiz Ibn
Hajar berkata, “Hadis ini mengandungi dalil bahawa bersabar atas musibah akan
membawa ke Syurga.”
Gadis-gadis Syurga yang
cantik jelita ini lalu dipasangkan dengan pemuda-pemuda Syurga yang tampan
menawan. Pasangan yang pernah menjadi suami isteri di dunia akan kembali
menjadi pasangan suami isteri di Syurga.Mereka akan hidup kekal dalam
kebahagiaan abadi. Tidak ada cemburu, pertengkaran dan perselisihan. Apa yang
ada hanyalah senda tawa dan kegembiraan selama-lamanya.
Daripada Abu Hurairah,
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“(Apabila ahli Syurga telah
memasuki Syurga), terdengar suara seruan: Kamu semua akan hidup tanpa kematian
selama-lamanya. Kamu semua akan sihat tanpa sakit selama-lamanya. Kamu semua
akan muda tanpa tua selama-lamanya. Dan kamu semua akan merasakan kenikmatan
tanpa kesusahan selama-lamanya.” (Riwayat Muslim)