Allah adalah tuhan bagi orang Islam yang wajib disembah. KepadaNya sahaja tempat kita meminta dan bermohon. Sebagaimana ucapan kita sebanyak 17 kali sehari semalam di dalam bacaan Al-Fatihah yang berbunyi ايك نعبد واياك نستعين .. Ertinya, Kepada Engkau kami menyembah dan kepada engkau kami bermohon pertolongan..
Manakala Allah pula adalah nama bagi tuhan yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan memiliki nama – nama yang terbaik yang dipanggil الاسماء الحسنى maksudnya, nama Allah melambangkan sifatnya yang sempurna.Demikian juga sifat Allah yang sempurna, berkait rapat dengan namaNya yang sempurna.
Nama Allah adalah nama tuhan yang teragung sekali berbanding dengan nama-namaNya yang lain. Dari konsep bahasanya, perkataan Allah diambil daripada perkataan Ilaah yang membawa maksud Tuhan dalam erti kata umum. Manakala Allah pula adalah nama khusus, bagi tuhan. Yang pasti Ada dan bersifat dengan sifat- sifat kesempurnaan . Dalam erti kata lain, kita katakan Allah itu
adalah Tuhan Yang Terkaya ( maknanya tidak berhajat atau memerlukan kepada sesuatu ) dan berhajatnya setiap makhluk hanya kepada Allah yang Esa.
Berbagai ragam manusia dalam mengenal Allah swt dan beribadat kepadanya. Kesemua ragam manusia ini didedahkan Allah melalui kitab sucinya, di dalam beberapa ayat al-Quranul Karim. Walaupun pelbagai agama di atas muka bumi ini, namun semuanya mengiktiraf Allah swt sebagai tuhan yang wajib disembah.
Sebagaimana firmanNya
ولان سالتهم من خلق السماوات والارض ليقولن الله
Ertinya, Jika kamu bertanya kepada orang kafir, siapakah yang menjadikan langit dan bumi nescaya mereka menjawab Allah. Surah Al- Luqman 25.
Namun demikian, sebahagiannya menyembah Allah tidak dengan cara yang diredhai Allah, iaitu dengan mengambil tuhan- tuhan selain daripada Allah swt sebagai sekutunya. Para penyembah berhala contohnya, mengambil berhala sebagai perantaraan kepada Allah. Allah menghikayatkan pegangan golongan kufar ini dengan firmannya ; ويعبدون من دون الله ما لا ينفعهم ولا ييضرهم
Ertinya, Mereka menyembah selain Allah sesuatu yang tidak memberi menfaat kepada mereka dan tidak memudaratkan mereka – al furqan, 55
Manakala sebahagian yang lain pula, golongan kufar ini menjadikangolongan ahli kitab mereka seperti tuhan yang wajib disembah. Sekalipun mereka tidak menyembah dan sujud kepada pendita dan ahli-ahli kitab mereka. Namun demikian, sikap mereka mengikut dan mentaati para pendita secara membabi – buta biarpun para pendita menyuruh mereka membuat maksiat dan mengharamkan yang halal mereka taatinya sepertilah mentaati perintah tuhan yang sebenar. Firman Alah swt
اتخذوا احبارهم ورهبانهم اربابا من دون الله والمسيح ابن مريم وما امروا الا لييعبدوا الها واحدا لا اله الاهو سبحانه عما يشركون- التوبة 31
Ertinya: Mereka menjadikan orang- orang alim mereka dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan juga mempertuhankan Nabi Isa, putera Maryam. Padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Maha Esa. Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan. At-Taubah, 31
Manakala sebahagian yang lain pula menjadikan nafsu sebagai tuhan, yang dizahirkan nafsu tersebut melalui wang ringgit, pangkat dan kemasyhuransebagai sembahan, selain daripada Allah swt. Golongan tersebut sanggup melakukan perbuatan membunuh, merompak, dan berbagai bentuk jenayah untuk mencapai keinginan nafsu serakah mereka itu. Allah Taala membongkar golongan yang mengambil nafsu sebagai tuhan, dengan fimannya,
ارايت من اتخذ الهه هواه افانت تكون عليه وكيل-
الفرقان 43
Ertinya, Adakah engkau tidak melihat, mereka yang mengambil hawa nafsunya sebagai tuhan ? Maka adakah kamu dapat menjadi pemelihara ke atasnya ? .
Manakala sebahagian yang lain pula menyembah Allah tidak berdasarkan keyakinan yang sejati . Golongan ini ialah mereka yang menzahirkan Islam, tetapi pada hakikatnya batin mereka tidak percaya dan menolak Islam. Mereka hanya menerima Islam jika ada unsur- unsur yang boleh meguntungkan dan menfaatkan bagi mereka sahaja.
Jika ada sesuatu dalam Islam yang bagi mereka merugikan dunia mereka atau menyusahkan kehidupan mereka, maka mereka akan mencari jalan untuk melepaskan diri.
Golongan ini telah wujud sejak daripada zaman Rasulullah saw lagi. Ianya akan wujud hinggalah ke akhir zaman. Maka berhati-hatilah, musuh yangdiseumpamakan api di dalam sekam ini, gunting di dalam lipatan sentiasa bersikap sinis dan tidak yakin dengan Islam.
Firman Allah swt dalam membongkar isi hati yang membusuk bagi golongan tersebut ialah ,
ومن الناس من يعبد الله على حرف فان اصابه خير اطمان به وان اصابته فتنة انقلب على وجهه خسر الدنياو الاخرة ذالك هو الخسران المبين- الحج 11
Ertinya, Dan sebahagian manusia, ada yang menyembah Allah dengan berada ditepi ( tidak yakin ) maka jika dia beroleh kejayaan, tetaplah ia dalam keadaan itu , dan jika dia ditimpa oleh suatu bencana, berpalinglah ia ke belakang ( yakni menjauhkan diri daripada Islam dan penganutnya ) Rugilah ia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata . Al-Hajj, 11
Dan sebahagian yang lain pula mereka yang mengaku Islam, tetapi dalam masa yang sama melawani dan tidak mentaati ketentuan Allah dan Rasul.Golongan inilah yang dinyatakan Allah dengan firmannya و من الناس من يجادل فى الله بغير علم ولا هدى ولا كتاب مبين
Ertinya, Sebahagian daripada manusia itu, mereka yang menyembah Allahtanpa ilmu dan tanpa petunjuk, yakni guru-guru dan tanpa panduan kitab yang benar..
Benar sungguhlah apa yang diperkatakan di dalam firman Allah Taala di atas. Ramai umat Islam yang tidak kenal Islam, tidak tahu membaca Al- Fatihah, apatah lagi mengetahui masaalah- masaalah agama yang lain. Mereka disibukkan dengan urusan dunia semata- mata. Islam hanyalah tinggal pada baka dan nama sahaja. Islam sebagaimana sabda junjungan saw mengkhabarkan kepada kita tentang umat Islam di akhir zaman dengan sabdaanya,
يوشك ان ياتى على الناس زمان لا يبقى من الاسلام الا اسمه ولا يبقى من القران الا رسمه
Ertinya: Telah bersabda Rasulullah saw, hampir akan berlaku suatu zaman di mana tidak tinggallah daripada Islam itu melainkan pada namanya sahaja Islam dan tidak tinggal daripada Quran itu melainkan pada tulisannya sahaja– riwayat Baihaqi
Wujud juga golongan yang tidak mahu berguru, hanya membaca dan menyelidik mengikut tafsiran mereka sendiri. Inilah yang dinamakan oleh Rasululah, mereka yang berguru dengan syaitan.
Golongan yang selamat daripada azab siksa Allah dan mendapat keredhaannya ialah golongan yang mengambil Kalaamullah sebagai panduan hidup. Sunnah Nabinya sebagai acuan dan Para Alim Ulama yang muktabar sebagai huraian. Ijmak dan Qias pula sebagai landasan .
Islam yang dibawa junjungan besar bukan sekadar membaca Yasin di malam Jumaat. Tidak juga sekadar membawa air tawar di bulan Nisfu Syaaban dan tidak juga menjenguk masjid sekadar di bulan puasa atau Hari Raya, atau mempromosi diri kepada jemaah untuk majlis perkahwinan, maka apabila selesai Ramadhan, selesai malam nisfu Syaaban, selesainya majlis kenduri tidak lagi kelihatan mereka yang tersebut ini.
Islam yang dibawa junjungan besar kita bukannya semata- mata berpolitik siang dan malam. Anak isteri dan diri sendiri diabaikan, yang kecil diperbesarkan yang besar diperkecilkan yang belum tentu salahnya telah dianggap salah. Kesemua tindakan lawannya adalah salah dan kesemua tindakan sendiri adalah benar, fitnah memfitnah dan keji mengeji menjadi asam garam, padahal ianya jauh daripada roh Islam yang dibawa oleh junjungan besar kita Nabi Muhammmad saw. Firman Allah Taala,
ولا يجرمنكم شنئان قوم الا تعدلوا اعدلوا هو اقرب للتقوى
Ertinya: Janganlah kebencian mu kepada sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Bersikap adillah
kerana adil itu terlebih hampir kepada taqwa - al- maidah -8