"Dari Abu Hurairah, r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Tidak sepatutnya
(bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali
(untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut): Masjidil Haram (di Mekah), dan
masjid Rasulullah s.a.w. (di Madinah) serta Masjid al-Aqsa (di Palestin)"
(Bukhari)
1. Umat Islam yang ingin berziarah keluar (negara) untuk beribadat kepada Allah
tidak perlu bersusah payah ketempat lain, selain dari berziarah ke tanah suci,
terutama untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah.
2. Tiga buah masjid yang mempunyai fadilat yang besar, apabila mengerjakan
ibadat sembahyang di dalamnya ialah:
i. Masjidil Haram di Mekah
ii. Masjid Nabi di Madinah
iii Masjidil al-Aqsa di Palestin.
3 Diantara fadhilat-fadhilatnya ialah:
i) Kelebihan Masjidil haram ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan
mendapat seratus ribu (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain dan di
dalamnya terletak Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam.
ii) Kelebihan Masjid Nabawi pula ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya
akan mendapat seribu (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain, dan
didalamnya ada makam Nabi s.a.w. Dan sebagai sebuah taman dari taman-taman
syurga.
iii) Kelebihan Masjid al-Aqsa pula ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya
akan mendapat lima Ratus (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain, dan
keistimewaannya ialah ia adalah merupakan masjid para Nabi yang terdahulu dan
tempat Israk dan Mikrajnya Nabi s.a.w.
Masjidil Haram
Masjidil Haram merupakan masjid tertua di dunia. Dalam bahasa Arab, Masjidil
Haram bererti masjid yang dihormati atau dimuliakan. Masjidil Haram terletak di
tengah-tengah kota Mekah. Sejak tahun ke-8 kerasulan Nabi Muhammad s.a.w,
baginda menjadikan Masjidil Haram sebagai
tempat ibadah umat Islam. Oleh hal
yang demikian itu, masjid ini menjadi tumpuan umat Islam dari berbagai-bagai
penjuru dunia untuk melakukan ibadah haji, umrah, solat dan menuntut ilmu.
Mereka datang daripada pelbagai mazhab.
Di tengah-tengah Masjidil Haram terletaknya Kaabah. Bangunan terpenting dalam
Masjidil Haram adalah Kaabah, yang berbentuk kiub dan disebut juga Baitullah
(Rumah Allah), Baitulatiq (Rumah Kuno), dan Baitulharam (Rumah Suci). Di dalam
masjid ini juga terdapat makam Ibrahim (bekas tapak kaki Nabi Ibrahim a.s pada
batu ketika membina atau mendirikan Kaabah), Hajar Aswad (batu hitam), dan
telaga zamzam.
Masjidil Haram - sebuah kompleks bangunan yang berbentuk empat persegi yang
mengelilingi Kaabah. Masjid ini terletak di atas tanah empat segi di
tengah-tengah kota Mekah. Keadaan Masjidil Haram pada masa Nabi s.a.w dan
Saidina Abu Bakar tidaklah seluas sekarang. Pada zaman Saidina Umar dan Uthman,
masjid ini diperluaskan dan dibina dinding di sekelilingnya. Kerja-kerja pembaikan
terus dilakukan sehingga pemerintahan Umaiyah. Usaha untuk memperindahkan
bangunan ini secara besar-besaran dilakukan pada zaman Kerajaan Abasiyah.
Ketika Sultan Salim II (1566-1574 M) daripada kerajaan Uthmaniah memerintah,
baginda beberapa kali memperbaiki dan menambah bangunan berupa atap kecil.
Kerana tuntutan zaman dan perkembangan umat Islam, Masjidil Haram hingga kini
terus menerus diperluas dan diperindah oleh pemerintahan kerajaan Arab Saudi.
Di sekeliling masjid ini terdapat tujuh buah menara yang menjulang tinggi.
Ketujuh-tujuh menara itu masing-masing mempunyai nama trendier iaitu: Bab
al-Umrah, Bab al-Hazurah, Bab as-Salam, Bab az-Ziadah, Bab al-Ali, Sulaimaniah,
dan Kait Bai. Menara-menara ini turut menjadi model masjid di seluruh dunia.
Masjidil Haram memiliki keutamaan yang tersendiri bagi umat Islam. Hal ini
berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Janganlah memberatkan
untuk mengadakan perjalanan kecuali ke tiga masjid: Masjidil Haram, masjidku
(Masjid Nabawi di Madinah), dan Masjidil Aqsa. Solat di Masjidil Haram lebih
utama daripada seratus ribu kali solat di masjid lain kecuali di Masjidil
Aqsa.” (Riwayat ad-Darimi, an-Nasai’ dan Ahmad)
Telaga zamzam terletak di bahagian tenggara Kaabah dengan kedalaman 140 kaki.
Telaga ini juga disebut Telaga Ismail. Pada masa Abdul Mutalib sebagai pembesar
Mekah, telaga ini tertutup tanah. Beliau melakukan penggalian dan seterusnya
telaga ini berada di bawah pengawasannya.
Masjid ini ditutupi dengan atap dan dilengkapi dengan menara, tiang-tiang kecil
tempat lampu penerang, dan kubah-kubah kecil (152 buah). Tiang setinggi 20 kaki
(sekitar 6m) dan berdiameter 1.5 kaki (sekitar 0.5m) berjumlah 589 buah. Setiap
tiga tiang diselangi dengan satu tiang besar dengan ketebalan sekitar 4 kaki
(sekitar 1.2m). Di bahagian utara pula terdapat satu tiang merah dan satu tiang
abu-abu kemerah-merahan, manakala di bahagian timur terdapat dua tiang
abu-abu. Di bahagian loteng atau lelangit terdapat ukiran kaligrafi ayat-ayat
al-Quran dan perhiasan. Pada bahagian tembok pula terdapat batu inskripsi yang
bertuliskan Muhammad, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, serta Asma ul Husna.
Masjidil Haram memiliki 19 pintu gerbang yang sering terbuka dan juga mempunyai
nama-nama, antara lain: (1) Bab as-Salam (pintu salam), disunnahkan masuk ke
masjid menerusi pintu ini bagi orang yang pertama kali memasukinya dan akan
melakukan tawaf; (2) Bab as-Safaa (pintu Safaa), pintu keluar menuju bukit
Safaa untuk melakukan sa’i; (3) Bab as-Su’ud (pintu su’ud); (4) Bab al-Umrah
(pintu umrah), biasanya dimasuki oleh orang yang mengerjakan umrah ketika
melakukan tawaf; dan (5) Bab Bani Syaibah (pintu Syaibah), sekarang pintu itu
tidak wujud lagi kerana termasuk dalam pelan perluasan kawasan kompleks masjid
itu untuk jemaah haji melakukan tawaf.
Masjid Nabawi
Masjid Nabawi merupakan masjid pertama yang didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w
setelah penghijrahan baginda berserta para sahabat dan pengikut setia ke
Madinah. Masjid tersebut dibangunkan pada bulan Rabiulawal tahun pertama Hijrah
bersamaan September 622 Masihi. Pada masa Nabi s.a.w dan Khulafa ar-Rasyidin,
masjid itu berfungsi sebagai tempat beribadah (solat), menuntut ilmu dan
musyawarah bagi melaksanakan kegiatan kemasyarakatan. Kini
masjid tersebut
berdiri megah, dengan lebih daripada 230 tiang setinggi 5 meter dan memiliki 10
buah menara, enam di antaranya setinggi 99 meter. Dengan berkembangnya Islam di
dunia, Masjid Nabawi mengharumkan kota Madinah al-Munawwarah (kota penerang
dunia dengan ajaran Islam). Hingga kini, jemaah haji sering berziarah ke makam
Nabi Muhammad s.a.w yang terletak di dalam kompleks masjid tersebut.
Selain itu, terdapat makam Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab.
Pada bahagian lain, terdapat taman (raudah), di antara bekas rumah Nabi s.a.w
dengan mimbar yang ditandai dengan tiang-tiang berwarna putih. Di tempat inilah
jemaah haji dan umrah melakukan solat, wajib atau sunat, sesuai dengan sabda
Nabi s.a.w yang bermaksud: “Di antara bilikku dengan mimbarku terletak sebuah
taman di antara taman-taman syurga.” (Anas bin Malik)
Masjid Nabawi memiliki keutamaan dan keistimewaan tersendiri berbanding
masjid-masjid lain. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Solat di masjidku
lebih utama daripada seribu kali solat di tempat lain kecuali di Masjidil
Haram. Dan solat di Masjidil Haram lebih utama seratus ribu kali daripada solat
di tempat lain.” (Riwayat Ahmad)
Pada awalnya, Masjid Nabawi hanya berukuran 70 x 60 hasta (1 hasta bersamaan
lebih kurang 61 cm). Lalu Nabi s.a.w memperluaskan masjid itu ke sebelah timur,
barat dan utara sehingga menjadi 2,475 meter persegi. Saidina Umar al-Khattab
(581-644 M) memperluaskan lagi masjid tersebut menjadi 140 x 120 hasta dan
menambah tiga pintu; dua pintu di sebelah utara dan sebuah pintu untuk jemaah
wanita di sebelah timur. Saidina Uthman ibni Affan (576-656 M) menggantikan
tiang pohon kurma dengan batu, menggantikan atap dan memperluaskan bahagian
lantai.
Kerja-kerja pembaikan dan perluasan masjid itu juga dilakukan pada zaman
pemerintahan Walid bin Abdul Malik (705-715 M) dan Umar bin Abdul Aziz (717-720
M), khalifah Bani Umaiyah. Pada zaman al-Mahdi (775-785 M), khalifah Abbasiah,
berlakunya penambahan atau perluasan 100 hasta lagi. Sultan Malik az-Zahir (m.
1277 M - penguasa Mamluk) memperbaiki atap yang terbakar dan menambah menara.
Salim II (1566-1674 M), sultan Uthmaniah, mula menggunakan marmar. Pembangunan
dan pembaikan besar-besaran dilakukan oleh Sultan Abdul Majid (1839-1861 M).
Dinding, tiang serta mihrab diukir dan dihiasi dengan kaligrafi. Hingga ke
zaman Uthmaniah, keluasan Masjid Nabawi telah mencapai 10,303 meter persegi.
Kerajaan Arab Saudi meneruskan perluasan masjid tersebut sehingga 16,500 meter
persegi.
Di Masjid Nabawi terdapat beberapa mihrab: Mihrab Nabawi (di timur mimbar),
tempat pertama kali Nabi Muhammad s.a.w mengimami solat berjemaah; Mihrab
Sulaiman (di sebelah mimbar), hadiah Sultan Sulaiman bin Salim (Turki); Mihrab
Uthmani (di tengah kiblat); Mihrab Tahajjud (di sebelah utara), tempat Nabi
s.a.w sering melakukan solat tahajjud; dan Mihrab al-Majidi (di sebelah utara),
tempat berkumpul ahl as-suffah, Muhajirin yang kehabisan bekalan ketika hijrah
ke Madinah.
Kronologi Masjid Nabawi
622 (Masihi) - Didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
629 - Diperluas oleh Nabi s.a.w.
638 - Diperluas oleh Saidina Umar al-Khattab.
650 - Saidina Uthman Affan menggantikan tiang dan atap serta memperluas
bahagian lantai.
707 - Diperbaiki oleh Walid bin Abd Malik dan Umar bin Abd Aziz (Bani Umaiyah).
778 - Diperluas oleh al-Mahdi (Bani Abbasiah).
1247 - Terbakar.
1256 - Malik az-Zahir (Mamluk) menambah menara serta lantai bahagian hadapan.
1468 - Diperbaiki oleh Asyraf Qaitbay (Penguasa Mamluk).
1481 - Terbakar lagi.
1574 - Salim I (Uthmaniah) menggunakan marmar.
1818 - Diperbesar oleh Mahmud II (Uthmaniah). Kubah dicat hijau.
1849 - Dibangun besar-besaran oleh Sultan Abdul Majid (Uthmaniah).
1952 - Diperluas oleh Raja Abd Aziz ibnu Sa’ud (Arab Saudi).
1984 - Diperluas dan diperbaiki oleh Raja Fahd (Arab Saudi).
Masjid Al- Aqsa
Masjid kedua tertua dan ketiga tersuci di dunia adalah Masjidil Aqsa (Masjid
Al-Aqsa). Masjid itu dibangunkan di atas lokasi Kenisah Sulaiman atau Haykal
Sulaiman dan termasuk di antara tiga masjid yang perlu dikunjungi oleh kaum
Muslim sesuai dengan anjuran Nabi Muhammad
s.a.w. Keutamaan Masjidil Aqsa
ini didasarkan daripada sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Janganlah kamu
merasa berat untuk mengadakan perjalanan ke tiga masjid: Masjidil Haram,
Masjidku ( Masjid Nabawi ) dan Masjidil Aqsa. Solat di Masjidil Haram lebih
utama dari 100,000 kali di tempat lain kecuali di Masjidil Aqsa.” ( Riwayat
ad-Darimi, an- Nasa’i, dan Ahmad)
Masjidil Aqsa disebut di dalam al-Quran yang berkaitan dengan peristiwa Israk
Mikraj (Q.17:1). Nabi s.a.w. melakukan Israk (perjalanan malam hari) dari
Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebelum bermikraj ke Sidratulmuntaha,
sebagaimana dalam firman-Nya: “Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan
hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami
berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada
tanda-tanda (kebesaran) Kami…” (Q.17:1).
Kalangan ulama berbeza pendapat mengenai istilah “aqsa”. Sebahagian berpendapat
bahawa masjid ini disebut Aqsa (Jauh) kerana memang jauh dari Masjidil Haram di
Mekah. Menurut pendapat lain, masjid ini disebut Aqsa kerana ia merupakan
tempat yang bebas daripada segala jenis kotoran, tempat turunnya malaikat serta
wahyu, dan kiblat para nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Pendapat lain lagi
mengatakan bahawa Masjidil Aqsa bukan di Baitulmaqdis tetapi di
Sidratulmuntaha. Alasan ini didasarkan pada fakta bahawa Haykal Sulaiman sudah
dihancurkan pada tahun 70 SM oleh Kaisar Titus dari Rom.
Masjidil Aqsa berada dalam sebuah kompleks di kota Baitulmaqdis (rumah, tempat
suci atau yang disucikan). Baitulmaqdis adalah sebutan bagi Jerusalem yang juga
disebut al-Quds. Masjidil Aqsa didirikan di atas tanah bekas Haykal Sulaiman.
Di dalam kompleks itu, Masjidil Aqsa terletak di selatan Kubah as-Sakhrah yang
juga dikenali dengan nama Masjid Umar atau The Dome of the Rock. Masjid itu
didirikan seperti di atas sakhrah (batu hitam yang menjadi landasan mikraj Nabi
s.a.w) oleh Abdul Malik bin Marwan pada tahun 72 H/691 M.
Nabi Sulaiman a.s membangun tempat ibadah Yahudi (kenisah) di Jerusalem yang
disebut Haykal Sulaiman. Bangunan yang terletak di Haram asy-Syarif itu lalu
dihancurkan oleh Kaisar Titus pada tahun 70 SM. Khalifah Umar membina sebuah
masjid (Masjidil Aqsa) di bekas lokasi Haykal Sulaiman itu. Kubah masjid itu
berwarna perak. Masjidil Aqsa telah diperbaiki beberapa kali, namun bentuknya
tetap tidak berubah.
Ketika menerima penyerahan Jerusalem (dahulu bernama Aelia) daripada penguasa
Nasrani, Umar al-Khattab mendapati tompokan sampah di atas sakhrah. Beliau dan
kaum Muslim membersihkan tempat itu. Lalu beliau berkata kepada Ka’b bin Ahbar
(seorang Yahudi yang memeluk Islam), ”Menurut pendapat kamumu, di mana saya
dapat mendirikan sembahyang untuk kaum Muslim?” Dia (Ka’b) menjawab,
”Dirikanlah di belakang(sebelah utara) sakhrah.” Umar pun membalas, ”Hai kau
anak perempuan Yahudi, kau masih terpengaruh dengan kefahaman Yahudi!
Sebaliknya, saya akan mendirikan masjid tempat di pusat lokasi Haykal Sulaiman
kerana kami menguasai seluruh pusat kenisah itu.” Lalu, sebuah Masjid dibina di
sebelah selatan sakhrah seperti yang dapat disaksikan sekarang ini. Masjid
itulah yang dinamakan Masjidil Aqsa.
1.
Ia adalah Kiblat pertama kaum muslimin. Sebelum di arah mengadap ke Kaabah,
Rasulullah s.a.w. dan para sahabat menunaikan solat lima waktu di Madinah
dengan mengadap ke arah Baitil-Maqdis. Menurut cerita al-Barra’ (salah seorang
sahabat Nabi s.a.w.); “Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya menunaikan solat
mengadap ke arah Baitil-Maqdis selama lebih kurang 16 atau 17 bulan” (Tafsir
Ibnu Kathir, surah al-Baqarah, ayat 142)
2.
Kemudian, setelah tidak lagi mengadap ke arah Baitil-Maqdis, Rasulullah s.a.w.
tetap menganggapnya sebagai masjid utama, iaitu yang kedua utama selepas
Masidil-Haram. Ini dapat diperhatikan pada kelebihan solat di situ di mana
baginda bersabda;
صلاة في
المسجد الحرام مائة ألف صلاة، وصلاة في مسجدي ألف صلاة، وفي بيت المقدس خمسمائة صلاة
“Menunaikan
solat di Masjidil-Haram menyamai 100 ribu solat (di masjid yang lain). Solat di
masjidku menyamai 1 ribu solat. Solat di Baitil-Maqdis menyamai 500 ribu solat”
(HR al-Baihaqi dari Jabir r.a.. Menurut Imam Ibnu Hajar; sanad hadis ini hasan.
Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 5109)
3. Dalam
satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda;
لا تُشَدُّ
الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: مسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِي هَذَا،
وَمسْجِدِ الأَقصَى
“Janganlah
mengembara (semata-mata untuk menunaikan solat di suatu masjid) melainkan ke
tiga masjid sahaja; Masjidil-Haram, Masjid ku ini (yakni masjid Nabawi di
Madinah) dan Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis)” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)
Dalam
hadis ini Rasulullah s.a.w. menggalakkan kita mengembara bukan sahaja ke
Masjidil-Haram dan Masjidnya, tetapi juga ke Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis).
Namun pengembaraan ke Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis) tidak dapat kaum muslimin
lakukan hari ini kerana dikuasai Yahudi.
Menurut
ulamak; kelebihan Masjidil-Haram adalah kerana di situ dilakukan ibadah haji
dan di situ juga terletak qiblat. Kelebihan masjid Nabi ialah kerana ia di atas
atas takwa dan kelebihan Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis) kerana ia adalah qiblat
umat-umat terdahulu. (Faidhul-Qadier, hadis no. 9802).
4.
Ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj, Nabi s.a.w. tidak terus naik ke langit dari
Mekah, akan tetapi baginda di bawa terlebih dahulu ke Palestin dan memasuki
Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis). Perjalanan dari Mekah ke Masjidil-Aqsa
(Baitil-Maqdis) ini bukan hanya diceritakan oleh sejarah, tetapi direkodkan
oleh Allah di dalam al-Quran. Sila baca; surah al-Isra’, ayat 1. Ini
menunjukkan bahawa Palestin (termasuk Baitil-Maqdis) adalah milik umat Islam.
Bumi ini adalah warisan dari para Nabi yang diamanahkan kepada Nabi Muhammad
dan umat baginda.
5.
Dakwaan orang Yahudi bahawa mereka adalah penduduk asal Palestin adalah bohong
dan palsu. Penduduk asal Palestin ialah bangsa pribumi Palstin sendiri yang
berketurunan Kan’an yang mendiami di situ sejak 4500 tahun lalu. Bangsa
Palestin ini terus tinggal di situ hinggalah apabila datangnya Islam, majoriti
mereka telah memeluk Islam dan menjadi Bahasa Arab sebagai bahasa utama kerana
pengaruh Islam.
6.
Bangsa Yahudi hanya pernah memerintah bumi Palestin iaitu selama 4 kurun; dari
tahun 1000 hinga 586 S.M.. Setelah itu, kerajaan mereka dihancurkan empayar
Assyria, Fir’aun, Greek dan Roman. Mereka lari keluar dari Palestin. Adapun
penduduk asal palestin terus tinggal di situ. Kemudian, bermula tahun 636M
pemerintahan Palestin dipegang oleh umat Islam secara terus menerus (selama
lebih kurang 1200 tahun, iaitu hingga 1917). Hakikatnya, dari segi sejarah
hubungan Yahudi dan Palestin telah sekian lama terputus iaitu lebih 2000 tahun.
Hinggalah pada pertengahan kurun ke 20 (tahun 1946), mereka merampas Palestin
dari penduduk Palestin dengan bantuan kuasa-kuasa besar dunia ketika itu dan
mengasaskan Negara Haram Israel.
Wallahu
a’lam.
Rujukan;
1.
Tafsir al-Quran al-Adziem, Imam Ibnu Kathir.
2.
Faidhul-Qadier; syarah al-Jami’ as-Saghier, Imam al-Minawi.