Firman ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 208 ;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam keseluruhannya (patuhi segala hukum-hakam); dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan. Sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh bagi kamu yang terang nyata.
Dari ayat ini kedudukan Syaitan sebagai musuh manusia adalah jelas dan tidak dapat dinafikan. Kerana kasih sayang ALLAH terhadap umat manusia, ALLAH memberitahu manusia siapakah
musuh mereka yang sebenarnya supaya manusia sekelian mengambil langkah berhati-hati supaya tidak terpedaya dengan musuh manusia itu.
Firman ALLAH dalam surah al-A'raaf ayat 27, yang bermaksud; "Wahai anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu-bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka aurat mereka. Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya KAMI telah menjadikan Syaitan-Syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman."
Firman ALLAH dalam surah al-Maidah ayat 91, yang bermaksud; "Sesungguhnya, Syaitan itu hanyalah hendak mengadakan di antara kamu permusuhan dan kebencian dengan sebab arak dan judi, dan menghalangmu dari mengingati ALLAH dan daripada sembahyang. Oleh sebab itu, belum jugakah kamu mahu berhenti (dari melakukan perkara-perkara yang keji)?"
Firman ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 168 - 169, yang bermaksud; "Wahai sekelian manusia! Makanlah apa yang ada di bumi yang halal dan baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang terang dan nyata bagi kamu."
Firman ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 268, yang bermaksud; "Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruhmu berbuat perkara-perkara keji (bakhil dan kedekut), padahal ALLAH menjanjikanmu keampunan dan kurnia daripadaNYA, dan ALLAH Maha Luas KurniNYA dan Maha Mengetahui."
Firman ALLAH dalam surah Faathir ayat 5, yang bermaksud; "Wahai umat manusia! Sesungguhnya janji ALLAH adalah benar, maka janganlah kamu terpedaya oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) ALLAH itu (lalu kamu lalai dan terpedaya)."
Demikianlah sedikit dari contoh-contoh amaran ALLAH tentang musuh manusia itu yang terdapat di dalam kitab suci al-Qur'an.
Siapakah Syaitan itu?
Syaitan adalah keturunan dari Iblis. Dan Iblis adalah berasal dari golongan Jin (Surah al-kahfi ayat 50). Seperti manusia, Iblis dan Syaitan juga mempunyai keturunan. Tetapi tidak seperti manusia, Iblis dan Syaitan akan terus hidup dan tidak akan mati sehinggalah datangnya Hari Kiamat. Jadi, dapatlah kita bayangkan betapa banyaknya bilangan musuh manusia itu, yang kerjanya sentiasa berusaha menyesatkan manusia dari jalan ALLAH.
Pada awal kejadiannya Iblis adalah sama tarafnya dengan Malaikat. Malaikat dan Iblis sama-sama taat dalam beribadah kepada ALLAH swt. Mereka adalah makhluk yang pertama dicipta ALLAH sebelum kedatangan makhluk manusia. Malaikat dicipta dari cahaya sementara Iblis dicipta dari api. Raja Iblis yang hidup bersama para Malaikat dikenali sebagai Azazil dan dia telah beribadat kepada ALLAH beribu-ribu tahun lamanya. Namun inilah Iblis pertama yang akan mendurhaki perintah ALLAH dan oleh sebab itu, dia berserta dengan segala anak-cucu keturunannya (Syaitan) menjadi makhluk yang dilaknat ALLAH swt lalu jadilah dia musuh ketat manusia sehinggalah datangnya Hari Kiamat kelak.
Sejarah Iblis memusuhi manusia.
Kisah Iblis memusuhi manusia diceritakan dengan jelas di dalam kitab suci al-Qur'an. Ada beberapa surah yang menceritakan sejarah mengapa Iblis itu memusuhi manusia. Dalam surah al-'Araf, mulai ayat 12, ALLAH menceritakan seperti berikut;-
Firman ALLAH yang maksudnya;
"Sesungguhnya, KAMI telah menciptakan kamu (Adam), lalu KAMI membentuk rupa kamu, kemudian KAMI berfirman kepada para Malaikat sekeliannya; ' Sujudlah kamu semua kepada Adam.' Lalu mereka semua sujud melainkan Iblis, ia tidak termasuk golongan yang sujud.
"ALLAH berfirman; 'Apakah yang menghalang kamu (Iblis) dari bersujud ketika AKU perintahmu?' Iblis menjawab; 'Aku lebih baik daripada Adam. Engkau (Wahai Tuhan) menjadikan aku dari api sedangkan dia (Adam) Engkau jadikan dari tanah.'
"ALLAH berfirman; 'Turunlah engkau (Iblis) dari Syurga ini kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu maka keluarlah. Sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.'
"Iblis berkata; 'Berilah tempoh kepadaku (biarkan hidup) sehingga hari mereka (manusia) dibangkitkan (Hari Kiamat)'
"ALLAH berfirman; 'Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh ( sehingga datangnya Hari kIamat)'
"Iblis berkata; 'Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhanku) telah menyebabkan aku tersesat, demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (manusia) dari jalanMU yang lurus.'
"Kemudian aku (Iblis / Syaitan) datangi mereka (manusia) dari arah belakang mereka dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau (Wahai Tuhanku) tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.'
"ALLAH berfirman; 'Keluarlah engkau dari Syurga ini sebagai makhluk terhina lagi terusir. Sesungguhnya sesiapa dari antara mereka (manusia) yang mengikutmu, tetaplah AKU akan memenuhi Neraka Jahannam dengan kamu (Iblis dan manusia) semuanya."
Inilah permulaan rasa permusuhan Iblis terhadap makhluk manusia yang bermula dengan penciptaan Nabi Adam as. Rasa sombong, marah, dengki dan dendam Iblis terhadap Nabi Adam serta anak-cucunya tidak akan padam sehinggalah datangnya Hari Kiamat kelak. Iblis bertekad dan berazam untuk menyesatkan seberapa banyak manusia yang boleh untuk bersama-samanya kelak di dalam Neraka Jahannam.
Azam Iblis ini terakam dalam surah an-Nisaa' ayat 119 - 121 yang bermaksud;
" 'Demi sesungguhnya aku (Iblis / Syaitan) akan menyesatkan mereka (manusia), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (cacatkan binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu, dan menyuruh mereka mengubah ciptaan ALLAH.' Dan ingatlah sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari ALLAH, maka rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata.
"Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji manis) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan apa yang dijanjikan Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu-daya semata-mata.
"Mereka itu (yang mengikut Syaitan), tempat akhirnya ialah Neraka Jahannam, dan mereka tidak akan dapat melarikan diri daripadanya."
Maka itulah sebabnya manusia mesti sentiasa berwaspada terhadap tipu daya Syaitan dan Iblis. Hasutan, godaan dan bisikan Syaitan dan Iblis itu datang dari berbagai arah dan cara. Dan ketahuilah bahawasanya tentera Syaitan dan Iblis itu tidak pernah kenal akan penat atau putus asa dalam usahanya menyesatkan makhluk manusia. Mereka akan sentiasa berusaha menyesatkan manusia sehingga ke saat manusia itu sedang menghadapi sakaratulmaut. Begitulah dalamnya dendam mereka terhadap anak-cucu Nabi Adam as.
Matlamat Syaitan dan Iblis dalam membuat tipu daya terhadap umat manusia.
Dari ayat-ayat al-Qur'an di atas Iblis dan Syaitan bersumpah akan mendatangi manusia dari berbagai arah iaitu dari kanan, kiri dan belakang. Ertinya manusia itu sentiasa dikelilingi oleh tentera Iblis dan Syaitan dan tiada seorang pun dari kita akan terlepas dari godaan mereka. Wahima, orang yang alim dalam agama sekali pun tetap tidak akan terlepas dari tipu daya Syaitan dan Iblis Laknatullah.
Dari sebuah hadith Rasulullah saw mengatakan, yang bermaksud, bahawa pada setiap diri anak adam itu ada Syaitan yang sentiasa bersamanya sepanjang hidupnya, termasuklah diri Rasulullah saw sendiri. Namun Rasulullah saw mendapat perlindungan ALLAH swt dari diperdayakan Syaitan yang ada pada diri Baginda itu.
Matlamat Syaitan dan Iblis dalam membuat tipu daya terhadap manusia adalah untuk membawa manusia bersama-samanya ke dalam Neraka. Untuk mencapai matlamat itu, Syaitan dan Iblis akan memastikan umat manusia itu termasuk dalam 4 golongan iaitu:-
golongan pembuat maksiat - melanggar larangan ALLAH.
golongan yang menganiaya diri sendiri - tidak melaksanakan kewajipan yang diwajibkan ALLAH.
golongan yang sesat dalam akidah - syirik atau menduakan ALLAH.
golongan yang muflis akhirat - mempunyai akhlak buruk (ikut nafsu) walau taat beribadat.
Keempat-empat golongan ini jika tidak bertaubat sebelum mati, sudah pasti tempat yang dijanjikan untuk mereka di akhirat kelak adalah neraka. Jika ini berlaku, maka tercapailah hasrat dan cita-cita Iblis dan Syaitan untuk membawa ramai manusia ke dalam Neraka bersama-sama dengan mereka sekelian.
Cara berlindung diri dari tipu daya Iblis dan Syaitan.
Tiada perlindungan dari tipu daya Iblis dan Syaitan melainkan perlindungan ALLAH semata-mata. Maka itu kita diajar supaya memohon perlindungan ALLAH dari godaan Iblis dan Syaitan dengan membaca ta'awwuz.
Inilah perlindungan yang paling mujarab dan bacalah ia setiap hari dan pada bila-bila masa kita terasa sedang diganggu oleh musuh manusia ini seperti mana diperintah ALLAH dalam surah al-A'raaf ayat 200, yang bermaksud;
"Dan jika engkau dihasut oleh suatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan dari ALLAH; Sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
Dari sebuah hadis Rasulullah saw ada mengatakan bahawasanya Iblis dan Syaitan itu berjalan di dalam tubuh manusia melalui saluran darah. Melalui saluran darah inilah Iblis atau Syaitan itu berjalan memasuki hati manusia. Di hati manusia inilah Iblis atau Syaitan akan membisikkan segala tipu dayanya kepada manusia sehingga manusia itu terpengaruh dan akhirnya tewas. Maka untuk melemahkan Iblis atau Syaitan dalam perjalanannya di dalam aliran darah kita, kita dianjurkan supaya menjaga perut kerana perut adalah salah satu dari maksiat zahir.
Menjaga perut adalah dengan memastikan segala yang masuk ke dalam perut itu adalah yang baik dan halal belaka. Jauhi dari memakan atau minum sesuatu yang subha atau yang was-was kehalalannya. Jangan penuhkan perut mengikut nafsu tetapi ikutlah ajaran Rasulullah saw dengan makan apabila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang. Banyakkan berpuasa kerana orang yang berpuasa akan banyak berzikir serta menjaga pancaindera tubuh yang lain seperti mata, lidah, telinga dan sebagainya. Apabila kita menjaga pancaindera maka sukarlah bagi Iblis atau Syaitan itu untuk menjalankan tipu dayanya. Berpuasa juga akan memperlahankan aliran darah lalu menyukarkan Iblis atau Syaitan untuk bergerak memasuki hati.
Hati yang yang kosong dari Nur ALLAH adalah lebih mudah dimasuki dan ditakluki Iblis dan Syaitan. Untuk mengisi hati dengan Nur ALLAH adalah dengan belajar ilmu agama. Isikan hati dengan ilmu tauhid dan sentiasa menambah iman. Iman yang sihat dan berfungsi akan menjadi benteng terhadap bisikan Iblis dan Syaitan.
Hati hanya boleh diisi dengan iman yang sihat apabila hati itu telah dibersihkan dari sifat-sifat terkeji seperti marah, dengki, bakhil, riak, takabbur, ujub dan sebagainya. Sifat-sifat ini adalah sifat-sifat Iblis dan Syaitan. Perasaan marah Iblis terhadap Nabi Adam as. berkekalan menjadi benci, dengki dan dendam yang tidak berkesudahan. Perasaan takabbur dan sombong Iblis merubah ia dari makhluk yang taat kepada ALLAH kepada makhluk yang kufur dan ingkar sehingga ia dilaknat dan dijanjikan dengan Neraka Jahannam. Maka hendaklah kita membuang sifat-sifat Iblis ini dari hati kita supaya kita tidak termasuk dalam kumpulan Iblis dan Syaitan Laknatullah.
Apabila hati telah dibersihkan dan diisi dengan cahaya keimanan, akan datang rasa ikhlas dalam beribadat. Orang yang ikhlas dalam ibadahnya akan terlindung dari hasutan dan bisikan Iblis dan Syaitan. Ini diakui sendiri oleh Syaitan seperti yang terakam di dalam surah al-Hijr ayat 39-40, yang bermaksud;
"Iblis berkata; 'Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMU yang dibersihkan (ikhlas hatinya terhadap ALLAH).' "
Dan ALLAH swt juga menguatkan lagi maksud si Syaitan itu dengan FirmanNYA dalam surah an-Nahl ayat 99 - 100, yang bermaksud;
"Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah sepenuhnya kepada Tuhan mereka. Sesungguhnya pengaruh Syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan dia (Syaitan) pemimpin mereka, dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya (hasutan Syaitan) melakukan syirik terhadap ALLAH."
Begitulah hendaknya kita berwaspada terhadap musuh manusia itu. Melawan tipu daya Iblis dan Syaitan adalah satu jihad kerana ia amat sukar dilakukan.dan sukar untuk manusia itu menang kerana kuatnya tentera Iblis dan Syaitan itu. Namun bagi yang tewas dengan pujuk rayu Iblis dan Syaitan itu, masih ada jalan untuk kembali ke jalan ALLAH swt selagi belum sampai ajalnya. Perbezaan antara manusia dengan Iblis serta Syaitan ialah ALLAH swt menjanjikan keampunan bagi semua dosa anak Adam kecuali dosa syirik dan menjanjikan Neraka Jahannam kepada keturunan Iblis dan Syaitan kesemuanya. Tiada keampunan lagi bagi musuh manusia itu.
Kita sangat digalakkan bertaubat dan memohon keampunan ALLAH swt di atas segala dosa yang telah terlanjur. Sesungguhnya ALLAH swt adalah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.
Inilah janji ALLAH swt kepada manusia yang telah terpedaya oleh tipu daya Iblis dan Syaitan.
Maksud ayat 135 - 136, surah Ali-Imran; maksudnya;-
"Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada ALLAH lalu memohon ampun akan dosa mereka; dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan ALLAH; dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang telah mereka lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
"Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka; dan Syurga-Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal."