.

.
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء و المرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين أهلا وسهلا بكم إذا كانت هذه زيارتك الأولى للمنتدى، فيرجى التفضل بزيارة صفحة التعليمات كما يشرفنا أن تقوم بالتسجيل ، إذا رغبت بالمشاركة في المنتدى، أما إذا رغبت بقراءة المواضيع والإطلاع فتفضل بزيارة القسم الذي ترغب أدناه. عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه - قال: سمعت رسول الله ﷺ يقول: "إن إبليس قال لربه: بعزتك وجلالك لا أبرح أغوي بني آدم مادامت الأرواح فيهم - فقال الله: فبعزتي وجلالي لا أبرح أغفر لهم ما استغفروني" اللّهم طهّر لساني من الكذب ، وقلبي من النفاق ، وعملي من الرياء ، وبصري من الخيانة ,, فإنّك تعلم خائنة الأعين ,, وما تخفي الصدور اللهم استَخدِمني ولاَ تستَبدِلني، وانفَع بيِ، واجعَل عَملي خَالصاً لِوجهك الكَريم ... يا الله اللهــم اجعل عملي على تمبـلر صالحاً,, واجعله لوجهك خالصاً,, ولا تجعل لأحد فيه شيئاً ,, وتقبل مني واجعله نورا لي في قبري,, وحسن خاتمة لي عند مماتي ,, ونجاةً من النار ومغفرةً من كل ذنب يارب يارب يارب

.

.

.

.

Tuesday, February 24, 2015

Taubat: Menurut Al-Quran dan Sunnah

PENGERTIAN TAUBAT

Taubat atau dalam Bahasa Arabnya juga  تَوْبَة  (taubah) berasal dari perkataan تَوَبَ  (tawaba) yang dari segi bahasa bermaksud kembali. Seseorang itu dikatakanتابَ  (taaba – telah bertaubat) sekiranya dia telah kembali dari melakukan dosa atau telah meninggalkan dosa itu.

Adapun dari sudut istilah, apabila dikatakan seseorang itu telah bertaubat maksudnya dia telah kembali dari melakukan maksiat atau dosa terhadap Allah untuk dia mentaati Allah. Jadi jelas kaitan di antara maksud taubat menurut bahasa dan juga istilah Syaraknya.

PERINTAH BERTAUBAT

Adapun tentang bagaimana perintah Syarak kepada kita sebagai manusia untuk bertaubat, hal ini memang jelas dan banyak disebutkan dalam nas-nas Al-Quran dan juga Sunnah. Antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman semoga kamu berjaya.” (Surah Al-Nur, 24: 31)

Dalam Surah Al-Zumar ayat ke-53 Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Katakanlah wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas ke atas diri mereka; janganlah kamu berputus harapan dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa-dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Zumar: 53)

Dalam ayat ini Allah memberi peringatan kepada hamba-hambaNya yang melampaui batas ke atas diri mereka; melampaui batas iaitu dengan melakukan dosa-dosa dan maksiat.

Juga firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat ke-135,

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

“Dan mereka (orang-orang beriman) apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka sendiri, mereka segera ingat akan Allah lalu meminta keampunan terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampunkan dosa selain Allah? Dan mereka tidak terus menerus dalam perbuatan dosanya itu, sedang mereka mengetahui (kesalahan dan akibat dari dosa itu).” (Surah Ali Imran: 135)

Jika dalam ayat sebelum ini Allah memilih perkataan mereka yang ‘melampaui batas’, dalam ayat ini pula Allah mengatakan mereka yang telah ‘menzalimi diri mereka’. Mungkin kita tidak perasan; apakah maksud orang yang menzalimi diri mereka? Orang yang menzalimi diri mereka adalah orang yang melakukan dosa dan maksiat. Bagaimana dia menzalimi dirinya?

Dia menzalimi diri sendiri kadangkala tanpa kita sangka. Barangkali ketika melakukan perbuatan maksiat itu dia bersuka ria dan berseronok dengannya. Tetapi realitinya dia menzalimi diri sendiri kerana perbuatan itu menambahkan dosanya dan paling tidaknya di Akhirat nanti dia mendapat balasan buruk iaitu Api Neraka. Perbuatannya akhirnya membawa mudarat dan binasa kepada dirinya. Itu yang dimaksudkan menzalimi diri.

Tiga ayat ini sudah memadai di mana faedah yang dapat diambil dari ketiga-tiga ayat ini cukup banyak. Antara faedah yang dapat kita sebutkan;

1. Kewajipan taubat. Seperti mana firman Allah,وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا   (dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah). Sepertimana sedia maklum, para Ulama menjelaskan bahawa sekiranya ada perintah dari Syarak sama ada dari Al-Quran atau Hadis, bererti hukumnya adalah wajib. Jadi apabila Allah mengatakan bertaubatlah kamu sekalian, itu merupakan satu perintah dan perintah membawa makna wajib. Maka hukum bertaubat adalah wajib.

2. Taubat menjadi kunci kejayaan. Seperti mana Allah berfirman لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (semoga kamu berjaya). Jadi sesiapa yang ingin tahu apa kunci kejayaan untuk hidupnya di dunia apatah lagi di Akhirat, jawapannya antara lain adalah dengan bertaubat.

3. Jangan berputus harapan dari rahmat Allah walau sebanyak dan sebesar mana pun dosa yang pernah dilakukan. Walau apapun maksiat yang kita lakukan, dari sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya, baik perkara-perkara maksiat, bidaah, khurafat yang mungkin selama ini kita amalkan dan kita percaya, jangan berputus harapan bahawa pintu taubat terus terbuka.

Bahkan walaupun perkara-perkara kufur atau syirik sekalipun, misalnya orang kafir yang menyembah selain Allah, mensyirikkan Allah, tentu sahaja dia juga boleh bertaubat. Ini kerana Allah berfirman, إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا (Sesungguhnya Allah mengampunkan kesemua jenis dosa-dosa). Tidak ada dosa yang dikecualikan dari pengampunan Allah. Jadi janganlah berputus harapan dari mendapat keampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

4. Sifat orang beriman adalah sentiasa mengawasi dirinya, memerhatikan tindak tanduknya, atau secara ringkasnya sentiasa bermuhasabah. Firman Allah, maksudnya: “Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka, mereka ingat kepada Allah.” Ingat kepada Allah maknanya sentiasa muhasabah.

Dia tidak sibuk tentang orang lain, dia lebih pentingkan dirinya kerana dia bertanggungjawab ke atas dirinya dulu sebelum orang lain. Dia sentiasa muhasabah kerana dia mengetahui, yakin dan percaya bahawa sehebat mana pun dirinya pasti dia ada kesalahan dan kesilapan seperti mana disebut dalam hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

كُلُّ بَنِي آدَم خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِيْنَ التَّوَّابُوْنَ

“Setiap anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang-orang yang bertaubat.” (Hasan. Riwayat Ahmad)

Ini adalah sifat orang yang beriman kerana orang yang sesat lagi menyimpang sifatnya terbalik sama sekali. Kita perhatikan apa sifat orang menyimpang, semoga kita tidak tergolong dalam orang yang mempunyai sifat ini. Firman Allah dalam Surah Al-Kahf ayat ke-103 hingga 104,

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِاْلأَخْسَرِينَ أَعْمَالاً الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا

“Mahukah kalian kami ceritakan tentang mereka yang telah rugi di dalam amal perbuatan mereka? Iaitu mereka yang telah sesat lagi menyimpang dalam usaha mereka semasa hidup mereka di dunia sedang mereka menyangka apa yang mereka lakukan itu adalah baik.”(Surah Al-Kahfi. 18: 103-104)

Ini sifat orang-orang sesat. Adakah orang sesat lagi menyimpang mengaku bahawa mereka sesat? Bahkan terbalik, semua orang yang sesat lagi menyimpang mengatakan bahawa apa yang mereka buat adalah betul. Bahkan mereka mengatakan apa yang mereka buat itu baik.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.

Rasulullah s.a.w bersabda :

” Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat” ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)