SYAITAN ialah musuh manusia sepanjang hayat. Peringatan ini dinyatakan Allah dalam al-Quran mendedahkan sumpah syaitan ingin memperdayakan manusia supaya dimasukkan bersama ke dalam neraka.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu. Kerana itu hendaklah kamu memusuhinya. Syaitan hanya
bermaksud mengajak golongan yang terpedaya supaya sama-sama menjadi penghuni neraka.” (Surah Fathir, ayat 6)
Syaitan tidak menetapkan siapa menjadi musuhnya dan tidak seorangpun terlepas daripada digoda syaitan. Hanya mereka memiliki tahap ketakwaan dan keimanan tinggi sukar dipengaruhi oleh syaitan.
Untuk menghasut manusia yang memang sudah berperangai seperti syaitan, maka syaitan yang ditugaskan adalah yang berkedudukan rendah. Tugas itu mudah kerana dengan sedikit bisikan, manusia mudah terpengaruh. Malah, perbuatan jahat sudah jadi kebiasaan.
Syaitan bijak menjalankan niat jahat malah syaitan diberi kelebihan oleh Allah dapat hidup lama. Jadi, syaitan mempunyai pengalaman luas menyesatkan manusia sejak dari satu generasi ke satu generasi.
Namun, manusia beriman tidak mudah terpengaruh dengan hasutan syaitan selagi berpegang kepada al-Quran dan hadis. Biar apapun tipu daya dilakukan syaitan, keimanan menjadi benteng yang kukuh menghindarkan diri menjadi hamba syaitan.