.

.
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء و المرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين أهلا وسهلا بكم إذا كانت هذه زيارتك الأولى للمنتدى، فيرجى التفضل بزيارة صفحة التعليمات كما يشرفنا أن تقوم بالتسجيل ، إذا رغبت بالمشاركة في المنتدى، أما إذا رغبت بقراءة المواضيع والإطلاع فتفضل بزيارة القسم الذي ترغب أدناه. عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه - قال: سمعت رسول الله ﷺ يقول: "إن إبليس قال لربه: بعزتك وجلالك لا أبرح أغوي بني آدم مادامت الأرواح فيهم - فقال الله: فبعزتي وجلالي لا أبرح أغفر لهم ما استغفروني" اللّهم طهّر لساني من الكذب ، وقلبي من النفاق ، وعملي من الرياء ، وبصري من الخيانة ,, فإنّك تعلم خائنة الأعين ,, وما تخفي الصدور اللهم استَخدِمني ولاَ تستَبدِلني، وانفَع بيِ، واجعَل عَملي خَالصاً لِوجهك الكَريم ... يا الله اللهــم اجعل عملي على تمبـلر صالحاً,, واجعله لوجهك خالصاً,, ولا تجعل لأحد فيه شيئاً ,, وتقبل مني واجعله نورا لي في قبري,, وحسن خاتمة لي عند مماتي ,, ونجاةً من النار ومغفرةً من كل ذنب يارب يارب يارب

.

.

.

.

Sunday, March 20, 2016

PENCIPTAAN NABI ADAM A.S DAN KEKHALIFAHAN

PENCIPTAAN NABI ADAM A.S DAN KEKHALIFAHAN


Firman Allah :

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi."
(Al-Baqarah : 30)

Mengikut pendapat para Mufassirin, Maksud “Khalifah” di dalam ayat ini adalah Nabi Adam a.s.
Allah menjadikan Nabi Adam a.s sebagai khalifah (pengganti) daripada para malaikat yang mereka itu adalah penghuni bumi selepas bangsa jin. Malaikat tinggal di langit manakala jin pula di bumi. Mereka dahulunya menyembah Allah dalam tempoh waktu yang cukup lama di muka bumi, namun timbul hasad dengki di antara mereka sehingga mereka saling berbunuhan dan sering membuat kerosakan.
Maka diutuskan bala tentera dari golongan malaikat kepada mereka. Dikatakan kepada para jin bahawa pemimpin mereka adalah iblis dan mereka merupakan bendahara Syurga. Maka jin yang mana nama mereka terbentuk daripada perkataan asal Al-Jannah diturunkan ke bumi dan diusir menjadi golongan yang menduduki gunung-gunung dan lautan. Mereka mendiami bumi dengan beribadah mereka itu lebih ringan daripada para malaikat kerana penduduk langit dunia lebih ringan sedikit ibadah mereka daripada yang berada di atasnya dan begitulah ibdah-ibadah setiap penduduk langit sehinggalah yang paling atas.
Ketika mana para malaikat daripada golongan jin menduduki dunia, Allah telah meringankan ibadah mereka. Kerana keringanan itu, mereka menjadi suka dan ingin menetao di bumi. Allah pernah memberikan kekuasaan kepada iblis terhadap bumi dan langit, sebagai bendahara syurga dan kadangkala mereka menyembah Allah di langit, kadangkala di bumi serta kadangkala di syurga. Akhirnya timbul rasa ujub (bangga) terhadap diri mereka sehingga timbullah takabbur (sombong) pada diri mereka. Maka Allah menunjukkan apa yang terkumpul akibat daripada kesombongan mereka itu dengan Firman :

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

Firman Allah :

وَلَوْ جَعَلْنَاهُ مَلَكًا لَجَعَلْنَاهُ رَجُلًا وَلَلَبَسْنَا عَلَيْهِمْ مَا يَلْبِسُونَ

Dan kalau Kami jadikan rasul itu malaikat, tentulah Kami jadikan dia seorang laki-laki dan (kalau Kami jadikan ia seorang laki-laki), tentulah Kami meragu-ragukan atas mereka apa yang mereka ragu-ragukan atas diri mereka sendiri.”
(Al0An’am : 9)

Di dalam tafsir Qurtubi dan Ibnu Kathir dikatakan bahawa kalimah “KHALIFAH” untuk satu dan untuk jama’ (banyak). Namun ianya bermaksud jama’. Maka “KHALIFAH” adalah bermaksud Nabi Adam a.s dan keturunannya. Sebagaimana firman Allah :

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ

Dan Dia lah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat.”
(Al-An’am : 165)

Ibnu Jarir berkata :
“Khalifah yang menggantikan dalam menetapkan hokum di antara makhluk dan khalifah itu adalah Adam a.s dan sesiapa yang menggantikannya dalam ketaatan kepada Allah, boleh memutuskan hokum secara adil di antara sesame makhluk. Adapun orang-orang yang merosakkan, maka mereka itu bukan termasuk khalifah.”

Ibnul Arabi dan sebahagian Al-Mujahadah berkata :
“Khalifah adalah pengganti daripada Allah, seperti wakil Allah.”
Mereka mentafsirkan sebagai pengajaran Nabi Adam a.s tentang nama-nama benda dengan sifat-sifat yang terdapat maknanya pada manusia dan penciptaan Adam dengan bentuknya seperti itu.

Sayidina Abu Bakar As-Siddig r.a pernah berkata ketika beliau dipanggil “ Wahai khalifah Allah”. Lalu beliau menjawab : “Aku bukanlah khalifah Allah, tetapi aku adalah khalifah Rasulullah s.a.w. Cukuplah yang demikian itu dan Allah adalah khalifah bagi selain Nya.”

Rasulullah s.a.w bersabda :
اللهم أنت الصحب في السفر والخليفة في الأهلي

“Ya Allah, Engkaulah pemilik perjalanan ini dan pengganti bagi keluargaku.”
(Riwayat Abu Daud dan Tarmizi : Sanad yang sahih)

Allah adalah Yang Maha Hidup selama-lamanya, Maha Menyaksikan tidak akan mati dan tidak akan menghilang. Maka dengan itu tidak mungkin ada sesuatu sebagai pengganti bagi Nya. Sesungguhnya tidak aka ada yang sanggup menggantikan tempat Nya. Maka barangsiapa yang mengatakan ada pengganti Nya, maka dia telah musyrik kepada Nya.

Firman Allah :

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."
(Al-Baqarah : 30)

Ar-raghib dan para mufassirin bersetuju bahawa mereka mengqiyaskan kepada sesuatu yang tidak Nampak (ada). Mereka (para malaikat) mengatakan: “Mengapa Engkau hendak menjadikan di bumi itu khalifah yang hendak membuat kerosakan.”
Sepertimana yang dilakukan oleh keturunan jin dan inilah qiyas fasid (perumpamaan yang salah) kerana diqiyaskan antara yang nampak (hadir) dengan yang ghaib (tidak ada). Para mufassirin dan Ahli Sunnah termasuk Al-Waqidi membenarkan pendapat ini. Mereka mengatakan bahawa diqiyaskan atas siapa yang pernah mendiami bumi daripada keturunan jin, lalu mereka membuat kerosakan di dalamnya.

Yahya bin Abu Kthir berkata yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dalam ayat 30 surah Al-Baqarah:
“Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya. Mereka berjumlah sepuluh ribu malaikat. Dan Allah mengirimkan api kepada mereka sehingga mereka terbakar.” Namun ini adalah merupakan khabar israiliyat yang mungkar.

Dalam riwayat daripada Abi Jaafar Muhammad bin Al-Husain bahawa :
“Salji adalah merupakan malaikat, manakala Harut dan Marut adalah anggotanya. Setiap hari dia memandang tiga kali ke Ummul Kitab, memandang apa yang belum pernah terjadi. Kemudian melihat di dalamnya, penciptaan Adam a.as dan apa yang berkaitan dengannya.”
Kemudian beliau menceritakan kisah Harut dan Marut.

Ahli hikmah berkata :
“Ketika Allah menciptakan manusia secara rohani dan jasmani, Allah menjadikan manusia itu terdiri daripada tiga kecenderungan iaitu kecenderungan syahwat, kecenderungan marah dan kecenderungan kuasa. Maka dengan kecenderungan syahwatnya menyebabkan rosaknya bumi. Kecenderungan amarahnya menyebabkan terjadinya pertumpahan darah yang tidak dihalalkan baginya dan dia menjadi khalifah Allah dengan adanya kecenderungan kuasa yang disokong oleh akal.”

Ketika para malaikat mendengar ketiga-tiga kecenderungan itu adalah pada makhluk manusia, mereka melihat kecenderungan yang boleh memberikan kemaslahatan. Kekhalifahan adalah kecenderungan akal sahaja. Mereka melihat kepada kecenderungan yang dua lagi yang terdapat pada manusia, akan tetapi mereka tidak mengetahui akan keutamaannya. Kemudian mereka manjdi sombong dan mereka mengembalikan perintah Allah dengan mengatakan : “Adapun beribadah yang di antaranya tasbih dan menyucikan yang dikhususkan dengan kecenderungan kekuasaan, kami telahpun melaksanakannya. Maka apa lagi erti manusia yang tersusun daripada susunan yang tidak berbuat kecuali pertumpahan darah dan melakukan kerosakan.” Maka Allah berfirman :

إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ
"Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

Daripada Ibnu Abi Syaiban daripada Yunus bin Muhammad daripada Hamad bin Salamah daripada Thabit daripada Anas bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
“Ketika Allah menciptakan Adam a.s, iblis mengelilingi. Apabila melihatnya, iblis berkata : “Engkau berasa bangga dengan makhluk yang tidak memiliki apa-apa.””
(Sahih Muslim, Imam Ahmad)

Daripada riwayat Abu Hurairah r.a, katanya:
“Ketika Allah menciptakan Adam a.s, Allah mengutuskan para malaikat pemikul Arasy untuk membawa segenggam debu (tanah) dari bumi. Ketika sampai di bumi dan hendak mengambilnya, bumi berkata : “Sesungguhnya aku meminta untuk bertanya kepadamu dengan yang mengutusmu kepada ku untuk mengambil daripadaku hari ini sesuatu yang ada bahagiannya untuk api neraka kelak.” Maka malaikatpun meninggalkannya. Ketika kembali, Allah berfirman kepada malaikat tersebut : “apa yang menyebabkan kamu tidak membawa sesuatu yang aku perintahkan kamu untuk mengambilnya?”. Lalu malaikat menjawab : “Ya Tuhanku, ia meminta kepadaku dengan perantaraan Mu agar aku tidak mengambil sesuatu dari bahagiannya untuk api neraka kelak. Maka aku lebih mengutamakan untuk tidak mengambilnya.”
Kemudian Allah mengirimkan malaikat yang lain. Namun perkara yang sama juga berlaku. Akhirnya Allah memerintahkan Malaikat Izrail untuk mengambil apa yang diperintahkan Nya. Namun bumi tetap mengatakan seperti apa yang dikatakan sebelumnya. Walau bagaimanapun malaikat Izarai berkata kepada bumi:” Yang mengutusku ke sini adalah yang paling wajib ditaati daripadamu.”. Dan Izrail mengambil apa yang telah diperintahkan kepadanya daripada semua permukaan bumi, yang baik dan yang buruk sehingga genggamannya seperti tempat di mana kaabah. Kemudian membawanya ke hadapan Allah. Kemudian disiramkan ke atasnya air dari syurga sehingga menjadi tanah yang subur. Maka terciptalah Adam a.s.
Kemudia berkata :”Maha Suci Allah, sebaik-baik Pencipta.”. Namun riwayat ini diragui kebenarannya.

Musaddad berkata kepada kami, bahawa Zaid bin Jari’ dan Yahya bin Said menceritakan. ‘Auf telah menyampaikan kepada kami daripada Qasamah bin Zuhair, bahawa Abu Musa Al-Asy’ari berkata, Rasulullah s.a.w bersabda :
“Sesungguhnya Allah menciptakan Adam a.s daripada suatu genggaman yang Dia genggam daripada semua (permukaan) bumi, maka jadilah keturunan Adam daripada semua bahagian bumi. Di antara mereka ada yang putih, merah dan hitam. Juga banyak yang baik dan buruk, yang mudah dan juga susah.”
(Hadis sahih riwayat Abu Daud, At-Tarmizi dan Ahmad)

Riwayat daripada Sayidina Ali r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
“Muliakanlah bapa saudara (kurma) kamu ini, kerana sesungguhnya ia diciptakan daripada baki tanah yang diciptakan untuk Adam a.s. Tiada pohon yang paling mulia di hadapan Allah daripada pohon yang di bawahnya Maryam binti Imran melahirkan Isa a.s.”
(Disifatkan sebagai mungkar namun riwayat ini diperkuat oleh Ibnu Kathir dalam tafsirnya dengan menisbatkan periwatannya kepada Ibnu Abi hatim dalam kitab tafsirnya, dia berkata bahawa riwayat ini mungkar)

Para ahli himah berkata :
“Setiap tumbuhan apabila dipotong hujungnya, maka akan tumbuh lagi apabila sudah sampai sembuh aslinya kecuali kurma. Kalau kurma dipotong pada hujungnya, maka ia tidak tumbuh.”

Ahli hikmah yang lain pula mengatakan :
“Sesungguhnya kurma memiliki umbi sebagai tempat ia bergantung, sebagaimana seorang wanita kepada lelaki.”

Diriwayatkan oelah Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
“Allah menciptakan Adam a.s daripada debu yang kering, lalu Dia melembutkannya dengan air syurga”
(Ad-Dailami : Al-Firdaus)

Di dalam musnad Imam Ahmad, Riwayat daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
“Sesungguhnya ketika Allah turunkan Adam a.s ke bumi, berkatalah para malaikat : “Apakah Engkau menjadikan di dalamnya orang-orang yang suka membuat kerosakan padanya dan suka melakukan pertumpahan darah?”
Allah berfitman : “Sesungguhnya Aku lebih tahu apa yang tidak kamu ketahui.”
Para malaikat berkata : “ Ya Tuhan kami, kami lebih taat kepada Mu daripada Bani Adam.”
Allah berfirman kepada malaikat : “Pilih dua malaikat diturunkan ke bumi, lalu kita lihat apakah yang akan dilakukan oleh kedua mereka.”
Para malaikat berkata : “Kami memilih Harut dan Marut.”
Maka keduanya turun ke bumi. Maka diumpamakanlah kepada mereka Zuhrah menjadi manusia (wanita) tercantik di bumi. Lalu kedua malaikat itu dating bertanyakan tentang wanita tersebut. Wanita itu menjawab : “Tidak, demi Allah sehingga kamu mahu mengatakan kata-kata ini (kata yang mengandungi kesyirikan).”
Harut dan Marut menjawab : “ Tidak, demi Allah kami tidak akan mempersekutukan Allah dengan sesuatu apapun.”
Kemudian wanita itu berlalu pergi. Wanita itu kembali dengan membawa seorang bayi. Kedua malaikat itu mendekati wanita itu dan bertanyakan tentang diri wanita itu. Wanita itu menjawab : “Tidak, demi Allah sehingga kamu mahu membunuh bayi ini.”
Kedua malaikat itu menjawab : “ Tidak, demi Allah, kami tidak akan membunuh selama-lamanya.”
Wanita itu berlalu pergi sekali lagi. Kemudian dating semula dengan membawa khamar (arak) yang memabukkan. Kdua malaikat itu menghampirinya dan bertanyakan tentang dirinya. Wanita itu menjawab : “Tidak, demi Allah sehingga kamu mahu meminum khamar ini.”
Maka kedua malaikat itu meminumnya sehingga keduanya dalam keadaan mabuk. Lalu tejadilah apa yang mereka inginkan daripada wanita itu dan mereka juga membunuh bayi yang dibawa oleh wanita itu.
Apabila kduanya sedar dari kemabukkan maka berkatalah wanita itu : “Demi Allah kamu tidak meninggalkan apa jua yang sejak mula kamu abaikan daripada kelalaian. Kamu telah melakukan semua kemungkaran dalam keadaan mabuk.”
Lalu dipilihkanlah bagi kedua malaikat tersebut di antara azab dunia ataupun azab akhirat. Lalu keduanya memilih azab dunia.”
(Hadis ini tidak sahih kerana disebutkan di dalamnya bahawa malaikat berkata kepada Allah :”Mengapa Engkau menjadikan di bumi khalifah yang akan membuat kerosakan di bumi.”. Ini bertentangan denga  nas Al-Quran dalam surah Al-Baqarah ayat 31. Namun menurut pendapat yang lebih kuat menyatakan bahawa kedudukan hadis ini adalah mauquf. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Hibban, Al-Baihaqi dan Al-Hakim daripada  Ibnu Umar secara mauquf)

Ahli-ahli tafsir mengatakan bahawa Allah menciptakan di dalam hati Adam a.s tentang nama-nama benda dan Allah mengilhamkan pengetahuan dengannya. Allah mengajarkan nama-nama benda dan segala sesuatu sehingga dia tahu dan memahaminya. Berkata Al-Waqidi, ahli takwil mengatakan : “Sesungguhnya Allah mengajarkan Adam semua bahasa. Kemudia setiap anak-anak Adam berbicara dengan bahasa-bahasa yang berbeza. Ketika mereka berbicara, maka menjadi khususlah bahasa mereka itu. Maka semua bahasa itu sesungguhnya terdengar dan didapati daripada Nabi Adam a.s.”

Firman Allah :

وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلَاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar!"
(Al-Baqarah : 31)

Nabi Adam a.s mengkhabarkan tentang nama-nama tersebut kepada mereka yang berakal dari golongan malaikat dan jin. Para mufassirin berkata Allah menciptakan segala sesuatu. Haiwan dan benda-benda mati. Kemudian diajarkan kepada nabi Ada. A.s dan menjelaskannya pula kepada seluruh malaikat.

Dalam firman Allah :
“jika kamu memang benar orang-orang yang benar”, menurut Al-Hasan ianya membawa maksud : Sekiranya kamu adalah orang-orang yang benar, maka Aku tidak akan menciptakan suatu ciptaan dengan syarat kamu haruslah lebih mengetahui dan lebih afdhal daripada ciptaan itu.

Maka menurut Abu Al-‘Atilah :
“Ketika para malaikat mengetahui bahawa Allah menjadikan seorang khalifah di bumi, mereka berkata : “Tidaklah Allah menciptakan makhluk melainkan kita adalah yang lebih mengetahui (pintar) dan lebih mulia daripada mereka.

Firman Allah :

قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
قَالَ يَا آدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ

Mereka menjawab: "Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Allah berfirman: "Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini." Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman: "Bukankah sudah Ku katakan kepadamu, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?"
(Al-Baqarah : 32 dan 33)

Menurut Al-Hasan lagi :
“Allah tidak akan menciptakan makhluk yang lebih baik (utama) dan labih mengetahui daripada malaikat. Ayat ini adalah adalah merupakan hujah bahawa ilmu itu lebih utama daripada ibadah, kerana para malaikat tunduk kepada Adam a.s kerana ilmu.”

Firman Allah :

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.”
(Al-Baqarah 34)

Sujud bererti menghormati dan memuliakan Adam, dan bukanlah bererti sujud memperhambakan diri, kerana sujud memperhambakan diri itu hanyalah semata-mata kepada Allah. Berlaku perbezaan pendapat  di kalangan para ulama tentang para malaikat yang diperintahkan bersujud kepada Adam a.s. Ada di kalangan para ulama tersebut mengatakan bahawa mereka adalah malaikat yang bersama iblis di bumi. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan bahawa pendapat ini bukanlah perkataan orang muslim, akan tetapi berasal dari orang yahudi dan nasrani. Ada yang berpendapat bahawa kesemua malaikat termasuklah Jibril dan Mikail. Ini adalah pendapat ahli-ahli ilmu yang berdasarkan Al-Quran.

Syeikhul Islam Ibu Taimiyah mengatakah : “Maka barangsiapa yang mengatakan atau berpendapat sebaliknya daripada apa yang dikatakan berdasarkan Al-Quran, bermakna dia menolak Al-Quran dan pembohongan dan penghinaan.”

Penegasan Allah dalam firman Nya :

فَسَجَدَ الْمَلَائِكَةُ كُلُّهُمْ أَجْمَعُونَ

“ Maka bersujudlah para malaikat itu semuanya bersama-sama.”
(Al-Hijr :30)

Ibnu Jarir mengatakan daripada hadis Syu’aib bin Bisyrin daripada Ikrimah daripada Ibnu Abbas, katanya: “Ketika Allah menciptakan malaikat, Allah berfirman :

إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِنْ طِينٍ

(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah."

Firman Allah kepada malaikat lagi :

فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِنْ رُوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ

“Maka apabila telah Kusempurnakan kejadiannya dan Kutiupkan kepadanya roh (ciptaan)Ku; maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya."

Para malaikat menjawab : “Kami tidak akan melakukannya.”
Maka Allah mengirimkan mereka yang membakar mereka. Kemudian Allah menciptakan kembali malaikat dan Allah memerintahkan kepada mereka perkara yang sama. Lalu para malaikat menjawab : “Kami dengar dan kami taat.” Kecuali iblis dan mereka akhirnya menjadi kafir.”
(Tafsir Ibnu Jarir)

Ibnu Al-Anbari melaporkan daripada Al-Farra’ dan jamaah imam mengatakan bahawa sujud malaikat kepada Nabi Adam a.s adalah merupakan penghormatan dan bukanlah merupakan ibadah terhadapnya. Ini merupakan satu bentuk perhormatan sesame manusia pada ketika itu. Apabila datangnya Islam maka pengormatan itu digantikan dengan salam.

Para ahli ilmu mengatakan bahawa sujud yang ditujukan kepada Adam a.s adalah merupakan perintah yang Allah fardhukan.

Manakalah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan  pendapat ini merupakan ijma’ bagi setiap yang mendengar firman-firman Allah “Sujudlah kamu pada Adam” dan bukanlah “Sujudlah kamu kepada Adam” yang mana setiap huruf dalam firman Allah itu mempunyai makna.






BANTAHAN IBLIS BERSUJUD PADA ADAM A.S

Firman Allah “

إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ
kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.”
(Al-Baqarah : 34)

Pendapat pertama :
Para iblis ketika beribadah adalah munafik.

Pendapat kedua :
Iblis adalah makhluk yang beriman sebelumnya tetapi menjadi kafir kemudiannya.

Maka pendapat kedua adalah yang paling banyak disokong. Terdapat pebezaan pendapat tentang kekafiran iblis. Menurut Khawarij, iblis menjadi kafir kerana kemaksiatan kepada Allah dan setiap kemaksiatan itu adalah kufur. Namun pendapat ini tertolak kerana bertentangan dengan nas-nas Al-Quran, sunnah dan ijma’ ulama’. Sebahagian ulama mengatakan iblis menjadi kufur kerana tidak melakukan sujud yang telah diperintahkan Allah kepada Adam a.s. Kalimah sujud adalah merupakan rukun. Maka atas dasar ini sebahagian ulama mengatakan bahawa sesiapa yang meninggalkan solat maka dia telah kufur. Sebagaimana di dalam mazham Imam Ahmad dan Ijma’ para sahabat juga mempunyai pendapat yang sedemikian.

Abu Hurairah r.a berkata :
“Adalah sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w tidak melihat suatu amal sedikitpun, siapa yang meninggalkannya (untuk mengkafirkan) kecuali solat.”
(Riwayat Al-Hakim)

Sebelas sahabat Rasulullah s.a.w yang menghukumkan kufur bagi sesiapa yang meninggalkan solat, tujuh orang daripada At-Tabi’in dan sebahagian besar ahli-ahli hadis.

Daripada Abdullah bin Syaqiq r.a meriwayatkan :
“Menurut para sahabat, mereka tidak pernah mengatakan bahawa perbuatan seseorang menyebabkan kufur, kecuali apabila seseorang itu meninggalkan solat.”
Riwayat At-Tarmizi : Imam Al-Albani telah mentashihnya.)

Daripada Jabir r.a daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda :
“Tidak ada yang menjadikan seorang hamba menjadi syirik kepada Allah selain perbuatan syirik.”
(Riwayat Muslim, Ibnu Majah, At-Tarmizi darpada Abdullah bin Baridah daripada bapanya diriwayatkan secara marfu’ “Perjanjian dan perbezaan antara kita dan kaum kafir adalah solat. Barangsiapa yang meninggalkan solatnya maka dia telah kafir.” : Imam Al-Al-bani telah mentashihnya)

Sebahagian ulama pula mengatakan kekufuran iblis kerana menyalahi perintah lisan Allah kerana sesunggunya Allah berhadapan dengan para malaikat dan memerintahkan mereka untuk sujud. Menyalahi dan menentang perintah lisan adalah merupakan keburukan yang besar.

Bagi sebahagian besar kaum muslimin pula mengatakan iblis kufur kerana mengabaikan sujud, sombong, angkuh, membangkang dan menganggap diri mereka di jalan yang benar ketika enggan bersujud serta menganggap diri mereka lebih baik berbanding Adam a.s.

Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah s.a.w bersabda :
“Tidak masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya kesombongan walau sebesar zarrah.”
(Riwayat Muslim, Abu Daud, At-Tarmizi, Ibnu Majah dan Ahmad)

Al-Maimuni berkata :
“Abu Abdullah bin Hanbal menyebutkan tentang iblis. Katanya : “Sesungguhnya iblis disuruh untuk sujud, namun iblis menyombongkan diri dan jadilah ia kafir. Maka orang yang mempunyai sifat sombong adalah kufur.””

Imam Syaharsattani menyebut :
“Ketahuilah bahawa permasalahan yang pertama muncul di kalangan makhluk adalah permasalahan iblis.. Sumbernya adalah kerana iblis sentiasa berpendapat dan pendapatnya itu bertentangan dengan nas (Al-Quran), lebih mendahulukan hawa nafsu dan kesombongannya dengan alas an penciptaannya adalah daripada api berbanding tanah. Lalu permasalahan itu terbahagi kepada tujuh cabang masalah yang terjadi kepada makhluk. Semua permasalahan itu dijelaskan di dalam Injil yang empat, disebutkan juga di dalam secara terpisah dengan perdebatan di antara iblis dan malaikat setelah diperintahkan untuk sujud, iblis telah menolak perintah Allah dengan tujuh pertanyaan.”
Berkata pensyarah Injil yang empat : “ Maka Allah mewahyukan dari balik singgahsana Nya yang Maha Indah : “Wahai iblis!, Engkau belum mengenali Aku. Kalaulah engkau kenali Aku, nesacaya engkau akan mengetahui bahawasanya tidak ada yang boleh menolak perintah Ku pada suatu apapun daripada perbuatan Ku. Kerana sesungguhnya Aku adalah Allah yang tidak ada Tuhan selain Aku, tidak ada bantahan terhadap apa yang Aku perbuat.””
(Al-Milal Wa An-Nihal : Imam Syaharsattani)





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.

Rasulullah s.a.w bersabda :

” Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat” ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)

MUHASABAH