.

.
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء و المرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين أهلا وسهلا بكم إذا كانت هذه زيارتك الأولى للمنتدى، فيرجى التفضل بزيارة صفحة التعليمات كما يشرفنا أن تقوم بالتسجيل ، إذا رغبت بالمشاركة في المنتدى، أما إذا رغبت بقراءة المواضيع والإطلاع فتفضل بزيارة القسم الذي ترغب أدناه. عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه - قال: سمعت رسول الله ﷺ يقول: "إن إبليس قال لربه: بعزتك وجلالك لا أبرح أغوي بني آدم مادامت الأرواح فيهم - فقال الله: فبعزتي وجلالي لا أبرح أغفر لهم ما استغفروني" اللّهم طهّر لساني من الكذب ، وقلبي من النفاق ، وعملي من الرياء ، وبصري من الخيانة ,, فإنّك تعلم خائنة الأعين ,, وما تخفي الصدور اللهم استَخدِمني ولاَ تستَبدِلني، وانفَع بيِ، واجعَل عَملي خَالصاً لِوجهك الكَريم ... يا الله اللهــم اجعل عملي على تمبـلر صالحاً,, واجعله لوجهك خالصاً,, ولا تجعل لأحد فيه شيئاً ,, وتقبل مني واجعله نورا لي في قبري,, وحسن خاتمة لي عند مماتي ,, ونجاةً من النار ومغفرةً من كل ذنب يارب يارب يارب

.

.

.

.

Sunday, July 5, 2015

Nuzul Al Quran 1436 H

Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama Ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali. Sebagai contoh, “Dia yang telah…..menurunkan hujan.” (al-Baqarah:22), dan “Dialah….yang menurunkan Taurat Dan Injil.” (Ali Imran:3).
‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari atas ke bawah atau turun dari tempat yang tinggi. ‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan, kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia dan di dalamnya terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat, sains, teknologi dan sebagainya.


Nuzul al-Quran dicatatkan berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 keputeraan Nabi Muhammad s.a.w.. Bagaimanapun, wujud kekhilafan bila tarikh sebenar Nuzul al-Quran atau penurunan al-Quran yang telah dibincangkan secara ilmiah.
Percanggahan pendapat di kalangan ulama adalah berdasarkan kepada nas dan dalil yang terkandung dalam al-Quran yang menjelaskan peristiwa penurunan kitab suci Allah itu.
Kebanyakan ulama berpendapat, al-Quran diturunkan pada malam al-qadar. Ini berpandukan kepada surah al-Qadr, ayat 1 hingga 5 yang bermaksud: Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat-malaikat dan al-Roh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.
Dalam surah ini, malam penuh kesejahteraan merujuk kepada malam al-qadar iaitu 10 malam terakhir Ramadan.
Sebahagian ulama pula mengatakan al-Quran turun pada bulan Ramadan dengan berpandukan kepada surah al-Baqarah, ayat 185. Allah s.w.t. berfirman: (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil).
Berbanding dengan kedua-dua surah tersebut, ada juga kalangan ulama berpendapat lailatul qadar adalah pada 17 Ramadan. Ini terkandung dalam surah al-Dukhan, ayat 3, Allah s.w.t. berfirman: Demi kitab (al-Quran) yang menjelaskan, sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati, dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. Berdasarkan kepada surah tersebut, malam yang diberkati ialah malam al-Quran pertama kali diturunkan. Kebanyakannya menganggap ia jatuh pada  17 Ramadan.
Di kalangan ulama juga berpendapat bahawa Nuzul al-Quran berlaku pada 17 Ramadan dengan berpandukan kepada surah al-Anfal, ayat 41 yang bermaksud: Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk (jalan) Allah, rasul, kerabat rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibn al-sabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad) pada hari Furqan, iaitu pada hari bertemunya dua pasukan. Dan Allah Maha Kuasa atas segala urusan.
Apabila dibahaskan, para ulama bersepakat menyatakan bahawa ayat ini menerangkan berlakunya Perang Badar iaitu peperangan pertama bagi umat Islam pada 17 Ramadan. Hari al-furqan, ialah hari kemenangan orang Islam dan kekalahan orang kafir iaitu hari bertemunya dua pasukan dalam Perang Badar yang berlaku pada Jumaat 17 Ramadan tahun kedua Hijrah. Lebih tepat lagi 17 Ramadan ini ialah peperangan pertama bagi umat Islam dengan 313 tentera Islam menentang 1,000 tentera musuh.
Ada pendapat bahawa peristiwa Nuzul Al-Quran yang dikatakan berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW., bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M,  ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira. Namun sesungguhnya pendapat yang lebih tepat tentang turunnya al-Quran ialah pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan bersamaan 13 Ogos 610 M.
Pendapat yang mengatakan berlakunya pada 17 Ramdhan adalah berdasarkan ayat ke 41 dari Surah Al-Anfaal. Surah ini hanyalah difokuskan kepada perisytiwa perang Badar bukannya al-Quran. Firman Allah dalam ayat ke 41 surah al-Anfal itu:
إِن كُنتُمْ آمَنتُم بِاللَّـهِ وَمَا أَنزَلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا يَوْمَ الْفُرْقَانِ يَوْمَ الْتَقَى الْجَمْعَانِ ۗ وَاللَّـهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿٤١﴾
“…jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad SAW) pada hari Furqan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan kafirin)…”   (8 : 41)
Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran.
Menurut riwayat dari Ibn Abbas, ayat tersebut hanya penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut.
” Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…”.
Maka tarikh yang lebih tepat tentang Nuzul al-Quran adalah pada 24 Ramadhan kerana ia berdasarkan ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan
“Walaupun wujudnya kekhilafan dalam mencari tarikh sebenar penurunan al-Quran, para ulama yang berijtihad berpendapat peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadan. Malam alqadar seperti yang diketahui ialah 10 hari terakhir Ramadan.
“Justeru, al-Quran adalah anugerah paling istimewa kepada umat manusia kerana ia diturunkan dalam bulan paling istimewa iaitu Ramadan yang mengandungi rahmat dan barakah,” jelas beliau berhubung tarikh sebenar penurunan al-Quran.
Peringkat Nuzul al-Quran tidak diturunkan sekali gus tetapi melalui peringkat-peringkat tertentu seperti mana yang terkandung dalam surah al-Furqan, ayat 32, Allah s.w.t. berfirman: Berkatalah orang-orang yang kafir: “Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun saja?”, demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacakannya dengan teratur satu persatu.
Para ulama menyatakan penurunan al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara sekaligus, Dan berperingkat. Walau bagaimanapun mereka berselisih pendapat tentang berapa kali berlakunya penurunan al-Quran secara sekaligus. Terdapat tiga pandangan mengenai hal ini, iaitu;
Pertama, Penurunan al-Quran dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz;
Kedua, Dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit dunia; dan
Ketiga, Penurunan kepada Jibril a.s. dalam tempoh 20 malam.
Al-Suyuti dalam kitabnya ‘al-Itqan if Ulum al-Quran’ berdasarkan tiga riwayat oleh Ibn ‘Abbas, Hakim Dan al-Nasa’i, hanya membahagikan kepada dua peringkat sahaja iaitu dari al-Lauh Mahfuz ke Bait al-‘Izzah Dan dari Bait al-‘Izzah kepada Rasulullah SAW melalui Jibril a.s.
1. Dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz.
Penurunan ini berlaku sekaligus dengan tujuan untuk membuktikan ketinggian Dan kekuasaan Allah SWT. Para Malaikat menyaksikan bahawa segala perkara yang ditentukan oleh Allah SWT di Luh Mahfuz ini benar-benar berlaku. Pendapat ini disandarkan kepada ayat 21 dan 22 surah al-Buruj yang berbunyi,
بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مجيد فِي لَوْحٍ مَحْفُوظ .
“(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz.” (al-Buruj:21-22)
2. Dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit dunia
Penurunan kali kedua secara sekali Gus dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-’Izzah di langit dunia dipercayai berlaku berpandukan kepada tiga (3) ayat al-Quran sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas;
Allah SWT berfirman, dalam al-Baqarah, ayat 185:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk Dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak Hari yang ditinggalkan itu pada hari-Hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”
Firman Allah SWT, dalam ad-Dukhan, ayat 3:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).”
Firman Allah SWT  dalam al-Qadr, ayat 1:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.”
Ibn ‘Abbas juga menyatakan mengikut apa yang diriwayatkan oleh Said b. Jubayr: “Al-Quran diturunkan sekali gus pada malam yang penuh berkat.” Ikrimah pula meriwayatkan ‘Abdullah bin ‘Abbas berkata: “Al-Quran diasingkan daripada al-Dhikr ‘الذكر’ dan ditempatkan di Bait al-‘Izzah di langit dunia.
Ibn Marduwayh dan al-Baihaqi mencatatkan perbualan antara ‘Atiyyah bin al-Aswad dan ‘Abdullah bin ‘Abbas yang mana ‘Atiyyah agak keliru mengenai penurunan ayat-ayat ini, “Pada bulan Ramadhan al-Quran diturunkan”, dan “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar”, ia juga diturunkan pada bulan Syawwal, Dhu al-Qaedah, Dhu al-Hijjah, al-Muharram, Safar dan Rabi’ al-Awwal.” Kemudian Ibn ‘Abbas menjelaskan: “Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul-Qadar sekali gus kemudiannya untuk diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. secara beransur-ansur selama beberapa bulan dan hari.”
3. Dari Bait al-’Izzah kepada Rasulullah SAW
Menurut sebuah riwayat oleh Ibn Abbas dan pandangan majoriti para mufassirin, Al-Quran diturunkan sekaligus ke ‘Baitul Izzah’di langit ke dunia pada malam ‘Lailatul Qadar’. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.
Al-Quran mula diturunkan kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur sejak baginda dilantik menjadi Rasulullah SAW dan selesai apabila baginda hampir wafat, iaitu dalam tempoh masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah al-Munawwarah. Ayat-ayat dan surah-surah yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah dikenali sebagai Makkiyah dan yang diturunkan selepas peristiwa hijrah dikenali sebagai Madaniyyah .
Mengikut pendapat ini, Jibril a.s. diberi Malam Lailatul-Qadar setiap tahun, dari mula turun wahyu hingga ke akhirnya sepanjang tempoh kenabian, sebahagian daripada al-Quran disimpan di Bait al-‘Izzah yang mencukupi baginya untuk disampaikan kepada Rasulullah SAW dalam masa 20 tahun. Pandangan ini dipegang kuat oleh al-Mawardi.
Rasulullah SAW bersabda: “Al-Quran diturunkan sekali gus oleh Allah ke langit dunia pada malam al-Qadr kemudian ia diturunkan secara berperingkat dalam masa 20 tahun” (Hadis riwayat Ibn Abbas.)
Sebahagian ulama berpendapat penurunan al-Quran hanya sekali sahaja iaitu daripada Allah SWT terus kepada Rasulullah SAW melalui Jibril secara berperingkat dan bukannya tiga kali dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz, ke Bait al-‘Izzah dan kepada Rasulullah SAW.
Dijelaskan bahawa al-Quran tidak diturunkan sekali gus tetapi beransur-ansur agar hati Nabi Muhammad s.a.w. menjadi kuat dan tegap.
“Nabi Muhammad s.a.w. hidup di Mekah selama 13 tahun dan Madinah selama 10 tahun. Jadi bagaimana pula al-Quran boleh diturunkan sekali gus 30 juzuk? Baginda menerima wahyu daripada Allah s.w.t. semasa hidup dan selepas kewafatannya barulah al-Quran lengkap. Allah s.w.t. turunkan al-Quran (lengkap 30 juzuk) pertama kali dari Luh Mahfuz dan kemudian ke Baitul Izzah (langit dunia) pada malam bulan Ramadan. Setelah melalui kedua-dua peringkat ini, al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. selama 23 tahun.
Wahyu pertama diterima melalui malaikat Jibril di gua Hira’. Surah al-Alaq ialah wahyu pertama yang diterima Nabi pada bulan Ramadan.
Penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w. terkandung dalam empat surah iaitu al-Alaq (bacalah), al-Qalam (pena), al-Muzamil (orang yang berselimut) dan al-Muddathir (berselimut) yang mengandungi pengajaran di sebaliknya.
Melalui surah al-Alaq ayat 1 hingga 5, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam, Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.
Intisari ayat ini ialah Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. supaya melengkapkan diri dengan ilmu dan memperbanyakkan ilmu dengan membaca dengan syarat, bacalah atas nama Allah. Ramai orang yang berilmu tetapi tidak beriman kepada Allah s.w.t. dan menggunakan ilmu ke arah keburukan yang boleh menghancurkan manusia.
Surah al-Qalam pula mengingatkan menerusi ayat satu yang bermaksud: Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis. Allah s.w.t. menunjukkan betapa pentingnya pena dalam menyebarkan ilmu. Untuk mengukuhkan ilmu, manusia digalakkan belajar menulis. Pada zaman Rasulullah s.a.w., para sahabat disuruh menulis di atas pelepah kurma, kulit kambing yang kering dan batu supaya ilmu yang diperoleh tidak hilang.
Ketika Nabi Muhammad s.a.w. berjumpa dengan malaikat Jibril yang menyampaikan wahyu pertama kepadanya, Baginda amat takut hingga menggigil seluruh tubuh badannya. Baginda meminta isterinya Khadijah menyelimutkannya dengan kain yang tebal. Pada masa ini, Allah s.w.t. berfirman: Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk solat) pada malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) separuh daripada waktu malam atau kurangilah daripada separuh itu sedikit, atau lebihkan sedikit daripadanya. Dan bacalah al-Quran itu dengan tartil. (al-Muzamil: 1-4)
“Penurunan ketiga-tiga surah di atas jelas menunjukkan bahawa setelah mempunyai ilmu, perkara yang paling penting adalah mempunyai hubungan yang intim dengan Allah s.w.t. sebelum terjun berdakwah ke dalam masyarakat. Allah s.w.t. perintahkan bermunajat dan bangun solat pada waktu malam untuk menguatkan mental dan rohani iaitu ciri-ciri penting yang perlu ada pada pendakwah. Sejak turunnya ayat ini, Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah meninggalkan qiamullail.
Kemudiannya, Allah s.w.t. turunkan perintahnya melalui surah al-Muddathir, ayat 1 hingga 2, yang bermaksud: Hai orang yang berkemul (berselimut), bangunlah, lalu berilah peringatan! Ertinya, dengan pengukuhan ilmu dan kemantapan hubungan yang erat dengan Allah s.w.t., berikanlah peringatan kepada orang yang masih belum mengetahui. Kita dapat melihat bagaimana Baginda menghadapi banyak dugaan dan cabaran dalam menegakkan syiar Islam di Mekah,” jelas Mohd. Zamri menceritakan rentetan peristiwa penurunan al-Quran kepada Rasulullah s.a.w.
Berdasarkan surah al-Baqarah, ayat 185 dijelaskan bahawa al-Quran adalah petunjuk bagi manusia yang mengandungi keterangan dan bukti. Rentetan yang membuktikan al-Quran diangkat sebagai mukjizat yang kekal hingga hari kiamat adalah berpandukan sorotan beberapa peristiwa mukjizat yang diturunkan kepada para Nabi terdahulu.
CARA AL-QURAN DIWAHYUKAN
Isteri Rasulullah SAW, Saidatina Aishah, meriwayatkan sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, beliau bermimpi perkara yang benar lalu beliau menyendiri di gua Hira’ beribadah kepada Allah SWT untuk selama beberapa tahun. Di gua berkenaanlah baginda menerima wahyu yang pertama.
Harith bin Hisham, seorang sahabat Rasulullah SAW, pernah bertanya kepada Baginda bagaimana Wahyu diturunkan kepadanya. Rasulullah menjawab, ”Kadang-kadang wahyu datang kepada-Ku dengan gema (desingan) loceng Dan ini amat berat bagi-Ku, Dan sementara bunyi itu hilang aku mengingati apa yang disampaikan kepada-Ku. Kadang Ia datang dalam bentuk jelmaan malaikat kepada-Ku merupai lelaki, bercakap dengan-Ku Dan aku menerima apa saja yang disampaikannya kepada-Ku.”
Nabi Muhammad SAW mengalami bermacam-macam cara dan keadaan semasa menerima wahyu. Antara cara-cara Al-Quran diwahyukan adalah:
1. Menerusi mimpi yang benar (al-Rukya al-Sadiqah) Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi SAW tidak melihat sesuatu apa pun, hanya beliau merasa bahawa itu sudah berada di dalam kalbunya. Sebagai contohnya Nabi pernah bersabda mengatakan:  “Ruhul Quddus mewahyukan ke dalam kalbuku bahawa seseorang itu takkan mati sehingga dia menyempurnakan rezekinya yang telah ditetapkan oleh Allah“.  ( As-Syura: 51)
2. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW menyerupai seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal benar mengenai kata-kata itu.
3. Wahyu datang kepadanya seperti gemercingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi SAW. Kadang-kadang pada keningnya terdapat peluh, meskipun turunnya wahyu itu di musim yang sangat dingin. Ada ketikanya, unta beliau terpaksa berhenti dan duduk kerana merasa amat berat.
Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit: ” Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah. Aku lihat Rasulullah ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yang kuat dan peluhnya bercucuran seperti permata. Kemudian setelah selesai turunnya wahyu, barulah beliau kembali seperti biasa”.
4. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW. dalam rupanya yang benar-benar asli sebagaimana yang terdapat di dalam surah An- Najm ayat 13 dan14 : “Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha”
5. Malaikat mewahyukan kepada Nabi SAW dari atas langit seperti yang berlaku dalam peristiwa al-Isra` wal Mikraj . Sesetengah ulamak berpendapat baginda SAW juga pernah berbicara secara langsung dengan Allah dan menerima wahyu seperti yang berlaku pada Nabi Musa.Perkara ini merupakan suatu khilaf di kalangan para ulamak.
Kelebihan Membaca Al-Quran:
1. Al-Quran akan menjadi syafaat / penyelamat kita di hari akhirat nanti. 
2. Mendapat pahala. 
3. Allah mempertingkatkan martabat orang mukim yang membaca Quran. 
4. Membaca Al-Quran dapat memberikan ketenangan kepada pembacanya.
5. Ibu bapa kita diberi kemuliaan oleh Allah pada hari kiamat.  Dan banyak lagi.

FUNGSI AL-QURAN
Al-Quran mempunyai beberapa fungsi penting, diantaranya ialah:
1. Sebagai Mukjizat Nabi Muhammad SAW.
Al-Quran merupakan bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW, sekaligus ianya menjadi bukti bahawa Al-Quran merupakan firman Allah SWT, bukannya ucapan atau ciptaan Nabi Muhammad SAW sendiri. Rasullulah SAW telah menjadikan Al-Quran sebagai senjata bagi menentang orang-orang kafir Quraisy. Didapati bahawa mereka sememangnya tidak mampu menghadapinya, padahal mereka mempunyai kemahiran menggubah bahasa-bahasa yang indah dalam ucapan dan sajak-sajak mereka. Al-Quran secara prisipnya telah mengemukakan cabaran kepada bangsa Arab menerusi tiga peringkat iaitu :
Peringkat pertama.
Mencabar mereka dengan keseluruhan Al-Quran dalam uslub umum yang meliputi orang Arab sendiri dan orang lain, manusia malah jin, dengan cabaran yang mengalahkan dan menjatuhkan mereka secara padu sebagaimana firmanNya.
“Katakanlah: Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Quran ini, niscaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.” (17 : 88)
Peringkat kedua.
Mencabar dengan sepuluh surah sahaja daripada Al-Quran. Sebagaimana firmanNya:
“Bahkan mereka mengatakan “Muhammad telah membuat-buat Al-Quran.” Katakanlah: Jika demikian, maka datangkanlah sepuluh surah yang dibuat-buat yang menyamainya, dan panggillah orang-orang yang kamu sanggup (memanggilnya) selain Allah, jika kamu memang orang-orang yang benar. Jika mereka (yang kamu seru itu) tidak menerima seruanmu, ketahuilah, sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan dengan ilmu Allah” (11 : 13-14)
Peringkat ketiga.
Mencabar mereka hanya dengan satu surah daripada Al-Quran sahaja. Sebagaimana firmanNya:
“Atau (patutkah) mereka mengatakan: Muhammad membuat-buatnya (Al-Quran). (Kalau benar yang kamu katakan itu), cubalah datangkan satu surat seumpamanya” (10 : 38)
Dan cabaran ini diulangi di dalam firmanNya:
“Dan jika kamu tetap dalam keadaan ragu tentang Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad saw), maka buatlah satu surat saja yang semisal Al-Quran itu…” (2 : 23 )
2. Sebagai Sumber Hukum Dan Aturan Hidup.
Ayat-ayat Al-Quran mengandungi peraturan tentang hukum-hukum siyasah negara, sosial, pendidikan, pengadilan, akhlak dan sebagainya. Semua aturan dan hukum ini wajib dijadikan sebagai pandangan hidup bagi seluruh kaum muslimin dan umat manusia untuk mengatasi semua permasalahan hidup yang dihadapinya.
Sememangnya penyelesaian yang diberikan oleh syariat Islam adalah merupakan penyelesaian yang sebenar-benarnya kearan ia satu-satunya perundangan yang dapat memenuhi fitrah manusia itu sendiri. Kemampuan syariat Islam dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan kehidupan manusia inilah yang akan menjadikan Al-Quran sebagai mukjizat abadi yang paling menonjol di muka bumi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.

Rasulullah s.a.w bersabda :

” Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat” ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)