.

.
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء و المرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين أهلا وسهلا بكم إذا كانت هذه زيارتك الأولى للمنتدى، فيرجى التفضل بزيارة صفحة التعليمات كما يشرفنا أن تقوم بالتسجيل ، إذا رغبت بالمشاركة في المنتدى، أما إذا رغبت بقراءة المواضيع والإطلاع فتفضل بزيارة القسم الذي ترغب أدناه. عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه - قال: سمعت رسول الله ﷺ يقول: "إن إبليس قال لربه: بعزتك وجلالك لا أبرح أغوي بني آدم مادامت الأرواح فيهم - فقال الله: فبعزتي وجلالي لا أبرح أغفر لهم ما استغفروني" اللّهم طهّر لساني من الكذب ، وقلبي من النفاق ، وعملي من الرياء ، وبصري من الخيانة ,, فإنّك تعلم خائنة الأعين ,, وما تخفي الصدور اللهم استَخدِمني ولاَ تستَبدِلني، وانفَع بيِ، واجعَل عَملي خَالصاً لِوجهك الكَريم ... يا الله اللهــم اجعل عملي على تمبـلر صالحاً,, واجعله لوجهك خالصاً,, ولا تجعل لأحد فيه شيئاً ,, وتقبل مني واجعله نورا لي في قبري,, وحسن خاتمة لي عند مماتي ,, ونجاةً من النار ومغفرةً من كل ذنب يارب يارب يارب

.

.

.

.

Thursday, February 11, 2016

LAHIRNYA PEMBAWA CAHAYA (BAHAGIAN 2)

ISTERI-ISTERI YANG MULIA :

1.      Sayidatina Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qusai Al-Quraisiah Al-Asadiah. Ayahnya Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qusai. Ibnuya pua Fatimah binti Zaidah bin Al-Asham bin Haram bin Rawahah yang bernasabkan ibu dengan bapanya di Qusai. Meninggal dunia pada tahun ke tiga sebelum hijrah.
2.      Saudah binti Zam’aah bin Qis bin Abdul Syamsi bin Abdul Wad bin Nasr bin Malik bin Hasal bin A’mir binLu’ai Al-Quraisiah Al-Amiriah. Ayahnya Zam’aah bin Qis bin Abdul Syamsi. Ibunya Syamus binti Qis bin Zaid Al-Ansariyah yang merupakan Bani ‘Adi bin An-Najjar. Berkahwin dengan Rasulullah s.a.w selepas kewafatan Sayidatina Khadijah. Sebelum kembali kepada agama Islam dan berkahwin dengan Rasulullah s.a.w, pernah berkahwin dengan As-Sakran bin Amru dan kembali kepada Islam ketika sama-sama berhijrah ke Habsyah. Bermimpi tentang Rasulullah s.a.w bersamanya dan memberitahu suaminya akan
mimpinya itu. Maka suaminya berpesan seandainya ia meninggal dunia, maka berkahwinlah dengan Muhammad. Pernah juga bermimpi bulan jatuh ke atas ribanya. Pernah diceraikan oleh Rasulullah s.a.w pada tahun kelapan. Kemudian membawa pakaiannya dan duduk di tengah jalan yang biasa dilalui oleh Nabi ketika hendak ke masjid. Apabila terserempak dengan Baginda, Saudah menangis sambil berkata : “ Ya Rasulullah,adakah aku telah ditakdirkan di dalam islam akan melakukan kesalahan?” Rasulullah s.a.w menjawab :” Tidak. Jika begitu maka rujuklah aku.” . Maka Rasulullah kembali merujuk Saudah dan menjadikan hari-harinya untuk sayidatina Aisyah. Ketika ini turunlah ayat 128 daripada surah An-Nisa’. Pada suatu masa, Saudah keluar mencari barang keperluan tanpa menutup kepalanya menyebabkan semua orang mengenalinya. Sayidina Umar Al-Khattab menegurnya dengan mengatakan bahawa dia mengenali Sudah. Lalu pulanglah sudah dengan rasa malu dan menceritakannya kepada Rasulullah s.a.w. Maka turunlah ayat 33 daripada surah Al-Ahzab. Saudah banyak meriwayatkan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Meninggal dunia di akhir pemerintahan Khalifah Sayidina Umar pada usia lima puluh empat tahun.
3.      Aisyah binti Abu Bakar  @ Abdullah bin Abu Kuhala Uthman bin Amir bin Kaab At-Tamimi Al-Quraisi. Ibunya Ummu Rumman binti Amir bin Uwaimir bin Abdul Syamsi dari keturunan bangsawan Quraisy. Satu-satunya anak dara yang dinikahi oleh Rasulullah s.a.w. Banyak meriwayatkan hadis-hadis Nabi. Digelar dengan gelaran AS-SIDDIQAH BINTI AS-SIDDIQ. Digelarkan oleh Rasulullah dengan panggilan UMMU ABDULLAH anak kepada saudaranya Asma’ iaitu Abdullah bin Zubair kerana Aisyah adalah ibu saudaranya. Rasulullah s.a.w telah mewakilkan Khaulah bin Hakim untuk meminang Aisyah. Bernikah dengan  Rasulullah s.a.w ketika berusia enam tahun dan Rasulullah bersamanya selepas tiga tahun kemudian. Meninggal dunia pada usia 66 tahun pada malam hari selasa bersamaan 19 Ramadhan tahun ke 58 Hijrah. Jenazahnya di solatkan oleh sayidina Abu Hurairah.
4.      Hafsah binti Umar bin Al-Khattab bin Nafil bin abdul Uzza Al-Adawiyyah. Ibunya Zainab bin Maz’un bin Wahab bin Hazarah. Saudara kepada Abdullah bin Umar bin al-Khattab. Pernah berkahwin dengan Khanis bin Khazafah Al-Sahami. Juga pernah diceraikan oleh Rasulullah dan dirujuk semula atas perintah Allah. Meninggal pada waktu peperintahan Sayidina Uthman bin Affan pada tahu ke empat puluh lima hijrah. Jenazahnya disolatkan oleh Marwan bin Al-Hakim di Madinah. Dikebumikan bersebelahan dengan Abdullah bin Umar, asim bin Umar, Hamzah bin Abdullah bin Umar, Udaidillah bin Abdullah bin Umar di Baqi’.
5.      Zainab binti Khuzaimah bin Al-Harith Abdullah bin Umar bin Abdul Manaf bin  Hilal bin Amir bin Sa’sa’ah Al-Hilaliyah. Diberikan gelaran sebagai Ummul Masakin (Ibu bagi orang-orang miskin). Pelbagai pendapat yang diriwayatkan bahawa beliau bersama Rasulullah s.a.w selama tiga bulan. Ada yang berpendapat lapan bulan, ada yang mengatakan setahun dan ada juga yang berpendapat dua tahun. Meninggal pada usia 30 tahun dan disemadikan di Baqi’.
6.      Hindun binti Abi Umaiyah @ Suhail bin Mughirah bin Abdullah bin Amru bin Makhzum. Ibunya Atikah binti Amir bin Rabiah bin Malik Al-Kinaniyah dari Bani Firas. Diberikan gelaran sebagai Ummu Salamah. Pernah berkahwin dengan Abu Salamah atau nama sebenarnya Abdullah bin Abdul Asad bin Hilal bin Abdullah bin Umar bin Makhzumi. Kembali kepada islam ketika berhijrah ke Habsyah. Meriwayatkan 328 hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Meninggal dunia pada hari Asyura tahun 59 Hijrah setelah mendapat tahun akan kematian Sayidina Husin bin Ali di Karbala.
7.      Juwairiyah @ Barrah binti Haris bin Abu Dharar bin Habin bin Aiz bin Malik bin Jazimah bin Al-Mustafa bin Khaza’ah. Juwairiyah adalah nama panggilan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. Pernah berkahwing dengan Musafi’ bin Safwan Zi Safar bin Sarah bin Malik bin Jazimah yang syahid dalam peperangan Marisi’ pada tahun kelima dan keenam Hijrah. Berkahwin dengan Baginda Rasulullah s.a.w pada hari peperangan Marisi’ pada usia 20 tahun. Merupakan seorang isteri yang kuat beribadah dan qiyamulail serta berpuasa sunat. Meninggal pada usia 65 tahun pada bulan Rabi’ul Awwal tahun ke 56 Hijrah ketika pemerintahan Khalifah Muawiyah. Jenazahnya disolatkan oleh Marwan bin Malik yang pada ketika itu gabenor Madinah sebelum Muawiyah.
8.      Zainab bin Jahsy bin Rabab bin Ya’mar bin Sabrah bin Murrah bin Kathir bin Ganam bin Daudan bin Asad bin Khazimah. Ibunya Amimah binti Abdul Mutalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusai. Merupakan sepupu Nabi dari ibu saudaranya. Pernah meriwayatkan 10 hadis Rasulullah s.a.w. Pernah berkahwin dengan anak angkat Rasulullah Zaid bin Harithah dan kemudian diceraikan. Berkahwin dengan Nabi s.a.w untuk membuktikan hukum yang membolehkan mengahwini bekas isteri anak angkat. Meninggal pada tahu ke 20 Hijrah dan disolatkan oleh Sayidina Umar Al-Khattab. Jenazahnya dikebumikan di Baqi’.
9.      Safiyyah binti Huyyai bin Akhtab bin Syu’bah bin Tha’labah bin Abid bin Kaab bin Abi Habib dari Bani Nadhir. Merupakan cucu kepada Lawi bin Yaakub yang merupakan zuriat Nabi Yunus a.s bin Imran saudara Nabi Musa a.s. Bapanya adalah seorang Yahudi yang kuat menentang Rasulullah s.a.w dan orang-orang Islam. Dalam peperangan Khaibar tentera Islam telah menang dan Safiyyah telah ditawan. Rasulullah s.a.w telah menyerahkannya kepada Ummu Sulaim dan telah diberikan hidayah oleh Allah untuk menerima Islam. Meninggal dunia pada usia 99 tahun di zaman pemerintahan Khalifah Muawiyah bin Abu Sufiyan pada tahun ke 52 Hijrah. Jasadnya dikebumikan di Baqi’.
10.  Ramlah binti Abi Sufiyan Sakhar bin Harb bin Umaiyah. Ibunya Safiyah binti Abi Al-As.  Ramlah binti Abi Sufiyan Sakhar merupakan adik kepada Muawiyah bin Abi Sufiyan. Manakala ibunya adalah merupakan ibu saudara kepada Sayidina Uthman bin Affan. Pernah berkahwin dengan Ubaidillah bin Jahsy. Dia dan suaminya sama-sama memeluk Islam ketika berhijrah ke Habsyah. Meninggal dunia pada tahun ke 44 Hijrah ketika Muawiyyah mengerjakan Haji.
11.  Maimunah binti Haris bin Hazan Al-Hilaliyah. Na a sebenarnya adalah Barrah tetapi Rasulullah s.a.w menamakannya sebagai Maimunah. Merupakan ibu sudara Sayidina Al-Abbas dan Ummul Mukminin yang terakhir. Pernah berkahwin dengan Abi Rahmi bin Abdul Uzza bin abdul Wad bin Malik bin Hasal bin Amir bin Luwai Al- A’miri. Meninggal dunia pada tahun ke 56 Hijrah.
12.  Maria binti Sam’un Al-Qibtiyah. Merupakan seorang hamba yang dihadiahkan oleh Raja Maquqis seorang raja Mesir dan Iskandariah bersama adiknya kepada Rasulullah s.a.w. Raja Maquqis hampir menerima Islam namun takut akan kehilangan kuasa dan menolaknya. Akan tetapi menghadiahkan Rasulullah hambanya. Mempunyai seorang anak ketika hidup berumahtangga bersama Rasulullah iaitu Ibrahim bin Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib. Diberikan gelaran sebagai Ummu Ibrahim.
13.  Raihanah binti Sam’un bin Zaid. Terdapat pendapat bahawa  Zaid bin Qanafah @ Khanafah dari Bani Nadhir, walau bagaimanapun menurut Ibnu Ishak Zaid adalah dari Bani Amru bin Quraizah. Raihanah merupakan seorang hamba yang dinikahi oleh Rasulullah s.a.w.
(Ibnul Qayyim Al-Jawziyah : Zaadul Ma’ad)


ANAK-ANAK YANG SOLEH DAN SOLEHAH :

1.      Al-Qasim bin Muhammad : dilahirkan sebelum kenabian Baginda dan meninggal pada usia dua tahun.
2.      Zainab binti Muhammad : Merupakan anak perempuan yang paling tua. Anak bersama Sayidatina Khadijah. Lahir ketika usia ayahandanya 30 tahun. Berkahwin dengan sepupunya Abi Al-Ash bin Ar-Rabi’. Zainab adalah anak pertama yang yang awal berkahwin. Memeluk islam sejurus ayahandanya dilantik menjadi Rasul akan tetapi suaminya tidak. Mengikut ayahandanya berhijrah ke Yathrib (Madinah). Ktika suaminya memeluk Islam dan turut berhijrah ke Madinah, ayahandanya menyerahkan semula Zainab kepada suaminya. Walau bagaimanapun Zainab meninggal dunia setelah berpisah dengan suaminya selama enam tahun kerana perbezaan agama iaitu pada tahun yang sama ketika suaminya memeluk islam pada awal tahun ke 8 Hijrah. Jenazahnya disempurnakan oleh Ummu Aiman, Saudah binti Zam’ah dan Ummu salamah. Mempunyai dua orang anak iaitu Ali bin Abi Al-Ash dan Umamah binti Abi Al-Ash.
3.      Ruqayyah binti Muhammad : Lahir ketika ibunya berusia lapan tahun dan ayahandanya 33 tahun. Ruqayyah ditunangkan dengan Atbah bin Abu Lahab dan bernikah. Diceraikan dalam keadaan suci tanpa disentuh kerana turunnya ayat 1 surah Al-Masad. Abu Lahab telah memaksa anaknya menceraikan Ruqayyah kerana
kebenciannya terhadap Rasulullah s.a.w. Kemudian berkahwin dengan Uthman bin Affan. Saydidina Uthman pernah diberikan kebenaran atau rukhsah (kelonggaran)  untuk tidak menyertai peperangan Badar kerana ketika itu Ruqayyah sedang sakit. Ruqayyah meninggal dunia pada tahun kedua Hijrah.
4.      Ummu Kalthum binti Muhammad : Anak perempuan Rasulullah s.a.w yang berkahwin dengan Utaibah bin Abu Lahab yang merupakan saudara (sepupu) kepada Utbah bin Abu Lahab.Diceraikan dalam keadaan suci tanpa disentuh atas firman Allah dalam surah Al-Masad ayat 1. Berkahwin dengan Sayidina Uthman bin Affan setelah kematian kakaknya Ruqayyah pada bulan Ramadhan tahun kedua Hijrah. Meninggal dunia pada tahun kesembilan Hijrah pada bulan Sya’ban kerana sakit.
5.      Fatimah binti Muhammad :Az-Zahra adalah gelaran yang diberikan dan merupakan gelaran yang diberikan oleh ibu ayahandanya Aminah binti Wahab. Dilahirkan pada tahun kedua kenabian. Namun ada pendapat lain mengatakan Fatimah dilahirkan pada tahun kesembilan kenabian. Namun tahun kedua kenabian adalah pendapat yang paling kukuh di mana lahirnya ketika itu adalah sewaktu pembinaan semula Kaabah. Lima tahun lebih tua daripada Sayidatina Aisyah binti Abu Bakar. Fatimah berkahwin dengan Sayidina Ali bin abu Talib. Meninggal dunia dua bulan selepas kewafatan ayahandanya.
6.      Abdullah bin Muhammad :Lahir setelah ayahnadnya menjadi rasul. Ayahandanya memberikan gelaran At-Thiyib (yang baik) dan At-Thohir (yang bersih) kepadanya. Meninggal dunia ketika masih kecil.
7.      Ibrahim bin Muhammad : Lahir di Madinah pada tahun kelapan Hijrah dan meninggal pada tahun kesepuluh Hijrah. Ibunya adalah Maria Al-Qibtiyah. Meninggal ketika berusia 19 bulan dipangkuan ayahandanya.
8.      Anak-anak Sayidatina Khadijah :
1.      Hind bin Abi Halah
2.      Abdul Manaf bin Atiq
3.      Hind binti Atiq


ANAK-ANAK ANGKAT YANG SOLEH DAN SOLEHAH :

1.      Zaid bin Harithah : Merupakan kanak-kanak yang diculik oleh kaum Quraisy ketika ibunya menziarahi Bani Maan. Dijual di Mekah dan dibeli oleh Hakim bin Hizam yang merupakan anak saudara Sayidatina Khadijah. Diserahkan kepada Sayidatina Khadijah untuk membantu Rasulullah s.a.w. Masyhur dengan nama Zaid bin Muhammad namun turun ayat 40 daripada Surah Al-Ahzab yang melarangnya lalu ditukarkan semula kepada Zaid bin Harithah. Merupakan anak angkat yang paling dikasihi Rasulullah s.a.w.

CUCU-CUCU YANG SOLEH DAN SOLEHAH :

1.      Anak-anak Zainab binti Muhammad :
                                                                                i.            Ali bin Abi Al-Ash : Pernah menaiki uunta bersama datuknya Muhammad s.a.w ketika penaklukan Kota Mekah. Meninggal ketika usianya hampir baligh.
                                                                              ii.            Umamah binti Abi Al-Ash : Ketika kecil sering diajak datuknya ke masjid untuk solat. Datuknya pernah solat sambil mendukungnya.
                                                                            iii.            Yahya bin Abi Al-Ash
                                                                            iv.            Muhammad bin Abi Al-Ash
2.      Anak-anak Fatimah binti Muhammad :
                                                        i.            Hasan bin Ali : Lahir pada tahun ketiga Hijrah. Meninggal dunia pada tahun 49 Hijrah
                                                      ii.            Hussin bin Ali : Lahir pada tahun keempat Hijrah dan meninggal pada tahun 61 Hijrah dalam peristiwa Karbala.
                                                    iii.            Ruqayyah bin Ali
                                                    iv.            Ummu Kalthum binti Ali : Bernikah dengan Sayidina Umat Al-Khattab ketika dewasa. Setelah Sayidina Umar meninggal dunia, dinikahi oleh Aun bin Jaafar. Ketika Aun bin Jaafar meninggal dunia, dinikahi pula oleh Abdullah bin Jaafar.
                                                      v.            Zainab bin Ali. Berkahwin dengan Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib.

3.      Anak-anak Ruqayyah binti Muhammad :
                                                        i.            Abdullah bin Uthman bin Affan : meninggal dunia pada usia enam tahun


HAMBA YANG DIPERLIHARA ALLAH :

Rasulullah s.a.w dijaga dan dipelihara Allah daripada kekufuran samada sebelum atau setelah menerima wahyu daripada Allah. Ini diakui oleh kesepakatan para ulama. Dalam satu riwayat sahih ketika mana Rasulullah s.a.w dewasainda dilarang mengangkat kainnya ketika penduduk Mekah yang terdiri dari orang-orang Quraisy sedang bekerja memperbaiki semula Kaabah yang pada ketika itu baginda berada bersama-sama dengan bapa saudaranya Al-Abbas. Baginda s.a.w mengangkat batu. Pada ketika itu bapa saudaranya memintanya untuk menanggalkan kainnya dan memindahkannya ke leher agar tidak kotor. Sewaktu Rasulullah s.a.w ingin melakukannya, baginda jatuh ke tanah dan pengsan. Ini membuktikan bahawa Allah memerintahkan agar Baginda s.a.w mengetatkan kainnya untuk menjaga auratnya. Diriwayatkan bahawa pada ketika itu Rasulullah s.a.w berusia tiga puluh tahun. Amalan di kalangan masyarakat jahiliyah, berbogel bukanlah suatu perbuatan yang tercela. Mereka biasa melakukan tawaf mengelilingi Kaabah dengan berbogel.

Maka dengan itu, Rasulullah s.a.w  melalui Sayidina Abu Bakar As-Siddiq melarang perbuatan itu ketika peristiwa perlaksanaan mengerjakan haji pada tahun ke sembilan Hijrah yang mana larangan itu ;” Pada tahun ini orang-orang musyrik dilarang bertawaf dalam keadaan berbogel.”
(Ibnu Ishak : As-Sair Wal-Maghazi. Bukhari dan Muslim : Fathul Barri, Sahih Muslim Bisyarhi An-Nawai. Abdurrazaq : Al-Musannaf. Bukhari : Sahih Bukari bab Haji “Larangan tawaf di Kaabah dengan telanjang.)

Dalam peristiwa perletakan semula Hajarul Aswad ke tempat asalnya, ketika itu kabila-kabila kaum Quraisy bertegang untuk melakukannya. Namun mereka bersepakat dan membuat keputusan di mana jika sesiapa yang pertama memasuki pintu Bani Syaibah maka dialah yang berhak membuat keputusan. Ternyata pada ketika itu Rasulullah s.a.w adalah orang yang pertama masuk. Maka Baginda s.a.w membuat keputusan agar empat orang daripada tokoh kaum Quraisy membentangkan kain dan menyuruh mereka mengangkat bersama-sama.  Abdullah bin As-Saib Al-Makhzumi merupakan salah seorang saki yang menyaksikan
peristiwa itu mengatakan : “ Ketika Nabi s.a.w memasuki pintu Bani Syaibah, secara serentak kaum-kaum Quraisy yang bertelagah itu mengatakan : “ Telah datang orang yang dipercayai.””. Itulah membuktikan betapa tingginya darjat Rasulullah s.a.w di tengah kaum Quraisy.
(Imam Ahmad : Musnad Ahmad. Al-Hakim : Al-Mustadrak mengatakan ianya sahih kerana ianya daripada Abdullah bin As-Saib Al-makhzumi, Imam Az-Zahabi juga mengatakan ini adalah sahih.)

Salah satu perbuatan yang membezakan baginda dengan kaum Quraisy adalah wukuf. Rasulullah s.a.w mengerjakan wukuf dengan bertolah daripada Muzdalifah ke Arafah. Sedangkan kaum Quraisy bermula dari Arafah ke Muzdalifah. Alasan mereka kerana Arafah adalah tanah haram dan mereka tidak boleh bermula dari Arafah. Mereka tidak mehu menghormati tempat-tempat lain selain darpada Arafah.

Ketika Jubair bin Muth’im menyaksikan Rasulullah s.a.w wukuf di Arafah, lalu mengatakan :” Demi Allah, inilah perbuatan yang benar.” Inilah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s dan Ismail a.as dalam cara mengerjakan haji, pernikahan dan muamalat.
(Sirah Ibnu Hisyam, Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan Imam al-Baihaqi : Dalail An-Nubuwwah)

Ketika mana Rasulullah s.a.w melakukan tawaf mengelilingi Kaabah  bersama Zaid bin Harithah, Zaid memegaang salah satu patung yang terdapat di sekeliling Kaabah. Rasulullah s.a.w melarangnya. Pada pusingan yang lain Zaid melakukannya lagi, Rasulullah s.a.w juga melarangnya. Zaid bin  Harithah bersumpah bahawasanya Rasulullah s.a.w tidak pernah sama sekali memegang salah satu berhala di sekeliling Kaabah sehingga Allah memuliakan Baginda dengan turunnya wahyu.
(Imam At-Tabrani : al-Mu’jam Al-Kabir. Imam Al-Baihaqi : Dalail An-Nubuwwah. Al-Hakim : Al-Mustadrak. Imam Al-Hakim dan Imam Az-Zahabi mengatakan riwayat ini adalah sahih)

Ketika Rasulullah s.a.w bertemu dengan Zaid bin Amr bin Nufail di Baldah, Rasulullah s.a.w dihidangkan makanan. Zaid bin Harithah tidak memakannya sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w kerana makanan itu termasuk makanan yang disembelih untuk pemujaan berhala atau yang tidak disembelih dengan dibacakan nama Allah.
(Sahih Bukhari)



KHABAR GEMBIRA DAN NAMANYA YANG DISEBUT-SEBUT :




وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِنْ بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ فَلَمَّا جَاءَهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا هَذَا سِحْرٌ مُبِينٌ

Dan (ingatlah) ketika Isa bin  Maryam berkata: "Hai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab sebelumku, iaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)." Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: "Ini adalah sihir yang nyata." ( As-Shaf : 6 )


“ Khabar dalam kitab-kitab kuno yang menceritakan bahawa Ahli Kitab mengetahui sifat Muhammad s.a.w sudah sangat terkenal.”
( IBNU TAIMIYAH : AL-JAWAB AS-SHAHIH)



“ Bukti bahawa para nabi sebelumnya sudah memberikan khabar gembira atas kedatangannya dapat diketahui melalui beberapa perkara :
  1. Dari keterangan kitab-kitab yang pada waktu itu berada di dalam tangan Ahli Kitab.
  2. Berita yang disampaikan oleh orang-orang yang mendalami kitab-kitab tersebut samada kemudiannya mereka memeluk islam atau tidak.
  3. Apa yang disebutkan berulangkali oleh Rasul itu sendiri di dalam Al-Quran.”
( IBNU TAIMIYAH : AL-JAWAB AS-SHAHIH)



“ Saya melihat bahawa di antara naskhah kitab Zabur ada yang secara tegas menyebutkan kenabian Muhammad s.a.w. Akan tetapi, dalam naskhah yang lain saya tidak melihatnya. Ini bererti bahawa ada sebahagian kitab Zabur menyebutkan sifat-sifat Nabi s.a.w dan sebahagian yang lain tidak menyebutkannya. Mungkin sengaja dihapuskan.”
( IBNU TAIMIYAH : AL-JAWAB AS-SHAHIH)



“ Wahai puteraku, demi Allah, aku tidak tahu apakah masih adaorang sepertiku yang harus kamu temui sepeninggalanku nanti. Akan tetapi aku yakin kamu akan medapati suatu zaman di mana akan ada seorang nabi yang diutus dari tanah haram, yang akan berhijrah ke sebuah negeri yang banyak batu-batu dan pokok-pokok kurma, memiliki tanda-tanda yang jelas, di bahunya ada tanda kenabian, mahu menerima hadiah tetapi tidak mahu menerima sedekah. Jika engaku boleh sampai ke negeri itu, lakukanlah, kerana kamu akan dinaungi oleh zamannya.”
( SALMAN AL-FARISI SEBELUM KEILAMANNYA KETIKA BERTEMU PENDITA NASRANI UMURIYAH)



“ Allah menutup diri dan mereka berdua diusir oleh Malaikat Mikhail dari Firdaus. Ketika Adam menoleh, ia melihat tulisan di atas pintu لااله إلا الله  محمد رسول الله  (Tidak ada Tuhan Selain Allah, Muhammad Utusan Allah.”
( INJIL BARNABAS : PEMBETULAN 41;29. 30)




“ Sang murid menjawab : “Wahai guru, siapakah yang sedang Anda bicarakan yang kelak akan datang ke alam dunia?”. Yesus menjawab dengan hati yang gembira : “Sesungguhnya dia adalah Muhammad utusan Allah”
( INJIL BARNABAS 163 : 7)




“ Kemuliaan bagi Allah di tempat yang Mahatinggi dan damai sejahtera di antara manusia yang berkenan kepada Nya.”
( INJIL LUKAS 2 : 14)



“ Jika aku tidak bertolak, maka tidak akan datang kepada kalian Far Qalith (Far Qalith adalah nama lain Al-Hamid atau Al-Hammad atau Ahmad dan sebagainya).”
( INJIL YUHANES (Pembetulan : 16) Taurat Samiriah)




“Dari negeri arah Arab diturunkan wahyu di tanah yang tandus, Di negeri arab itulah ia akan datang wahai khalifah-khalifah penunjuk jalan. Kemarilah air untuk menjemput dahaga yang menimpa penduduk bumi Taima’ dan sampaikan beritanya kepada orang yang lari. Sesungguhnya mereka sama lari tunggang-langgang dari depan pedang, dari depan pedang yang terhunus, dari depan busur yang dikencangkan dan dari perang yang seru. Sesungguhnya demikianlah yang dikatakan Tuhan kepadaku pada masa itu. “Semua kekuatan Qaidar akan lenyap. Dan bala tentera Qaidar yang terkenal berani akan berkurang. Kerana Tuhan Israil telah berfirman.”
(YESAYA : PEMBETULAN 21 :13-16 – RISALAH NABI YESAYA @ ISAIAH A.S)



“ Aku memberitahu kamu bahawa akan lahir Nabi Isa tanpa bapa dan selepasnya seorang Nabi yang dimuliakan Tuhan. Akhir dari segala Nabi dan umat iaitu Muhammad.”
(PESANAN NABI YESAYA @ ISAIAH A.S KETIKA KHUTBAHNYA DI HADAPAN BANI ISRAIL)



“Bahawasanya Aku meyuruh utusan Ku yang menyediakan jalan hadhirat Ku dan dengan segera akan dating ke Kaabahnya. Tuhan yang kamu rindukan itu. Bahawasanya ia akan datang. Demikianlah firman Tuhan pencipta sekalian alam. Tapi siapakah gerangan akan menderita hari kedatangannya?. Dan siapakah tahan berdiri bila kelihatanlah dia?. Kerana iapun akan seperti api pandai emas dan akan seperti sabun binara. Akan datang seorang utusan yang nyala seperti api dan sabun binara. Kedatangannya dengan mebawa anasir-anasir yang panas, keras seperti sabun binara. Ia tidak datang seperti Yesus ( Isa a.s ) yang lembut dan sunyi senyapnya. Ia pun tidak bersikap lembut seperti lemah lembutnya Yesus yang mengasuh umat seperti seekor induk ayam mengumpul dan menaungi anak-anaknya. Alangkah penyabarnya Yesus ini. Tetapi aka nada orang yang datang sesudah Yesus itu dengan panas seperti panasnya api pandai emas juga ia membakar bumi Arabia bahkan sampai hujung Hispanola ( Sepanyol ) dengan seruan jihadnya yang sangat menggetarkan hati lawannya.”
( KITAB NABI MALAKHI @ MAL’AKHI – NABI TERAKHIR DARI 12 NABI-NABI KECIL )


GELARAN MULIA AL-AMIN :


Rasulullah s.a.w terkenal dengan kejujuran dalam setiap perbuatan dan perkataan sehingga mendapat gelaran Al-Amin (Orang yang dipercayai). Bagi penduduk Mekah tidak ada orang lain yang boleh dipercayai selain daripada Muhammad s.a.w.


DETIK KERASULANNYA :

Di antara tanda-tanda kenabian Baginda s.a.w sepertimana yang dinyatakan sendiri oleh baginda iaitu peristiwa batu yang memberi salam kepadanya ketika baginda melaluinya. Terjadi juga di mana sepohon pokok dan sebuah gunung mengucapkan salam kepada baginda. Baginda s.a.w juga lebih suka menyendiri dan menjauhkan diri daripada kaumnya ke sebuah gua yang jauh dari Kaabah. Gua itu adalah Gua Hira’ yang terletak jauh. Baginda beribadah ketika bersendirian di sana. Tinggal di sana beberapa malam dan kembali turun untuk pulang mengambil bekal.
(Sahih Muslim. Sunan At-Tarmizi. Sahih Bukhari. Sirah Ibnu Hisyam. Fathul Barri)

Sayidatina Aisyah meriwayatkan bahawa : “ Sebelum datangnya wahyu yang pertama Rasulullah s.a.w sering mengalami Ar-Ru’yah As- Sadiqah ( mimpi yang benar). Apa yang terlihat di dalam mimpi-mimpinya, benar-benar berlaku, seterang cahaya pagi. Kemudian Baginda terdorong untuk berkhalwat (menyepi dan menjauhkan diri dari semua kesibukan) di gua Hira’. Di sana beliau beribadah selama beberapa malam kemudian turun pulang pada keluarganya mengambil bekalan dan kembali berkhalwat di sana untuk berikutnya”.

Pernah pada suatu ketika. Baginda Rasulullah s.a.w bermimpi mendengar suara :” Hai Muhammad, Sesungguhnya engkau adalah utusan Allah Yang Maha Benar “. Baginda terkejut dan terjaga, mencari-cari dari manakah arah suara itu, di sekeliling penjuru dipenuhi dengan cahaya yang bergemerlapan. Melihatkan tingkah laku baginda, Sayidatina Khadijah mencadangkan agar baginda menemui bertemu dengan Waraqah
bin Naufal bin As’ad bin abdul Uzza seorang pendita Nasrani yang menulis kitab Injil dalam tulisan arab dan pentafsir mimpi terkenal yang telah tua dan buta . Waraqah menjelaskan bahawasanya mimpi yang dialami oleh Rasulullah s.a.w bukanlah berpunca daripada bisikan Syaitan, kerana syaitan tidak mampu dating dari arah atas dan tidak pula dari bawah. Aakan tetapi suara itu adalah suara Malaikat. Ini terbukti sepertimana firman Allah :

ثُمَّ لَآتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ

kemudian saya akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).”(Al-A’raf : 17)

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda :” Mimpi yang benar itu merupakan 1/46 bahagian daripada (wahyu) kenabian”.

Pada usia Baginda s.a.w empat puluh tahun, beliau diutus menjadi Rasul. Riwayat mursal daripada As-Syu’bi mengatakan : “ Nubuat diturunkan kepada Nabi s.a.w ketika beliau berusia empat puluh tahun. Lalu Malaikat Israfil menggandingkan tiga tahun pada nubuat beliau. Israfil lah yang mengajarkan kalimah dan segala sesuatu kepada beliau. Al-Quran tidak turun melalui lisannya selama dua puluh tahun”. Namun riwayat ini tidak boleh dijadikan hujjah kerana selain daripada riwayat mursal ianya juga diriwayatkan secara tunggal.
(Imam Baihaqi : Dalail An-Nubuwwah, tanpa kalimah “TAHUN”. Kalimah itu ditambahkan untuk supaya lebih jelas)

Wahyu pertama diturunkan pada hari Isnin kepada Rasulullah s.a.w. Pendapat mengatakan ianya berlaku pada bulan Ramadhan. Wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w adalah merupakan perbandingan wahyu yang pernah diturunkan kepada nabi-nabi sebelumnya sepertimana firman Allah :

إِنَّا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ كَمَا أَوْحَيْنَا إِلَى نُوحٍ وَالنَّبِيِّينَ مِنْ بَعْدِهِ وَأَوْحَيْنَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ وَعِيسَى وَأَيُّوبَ وَيُونُسَ وَهَارُونَ وَسُلَيْمَانَ وَآتَيْنَا دَاوُودَ زَبُورًا

“Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi-nabi yang kemudiannya, dan Kami telah memberikan wahyu (pula) kepada Ibrahim, Isma'il, Ishak, Ya'qub dan anak cucunya, Isa, Ayyub, Yunus, Harun dan Sulaiman. Dan Kami berikan Zabur kepada Daud.” ( Surah An-Nisa’ : 163)
( Sahih Muslim. Sunan Abu Daud. Sirah Ibnu Hisyam. Ibnu Kathir : Sirah An-Nabawiyyah)


Sayidatina Aisyah meriwayatkan bahawa : “ Ada malikat Jibril dating dan berkata “Bacalah!”. Nabi s.a.w menjawab “aku tidak tahu membaca”. Baginda s.a.w bersabda lagi “Malaikat itu menangkap dan memelukku hingga aku merasa kepayahan. Kemudian dia melepaskanku dan berkata  “ Bacalah!”. Aku menjawab “aku tidak tahu membaca”. Kemudian dipelukku lagi aku untuk kali yang kedua dan aku merasa kepayahan. Kemudia dia berkata lagi “Bacalah!”. Aku menjawab “aku tidak tahu membaca”. Dan untuk kali ketiga dia memelukku lagi hingga aku merasa kepayahan. Lalu kemudian dia melepaskan aku dan mengatakan :

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (1) خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ (2) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ (3) الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4) عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (5)

Rasulullah s.a.w pulang membawa ayat tersebut dalam keadaan menggigil dan ketakutan lalu masuk ke rumah seraya berkata kepada isterinya Khadijah  : “ Selimutilah aku, selimutilah aku “. Lalu diselimutilah baginda. Kemudia baginda s.a.w bersabda kepada Khadijah : “ Wahai Khadijah’ Apa yang telah terjadi kepadaku?”. Kemudian baginda menceritakan peristiwa yang beliau alami di gua Hira’ itu. Maka Khadijah memeluk suaminya yang dalam ketakutan itu dan berkata :” Wahai Abu Qasim, Allah melindungi kita, tenaglaj dan mantapkan hatimu. Demi Allah nyawaku berada di tatang Nya. Aku berharap engkau akan menjadi nabi bagi umat ini. Allah tidak akan mendustakanmu. Kamu seorang yang baik dan menjaga silaturrahmi, selalu berkata benar, sanggup menghadapi kesusahan, memuliakan tetamu dan membantu orang-orang yang berada di jalan kebanaran”.

Mendengarkan itu, maka tertidurlah dalam keadaan berselimut suami tercintanya itu. Namun isteri yang tercinta itu dalam kebingungan. Setelah beberapa lama Khadijah menemui Waraqah bin Naufal dan menceritakan apa yang dialami oleh suaminya.  Dengan wajah yang terkejut Waraqah berkata : “ Qudus…qudus…Demi Tuhan yang menentukan hidup dan matikau, jika engkau percaya, wahai anak saudaraku, yang dating itu adalah Namus (Jibril) yang dahulu diturunkan kepada Musa a.s. Kalaulah aku masih muda belia ketika kenabiannya, dan kalaulah aku masih hidup ketika itu ketika kamu diusir oleh kaum kamu, tentu aku akan membela kamu bermati-matian”.

Ketika pulang untuk menyampaikan khabar itu, Khadijah melihat suaminya sedang tidur dengan nyenyak. Ketika terjaga, baginda s.a.w membuka matanya perlahan namun tedengar ada suara yang mengatakan sesuatu di hadapannya :

يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ (1) قُمْ فَأَنْذِرْ (2) وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ (3) وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ (4) وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ (5) وَلَا تَمْنُنْ تَسْتَكْثِرُ (6) وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ (7)

Ketika rasulullah s.a.w sudah sedar, Khadijah menceritakan apa yang disampaikan oleh Waraqah. Baginda menatap wajah isterinya dengan penuh kasih saying dan bersabda : “KHADIJAH, SELESAILAH SUDAH WAKTU UNTUK TIDUR DAN BERISTIRAHAT. MALAIKAT JIBRIL MENYURUHKU MEMBERI PERINGATAN KPADA SEMUA MANUSIA DAN MENGAJAK MEREKA SUPAYA SUJUD DAN BERIBADAH HANYA KEPADA ALLAH. SIAPAKAH YANG DAPAT KU AJAK DAN SIAPAKAH PULA YANG AKAN MENERIMA AJAKANKU?”.

Terdapat riwayat mengatakan bahawa ketika Rasulullah s.a.w menerima wahyu, baginda mengalami ketakutan yang amat dahsyat. Peluh yang mengalir dari kening hingga membasahi seluruh tubuhnya. Wajahnya pusat sedangkan ketika itu keadaan cukup sejuk. Tubuhnya terasa berat. Zaid bin Thabit mengatakan bahawa : “Ketika Rasulullah s.a.w menerima wahyu, paha baginda menindih pahaku dan terasa amat berat. Dan aku terasa agak ringan setelah aku berusaha denga  bersusah payah mereganggkan pahaku dangan paha baginda” (Sahih Bukhari)

Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang bagaimanakah cara turunnya wahyu kepada Baginda. Baginda s.a.w menjelaskan bahawa wahyu akan turun dengan beberapa cara iaitu :

1. Bunyi loceng yang kuat sehingga menyebabkan Rasulullah s.a.w hampir jatuh.
2. Jibril dating menemui Rasulullah s.a.w dengan menyerupai seorang lelaki.

Ketika Rasulullah s.a.w menerima wahyu, baginda dalam keadaan sedar

(Sahih Bukhari dan Sahih Muslim)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.

Rasulullah s.a.w bersabda :

” Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat” ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)

MUHASABAH