Saidatina Aisyah Berusia 19 Tahun Ketika Tinggal Bersama Nabi Muhammad SAW.
*Seorang ulama Pakistan, Al'alamah Habibul Rahman Kandhalwi telah membuat kajian mendalam mengenai kekeliruan sejarah usia Saidatina Aisyah Binti Abu Bakar r.a. ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW dan juga beliau mengkaji usia Saidatina Khatijah ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW dan usia anak perempuan Nabi SAW ketika berkahwin dengan Saidina Ali k.wj.*
Beliau telah mengemukakan 24 dalil akli dan naqli bagi menolak pendapat lama dan menyatakan penyelewengan sejarah itu berpunca daripada propaganda Syiah yang mahu merosakkan pemikiran umat Islam. Syiah banyak membuat pemalsuan di atas sejarah Islam terutama umur isteri-isteri Rasulullah SAW yang dikahwini oleh baginda SAW.
Melalui pembuktian baru ini, beliau menghidangkan fakta baru kepada seluruh umat Islam bahawa:
1. Saidatina Aisyah r.ha telah berkahwin pada usia yang sesuai iaitu 16 tahun (bukannya 6 tahun) dan mula tinggal bersama suaminya Muhammad SAW ketika umurnya 19 tahun (bukannya 9 tahun) selepas peristiwa hijrah ke Madinah.
2. Umur Saidatina Khatijah r.ha ialah 25 tahun (bukannya 40 tahun) semasa beliau berkahwin dengan Nabi Muhamad SAW yang mana ketika itu juga baginda berusia 25 tahun. Kedua-duanya sebaya. Sejarah mencatatkan perkahwinan mereka berdua dikurniakan empat cahaya mata perempuan dan tiga orang lelaki.
3. Saidatina Fatimah r.ha telah dilahirkan di Makkah sebelum Nabi SAW dilantik sebagai rasul dan berkahwin dengan Saidina Ali k.wj di Madinah pada usia 19 tahun (bukannya 9 tahun).
Maulana Habibul Rahman menulis kerta kerja pada mulanya dalam bahasa urdu dan kini sudah ada terjemahan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu bagi membetulkan tanggapan salah sejarah.
Maulana Asri Yusuf seorang ahli hadis Malaysia turut bersetuju dengan cara pemikiran Maulana Habibul Rahman dan beliau telah menghuraikan dengan panjang lebar hujah Habibul Rahman dan sesiapa yang berminat boleh membaca di Darul Kautsar atau melalui youtube di bawah tajuk umur Aisyah ketika berkahwin dengan Rasulullah.
Semenjak kita sekolah kita didedahkan bahawa Rasulullah SAW berkahwin dengan Saidatina Khatijah ketika beliau berusia 40 tahun, sedangkan sejarah turut menyatakan Rasulullah SAW mendapat tujuh atau sesetengah riwayat menyatakan lapan anak.
Bolehkah seseorang berusia 40 tahun ke atas kemudian sempat melahirkan anak tujuh orang??
Kita juga didedahkan bahawa Rasulullah SAW berkahwin dengan Saidatina Aisyah ketika beliau berusia enam tahun, sebuah perkahwinan bawah umur.
Perawi dalam hadis umur Aisyah iaitu Hisham bin Urwah tersangat berusia ketika dicatatkan hadis berkenaan. Banyak ulama mempertikaikan hadis Hisham ketika beliau terlalu berusia (melebihi 70 tahun) dan waktu itu tinggal di Iraq.
Sesetengah ulama menyatakan Hisham Urwah telah tersilap mendengar enam belas kepada enam, dan sembilan belas kepada sembilan.
Setelah dibuat kajian bahawa umur Aisyah bukan 6 tahun semasa dikahwini oleh Rasulullah SAW. dan bukan 9 tahun ketika bersama dengan Baginda SAW.
Telah diberi beberapa hujah untuk membuktikan penemuan baru dalam sirah Nabi SAW iaitu :
Hujah Pertama – Bertentangan Dengan Fitrah Manusia
Hujah Kedua – Bertentangan Dengan Akal Yang Waras
Hujah Ketiga – Tiada Contoh Ditemui Di Negeri Arab Atau Di Negeri Panas
Hujah Keempat- Riwayat Ini Bukan Hadis Rasulullah S.A.W.
Hujah Kelima – Riwayat Ini Diriwayatkan Oleh Hisham Selepas Fikirannya Bercelaru
Hujah Keenam – Hanya Perawi Iraq Yang Menukilkan Riwayat Ini
Hujah Ketujuh – Aishah r.ha Masih Ingat Ayat Al-Quran Yang Diturunkan Di Tahun Empat Kerasulan
Hujah Kelapan – Aishah r.ha Masih Ingat Dengan Jelas Peristiwa Hijrah Abu Bakar r.a.. Ke Habshah
Hujah Kesembilan – Aishah r.ha. Mengelap Luka Dan Hingus Usamah Bin Zaid r.a.. Yang Dikatakan Sebaya Dengannya.
Hujah Kesepuluh – Ummul Mu’minin Aisyah r.ha. Turut Serta Di Dalam Peperangan Badar.
Hujah Ke-11 – Aishah r.ha. Menyertai Perang Uhud Sedangkan Kanak-Kanak Lelaki Berumur Empat Belas Tahun Tidak Dibenarkan Menyertai Perang.
Hujah Ke-12 – Aishah r.ha. Lebih Muda 10 Tahun Dari Kakaknya Asma, Dan Semasa Peristiwa Hijrah Asma r.ha. Berumur 27 Atau 28 Tahun
Hujah Ke-13 – Ahli Sejarah At-Tabari Mengatakan Aishah r.ha. Lahir Di Zaman Jahilliyah (Sebelum Kerasulan)
Hujah Ke-14 – Aishah r.ha. Adalah Antara Orang-Orang Yang Terawal Memeluk Islam
Hujah Ke-15 – Abu Bakar r.a. Bercadang Mengahwinkan Aishah r.ha. Sebelum Berhijrah Ke Habshah
Hujah Ke-16 – Aishah r.ha. Disebut Sebagai Gadis Dan Bukan Kanak-Kanak Semasa Dicadangkan Untuk Bernikah Dengan Rasulullah SAW.
Hujah Ke-17 – Rasullulah SAW Tidak Tinggal Bersama Aishah r.ha Kerana Masalah Mendapatkan Mahar, Bukan Kerana Umur Aishah Yang Terlalu Muda
Hujah Ke-18 – Hadis Yang Mensyaratkan Mendapat Persetujuan Seorang Gadis Sebelum Dikahwinkan Memerlukan Gadis Tersebut Telah Cukup Umur.
Hujah Ke-19 – Kebolehan Luar biasa Aishah r.ha Mengingati Syair Yang Biasa Disebut Di Zaman Jahiliyah Membuktikan Beliau . Lahir Di Zaman Jahiliyah.
Hujah Ke-20 – Kemahiran Dalam Sastera, Ilmu Salasilah Dan Sejarah Sebelum Islam.
Hujah Ke-21 – Keinginan Mendapatkan Anak Dan Naluri Keibuan Tidak Mungkin Timbul Dari Kanak-Kanak Bawah Umur.
Hujah Ke-22- Aishah r.ha. Sebagai Ibu Angkat Kepada Bashar r.a. Yang Berumur Tujuh Tahun Selepas Perang Uhud.
Hujah Ke-23- Wujudkah Perkahwinan Gadis Bawah Umur Di Tanah Arab Dan Dalam Masyarakat Bertamadun?
Hujah Ke-24 – Kesepakatan (Ijmak) Umat Dalam Amalan.
Marilah kita kembali memahami , meneliti dan mengkaji bukti-bukti sejarah Nabi SAW yang benar lagi sahih yang mana ianya telah di selewengkan oleh puak-puak Syiah dahulu hingga mengelirukan umat Islam seluruh dunia daripada dahulu hingga sekarang.
Musuh-musuh Islam telah menggunakan fakta-fakta yang salah dan menggunakan fakta tersebut untuk mengecam peribadi Rasulullah SAW. Oleh itu para ulama Islam, sarjana Islam dalam bidang sejarah dan pakar ilmu hadis perlulah bersatu dan membukukan buku sejarah dan sirah Rasulullah SAW dan para sahabat yang betul dan sahih dan menolak sebahagian daripada fakta-fakta yang salah yang terdapat di dalam buku-buku sejarah Islam sekarang ini..