APAKAH THABUT
Peti Thabut telah menjadi satu hal yang misteri sekian lama.Hanya sekali disebut di dalam Al-Quran. Firman Allah swt bermaksud :
Dan nabi mereka berkata kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan itu ialah datangnya peti Thabut yang mengandungi sakinah (ketenteraman?) daripada Tuhan kamu, dan sisa peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun, dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya pada yang demikian itu menjadi tanda bagimu jika benar kamu orang yang beriman.”
(Al-Baqarah: 248)
Apakah itu Peti Thabut dan kandungannya:
Peti Thabut merupakan warisan khazanah nabi bani Israel,iaitu nabi musa dan harun a.s, sebuah peti yang mengandungi dua buah batu Loh yang tertulis penulisan Kitab Taurat Nabi Musa a.s, sebatang tongkat Nabi Musa a.s yang digunakan untuk membelah lautan semasa dikejar Firaun, serban Nabi Harun a.s dan sedikit makanan yang diturunkan dari langit untuk Nabi Musa a.s dan pengikutnya ketika mereka tersesat di padang pasir Manna.
Bani Israel percaya bahawa Peti Thabut mempunyai banyak keistimewaannya. Mereka percaya bahawa barang siapa yang dapat memiliki Peti Thabut akan mendapat keberkatan dan pertolongan dari Allah swt. Jika dibawa berperang, ia boleh memberikan ketenangan, ketenteraman dan semangat serta mampu mengalahkan musuh.
Maksud “SAKINAH”:
Sakinah bermaksud kebaikan,ketenangan dan ketenteraman.
Ada beberapa ayat al-quran yang ada perkataan ‘sakinah’,antaranya ialah :
“Dialah yang menurunkan SAKINAH ke dalam hati orang-orang mukmin supaya bertambah keimanan dan keyakinan mereka beserta keimanan dan keyakinan sedia ada; padahal Allah menguasai tentera langit dan bumi, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
(Al-Fath: 4)
“Demi sesungguhnya Allah redha akan orang-orang yang beriman ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Muhammad) di bawah naungan pohon (di Hudaibiah), maka ternyata apa yang sedia diketahuiNYa tentang yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan SAKINAH ke atas mereka dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya”
(Al-Fath: 18)
“(Ingatlah) ketika orang-orang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh dalam hati mereka- perasaan sombong angkuh secara jahiliah, lalu Allah menurunkan SAKINAH kepada RasulNya dan kepada orang-orang beriman”
(Al-Fath: 26)
Sejarah peti thabut:
Peti Thabut berada dalam jagaan Bani Israel hanya selama 40 tahun, selepas itu Peti Thabut pernah berpindah tangan kepada orang Filistin, namun hanya untuk 7 bulan sahaja, orang Filistin mengembalikan Thabut kepada orang Israel semula kerana mereka mendakwa ketika mereka menyimpan Peti Thabut itu banyak wabak penyakit menular dan mengorbankan banyak nyawa. Akhirnya bila Nabi Daud a.s memimpin Bani Israel melawan orang Filistin, Thabut kembali semula ke pangkuan Bani Israel. Selepas itu Allah swt memerintahkan Nabi Daud a.s membina sebuah rumah suci untuk menyimpan Peti Thabut itu, lalu usaha itu dilakukan oleh anakandanya Nabi Sulaiman a.s. Menurut catatan dalam perjanjian lama, Peti Thabut disimpan disitu sekitar tahun 955 Sebelum Masihi, namun dalam sekitar tahun 620 Sebelum Masihi didapati Thabut telah lenyap atau hilang.
Sehingga kini,Peti Thabut telah hilang ditelan masa, ianya telah lenyap bersama sejarah. Tiada siapa yang tahu dimana Peti itu berada kecuali mereka yang diizinkan Allah swt. Bangsa Yahudi dan Dajjal sangat mencari kembali Peti Thabut ini.
Sebenarnya peti thabut ini telah di ghaibkan, Allah menyimpannya,sampai satu masa,Peti Thabut ini akan diketemui semula oleh Sayidina Haris Al-Harras R.A, seterusnya Sayidina Imam Mahadi A.S menunjukkan kepada umat yahudi (Bani Israel) ketika peperangan “Malhamah kubra” atau perang Armegedon, Apabila Yahudi melihat akan peti Thabut ini, maka berbondong-bondonglah mereka semua mengakui kebenarannya dan memeluk agama Islam, kecuali sedikit kerana kesombongan terus menentang dan berperang dengan tentera Al-Mahadi.