Thursday, April 14, 2016

SYAITAN BERADA DI ANTARA RAGHWATU AL-LABAN DAN TANGISANNYA

Imam Ahmad berkata, Hasan bercerita kepada kami, Ibnu Lahi’ah bercerita kepada kami, daripada Abdurrahman Al-Habil, Abdullah bercerita kepada kami, daripada Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
“Aku tidak berasa khuatir terhadap umatku, kecuali laban, kerana seseungguhnya syaitan berada di antara Ar-Raqhwatu wa As-Sarihatul Laban.”
(Sanad lemah. Riwayat ad-darimi, At-Tabrani : Hadis ini diriwayatkan daripada Abu Hurairah secara marfu’)

Maksud hadis ini bahawa Rasulullah s.a.w tidak khuatir terhadap orang arab kecuali laban.

Dalam hadis yang lain disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Umatku daripada ahli kitab dan ahli laban akan dihancurkan.”
Para sahabat bertanya : “Siapakah ahli laban?”
Rasulullah s.a.w bersabda : “Ahli laban adalah kaum yang mengikuti hawa nafsu serta mensia-siakan solat.”
(Riwayat Ahmad dan At-Tabrani)

Ahli Kitab yang dimaksudkan adalah ulama As-si’ (Ulama yang berakhlak buruk). Sebagaimana di dalam sunan Ibnu Majah yang menyebutkan : “Manusia yang paling berat seksaan pada hari kiamat adalah orang yang berilmu tetapi Allah menjadikan ilmu tersebut tidak memberikan manfaat baginya.”
(Sanad lemah : Riwayat An-Nasa’i)

Nabi Isa bin Maryam a.s berkata kepada para Hawariy :

“Wahai garam bumi, janganlah rosak, kerana sesungguhnya segala sesuatu yang rosak dapat diubati dengan garam, namun jika garam rosak, tidak ada penawar baginya.”

TANGISAN SYAITAN


Firman Allah :

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ
أُولَئِكَ جَزَاؤُهُمْ مَغْفِرَةٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَجَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ

Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampunkan dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka dan surga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.”
(Ali Imran 135-136)

Kata Thabit A-Bannani, seseorang telah datang kepada ku bahawa ketika ayat ini diturunkan iblis telah menangis.

Riwayat daripada Abu Hurairah r.a, bahawa RAsulullah s.a.w bersabda :       

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا قَرَأَ ابْنُ آدَمَ السَّجْدَةَ فَسَجَدَ اعْتَزَلَ الشَّيْطَانُ يَبْكِي يَقُولُ يَا وَيْلَهُ وَفِي رِوَايَةِ أَبِي كُرَيْبٍ يَا وَيْلِي أُمِرَ ابْنُ آدَمَ بِالسُّجُودِ فَسَجَدَ فَلَهُ الْجَنَّةُ وَأُمِرْتُ بِالسُّجُودِ فَأَبَيْتُ فَلِي النَّارُ

“Apabila Bani Adam membaca surah As-Sajadah, kemudian dia sujud, maka syaitan akan menyendiri lalu menangis dan berkata : “Betapa celakanya aku. Bani Adam diperintahkan untuk bersujud, maka dia bersujud dan dia akan mendapatkan syurga. Sementara aku diperintahkan untuk bersujud, akan tetapi aku menentangnya, maka aku akan dimasukkan ke dalam api neraka.””
Hadis sahih. Riwayat Muslim, Ibnu Majah, Ahmad, Ibnu Hibban)

Sebahagian ulama’ di antaranya Sufyan As-Sauri dan Abu Hanifah menjadikan dalil yang wajib untuk melakukan sujud ketika mendengar bacaan sutah As-Sajadah dibacakan. Tidak satupun ulama mengingkari dalil ini. Perintah ini wajib dilaksanakan atau dilakukan kerana hadis ini adalah sahih.

Dalam riwayat daripada Sayidina Umar Al-Khattab r.a, Salam Al-Farisi r.a, Ibnu Abbas r.a dan Imran bin Husain r.a, Imam Ahmad menjadikan hadis ini dengan riwayat Zaid bin Thabit r.a : “Aku membacakan ayat An-Najm kepada Nabi s.a.w, tetapi baginda tidak sujud.” Menurut riwayat daripada Ad-Daruqutnu : “Tidak seorangpun antara kami yang sujud.” Namun menurut Zaid bin Thabit, Rasulullah s.a.w tidak sujud adalah kerana baginda diberikan pilihan.
(Hadis sahih riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, At-Tarmizi, Ad-Darimi, An-Nasa’i)

Imam Ahmad mengatakan bahawa :
“Sekiranya membaca surah As-Sajadah dalam solat, maka tidak boleh meninggalkan sujud. Kewajipan ini tetap ada ketika seseorang solat, apa lagi di luar solat.”

Kata Imam Ahmad lagi :
“Dalam riwayat Al-Asram dan Hanbali : “Jika surah ini (As-Sajadah) dibacakan dalam solat, maka dianjurkan untuk sujud, kerana perbuatan ini lebih dikuatkan.”

Namun terdapat sebahagian ulama yang ragu tentang sujud tilawah bagi orang yang sedang solat. Jika diwajibkan dalam solat, maka meninggalkannya akan membatalkan solat. Menurut kebanyakan ulama mengatakan bahawa solat tidak batal kerana meninggalkannya ketika dalam solat. Pendapat ini adalah menurut Syeikh Mujiddin.